Monday 27 June 2011

Cerita Aib Usah Disebarkan

Menyebarkan cerita aib seseorang muslim bukan sifat orang yang beriman. Apatah lagi jika cerita aib itu belum pasti benar atau bohong. Orang yang tabiatnya mewar-warkan keaiban orang, sesungguhnya imam dan pemimpin mereka ialah Abdullah bin Ubay bin Salul, pemimpin munafiq pada zaman awal Islam.

Allah Taala menyebut dalam Quran:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang keji dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat” (Al-Nuur: ayat 19).

Ayat yang cukup memberi ancaman terhadap orang yang suka menyebarkan berita-berita tentang keaiban orang lain. Gembira dan suka dengan tersebarnya keaiban orang pun dicela dan diancam dengan azab pedih oleh Allah, apatah lagi perbuatan menyebarkan keaiban tersebut kepada umum.

Orang beriman sifatnya mengasihi saudara seagama dan sedaya upaya menutup keaibannya. Di dalam satu hadis:

يا معشر من قد أسلم بلسانه ولم يفض الإيمان إلى قلبه لا تؤذوا المسلمين ولا تعيروهم ولا تتبعوا عوراتهم فإنه من تتبع عورة أخيه المسلم تتبع الله عورته ومن تتبع الله عورته يفضحه ولو في جوف رحلة

“Wahai orang yang Islam dengan lidahnya sedangkan Iman belum sampai ke hatinya! Jangan kamu menyakiti orang-orang Islam, jangan kamu memalukan mereka, dan jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari keaiban saudara seIslamnya, Allah akan mencari-cari (membuka) keaibannya. Sesiapa yang Allah membuka mencari-cari (membuka) keaibannya, Dia akan mendedahkannya walaupun orang itu berada di dalam rumahnya”. (Hadis riwayat Tirmizi no 2032).

Sebagai Muslim, wajiblah kita menghindari dan membenci perbuatan menghebahkan aib orang Muslim lain. Mudah-mudahan dengan sikap dan semangat ini, Allah akan sentiasa menutup keaiban kita pula di dunia dan di akhirat.

read more “Cerita Aib Usah Disebarkan”

Kartun Melampau: Akhbar Perlu Ada Garis Panduan

Rata-rata surat khabar pada hari ini kebiasaannya memuatkan satu ruangan khas untuk kartun. Malah, ada akhbar yang menyediakan satu ruang kecil di muka hadapan untuk kartun. Tidak kira samada ia akhbar pro kerajaan, pro pembangkang, bebas, keagamaan atau lain-lain, ruangan kartun dilihat sebagai satu kaedah menyampaikan isi hati dengan cara bersahaja dan santai, yang kebiasaannya dalam bentuk sindiran. Malangnya acapkali berlaku dalam dunia penyiaran, kartunis melampaui batasan dalam lakaran dan tulisan mereka. Adakalanya lukisan kartun yang dilakarkan oleh jari-jemari kartunis bisa mengguris hati Umat Islam. Dan yang lebih ditakuti, andainya lakaran-lakaran tersebut mengundang murka Allah Taala dan menjadi penyebab kepada kecelakaan di dunia dan di akhirat. Nauzubillah.

Bagi memelihara kita daripada terjebak ke dalam kemurkaan Allah disebabkan lukisan kartun, adalah amat wajar setiap akhbar yang mempunyai ruangan kartun meletakkan garis panduan atau parameter tertentu yang wajib dipatuhi oleh para kartunis. Asas-asas yang boleh dimasukkan di dalam garis panduan adalah seperti:

1. Lukisan kartun tidak boleh berobjektifkan menghina dan merendah-rendahkan peribadi orang lain. Tetapi objektif lukisan kartun adalah untuk menyampaikan kritikan yang membina dan mengislahkan masyarakat. Kerana, perbuatan menghina dan merendah-rendahkan orang lain dengan apa jua tindakan adalah dilarang oleh Agama. Begitu juga lukisan-lukisan kartun yang mengandungi gelaran-gelaran buruk terhadap orang lain, adalah dilarang oleh Agama Islam.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” (Al-Hujurat: 11).

2. Lukisan kartun tidak boleh sekali-kali menyentuh perkara Akidah, contohnya mempersenda-sendakan ibadah, mempersendakan sunnah Nabi SAW, mempermain-mainkan hukum-hakam yang disebut dalam Quran dan Hadith, dan lain-lain. Kerana perbuatan demikian adalah haram dan boleh merosakkan akidah.

Firman Allah bermaksud: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”. (Al-Taubah: 65)

3. Lukisan kartun tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan Syariah Islam, seperti lukisan-lukisan wanita seksi, perkataan-perkataan mencarut, dan seumpamanya. Kerana lukisan dan tulisan sebegini adalah satu bentuk penyebaran perkara-perkara yang mengaibkan dari sudut Syarak.

Dengan adanya garis panduan tertenyu, dan juga penasihat Syariah yang mengawal dan mengawasi isi kandungan kartun yang diterbitkan oleh sesebuah akhbar, diharapkan tidak timbul lagi isu lukisan kartun yang mempersenda-sendakan agama dan menghina orang lain.

Sekian.

Abu Umair,

read more “Kartun Melampau: Akhbar Perlu Ada Garis Panduan”

Cabaran Menjadi Golongan Ghuraba


CABARAN MENJADI GOLONGAN GHURABA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)

Banyak perkara yang mengelirukan kita pada akhir zaman ini. Kita hidup di zaman yang penuh kekeliruan. Pemikiran kita bercampur-campur. Antara kekalutan situasi yang ada dan kerencaman pelbagai anasir yang wujud dalam menyelesaikan kekalutan itu. Banyak ketulenan sudah hilang. Agama yang asal juga diubah menurut kehendak penaja yang bercakap mengenainya. Bercampur baur antara sunnah dan bidaah. Semua perkara didagangkan, demikian agama juga dilelong. Siapakah yang jujur sukar dicari.

Setiap produk samada barangan ataupun politik cuba dikaitkan dengan nama agama untuk dilariskan jualannya. Agama dibengkuk dan dibentuk menurut kehendak pasaran. Pasaran makanan, pasaran pakaian, pasaran politik, pasaran pendidikan dan seumpamanya diberikan nama agama. Sehingga dari produk makanan, pakaian, politik dan segalanya ‘dicelup’ nama Islam. Kita pun sukar hendak pasti antara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan jujur keranaNYA, dan yang bertujuan mendekatkan wang kepadanya dengan menggunakan nama Allah dan rasulNya.

Inilah yang berlaku kepada golongan Ahlul Kitab yang dilaknat oleh Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka, kemudian mereka berkata: “Ini dari sisi Allah”, supaya mereka (dengan perbuatan itu) dapat membelinya dengan harga yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu”. (Surah al-Baqarah, ayat 79).

Itulah Ahlul Kitab, mereka menggunakan nama Allah untuk produk diterima sekalipun ia sama sekali tidak berasal dari Allah dan hanya bidaah dan rekaan mereka semata.

Golongan Sedikit

Malangnya, di akhir zaman golongan yang menjadikan agama itu bersimpang siur telah menguasai keadaan. Sesiapa yang enggan dia tersepit di tengah ombak kecelaruan yang mengkaburkan. Banyak pendapat dan andaian muncul di sana-sini; sehingga kita tertanya-tanya siapakah yang jujur, siapakah yang berdagang agamanya. Siapakah yang patut kita bela? Inilah suasana dunia yang membaluti kita hari ini. Pendirian agama kita dipaksa oleh orang lain. Kita tidak diberi kebebasan berpegang dengan apa yang kita yakin dari dalil-dalil yang kita baca dari al-Quran dan Sunnah. Itu kadang-kala dianggap menyanggahi majoriti.

Kita tidak menafikan masih ada golongan yang soleh, tetapi mereka itu sedikit di akhir zaman, merekaghuraba`. Nabi bersabda:

“Ada tetap ada suatu puak dalam kalangan umatku, yang menegakkan urusan Allah (Islam), mereka tidak dapat dimusnahkan oleh golongan yang menghina dan menyanggahi mereka sehingga tibanya janji Allah (Kiamat) mereka tetap bangkit” (Riwayat Muslim).

Kata al-Imam Ahmad: “Jika mereka bukan ahlul hadis, aku tidak tahu siapa lagi”. Ertinya golongan yang berpegang kepada nas-nas Nabi s.a.w. itu akan tetap ada, ditentang dan dilawan, namun tetap bangkit.

Ya, di akhir zaman, golongan ini minoriti. Mereka dianggap asing di tengah lautan manusia yang rosak. Dalam riwayat al-Imam Ahmad, Nabi s.a.w bersabda:

“Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya baginda: “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. (dinilai sahih oleh Ahmad Shakir).

Ghuraba`

Ghuraba` atau asing itu ada dua bentuk. Pertama; asing di sudut jasad, seperti mana seseorang yang pergi ke tempat baru yang dia tidak dikenali. Maka, dia akan berasa terasing dalam masyarakat yang baru, atau orang melihatnya asing kerana baru hadir. Namun, itu senang untuk diselesaikan. Sedikit pergaulan mesra, dan pandai mencari kawan, keadaan mungkin tidak asing lagi.

Kedua; asing di sudut ruh dan pemikiran. Sekalipun seseorang itu lama atau anak jati masyarakatnya, tetapi dia mungkin dianggap asing disebabkan pemikiran yang berbeza dengan mereka, atau sikap yang asing dari kebiasaan masyarakatnya. Dia terpencil kerana pendiriannya. Hal ini menyebabkan dia akan dipulau, dikecam, dihina dan ditolak. Tidak dapat diubah keadaan ini, melainkan dia mengubah prinsipnya, atau dia berjaya mengubah persepsi masyarakatnya. Itu merupakan tanggungjawab yang berat. Apatah lagi dalam masyarakat akhir zaman, di mana Nabi s.a.w bersabda:

“Islam itu bermulanya asing, dan akan kembali sebagai asing, maka beruntung mereka yang ghuraba` (yang asing)”. Ditanya Nabi s.a.w: “Siapakah ghuraba`?”. Jawab baginda: “Serpihan dari kabilah”. (Riwayat al-Baghawi, sanad sahih).

Maksudnya, golongan yang asing dan terpencil dari kelompok mereka, samada kabilah keturunan atau kumpulan-kumpulan yang wujud dalam dunia hari ini.

Biasanya, setiap puak mahu kita mengiyakan sahaja apa yang mereka kata. Jika mereka bangsa, mereka mahu samada buruk atau baik, kita sokong semua tindakan bangsa atau kabilah kita. Jika amalan tradisi yang bidaah dalam masyakat, disuruh terima sekalipun menyanggahi kitab dan sunnah. Kalau parti politik mereka mahu supaya kita tunduk kepada mereka samada yang benar atau yang salah. Demikian kumpulan dan organisasi dan seumpamanya.

Bagi mereka, jika tidak tunduk sepenuh itu tidak ada pendirian. Menyokong sebahagian perkara, berbeza dalam beberapa perkara dianggap berpendirian tidak teguh, kerana paksi mereka itu adalah kumpulan atau bangsa. Namun, golongan ghuraba’, paksi mereka adalah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Mereka itu ‘Allah centric’, berpaksikan Allah dalam keputusan, sekalipun terpaksa berkorban jawatan, nama, rakan dan kedudukan.

Amatlah sukar untk hidup sebagai ghuraba`. Tekanan perasaan dan jiwa akan melanda. Mungkin mudah untuk diceritakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Justeru itu, mereka dijanjikan syurga. Janji Nabi s.a.w:‘Beruntunglah ghuraba’. Golongan ghuraba’ bukan asing dinisbahkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah, tetapi asing dinisbah kepada keadaan sekeliling yang berbeza dengan kedua sumber agung itu. Namun, apakah pilihan yang ada, sedangkan Allah mengingatkan Nabi s.a.w: (maksudnya)

“Jika engkau taat kepada kebanyakan mereka di bumi ini, nescaya mereka menyesatkan engku dari jalan Allah” (Surah al-An’am, 116).

Ketika ramai manusia berlari mencari keredhaan makhluk, golongan ghuraba’, berlari mencari keredhaan Allah, sekalipun dimusuhi makhluk. Firman (maksudnya):

“Maka larilah kepada Allah” (Surah al-Zariyyat, 50).

Hidup sebagai ghuraba’ bukanlah mudah, namun kadang-kala kita terpaksa mengharunginya. Ini menambahkan tawakkal, keikhlasan, kekhusyukan dan segala jalan yang mendampingkan kepada Allah. Ketika dunia enggan berdampingan, tiada teman melainkan Tuhan al-Rahman dan rakan-rakan yang menjalani kehidupan sebagai ghuraba’. Di situlah limpahan kemanisan perjuangan.

read more “Cabaran Menjadi Golongan Ghuraba”

Wednesday 15 June 2011

Ambil pengajaran bangsa yang pupus

Ambil pengajaran bangsa yang pupus

Sinar Harian 12 Jun 2011

Saya melihat generasi bangsa Melayu hari ini agak begitu complacent dengan kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu hilang di dunia”. Benarkah Melayu tidak akan hilang dengan melihat realiti hari ini? Perlu diingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya hingga akhir zaman, hanya kerana mereka adalah peribumi yang mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Jika kita mudah lupa, tidak bersedia, tidak bertegas dan engkar kepada perintah Allah, maka tunggulah harinya.

Realiti yang sedang berlaku di depan mata kepada umat Islam di Palestin dan orang Melayu Singapura amat menghibakan. Peribumi merempat di bumi sendiri dan tidak tahu ke mana nasibnya selepas itu. Apakah kita tidak mengambil pengajaran? Walaupun belum pupus, tetapi tanda-tanda kepupusan sudah semakin nyata akibat perpecahan yang tidak berkesudahan.

Tidak perlulah dinukilkan apa yang telah terjadi kepada kaum Lut, kaum ‘Add, penduduk Madyan, kaum Tsamud, Firaun, Qarun dan Haman yang telah dibinasakan oleh Allah. Jika sampai terjadi, generasi hari ini bakal dikutuk dan disumpah oleh generasi akan datang atas keegoan dan keangkuhannya.

Ingatlah, sudah banyak umat yang terusir dari tanah air, malah tidak sedikit yang telah hilang di dunia. Mereka yang berhak mewarisi bumi pusaka tidak semestinya bumiputera, tetapi sesiapa sahaja Allah akan gantikan jika sesuatu bangsa itu tidak bersyukur dan beriman. Mereka yang kekal di bumi sendiri adalah mereka yang beramal soleh dan tidak mengkhianati Allah. Begitulah ketetapan Ilahi sejak dahulu, kini, dan selama-lamanya;

"Dan sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis di dalam) Lauh Al-Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh" (Al-Anbiya: 105).

Sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu bangsa hancur disebabkan oleh mereka mudah lupa, rosak akhlaknya dan perpecahan yang tidak berkesudahan. Lebih malang jika Islam telah tercabut dalam dirinya. Allah yang berkuasa menjadikan, Allah juga berkuasa untuk menghapuskan.

“Maka tiap-tiap (mereka itu) Kami binasakan disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya angin ribut, hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang dibinasakan dengan letusan yang menggempakan bumi, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka yang Kami tenggelamkan di laut, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabut: 40)

Berdasarkan ayat ini, Allah telah menurunkan empat jenis azab yang telah ditimpakan ke atas umat terdahulu yang sebelum ini hebat dan gagah perkasa. Namun tiba-tiba, dengan sekelip mata hilang di dunia. Kepupusan yang berlaku bukan disebabkan Allah mahu menganiaya mereka, tetapi akibat dosa-dosa dan kezaliman mereka sendiri.

Justeru, sudah sampai masanya kita membuat muhasabah diri sendiri, apakah selama ini kita semakin tunduk dan sujud kepada Yang Maha Esa atau sebaliknya banyak melakukan kemungkaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh umat terdahulu? Firman Allah SWT lagi:

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.” (Al-An'am: 6)

Kekuatan dan kehebatan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal dan unggul. Sekelip mata boleh menjadi padang jarak padang terkukur jika Allah mengkehendakinya. Hancurnya kaum ‘Add dan kaum Tsamud, tenggelamnya Firaun dan Haman, serta punahnya Qarun ditelan bumi, tidak pernah ditangisi sebagai suatu tragedi. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Dunia tidak pernah rugi. Setiap yang pergi, pasti ada pengganti yang lebih baik.

Namun, manusia selalu leka apabila mendapat kuasa. Mereka lupa bahawa kuasa adalah milik Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah. Justeru, manusia mesti tunduk dan sujud kepadaNya. Manusia tidak boleh bermarajalela dan bertindak sewenang-wenangnya, seolah-olah dunia ini ‘ana yang punya’. Rakyat adalah hamba dan abdinya. Penguasa seperti ini biasanya tidak akan kekal lama. Apa yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab yang lain, sudah jelas menunjukkan bahawa seisi alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya meminjam buat sementara. Amanah ini hendaklah dipikul dengan ikhlas dan diserahkan kepada Pencipta.

Manusia yang terpedaya dengan kuasa itulah yang dibinasakan Allah dengan cara-cara yang dikendakiNya. Ada yang dihancurkan melalui bencana yang menimpa secara tiba-tiba seperti Tsunami. Tidak kurang yang dibinasakan dengan perpecahan sesama mereka. Ada yang musnah melalui proses yang memakan masa seperti serangan wabak penyakit, krisis ekonomi, krisis alam sekitar dan sebagainya lagi.

Kesimpulannya, nasib suatu bangsa sangat bergantung kepada kualiti diri yang dicirikan oleh khidmat dan manfaat. Suatu bangsa layak untuk terus hadir di dunia selama kehadirannya bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat. Hakikat inilah yang tersirat di sebalik ungkapan simbolik oleh Allah SWT yang bermaksud:

"...Adapun buih itu, akan hilang sebagai (bahan) yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (ar-Ra'd: 17).

Rasulullah SAW turut mengingatkan perkara yang sama, akan tiba satu zaman yang mana umat Islam akan dikerumuni oleh semua bangsa di seluruh dunia, seperti mereka ingin memakan hidangan makanan. Sahabat bertanya “adakah umat islam sedikit pada waktu itu”. Rasulullah menjawab” Tidak,bahkan kamu banyak seperti buih di waktu banjir. Tetapi Allah telah mencabut rasa gerun dihati musuh-musuh kamu terhadap kamu dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu”. Sahabat bertanya “Apakah wahan itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab “cintakan dunia dan takutkan mati”.”

Kiasan buih di sini adalah lambang kualiti sesuatu bangsa. Kosong tanpa isi walaupun membukit tingginya. Mudah pecah dan hilang. Persoalannya, adakah kita akan menjadi seperti buih? Mampukah kata-kata “Tak Melayu hilang di dunia dipertahankan, jika langkah-langkah sewajarnya tidak diambil untuk menyelamatkan Melayu? Justeru, untuk terus kekal relevan di nusantara ini, Melayu mesti bersatu atas asas Islam, bersedia menyumbang, mempunyai visi dan misi, idealisme dan iltizam.

Umat Islam tidak boleh duduk berdiam diri sahaja, dengan melihat sahaja apa yang berlaku. Lupakanlah perbezaan latar belakang, bangsa, ideologi dan parti politik buat selama-lamanya. Kita semua perlu menjadi penyumbang. Masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.

Ingatlah! Orang orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putusa asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam. Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telahpun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya.

Bertambah menyedihkan apabila umat Islam sendiri mengecam sesama sendiri, seolah-olah sudah tidak wujud persaudaraan lagi. Sedangkan Allah SWT sentiasa mengingatkan bahawa semua orang Mukmin itu bersaudara, tidak kira apa jua bangsa dan warna kulitnya.

Sejarah telah membuktikan, telah menjadi sunnatullah, generasi bangsa yang sudah tidak dapat diharapkan akan dibinasakan Allah. Mereka segera digantikan oleh generasi lain yang lebih baik, yang watak dan kualiti begitu jauh berbeza dengan sebelumnya.

Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka(Surah al-Kahfi: 59).

Dalam surah at-Taubah ayat 38-39, Allah SWT memberikan ancaman kepada mereka yang sudah tidak mahu berjuang, mereka yang lalai dengan kesenangan hidup, terpedaya dengan habuan keduniaan yang bersifat sementara dan tidak seberapa. Sedangkan semua tahu bahawa kebahagiaan akhirat yang kekal abadi. Jangan sampai Allah SWT gantikan kita dengan orang lain disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian sendiri.

Sedarlah wahai umatku, kesenangan dan kemewahan duniawi dapat membunuh idealisme dan melumpuhkan daya juang, jika tidak diseimbangkan dengan kepentingan ukhrawi. Bangsa yang telah hanyut dan terlalu obses dengan kebendaan hanya akan melunturkan dan mematikan perjuangan, adalah bangsa yang segera akan hilang di dunia. Saya tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan kita sebagai umat Islam, kerana saya bukan penulis upahan yang mendapat jutaan ringgit seperti yang didakwa. Saya hanya seorang ahli akademik yang imbuhan gajinya tidak seberapa. Tetapi saya sentiasa beringat dengan ancaman Allan SWT yang bermaksud:

"Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan ditukarnya (kamu) dengan kaum yang lain,..."(Surah at-Taubah: 39).

Yakinlah umatku, tanda-tanda bangsa pupus sudah semakin jelas dan menghampiri. Jika benar-benar berlaku pertembungan sesama umat Islam seperti yang dirancangkan pada 9 Julai ini sehingga berlaku tumpah darah, maka itulah adalah satu malapetaka yang dirancang. Memang, seolah-olah nampak ada orang bukan Islam bersama.

Persoalannya, adakah mereka akan meneruskan rancangan ini jika umat Islam tidak bersama mereka? Kita jangan terperangkap. Jangan nanti yang bertempur adalah kalangan yang berkulit sawo matang. Yang lain akan lari bertempiaran.

Saya berpendirian, menyokong tidak, menentangpun tidak, kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat ada hak untuk bersuara melalui pelbagai saluran yang telah dibenarkan dan disediakan. Bukan hanya dengan berhimpunan melalui pelbagai nama.

Apa yang penting jangan sampai berlaku pertempuran, jika ditakdirkan perhimpunan tersebut masih mahu diteruskan. Ada yang beranggapan bahawa itu adalah perhimpunan aman, tetapi adakah sesiapa boleh pastikan ia akan terus aman. Kita tidak tahu provokasi yang akan dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga boleh menyebabkan berlaku sesuatu di luar kawalan. Namun, saya tidak nampak rakyat Malaysia akan bertindak seperti apa yang berlaku di seperti di Mesir, Tunisia dan Syria kerana gaya dan cara hidup kita berbeza.

Kenyataannya, apa jua yang cuba dilakukan oleh Pas dan Umno terus berlaku pertembungan. Titik pertemuan semakin jauh. Titik perbezaan semakin meluas. Apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang terus dibangkang, apa yang dilakukan kerajaan juga dibangkang. Kenapa tidak, jika baik, disokong, jika mungkar ditentang. Yang hak tetap hak, yang batil tetap batil. Ambillah pengajaran bangsa-bangsa yang telah pupus.
read more “Ambil pengajaran bangsa yang pupus”

Tuesday 14 June 2011

Arak : Tidak Waraskah Kerajaan Selangor?

www.zaharuddin.net

Baru-baru ini penjualan arak di Selangor mendapat perhatian ramai. Ia timbul apabila seorang exconya mencadangkan dibuat kawalan jualannya dengan ketat, sehingga mungkin boleh menyebabkan jualannya di beberapa buah kedai akan dihentikan. (Berita berkenaannya boleh dibaca di bahagian bawah artikel ini)

arak3.jpg

Cadangan ini menerima reaksi pelbagai, beberapa buah wakil parti diwartakan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Saya bukanlah orang politik dan tidak pula membaca setiap berita berkenaan hal ini, namun setakat pembacaan ringkas saya dan sebagai ahli akademik saya berpandangan(terkecuali pengusaha arak dan ahli politik yang mendapat saham darinya)

HANYA ORANG KURANG AQAL sahaja yang akan menentang pengehadan dan kawalan penjualan arak.

