Sunday 31 October 2010

Sifat toleransi kerana Islam

Mingguan Malaysia 31 Oktober 2010

Dalam tempoh sebulan ini kenyataan beberapa pemimpin parti-parti politik menarik perhatian saya. Tidak semena-mena Penasihat Parti Gerakan melenting dan meletakkan jawatan, marahkan Presidennya kerana dikatakan tidak lagi memperjuangkan kepentingan parti. MCA dan DAP tidak jemu-jemu terus menekan UMNO supaya mengambil tindakan kepada pengetua dan penolong pengarah BTN yang disifatkan sebagai ‘rasis’, serta mendesak UMNO supaya pihak yang menyentuh sekolah Cina dikenakan di bawah Akta Hasutan dan menghapuskan pemilikan 30 ekuiti Melayu dan Bumiputera.

MIC pula mahukan tambahan satu lagi lagi kerusi menteri penuh, menjadi dua, diberikan pemimpin mereka. Sebelum ini, PPP turut mendesak kerusi menteri kabinet yang sama seperti MIC. Persoalannya, siapakah yang patut korbankan kerusi kabinet yang diminta dan mengalah atas desakan tersebut?

Umum mengetahui, bahawa selama ini UMNOlah terlalu banyak berkorban kerusi dan mengalah. Kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu, sebahagiannya diserahkan kepada parti-parti komponen BN, terutama MCA, Gerakan dan MIC, tidak ketinggalan PPP, untuk bertanding dalam pilihan raya. Beruntungnya mereka, kebanyakan kerusi yang dimenangi adalah di kawasan majoriti Melayu, manakala kawasan majoriti bukan Melayu, mereka kalah teruk dengan DAP. Kenapakah toleransi ini tidak dihargai?

Sesiapa yang mengkaji psiki orang Melayu mengetahui bahawa, agak sukar dan berat untuk Melayu mengundi orang bukan Islam di kawasan majoriti Melayu. Tetapi atas dasar kerjasama dan toleransi, UMNO tetap memberi laluan, sehingga terpaksa menerima kekalahan pilihan raya umum ke 12. Saya fikir, belum tentu PKR boleh menang mudah, jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu, satu lawan satu. Maka tidak hairanlah, keputusan pilihan raya umum 12 telah menjadikan parti politik ini menjadi bongkak dengan kemenangan mereka, wal hal sebenarnya mereka tidaklah sekuat mana.

Kebongkakan ini menjadikan mereka begitu celupar sehingga begitu berani menyindir mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamed dengan menggunakan istilah ‘tersungkur’ gara-gara kesihatan negarawan tersebut terjejas sedikit sehingga dimasukkan ke hospital. Bukan itu sahaja, PKR terus mencanangkan untuk memboikot akhbar Utusan Melayu. Selain dari Mahathir, mereka juga mahu melihat akhbar ini ‘tersungkur’. Melayu sesama Melayu suka melihat saudara mereka sendiri tersungkur. Pertelingkahan tidak pernah selesai seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian.

Saya tidak bertujuan untuk mempertahankan Utusan, hanya kerana diberi peluang untuk menulis dalam kolum setiap hujung minggu. Apa ingin saya suarakan adalah, akhbar Utusan tidak pula berkempen supaya memboikot akhbar suara Keadilan ataupun Harakah. Walaupun tidak kurang hebatnya kedua akhbar ini mengkritik Utusan dan kerajaan. Atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi, saya nampak akhbar Utusan lebih terbuka. Mungkin ada yang berkata, Utusan adalah akhbar UMNO atau akhbar kerajaan BN. Jika begitulah keadaan, Keadilan, Rocket dan Harakah, juga adalah akhbar parti. Berita-berita mereka, walaupun didakwa benar dan tidak ada putar belit, mereka tetap menentang dan mengkritik UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya. Malang sungguh akhbar orang Melayu terpaksa berhadapan dengan orang Melayu sendiri. Sedangkan akhbar orang lain asyik bekerjasama dan jarang bergaduh atau saling kutuk mengutuk. Apa yang jelas, mereka saling sokong-menyokong dan begitu bersatu hati mempertahankan hak-hak mereka.

Seperti mana perjuangan contoh lima parti bukan Melayu agak berbeza dengan perjuangan parti Melayu Islam. Parti bukan Melayu begitu menjaga kepentingan dan kebajikan bangsa dan anak buah mereka. Sementara, parti Melayu Islam yang rata-rata berpecah, tidak habis-habis mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati saudaranya sendiri. Begini cara kita berpolitik. Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Sedangkan orang lain bergaduh macam adik-beradik, kita bergaduh berpatah arang, berkerat rotan. Kita seolah-olah bangga dengan bertindak sedemikian dan menjadi bongkak serta ego bila merasakan ada sedikit kekuatan. Wal hal, mereka ini tidaklah sekuat mana, kokok saja berderai-derai, ekor kadang kala bergemulang tahi.

Sampai bilakah perkara sebegini akan berterusan? Tidakkah kita sedar bahawa perpecahan sebegini bukan lagi rahmah, tetapi sudah sampai ke peringkat haram berpecah, kerana kepentingan umat Islam semakin tergugat. Sedangkan orang lain melihat ruang dan mengintai peluang serta sentiasa mengambil kesempatan. Masih butakah mata kita?

Cuba kita bandingkan akhbar-akhbar Melayu dan akhbar bukan Melayu, ternyata perjuangannya jauh berbeza. Akhbar bukan Melayu begitu kuat mengperjuang hak-hak bukan Melayu. Apakah salah akhbar Melayu memperjuangkan hak-hak Melayu dan Islam. Maaf, saya banyak menggunakan perkataan Melayu, sebab Melayu dan Islam memang tidak dapat dipisahkan, ibarat lagu dan irama.

Ketika membentang kertas kerja bertajuk Persepsi bukan Melayu terhadap politik Melayu, di Universiti Malaya baru-baru ini, saya telah membangkitkan bahawa budaya politik bukan Melayu hari ini ialah wang (ekonomi) dan kuasa (politik), atau more money, more power, more talk. Sedangkan orang Melayu, sudahlah wang tidak banyak, kuasa semakin terhakis dan menipis, ditakuti juga mungkin terlepas, no money, no power, no talk. Dalam keadaan seperti inipun, mereka masih berani bercakap besar dan tinggi egonya. Namun, saya masih boleh bernafas, kerana orang Melayu masih sensitif dengan Islam dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya.

Saya memuji seorang peserta bukan Melayu dalam seminar tersebut yang begitu bersyukur tinggal di bumi bertuah dan mahukan bukan Melayu mengubah persepsi mereka terhadap kepimpinan Melayu Islam. Toleransi Melayu dikatakan begitu tinggi sehingga bukan Melayu masih boleh mengekalkan identiti mereka tanpa langsung diasimilasikan. Peserta bukan Melayu ini bukan main lagi marah terhadap sesetengah kumpulan ektrim yang sibuk mempertahankan bahasa dan jati diri mereka sehingga melupakan tanggungjawab sebenar terhadap pembinaan sebuah negara bangsa. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipedulikan. Bahasa ibunda pertahankan bermati-matian sehingga menimbulkan masalah pembinaan negara bangsa. Bila saya selidiki latar belakang peserta bukan Melayu tersebut ternyata, beliau berlatarbelakangkan sejarah. Beliau begitu memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah Malaysia. Tidak mustahilkan beliau bersikap sedemikian.

Maka tidak hairanlah kita lihat orang bukan Melayu yang memahami sejarah seperti Prof. Kay Kim dan Prof. Teo Kok Seong, agak berbeza pandangannya berbanding bukan Melayu yang lain. Malangnya, tokoh ilmuan tidak dipernah disukai oleh bangsanya. Mereka tahu bahawa rakyat yang memahami sejarah, sikap mereka akan menjadi lebih lunak atau tidak ekstrim. Pendek kata, dengan memahami sejarah, ia boleh membantu menurunkan ego seseorang. Kejahilan sejarah akan menjadi mereka bongkak dan tidak sedar diri.

Menurut Khoo Kay Kim lagi, punca sebenar mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah. Justeru, menurut Khoo Kay Kim, rakyat khususnya kaum-kaum lain, perlu sama-sama menghormati hak Islam dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak tahun 1895 sudah ada sembilan kerajaan Islam yang kekal sampai ke hari ini.

Katanya Kay Kim lagi, sejarah perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini. Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu (Islam) dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Ternyata, dengan memahami sejarah yang benar, berperanan besar untuk menurunkan ego seseorang. Berbeza dengan orang Melayu, yang menurunkan ego mereka, bukan sahaja sejarah, tetapi agama Islam itu sendiri. Peranan agama begitu kuat mengikut sejarah Melayu. Dahulu saya pernah berkata, kerana Islamnya orang Melayu 600 tahun lalulah, yang menjadi mereka insan yang cukup bertoleransi, kurang ego dan mantap perpaduannya. Bayangkan jika Melayu masih lagi tidak Islam sehingga ke hari ini dan egonya tidak dapat ditundukkan. Adakah sama penerimaan dan toleransi mereka terhadap orang bukan Melayu? Dengan sebab itu, apapun berlaku orang Melayu Islam tidak terus berprasangka, tetapi terus bersangka baik.

Pada hemat saya, selagi kita tidak memahami sejarah sebenar pahit maung membina negara tercinta ini, selagi itulah ego kita tetap akan tinggi. Kita terus tidak akan berpuas hati dan terus mendesak dan mengugut sehingga matlamat tercapai, tanpa mahu menghormati hak orang lain. Apatah lagi bagi mereka yang sudah tidak percaya kepada agama. Yang mereka percaya hanya menjaga orang sendiri dan membina empayar kekayaan keluarga sendiri. Saya amat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa politik ekonomi Jepun lebih menepati kehendak Islam daripada politik ekonomi bangsa lain yang hanya mementingkan bangsanya sendiri sahaja.

Rakyat Jepun yang telah menjadi kaya raya akan memiliknegarakan sebahagian besar segala harta mereka untuk kepentingan negara seperti syarikat kereta ternama Toyota. Keluarga mereka hanya memiliki sebahagian kecil saham syarikat gergasi ini, sebahagian besarnya dimiliknegaraknan demi rakyat dan negara Jepun.

Berbanding dengan kita hari ini, kita mahu mengumpul dan mengaut kekayaan sebanyak mungkin tanpa memperdulikan kepentingan negara. Dalam pemikiran kita hanya mahu memperkesarkan empayar bangsa dan kekayaan keluarga. Kalau boleh kita mahu mandi dengan harta dunia ini. Kenapa rakyat Jepun boleh berfikiran dan bertindak sedemikian? Hujahnya mudah, rakyat Jepun meletakkan kepentingan negara di hadapan, sejarah dan agama mereka mengikat mereka.

Persamaannya dengan Islam, konsep infaq dan wakaf mengikat umat Islam. Inilah yang saya katakan bagaimana Islam mengikat ego seseorang sehingga menjadikan mereka tidak terlalu mementingkan diri sendiri.

Justeru, bagi mereka yang tidak mempercayai agama, sejarah yang benar mesti mengikut mereka. Saya mencadangkan mata pelajaran sejarah diwajibkan kepada semua pelajar sama ada pelajar aliran sains atau sastera. Mata pelajaran Malaysia Negaraku yang ingin diperkenalkan di semua sekolah, mesti diajarkan dalam bahasa Melayu. Kerajaan tidak boleh tunduk kepada tekanan mata pelajaran ini diajar dalam bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan, kerana ia tidak akan membawa kepada pembinaan jati diri.

Kita tidak mahu wujud adanya pemikiran segelintir masyarakat kita yang beranggapan sejarah itu tidak penting, sebab tidak membawa pulangan hasil kewangan atau mendatangkan kekayaan. Memahami sejarah tidak akan menjadikan seseorang itu kaya. Dengan sebab itu, tidak ramai pelajar ini yang mengambil kursus sastera dan sains sosial kerana tidak mendatangkan pulangan berbanding dengan ekonomi, perniagaan dan sains. Akhirnya, lahirkan masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Sifat toleransi kerana Islam”

Thursday 21 October 2010

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

UCAPAN YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK SELAKU PRESIDEN UMNO SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-61, 2010 DI DEWAN MERDEKA PWTC "MENDAYA BANGSA MENERAJU KEMAKMURAN"

Bismillahirrahmanirrahim Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Yang Berbahagia Pengerusi Tetap, Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap, Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Ali, YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi & Tun Jeanne Abdullah, Naib Presiden-Naib Presiden, Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL, Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan, Para Perwakilan dan Pemerhati,MUKADDIMAH Meng-awali ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah, ayat 143,berbunyi: "Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam „umat pertengahan‟ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu". 2

Dalam surah a-li Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut:"Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan ber-musyawarah dengan mereka dalam urusan itu"


saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.

2. Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.

3. Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang, kepada citarasa dan nurani orang-orang Melayu.

4. Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanahair.

TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA

Saudara dan Saudari sekalian,

5. Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.

6. Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.

7. Namun, rancangan Dato’ Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Dato’ Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi meneruskan cita-citanya.
Kendatipun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun:

Hidup sebumbung, di bawah teratak,
Berlain bantal, satu hati,
Bercerai kasih, bertalak tidak,
Ibarat rambut, bersimpul mati.

8. Di sudut lain, sekalipun idea Dato’ Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.

9. Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing, mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa, perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisma politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.

10. Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaikpulih ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Almarhum Tunku sebelum itu.

Saudara dan Saudari,

11. Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dah pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya, adalah, untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.

12. Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisma siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau, telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

13. Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada tahun 1991.

14. Sejurus, apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu, telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk “Malaysia; Melangkah ke Hadapan” yang disampaikannya semasa melancarkan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.

15. Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan per kapita Amerika Syarikat pada masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh tiga puluh tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.

16. Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosio-politik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.

17. Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisma, politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Saudara dan Saudari,

18. Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi harmoni kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.

19. Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.

20. Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.

Saudara dan Saudari,

21. Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan 6 NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

22. Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya serta mekanisma pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

23. Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.

Saudara dan Saudari,

24. Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato’ Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.

25. Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara tercinta ini. Pendek kata, biar siapapun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.

KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

26. Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat sepertimana tercermin dalam ungkapan "adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosakbinasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan".

27. Makanya, di saat ini, biar apa sekalipun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja dirantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.

28. Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.

29. Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.

30. Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNO-lah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisma, semangat patriotisma dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Saudara dan Saudari sekalian,

31. Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang? Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu.


Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:

Melayu itu, kaya falsafahnya
Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,

Saudara dan Saudari,

Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:

Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu

Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung

Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat

Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.

Saudara dan Saudari sekalian,

32. Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.

33. Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

34. Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

35. Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
KEPIMPINAN UMNO – SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM

Saudara dan Saudari sekalian,

36. Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.

37. Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.

38. Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.

39. Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.

40. Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.

Saudara dan Saudari sekalian,

41. Sementelahan itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.

42. Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

43. Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.

44. Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

45. Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.




Saudara dan Saudari sekalian,

46. Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.

Saudara dan Saudari sekalian,

47. Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

48. Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

49. Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama. Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila memungkiri janji.

50. Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

51. Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

52. Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.

53. Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.

54. Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.

Saudara dan Saudari sekalian,

55. Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sepertimana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.

56. Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

57. Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

58. Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri kemas.

59. Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata laim, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

60. Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan “primordial instinct” atau naluri asal wujud antara etnik.

61. Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.

62. Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi “holocoust” di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.

63. Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus.

Saudara dan Saudari sekalian,

64. Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.

65. Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudahcara antara kaum.

66. Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara otomatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.

GERAK KERJA UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

67. Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.

68. Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.

69. Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

70. Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.

Saudara dan Saudari sekalian,

71. Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.

72. Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

73. Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu...... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu...... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu...... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

74. Justeru, saya sebagai Presiden UMNO...... tidak mahu..... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

75. Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.

Saudara dan Saudari sekalian,

76. Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

77. Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.

78. Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pengkalan tentera asing dibumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya..... tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya.... bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.

79. Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Saudara dan Saudari sekalian,

80. Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

81. UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

82. Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.

83. Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

PENUTUP

Saudara dan Saudari sekalian,

84. UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO.

85. Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekaligus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.

86. Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.

87. Selanjutnya, di akhir tahun 90an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan.


Saudara dan Saudari,

88. Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Kuasa, kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.

89. Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

90. Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.

91. Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang-orang Melayu.

92. Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada penkhianat bangsa dan tanahair?

Sesungguhnya,

93. Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

94. Ayuh..
Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..
Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi..
Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

95. Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.


read more “TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO”

Tuesday 19 October 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi Melayu


Mingguan Malaysia 17 Oktober 2010

Saya amat musykil kenapa kita perlu menyambut bulan bahasa kebangsaan peringkat kebangsaan, satu bahasa yang sedia termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berkecuali. Kenapa perlu kita mengadakan program sebegini setelah 53 tahun merdeka? Tidakkah tanggungjawab asas ini mesti difahami dan perlu dipikul oleh setiap rakyat Malaysia? Kenapa baru hari ini kita mahu kuatkuasakan iklan dan papan tanda dalam bahasa Melayu? Tidakkah kita merasa jelek selama ini melihat papan-papan tanda menggunakan bahasa yang pelik-pelik? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau jati diri kita sendiri. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa (budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.

Sejak dahulu lagi isu ini telah dibangkitkan oleh pejuang-pejuang bahasa, tetapi ia tidak diendahkan, baharu sekarang kita mahu mengambil berat. Apakah sudah terlambat? Yang selalu kedengaran adalah kelantangan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong dalam mempertahankan bermatian-matian akan bahasa ibunda mereka. Kita baru mula insaf setelah nasi menjadi bubur. Orang lain bukan sahaja sudah insaf lama, tetapi mereka langsung tidak pernah mengenal erti putus asa. Namun, saya tetap bersangka baik, daripada tiada langsung, lebih baik ada.

Kadangkala saya tidak menyalah bangsa lain, kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Kita sahaja yang tidak mahu menggunakan peruntukan dan kuasa yang ada untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Saya tidak pasti sejauhmanakah kita mengimplementasikan syarat wajib lulus dalam bahasa Melayu mendapatkan kerja di sektor swasta? Apa yang saya tahu, langsung tidak ada pengawalan. Sama ada mereka lulus atau gagal bahasa Melayu, atau mungkin langsung tidak tahu berbahasa Melayu, sudah tidak menjadi ukuran. Yang penting adalah Malaysia boleh! Kenapakah kepentingan masa depan ini tidak dilihat secara serius?

Sebelum inipun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membangkitkan dan membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan. Baginda menyifatkan golongan tersebut sebagai cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan tentang nasib dan masa depan orang Melayu akibat berpecah-belah di negara ini pernah diutarakan oleh raja-raja Melayu yang lain seperti Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah dalam ucapan-ucapan baginda.

Sehingga ke hari ini, saya amat tertanya-tanya, apa yang menjadi masalah kepada kita untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara? Negaranya berasal dari Tanah Melayu, Raja-rajanya adalah Melayu, mempunyai kuasa ke atas Islam dan Melayu, Tanah rezab Melayu, majoriti rakyatnya orang Melayu, dan banyak lagi yang berkaitan dengan Melayu yang sudah sedia termaktub dalam perlembagaan. Sudah terang lagi bersuluh. Persoalannya, kenapa semua ini seolah-olah ianya boleh ‘terlepas’ ataupun sudahpun ‘terlepas’. Sepanjang pengamatan saya, negara-negara lain di dunia ini, tidak ada masalah langsung untuk memperkasakan perkara-perkara asas berkaitan dengan pembinaan masa depan dalam sebuah negara bangsa, kerana mereka tahu perlembagaan asas kepada hidup mati sesebuah negara? Rosak perlembagaan, rosaklah negara dan rakyatnya.

Perlu diingat, jika kitab suci itu adalah pegangan hidup beragama, maka perlembagaan adalah asas pegangan hidup bernegara. Dalam konteks yang lebih kecil, perlembagaan adalah asas kepada penubuhan sesebuah persatuan atau organisasi. Tanpa perlembagaan, persatuan atau organisasi tidak boleh ditubuh secara sah. Jika kita tidak setuju dengan perlembagaan tersebut, kita mesti kita mengambil jalan untuk keluar daripada pertubuhan tersebut. Begitulah dalam konteks bernegara, jika perlembagaan tidak dipatuhi, kita mesti mengambil jalan untuk keluar. Carilah tempat-tempat yang mana perlembagaannya dapat memenuhi selera dan nafsu kita.

Ini asas-asas bernegara dan berpersatuan yang mesti difahami. Saya berasa amat pelik kenapa ada segelintir daripada kita tidak langsung mengendahkan arahan kerajaan supaya kurikulum sekolah jenis kebangsaan dan sijil sekolah jenis persendirian dirombak mengikut kurikulum atau silibus kenegaraan, agar penguasaan bahasa Melayu menjadi lebih mantap. Namun, sudahlah arahan tersebut tidak diikuti, mereka lebih sibuk dan takut jika kurikulum dan silibus tersebut tidak diikhtraf oleh negara lain yang menjadi kiblat mereka selama ini?

Semua ini berlaku disebabkan oleh kita terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan agenda membina negara berasaskan identiti nasional. Kita terlalu takut kalah pilihan raya, kita terlalu takut hilang kuasa. Tidak pernah berlaku dalam dunia lain, satu bahasa yang menjadi bahasa negara tetapi merempat di bumi sendiri.

Kebiasaannya, kempen bulan bahasa tidak dilakukan ke atas bahasa kebangsaan kerana rakyat Malaysia wajib menguasai bahasa ini sama ada suka atau tidak. Kempen bahasa kebangsaan sepatutnya giat dijalankan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil atau di tempat-tempat bahasa Melayu tidak didaulatkan. Begitu juga dengan kempen ke atas bahasa-bahasa sampingan yang lain bagi menyemarakkan penguasaan bahasa-bahasa sampingan tersebut, seperti bahasa Inggeris.

Lihat sahaja negeri China, Jepun, Perancis, Amerika, Australia, Thailand, Vietnam dan sebagainya, bahasa mereka begitu mendominasi negara tanpa berkecuali. Kenapa negara kita tidak bersifat sedemikian? Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang guru senior India yang mengajar bahasa Inggeris, di Kuala Lumpur, menggelarkan dirinya cikgu Siva Malaysia. Beliau amat terkenal di sekolahnya disebabkan cara hidup beliau yang amat berjiwa Malaysia berakarkan semangat kebangsaan kenegaraan yang begitu kuat. Bahasa Melayunya amat fasih mengalah orang Melayu sendiri. Saya fikir cara dan akhlak beliau seperti orang Islam, walaupun hakikatnya beliau masih belum Islam.

Beliau melahirkan kebimbangannya mengenai politik Malaysia yang amat bersifat perkauman. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak didaulatkan, apatah lagi dikuasai. Selaku seorang Kristian yang selalu ke gereja, katanya, sesetengah gereja turut bersifat perkauman. Menyindir dan mengutuk bangsa dan agama lain adalah perkara biasa.

Isu video klip mengenai ceramah seorang Cina Muslim, mengenai agama Buddha dengan ‘King Kong’, sengaja diperbesar-besarkan oleh laman web Malaysian Insider, begitu jelas berniat hajat. Memang tidak nafikan pandangan tersebut tidak wajar. Apa kata kita jika orang bukan Islam turut melakukan perkara yang sama. Namun, laman web tersebut sengaja menjadi isu ini, untuk membalas dendam atas tindakan memperbesar-besarkan isu paderi Kristian menghina Islam di dalam gereja. Isu paderi gereja menghina Islam, bukan isu baru. Saya minta kita biasakan pergi sama buat siasatan di tempat-tempat lain seperti gereja, apakah mereka tidak mengutuk agama dan bangsa lain?

Apapun, Cikgu Siva amat bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana dapat menjaga negeri bertuah ini dengan aman damai. Dengan adanya pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, orang bukan Islam berasa aman untuk menunaikan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Beliau turut memuji ceramah-ceramah oleh para agamawan Islam yang memberi ceramah dan kuliah-kuliah, yang mana mereka jarang mengutuk atau menghentam orang bukan Islam. Yang selalu diajar adalah untuk bagaimana caranya untuk menyeru bukan Islam supaya kembali memeluk Islam. Pendekatan yang kasar sedemikian, amat jarang sekali diajar di rumah Allah itu, kecuali beberapa kes terpencil.

Beliau amat menghargai toleransi umat Islam. Katanya lagi, kes pembunuhan Datuk Sosilawati adalah satu contoh jelas toleransi tersebut. Umat Islam dapat menerimanya secara terbuka tanpa menyalahkan mana-mana kaum. Pihak keselamatan pula, awal-awal telah membuat kenyataan bahawa ia tidak ada kaitan dengan isu perkauman. Begitulah seterusnya dengan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan supaya kita bertenang dan bertenang. Umat Islam menerima ketentuan takdir ini, tanpa rasa permusuhan dan benci terhadap orang India.

Bayangkan, andai kata peristiwa ini berlaku sebaliknya, menimpa orang bukan Melayu, yang melakukannya adalah orang Melayu. Apakah bukan Melayu akan menerimanya sebagaimana penerimaan orang Melayu? Apakah berita seperti ini tidak akan disensasikan dalam akhbar-akhbar mereka atau internet? Begitulah toleransi yang amat saya puji, bila kena pada orang Melayu (Islam), atas dasar toleransi, orang Melayu tidak banyak bicara. Namun, bila kena pada orang lain, bagaimana kesudahannya? Selama kes ini disiasat pun, ada suara-suara sumbang yang menyalahkan kerajaan dan pihak polis. Persoalannya, kenapa kita tidak menghormati toleransi seperti ini? Apakah lagi jenis toleransi yang kita harapkan lagi?

Apakah tidak ada langsung kredit patut diberikan kepada kedudukan orang Melayu dan bahasa Melayu? Hari ini, tidak ada cara berlembut lagi untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, melainkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti dikuatkuasakan mengikut peruntukan yang terdapat dalam undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Teringat saya cerita rakan-rakan yang tinggal di Selatan Thailand suatu ketika dahulu. Mereka akan didenda jika bercakap selain daripada bahasa Siam, bergantung kepada berapa patah perkataan asing digunakan. Satu patah asing digunakan akan didenda 20 sen. Begitu kuatnya orang Siam untuk mengSiamkan rakyatnya. Keadaan kita amat berlainan sama sekali. Sudahlah bahasa kebangsaan langsung tidak digunakan, mereka yang tidak tahu langsung berbahasa Melayu boleh hidup senang lenang tanpa gangguan dan tindakan. Saya fikir, sudah sampai masa kita melakukan ke tahap sebagaimana negara-negara lain yang begitu bertegas dalam soal memperkasakan bahasa dan negara.

Sudah sampai masanya juga, kuasa penuh diberikan kepada badan-badan bahasa dan Majlis Perbandaran untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang merendah-rendah bahasa kebangsaan tanpa ada campurtangan politik. Majlis rasmi, tidak kira pertubuhan Melayu atau bukan, mesti menggunakan bahasa Melayu. Paling kurangpun jika dwi bahasa digunakan, bahasa Melayu mesti didahulukan, kemudian diikuti dengan terjemahannya dalam bahasa ibunda. Penggunaan seratus peratus menggunakan bahasa ibunda dalam upacara rasmi hendaklah dipantau.

Media cetak dan elektronik yang bersifat perkauman mesti menterjemahkan bahasa ibunda mereka ke dalam bahasa kebangsaan. Saya teramat sedih membaca sebuah artikel akhbar perkauman baru-baru ini, yang mengatakan bahawa perpaduan bukan matlamat, tetapi hanyalah alat. Ternyata orang seperti ini tidak tahu sejarah negara, perlembagaan dan gagasan 1Malaysia. Mereka tidak mementing agenda nasional, kerana mereka lebih mementingkan bangsa. Dalam gagasan 1Malaysia disebut dengan jelas, bahawa matlamat akhir 1Malaysia adalah perpaduan. Kerana hanya dengan adanya perpaduan, negara akan aman, stabil dan mendapat kepercayaan pelabur-pelabur.

Semuanya kena bermula dengan bahasa kebangsaan kerana bahasalah yang akan menyatukan kita semua, kerana kita semua berlainan agama. Jika tidak, bagaimanakah interaksi dan komunikasi akan berlaku. Janganlah kita terlalu berpolitik dan menjaga kuasa kerana ia tidak kekal lama. Apakah identiti dan jati diri yang akan kita tinggalkan kepada anak cucu cicit kita nanti?

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Nasib bahasa Melayu di bumi Melayu”

Saturday 16 October 2010

Meyakini kekuatan sendiri

Artikel Ahad lalu tidak disiarkan oleh Mingguan Malaysia kerana kekurangan ruang. Ahad ini artikel yang telah dihantar akan disiarkan seperti biasa. Sebagai tanda terima kasih atas ingatan sdr putrarahman, saya masukkan artikel untuk minggu ini.

Meyakini kekuatan diri

Artikel saya seringkali di ‘cut’ and ‘paste’ oleh laman web ultra kiasu seperti Malaysianinsider. Tujuannya tidak lain, laman web tersebut suka melihat saya dikutuk oleh pengunjung-pengunjung mereka yang juga ultra kiasu. Komen-komen yang positif tidak disiarkan, manakala komen yang negatif dibiarkan sahaja, langsung tidak ditapis.Terima kasih atas ‘publisiti’ itu.

Sedangkan mereka yang mengikuti penulisan saya mengetahui bahawa saya hanya cuba membawa kita semua menghayati sejarah dan perlembagaan serta menginsafi akan makna keadilan yang sebenar, bertunjangkan kepada kekuatan yang sedia ada pada kita. Kepelbagaian inilah sebenarnya yang menjadi sumber kekuatan kita berbanding negara lain selaras dengan gagasan 1Malaysia. Kekuatan ini yang sepatutnya digembelingkan, menjadi satu asset negara dan bukannya diputar belitkan.

Saya amat yakin Allah SWT merahmati negara kita. Kita jarang ditimpa bencana seperti negara lain. Malah kita dianugerah dengan pelbagai kekayaan sumber dan hasil masyhul serta bumi yang subur. Bayangkan jika apa yang ada ini, ditambah dengan kepelbagaian etnik yang menghayati sejarah, berpegang kepada perlembagaan dan norma kehidupan beragama serta mempunyai semangat patriotisma yang tinggi, sudah tentu kita boleh keluar sebagai negara Islam contoh terhebat di rantau ini dan negara Islam keseluruhannya sebagaimana yang diramalkan oleh Alvin Toffler. Mari kita melayari kehebatan kita satu persatu.

Lihat sahaja tanaman getah, kopi, kelapa sawit dan sebagainya. Tanaman ini bukan berasal daripada negara kita, tetapi berasal daripada Afrika. Bila dibawa masuk dan ditanamkan di sini, ianya hidup begitu subur dan menambahkan kekayaan negara kita sehingga boleh dieksport setanding dengan negara asal tanaman ini.

Begitu juga dengan tumbuhan herba dan rempah ratus. Baru-baru ini saya berkesempatan melawat ladang kepunyaan Haji Nasuha Kasian di Pagoh. Boleh dikatakan kebanyakan herba dan rempah ratus yang ditanam, datang daripada negara luar, namun ia tumbuh dengan suburnya apabila ditanam di sini bertuah ini, ibarat fajar di bumi permata. Pendek kata, letak apa sahaja biji benih di bumi ini, boleh dikatakan semuanya menjadi. Saya amat kagum dengan nikmat anugerah ini. Malangnya berapa ramai yang mensyukurinya. Teringat saya akan kata-kata hukama, haram membiarkan tanah terbiar selama tiga tahun begitu sahaja, hukumnya berdosa.

Di Thailand, setiap inci tanah dimanfaatkan. Di hadapan rumah mereka di tanam dengan berbagai jenis tanaman, sedangkan kita sibuk dengan mencantikkan rumah dengan menanam pokok-pokok bunga. Orang lain sanggup berjemur dan mencangkul di bawah kabel elektrik menanam sayur-sayuran. Sedangkan kita terus menjadi pembeli kepada sayur tersebut. Bekalan daging lembu, kambing, ayam, beras, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya masih lagi tidak mencukupi untuk menampung keperluan tempatan. Sedangkan kita tahu bahawa tanah kita amat subur kepada boleh dikatakan sesuai untuk semua jenis tanaman dan ternakan. Kita selalu mengamalkan budaya tidak kisah, janji makan minum cukup.

Selain itu, mengikut kajian yang dijalankan ke atas produk tempat kita seperti limau dari segi kandungan vitaminnya, ia lebih banyak daripada buah-buahan import. Menurut FAMA, masyarakat kita memandang rendah kepada buah-buahan tempatan seperti jambu, ciku, nanas, mempelam, betik serta buah-buahan bermusim seperti durian, langsat, duku, pulasan, rambutan, cempedak dan pelbagai buah yang lain. Ada yang menganggap buah-buahan ini boleh mengundang penyakit. Kita lebih berbangga dengan buah import. Pada hal buah-buahan tempatan tersebut mengandungi khasiat dan serat yang tinggi. Misalnya, salah tanggap terhadap durian sebagai buah ‘penyakit’ patut diperbetulkan. Ramai yang tidak tahu raja buah itu sangat kaya dengan potassium. Namun perlu diambil secara sederhana, jangan pula terlalu ultra atau ekstrim.

Kajian ini dibuktikan lagi melalui kenyataan Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Toh Puan Dr Aishah Ong. Menurutnya, buah tempatan mempunyai khasiat yang tinggi berbanding dengan buah yang diimport. Bahkan, Allah SWT juga menjadikan buah-buahan sebegini secara bermusim. Durian misalnya mengandungi fiber yang tinggi, kaya dengan vitamin C dan Vitamin A. Jika ada orang kata makan durian panas badan, Allah jadikan manggis sebagai penyejuknya, itulah sebabnya manggis dan durian boleh didapati pada musim yang sama.

Buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku, pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Misalnya, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan ini turut menyumbangkan serat.

Begitulah nikmat anugerah yang tidak ternilai. Masalah hari ini kita agak tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Media pulak tidak banyak membantu mempromosikannya. Buah-buahan import lebih banyak digunakan menghiasi iklan akhbar dan majalah daripada buah-buahan tempatan seperti ruangan kesihatan. Buah-buahan import dikatakan ada kelas dan berprestij, sedangkan buah tersebut mungkin mengandungi pengawet dan tidak segar lagi berbanding buah-buahan tempatan yang masih segar dan bebas bahan awetan.

Hujah ini menunjukkan kita seolah-olah tidak bangga dengan produk sendiri. Perkara ini berlaku dalam banyak hal. Kita lebih mempercayai kekuatan orang lain daripada kekuatan sendiri. Kita selalu memperkenalkan anak-anak kita dengan budaya-budaya dan bahan-bahan luar daripada jati diri kita sendiri. Akhirnya budaya sendiri dan produk sendiri tidak terdaulat di bumi sendiri. Orang lain menguasai kita. Kita hanya menjadi pengguna. Tidakkah kita merasa berdosa?

Tidakkah kita sedar bahawa kita mempunyai budaya yang unggul, tetapi kenapa budaya kita tidak tertonjol? Lagu-lagu Melayu dan etnik lain tidak kurang hebatnya berbanding dengan lagu-lagu barat. Persoalannya, kenapa lagu rock, hip hop, RnB dan berbagai lagi rentak barat menjadi pilihan? Ada yang beranggapan seolah-olah menyanyikan lagu etnik nampak lekeh dan konservatif, manakala bila menyanyi lagu barat nampak moden dan up to date. Inilah pemikiran yang perlu diubah.

Hari ini saya amat jarang mendengar, ahli korporat dan kadangkala ahli politik kita menggunakan bahasa Melayu bila berbicara atau ditanya oleh wartawan. Lebih menjengkelkan lagi ada wartawan yang bertanya dalam bahasa Melayu dijawab selamba sahaja dalam bahasa Inggeris.

Kita seolah-olah hendak menunjukkan kehebatan kita bahawa dengan berbahasa Inggeris, biar nampak bagus. Sebenarnya kita tidak sehebat manapun. Kita tidak akan ke mana-mana dengan hanya berbahasa Inggeris, jika perangai atau sikap tidak berubah. Lagipun bahasa Inggeris bukannya penentu kejayaan seseorang dunia, apatah lagi di akhirat. Allah tidak akan tanya, apakah kita pandai berbahasa Inggeris atau tidak? Apalah ertinya jika kita cair dengan bahasa Inggeris tetapi gagap bila membaca al-Quran, apatah lagi untuk memahaminya. Paling baik kita menguasai kedua-duanya atau lebih dari itu. Tetapi janganlah terlebih bahasa Inggeris sehingga identiti sendiri hilang entah ke mana. Bahasa Inggeris penting sebagai bahasa kemajuan, tetapi janganlah pula beranggapan dengan berbahasa Inggeris sahaja kita boleh maju. Sekadar menguasai bahasa Melayu kita tidak ke mana-mana.

Kenapa kita tidak bertindak seperti presiden Iran? Ke mana sahaja beliau pergi, bahasa Iran yang dijajanya, walaupun beliau fasih berbahasa Inggeris. Beliau amat arif mempamerkan kehebatan bangsanya dengan meletakkan ia di tempat yang betul. Bila mana beliau berucap dalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bahasa Iran, orang lain kelam kabut untuk menterjemahkannya. Mereka terlalu ingin tahu apa yang akan disampaikan oleh Mahmoud Ahmadinejad. Kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya, Mahmoud Ahmadinejad telah berjaya meletakkan satu tanda aras atau standard pada diri dan bangsa serta bahasanya, sehingga barat terpaksa mempelajari bahasa Iran. Inilah standard yang perlu kita tonjolkan dalam budaya sendiri.

Saya amat yakin pelancong-pelancong yang datang ke negara kita mahu melihat kelainan berbanding dengan apa yang ada di negara mereka. Jika berhibur, mereka mahu melihat dan mendengar budaya dan lagu-lagu rentak kita. Bila mahu makan minum, mereka mahukan makanan dan minuman kita. Saya yakin mereka mahu merasa cendul, ais kacang dan laici kang. Bukannya menghidangkan mereka dengan arak kerana di negara mereka arak ibarat lautan. Mereka boleh minum dan mandi arak. Kenapa kita begitu perasan bahawa pelancong datang ke sini mahu minum arak dan mendengar lagu-lagu rentak barat?

Saya teramat sedih apabila melihat dalam kursus induksi perkhidmatan awam, kita diajar dengan teliti tatacara makan minum mengikut tradisi dan budaya barat dan Cina. Modul ini diwajibkan para peserta memahaminya. Malangnya apabila ditanya bilakah modul cara makan minum mengikuti tradisi dan budaya Melayu Islam mahu diajar? Maka jawapannya, ia tidak ada dalam modul dan tidak perlu diajar. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu, kita sendiri yang melenyapkan budaya sendiri.

Sebenarnya kita terlalu kebaratan dan tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Sedangkan orang lain yang datang amat menghargai kekuatan itu. Oleh kerana, kita tidak menghargai, maka kesempatan ini digunakan oleh orang lain untuk meluntur budaya kita sendiri.

