Monday, 1 June 2009

'Tolong jangan berlagak'



Shahidan Kassim


KUALA LUMPUR - Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan Tunku Imran Tuanku Jaafar supaya jangan berlagak ketika mengeluarkan kenyataan berhubung perebutan jawatan dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sambil menyatakan rasa meluatnya dengan sikap Tunku Imran, bekas Menteri Besar Perlis itu menyifatkan, kenyataan yang dibuat Presiden MOM itu seperti mahu menunjukkan bahawa dia sahaja seorang pemimpin yang bertaraf antarabangsa.

"Dia (Tunku Imran) kata untuk menjadi pemimpin dalam MOM, seseorang itu mesti bijak untuk bekerja di peringkat antarabangsa.

"Saya nak tanya dia balik, adakah dia seorang sahaja bertaraf antarabangsa? Adakah KOAM bukan persatuan bertaraf antarabangsa?

"Begitu juga renang, petanque dan kabbaddi (yang mana beliau juga adalah presidennya). Jadi tolong jangan berlagak dalam hal ini.

"Kalau saya tahu dia berlagak macam ini, dari awal lagi saya sudah berkempen untuk lawan dia," katanya ketika dihubungi semalam.

Tanpa menunjukan kepada sesiapa, Tunku Imran sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan semasa diundang menghadiri majlis penajaan antara Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dengan Yayasan CIMB di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada 23 Mei lepas dengan berkata: "Ini adalah nasihat umum, saya tidak tujukan kepada individu tertentu tetapi kepada semua calon yang bertanding untuk merebut apa juga jawatan, pastikan bahawa anda mampu memberikan masa dan komitmen yang tinggi jika mahu berada dalam MOM kerana ia bukan sekadar satu badan yang bekerja dengan sukan tempatan, malah bekerja rapat dengan sukan antarabangsa.

"Kita mempunyai peranan besar dalam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA), Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan banyak lagi pertubuhan sukan antarabangsa.

"MOM turut terlibat dalam penganjuran kejohanan sukan antarabangsa, memegang jawatan penting dalam IOC, OCA, CGF dan SEAGF, jadi kalau anda rasa anda tidak mampu memberi komitmen untuk semua ini, sebaiknya anda lupakan saja hasrat mahu bertanding.''

Apa pun, Shahidan berkata, walaupun meluat dengan kenyataan Tunku Imran itu, beliau menyerahkan segala-galanya kepada KOAM untuk menentukan sama ada mahu terus bertanding atau tidak.

"Saya bergantung sepenuhnya kepada KOAM kerana mereka yang mencalonkan saya. Kalau mereka kata tidak perlu bertanding, saya ikut sahaja," tegasnya.

Namun setakat ini kata Shahidan, untuk merebut jawatan tertinggi dalam MOM itu, beliau tidak melakukan kempen yang agresif.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Imran tidak dapat menjangkakan tentang peluangnya untuk mempertahankan jawatan presiden MOM pada Mesyuarat Agung Tahunan Sabtu ini.

Malah beliau mengakui tidak mengetahui betapa serius Shahidan mahu mencabarnya kali ini selepas pernah menarik diri di saat akhir dua tahun lalu.

"Saya tidak tahu," katanya ketika ditanya sama ada bakal menerima tentangan sengit daripada bekas Menteri Besar Perlis itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan 184 pengendali kelas taekwondo dari seluruh negara di Wisma MOM, semalam.

Bagaimanapun beliau tidak pernah menyifatkan saingan yang bakal diberikan Shahidan lebih bersifat peribadi.

Sebaliknya Tunku Imran menjelaskan, beliau lebih suka melihat keputusan Shahidan mencabarnya sebagai membuktikan demokrasi terus subur dalam MOM.

"MOM memerlukan pemimpin yang boleh memberi banyak masa dan komitmen kerana tanggungjawab yang perlu dipikul bukan mudah terutama ketika berurusan dengan pihak di luar negara," tegasnya.

No comments: