Friday 29 April 2011

Kuasa Politik dan Kuasa Agama

Kuasa Politik dan Kuasa Agama

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini…

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila ‘iman rakyat’ dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan ‘Tuhan’atau ‘pegangan agama’ adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai ‘tuhan’ atau ‘jelmaan Tuhan’ adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai ‘iman rakyat’.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau ‘Tuhan’, tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian ‘penguasaan politik’ atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang ’senior’ tidak mahu memberi laluan kepada ‘imam junior’ di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun ‘pengaruh politik agama’ amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana ‘kemaruk kuasa’ seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):

“Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teks al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya)

“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara ‘membabi buta’ (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w:

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-’Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w:

“Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya…

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ’sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…

read more “Kuasa Politik dan Kuasa Agama”

Sunday 24 April 2011

Video Lucah Dan Dosa Politik

Video Lucah Dan Dosa Politik

VIDEO LUCAH DAN DOSA POLITIK
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Samada PAS, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.

Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi s.a.w

“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).

video.jpg

- Gambar Hiasan

Aib Peribadi

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.

Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.

Firman Allah(maksudnya):

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).

Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Bukan Bukti Asas

Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:

“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.

Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Berbeza Dengan Kes Kezaliman

Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.

Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah: (maksudnya)

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Tidak Perlu Suruhanjaya

Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).

Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…

Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Ingatan

Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).

Bangkit Generasi Baru!

Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!

read more “Video Lucah Dan Dosa Politik”