Hari ini kita seolah-olah dilanda dengan inferioriti kompleks. Kita tidak percaya bahawa apa yang ada pada kita hebat. Kita percaya kepada kehebatan orang lain. Dengan sebab itu kita tidak hargai dengan apa yang kita ada, dan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang datang daripada barat. Kita tidak mengamalkan kata-kata budaya sendiri didahulukan, budaya orang lain dikemudiankan, yang jelas kelihatan budaya orang lain semakin mendominasi, budaya sendiri merempat di bumi sendiri, tidak mendapat publisiti.

Kadangkala saya terfikir, apakah kurangnya sensitiviti ini mempunyai kaitan dengan halal dan haram yang masuk ke perut, sehingga menyebabkan hati kita menjadi buta? Kita tidak lagi kisah mengunjungi hotel atau kopitiam halal atau tidak? Sama ada mendapat pengikhtirafan sijil halal JAKIM atau tidak? Yang pentingnya sedap, ada gaya dan glamour.

Penemuan kaki katak dalam makanan di salah sebuah kopitiam seharus menjadi pengajaran kepada kita. Ada orang sanggup buat apa sahaja untuk mengaut keuntungan dan seterusnya menutup keputihan pintu hati kita. Apakah kita sudah tidak ada pilihan sehingga terpaksa memilih perkara yang was-was daripada yang sudah terjamin halalnya? Sedapkah sangatkah makanan di tempat tersebut sehingga kita terlupa kepada tanggungjawab fardu kifayah kita? Pada saya, sebelum menolong orang lain, kita sepatutnya menolong orang kita dahulu. Sebelum membudayakan budaya orang lain, tidakkah kita patut berbangga dan mengutamakan kekuatan yang kita ada terlebih dahulu. Cintailah kekuatan yang kita ada sebelum ianya lenyap ditelan zaman.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Meyakini kekuatan sendiri”

Hukum Memperjuangkan Kepentingan Bangsa

Soalan : Dr Asri, apakah pandangan Islam mengenai perjuangan memartabatkan bangsa? Ada yang kata tak Islamik, ada yang kata asabiyyah. Ada pula yang berkata Islam sama sekali tidak peduli masalah kaum. Kita di Malaysia orang Melayu beragama Islam, salahkah jika kita berjuang mengangkat hak bangsa melayu? Harap Dr Asri dapat jelaskan kekeliruan ini.

Saifuddin, Johor.

Jawaban Dr. MAZA: Saudara Saifuddin, Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;

1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)

“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:

“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)

“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)

6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

read more “Hukum Memperjuangkan Kepentingan Bangsa”

Friday 8 October 2010

Antara Beijing Dan Kaherah: Islam Di Mana Arah?

penulis-Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Seminggu dua ini saya agak sibuk dengan banyak lawatan. Selama seminggu saya berada di China, melawat Shanghai, Xian dan Beijing. Lawatan ke China itu rasmi. Pulang sahaja dari China saya ke Kaherah dan Iskandariah, Mesir, itu lawatan separa rasmi. Ini bukan kali pertama saya ke Mesir, sudah beberapa kali. Namun, lawatan saya ke Beijing, selepas itu ke Kaherah membuatkan saya berfikir tentang realiti kita umat Islam hari ini.

Ada beberapa persamaan antara Beijing dan Kaherah dari sudut sejarah ketamadunan silam. Kedua-dua kota ini menyimpan sejarah ketamadunan ribuan tahun lamanya. Di Beijing, ada Tembok Besar China yang merupakan salah satu perkara ajaib dunia. Tembok yang begitu besar dibina merentasi pergunungan sejauh 5000 kilometer. Bayangkan hebatnya manusia di China ketika hampir tiga ribu tahun yang lalu. Mengkagumkan! Di Mesir pula terdapat pyramid yang sudah berusia mungkin melebihi lima ribu tahun. Seni bina yang hebat. Ia juga salah satu perkara ajaib di dunia ini. Ya, kedua binaan itu juga menyimpan sejarah kezaliman dan kerakusan kuasa.


Gambar: Penulis di hadapan pyramid

Maka, berdasarkan kemampuan teknologi binaan, sepatutnya kedua-dua negara ini mampu menjadi negara yang maju, kerana tamadun di tempat mereka sudah lama bermula. Jika tidak pun di tempat teratas, mereka sepatutnya melangkah mendahului banyak negara lain. Ya, China memang maju ke hadapan dan sedang menjadi kuasa besar ekonomi dunia hari ini, setelah sekian lama menjadi kuasa besar senjata dunia. Malangnya, Mesir pula, terus mundur dan kotor, terus meminta ‘sedekah’ dan bantuan kewangan dari negara-negara besar. Hutangnya yang begitu tinggi menjadikan ia sering menghambakan diri kepada kuasa lain.


Gambar: Penulis di atas Tembok Besar China

China, dulu diperintah pelbagai mahajara. Mesir pula diperintah pelbagai firaun. Kemudian China digenggam oleh kuasa komunis. Moa Tse Tung yang merupakan pemimpin China era komunis yang dianggap agung. Mayatnya diawet dan ribuan manusia mengunjungi mayat awet itu saban hari. Mereka sanggup dan sabar berbaris berkilometer jauhnya untuk lalu dan melihat mayat yang diawet yang di simpan di Medan Tiananmen. Dari sudut penghayatan mana-mana agama, China boleh dikatakan ke belakang disebabkan tekanan kuasa politik.

Maka, China dan komunis sukar untuk dipisahkan, walaupun usaha-usaha ke arah demokrasi itu bergerak, namun perjalanannya masih jauh. Sementara Mesir, ia dibuka oleh kerajaan Islam sejak zaman ‘Umar bin Al-Khattab r.a. Sahabat Nabi ‘Amr bin al-‘As pernah menjadi gabenor Mesir. Umat Islam pernah cemerlang di Mesir. Islam disebarkan dan rakyat Mesir majoriti mereka adalah muslim. Sejak dahulu, ramai tokoh-tokoh ilmuan pernah berada di sana termasuk al-Imam al-Syafi’i r.h. Mesir terkenal kerana Universiti Al-Azhar. Hari ini ia diperintah oleh aliran sosialis Arab namun menjadi hamba Barat. Pun begitu, masih ramai yang beranggapan Mesir itu lambang ilmu Islam dan menara umat Islam.


Gambar: Penduduk China beratur untuk melihat mayat awet Mao Tse Tung

Malangnya, jika seseorang melawat Beijing, dia akan dapati Beijing begitu maju sekarang. Keretapi laju bawah tanah antara yang terpantas di dunia. Bandarnya yang mempunyai penduduk sekitar 18 juta itu, bersih, cantik dan tersusun. Kita merasa aman untuk berjalan. Penduduknya tahu untuk beratur apabila perlu. Memandu mengikut aturan jalanraya. Bahkan China hari ini mementingkan kenderaan yang tidak mencemarkan alam sekitar. Keretapi dan bas elektrik digunakan.