Mengapa saya membuat kesimpulan demikian?.

Kerana ia haram menurut Islam dan membawa pelbagai kerosakan. Larangan Islam ini amat tepat apabila dilihat pengalaman Negara maju seperti di United Kingdom dan Russia, arak merupakan punca terbesar perilaku jenayah dalam Negara.

Adakah terdapat ahli politik yang suka negeri atau negara di bawahnya dipenuhi jenayah semata-mata kononnya menghormati kebebasan individu, bangsa dan agama ?

PRESTASI ARAK DI UNITED KINGDOM DAN RUSSIA

Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

(Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistic ringkas ini, adakah masih terdapat parti politik yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' atau dalam bahasa kasarnya ‘BANGSAT' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan ketat, kononnya dengan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Kebenaran penjualannya adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak.

MENGAPA UK DAN RUSSIA TIDAK HARAMKAN ARAK?

Jika demikian, mengapa kerajaan UK tidak melarang terus penjualan arak?

Situasi sudah berbeza di UK, arak sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakatnya, seolah menjadi satu kewajiban dan identiti bangsanya. Pada masa yang sama ingin dikawal jenayahnya dan keburukan yang terhasil darinya.

Akhirnya akibat pentadbiran kerajaannya yang berdasarkan logik aqal semata-mata, mereka TERPERANGKAP dengan ke'bebal'an mereka sehingga tidak tahu bagaimana membuat keputusan yang tepat.

Pelbagai teknik kawalan sudah dibuat seperti jaualan arak dihadkan hanya pada 10 pagi hingga 10 malam di beberapa kawasan.

Terdapat kedai yang hanya punyai lesen jual arak tetapi pembeli ditegah membuka araknya kecuali di rumah, ada juga undang-undang yang mengehadkan minum hanya di dalam bar dan lain-lain usaha lagi. Semuanya boleh dikatakan GAGAL!.

Jika dilarang semua atau dihadkan penjualannya di beberapa kedai sahaja, mereka bimbang akan ‘bungkuslah' sokongan terhadap parti mereka, hancurlah juga budaya dan identiti mereka sejak turun temurun, akhirnya merekabuntu dan membiarkan keadaan berterusan begitu sahaja. Padahal menurut laporan stesyen TV di UK, berjuta-juta pound sterling malah berbillion habis semata-mata untuk menguruskan masalah ini. Adakah logic di sebaliknya?. Amat merugikan.

Keadaan kronik dan arak berakar umbi ini MASIH BELUM berlaku di Malaysia, lalu amat MESTI semua pihak menerima cadangan pengehadan penjualannya, ketatkan premis yang dibenarkan menjualnya, ia wajar sebagai langkah permulaan menjauhkan masyarakat Malaysia dari apa jua bangsa dan agama dari arak yang amat mudah membawa jenayah.

Semua bangsa akan mabuk akibat arak dan jenayah tidak mengenal bangsa dan agama apabila mabuk menjelma.

ARAK TIDAK SALAH TAPI ORANG ?

Saya yakin, penyokong-penyokong arak akan mengatakan arak tidak salah, yang salah adalah individu yang meminumnya lebih had, ketika memandu dan di waktu yang tidak sesuai.

Jika demikian, mengapa pula dadah diharamkan dan dipersalahkan?. Padahal kesannya keduanya adalah hampir sama sahaja. Kedua-duanya membawa kemabukan dan khayal serta amat berpotensi membawa pelbagai jenayah dan masalah kesihatan.

PANDANGAN ISLAM UNTUK KEBAIKAN SEMUA

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث

Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Justeru, hasil beberapa fakta ringkas yang disertakan bersama artikel ini, saya menyeru pemimpin politik di Malaysia agar menjadi lebih bertanggungjawab dan bijak dalam menguruskan masalah arak di Malaysia.

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

JANGAN HARAMKAN ARAK KERANA SOKONGAN NON MUSLIM?

Apabila difikir balik, mengapa ingin kita benarkan non-muslim minum arak ?

Mengapa ingin dibiarkan bangsa selain Melayu minum arak?

Adakah ia menjadi ajaran dan fahaman agama mereka.?

Disebutkan di dalam bible :

"Do not get drunk on wine, which leads to debauchery. Instead, be filled with the Spirit" (Ephesians 5:18).