Sementara jika kita ke Kaherah, atau Mesir keseluruhannya, amatlah kotor dan tidak tersusun. Di Kaherah juga mempunyai penduduk sekitar 18 juta. Tapi, di Kaherah sampah sarap menjadi hiasan. Tabiat buang air kecil ke dinding bangunan masih dilakukan oleh sesetengah rakyatnya. Kereta dan bas yang sudah uzur yang hanya kita lihat sebelum negara kita merdeka masih memenuhi jalanraya Kaherah.

Peraturan jalanraya tiada makna. Round-about yang sehala, boleh dijadikan dua hala mengikut selera pengguna. Jalan sehala, boleh menjadi dua hala. Sign board dan peraturan tidak memberi kesan. Tiada guna diadakan lampu trafik, sebab itu polis terpaksa menjaga di setiap simpang yang sibuk. Sehingga, kononnya seorang arkitek Jerman yang cuba merangka semula Kaherah menyatakan cara untuk membaik pulih Kaherah adalah dengan dihapuskan semua penduduknya dan digantikan dengan penduduk baru yang berdisiplin. Sungai Nil begitu tercemar. Sampah sarap memenuhi sungai lagenda itu. Rasa malu benar kita sebagai muslim terhadap pelancong-pelancong Barat dan Jepun.


Gambar: Kenderaan seperti ini masih memenuhi jalanraya Kaherah

Di Kaherah, jutaan penduduk hidup atas perkuburan lama kerana tiada tanah dan rumah. Kawasan perkuburan bagaikan pesta yang tengit penuh dengan bermacam bau. Tidak hairanlah jika ada tarikat dari Mesir yang selalu gemar ke kubur dan memuja kubur. Penduduk yang miskin dan fakir terlalu ramai. Di samping itu, tabiat menipu atau suka ‘pau’ amat berluluasa. Atas nama ‘bakhshish’ atau hadiah, maka rasuah, kezaliman dan penipuan berlaku di sana sini.

Jika anda makan di restoran, di samping membayar harga makanan, pekerja yang berkerja juga akan menuntut wang ‘bakhshish’ untuknya. Itu mungkin masih kecil, tetapi bakhshish menjadi amalan pegawai-pegawai kerajaan; polis, kastam dan segalanya. Jika tidak diberikan, kerja tidak dijalankan atau masalah lain akan ditimbulkan.

Semasa ingin pulang, para pelajar Malaysia yang menghantar saya telah mengingatkan saya supaya menyediakan wang ‘bakhshish’ sebelum memasuki kawasan airport. Di sana sini, bakhshish menanti. Barang saya di’scan’ di airport. Pihak polis airport meminta untuk saya membuka kotak-kotak yang mereka pun dapat tahu tiada apa yang luar biasa, sambil tangan mereka memberi isyarat mahukan wang ‘bakhshish’. Tanpa rasa segan silu dan zalim, mereka meminta. Jika tidak diberi, barang tidak dilepaskan tanpa sebab, atau akan dibuat masalah yang lain. Maka, sesiapa pun terpaksa beri untuk mengelakkan kezaliman. Itulah kehidupan mereka.

Kali yang lepas saya sampai di airport Kaherah, bas enggan bergerak sehingga pemandunya diberi wang‘bakhshish’. Jangan ditanya lagi tentang penipuan di pasar atas nama Islam. Peniaga sanggup bersumpah dengan nama ‘Allah’ atau menyatakan ‘saya jual murah sebab awak muslim’, padahal itu harga yang termahal. Hal ini berluluasa di kota yang ada pusat pengajian Islam. ‘Bakhshish’ menjadi simbol Mesir dari rakyat bawahan sehingga orang politik. Dari orang biasa sehingga yang ber’title’ agama. Walaupun kita sedar, masih ramai juga yang baik dan soleh, namun suasana tersebut telah menguasai keadaan. Pelajar kita di sana semua terpaksa berurusan dengan kerenah ‘bakhshish’ mereka.


Gambar: Sungai Nil yang kotor

Di Beijing, kita tidak dapati hal ‘bakhshish’ dengan jelas. Mungkin ada, tapi bukan simbol seperti Kaherah. Menaikkan harga barang, ya! Itu memang ada. Mungkin berlipat kali ganda dijual. Mungkin barang tidak asli dan pelbagai kemungkinan. Itu fonomena biasa di setiap kota. Bezanya, mereka tidak beragama, sementara Kaherah dianggap sebagai kononnya pusat pengajian agama.

Cubalah bayangkan, jika seorang pelancong yang tidak beragama dan sedang mencari agama. Dia pergi ke Beijing melihat Kota Beijing yang tidak berslogan agama, bahkan prejudis dengan segala agama. Namun, dia dapati bersih, tersusun, berperaturan dan maju. Kemudian dia pergi pula ke Kaherah yang mengangkat slogan Islam sebagai agama rakyat, ulama-ulamanya pula dengan lantang menyatakan umat Islam umat terpilih, Islam membentuk kehidupan yang teratur di dunia dan pelbagai lagi. Apakah pelancong akan terpengaruh dengan Bandar Beijing tanpa Tuhan yang tersusun itu, atau dengan kota Kaherah yang kononnya berslogan agama tapi menonjolkan segala unsur yang bertentangan?! Banyak persoalan yang akan timbul dalam benaknya. Orang Beijing sekurang-kurang mewarisi ketamadunan mereka. Orang Kaherah, mereka tidak mewarisi teknologi firaun, tidak pula mewarisi kecemerlangan sejarah Islam yang lepas.

Saya membayangkan, jika maharaja-maharaja yang membina tembok besar China diberi peluang bangkit semula, mereka mungkin tidak boleh begitu bongkak disebabkan Beijing hari ini juga hebat dari segi pembangunannya. Namun, jika firaun yang membina pyramid itu diberi peluang bangkit, dia mungkin akan terus bongkak dan merasakan dia masih patut mentadbir Mesir kerana mundur dan gagal menyainginya.

Di celahan inilah, maka kita jangan hairan jika orang Barat prajudis dan menuduh Islam mundur, tidak beraturan dan seumpamanya. Mereka salah tafsir terhadap Islam kerana kita tersalah memberikan lambang dan gambaran. Beijingkah yang lebih mendekati wajah pembangunan Islam atau Kaherah? Kita mungkin mempunyai seribu huraian dan alasan, tetapi Barat dan Timur banyak yang melihat realiti yang berlaku. Terhijabnya hidayah Islam kerana perlambangan yang dirosakkan. Tersalah sangka terhadap kesesatan kerana kejayaan yang ditonjolkan. Siapakah yang patut dipersoalkan?

read more “Antara Beijing Dan Kaherah: Islam Di Mana Arah?”