Saya faham, kristian terdapat agama yang membenarkan minuman arak dengan syarat tidak mabuk kerana mabuklah yang membawa keburukan.

Malah seorang penulis kristian setelah mengulas isu minum arak mabuk dan tidak mabuk mengatakan :

Alcohol is a dangerous chemical. A person may not drive drunk, but we now know that alcohol damages brain cells and other body tissues. And for us parents who have to be concerned about the behaviors we are modeling, abstinence is the best choice (sumber )

Kebanyakan agama samada melarang terus arak, sebahagian yang lain tidak menggalakkan dan mengehadkannya.

Info dari Wikipedia menyebut :

" Islam, Sikhism, Jainism, the Bahá'í Faith, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, the Seventh-day Adventist Church, the Theravada and most Mahayana schools of Buddhism, some Protestant sects of Fundamentalist Christianityand Hinduism - forbid, discourage, or restrict the consumption of alcoholic beverages for various reasons. "

Many Christian denominations use wine in the Eucharist and permit the use of alcohol in moderation, while others use unfermented grape juice in the Eucharist and abstain from alcohol by choice or prohibit it outright.

Buddhist texts recommend refraining from drugs and alcohol, because they may inhibit mindfulness.

Bahá'ís are forbidden from using alcohol or drugs for non-medical reasons. Bahá'u'lláh writes "alcohol leaded the mind astray and causes the weakening of the body." (Wikipedia.org)

Memang benar, terdapat sebahagian ajaran kristian yang membenarkan arak dalam upcara tertentu sebagai yang tercatat di atas, namun pengkajian lebih mendalam akan mendapati kristian terbahagi kepada tiga jenis pandangan dalam hal arak. Majoriti mereka mengharamkannya.

Justeru, bagi menghormati hak kumpulan yang membenarkan sememangnya boleh dibenarkan penggunaan arak buat mereka.

Namun demikian, mekanisme pemantauan dan pencegahaan dari kebenaran kepada kumpulan ini disalahgunakan mesti difikirkan, kerana penjualan sebagaimana yang terdapat hari ini bukan lagi kerana menghormati hak penganut kristian malah ia untuk tujuan bisnes kepada umum sehingga amat mudah diperolehi oleh semua kumpulan masyarakat.

Selagi lagi dingatkan bahawa ia boleh dibenarkan tetapi dalam keadaan yang cukup terkawal khas bagi penganut kristian yang berpegang kepada harusnya arak dengan syarat dilarang minum sehingga mabuk dan tidak mengganggu hak kesemalatan individu lain.

Mereka mesti fikirkan bagaimana untuk memantau SYARAT AGAR TIDAK MABUK mampu ditepati. Itu tindakan yang perlu jika mereka masih ingin membenarkan penjualan arak. Selagi ahli exco yang menentang pengehadan jualan ini gagal membentangkan plan kawalannya dengan menyakinkan, sepatutnya penjualan mesti disekat.

Masalah sebenarnya kini, bagaimana sebuah negara atau negeri atau kerajaan boleh mengawal penganutnya agar minum sekadar di bawah paras mabuk.? Ia amat sukar untuk dikawal, sekali ia dijual dan mudah diperolehi, ia telah berada di luar kawalan sebenarnya. Buktinya, statistik di UK dan Russia tadi.

Bagaimana pula hak majoriti agama yang mengharamkannya secara total ?.

Bagaimana pula hak orang ramai yang tidak ingin terjerumus sebagai mangsa jenayah akibat mereka yang minum arak berlebihan sehingga mabuk.?

Bandingkan dengan dadah, mengapa dadah kelas A, B dan C diharamkan secara total sedangkan penggunaan dadah yang terhad juga tidak memabukkan.

Justeru mengapa semua BANGSA DAN AGAMA boleh menerima pengharaman dadah tetapi dalam bab arak ingin kita benarkannya kepada non muslim atas pilihan mereka. Logikkah?

Sebuah pemerintah yang bijak dan baik adalah BUKAN SEMATA-MATA TUNDUK kepada kehendak buruk rakyatnya, tetapi memandu mereka dengan keputusan bijak untuk semua.

Sedangkan kerosakan dan jenayah yang terhasil dari ARAK dan DADAH adalah meliputi semua jenis bangsa dan agama.

Kerana itu, sebagai langkah awal MENURUT kaedah ‘tadarruj' atau BERANSUR-ANSUR, MELARANG penjualan bebas di kedai 24 jam, stesyen minyak, pasar mini dan kedai runcit serta lain-lain premis yang memudahkan sesiapa juga mendapatkannya PERLU DILAKUKAN.

Cukai berkenaannya perlu dinaikkan agar menghalang minat peniaga menjualnya. Ia sesuai sebagai langkah mula kepada mewujudkan negara dan masyarakat tanpa arak yang memudaratkan.

Ia bukan agenda POLITIK ISLAM semata, tetapi ia amat sesuai dijadikan agenda bagi mana-mana parti politik yang WARAS dan inginkan Kebaikan BUAT RAKYAT DALAM JANGKA PANJANG.

Jangan terperangkap dengan manfaat dan keuntungan wang ringgit hasil pelaburannya. Jika nilai wang ringgit dan pelaburan dijadikan ukuran. Eloklah Malaysia membenarkan dibuka kilang penghasilan DADAH terbesar di dunia. Untung bukan?! Tatkala itu jadilah kerajaan yang paling ‘Rendah IQ' di dalam dunia.

Bila ahli politik mahu menunjuk terlalu pandai akhirnya mereka menjadi ‘bebal'. Apabila cadangan yang bermanfaat kononnya diteliti semasak-masaknya akhirnya kesimpulan mereka boleh menjadi ‘tidak matang'.

Kalau mereka kata :

"kita dedahkan rakyat kepada bahaya arak, kemudian kita serahkan kepada rakyat memilih sendiri sama ada untuk minum atau tidak"

Ia sekali lagi keputusan yang amat pelik dan bukan keputusan dari seorang pemimpin negeri atau Negara. Pemimpin sebenar adaah sentiasa melakukan keputusan yang mendorong kebaikan buat rakyatnya walaupun ia mungkin tidak popular dan menyukarkan. Seperti mewajibkan setiap pemandu kereta memakai tali pinggang keledar, mematuhi had laju, menambah lampu ketiga kereta dan lain-lain. Ia memang adakalanya menyusahkan, tetapi bermanfaat untuk individu dan orang lain.

Dalam Islam pula, Allah menegaskan :-

أَيَحْسَبُ الأِنْسَانُ أَنْ يُتْرَكَ سُدىً

Ertinya : Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)? ( Al-Qiyamah : 36 )

Bermakna, adakah manusia akan dibiarkan oleh tuhannya tanpa sebarang tanggungan seperti arahan dan larangan, kemudian dibiarkan sahaja di alam kuburnya, dan tiada sebarang kebangkitan dan perbicaraan akhirat?

Dalam konteks ini, pimpinan yang menjalankan tugas memimpin manusia kepada tuhan, amat wajar meletakkan arahan bagi rakyatnya dan larangan serta tidak dibiarkan rakyat membuat pilihan sendiri sentiasa sedangkan ia bakal membawa kerosakan kepada semua.

AKHIRNYA

Saya masih gagal memahami mengapa EXCO Selangor dari parti DAP dan KeADILan masih tidak boleh bersetuju untuk mengurangkan arak di Selangor. Apa hujjah kukuh mereka apabila berhadapan dengan statistic kerosakan akibat arak? Cadangannya bukan untuk mengharam terus ( kerana sedar ada agama membenarkan) tetapi hanya mengurangkan jualan bagi mengawal masalah mabuk dan membawa jenayah.

Adakah mereka sedang memperjuangkan hak bukan Islam di negeri Selangor?. Hak untuk minum arak dan membeli arak di mana-mana yang mereka suka?.

Hak, membiarkan kanak-kanak mudah membeli dan meminum arak.

Hak untuk membiarkan kebebasan ramai sehingga statistik teruk hasil arak di UK dan Russia berlaku di Malaysia?

Sesuaikah memperjuangkan satu hak yang membawa kerosakan kepada individu dan masyarakat ?

Memang sesuai jika itu adalah pemimpin politik tanpa prinsip atau dirinya sendiri peminum arak dan di bawah pengaruh arak.

Saya teringin juga membaca ulasan ‘bijak' oleh sesiapa sahaja untuk memberitahu kepada saya berkenaan kebaikan penjualan arak secara terbuka dan faedah meminumnya kepada individu dan rakyat ramai.

AKHIRNYA, sebagai langkah permulaan menghindari kejahatan dari arak, saya bersetuju dengan cadangan ahli Majlis Perbandaran Klang yang mencadangkan:

1. Penjualan arak juga hendaklah dilakukan di satu sudut yang agak tertutup dan memaparkan dengan jelas papan tanda yang menyatakan bahawa penjualan arak kepada umat Islam adalah merupakan satu kesalahan.

2. Manakala kaunter penjualan arak hendaklah dikendalikan oleh orang yang bukan Islam. Mereka juga hendaklah memisahkan kaunter pembayaran barangan tidak halal dibuat di kaunter khas yang dijaga oleh bukan Islam.

3. Mengeluarkan lesen perniagaan daripada MPK dengan syarat tidak menjual arak kepada premis seperti berikut:
a. Kedai 7-Eleven
b. Kedai runcit/pasar mini (seperti 99 )/kedai ubat
c. Restoran /kedai makan yang terbuka (restoran yang tertutup sahaja dibenarkan)
d. Kiosk stesyen stesyen minyak.

Fikirkanlah..rakan-rakan

read more “Arak : Tidak Waraskah Kerajaan Selangor?”