Tuesday 20 December 2011

TAKUT

1. Kita semua tahu takut. Kita takut sakit. Kita takut kehilangan mereka yang disayangi. Kita takut dicedera atau dibunuh orang. Kita takut iman digugat. Kita takut mati. Kita takut dan kita patut takut. Sedikit sebanyak ia menyelamat kita.

2. Tetapi kadang-kadang kita takut kepada yang kita tidak patut takut. Kita takut gelap. Kita takut makhluk yang sebenarnya tidak wujud melainkan dalam fikiran kita atau dari cerita-cerita yang kita dengar, terutama semasa kecil.

3. Ramai kita orang Melayu percaya ada manusia yang mempunyai kelebihan tertentu – mampu meresap, menghilangkan diri. Dan kita takut kepada mereka ini.

4. Semasa saya kecil saya dengar kononnya orang Siam mempunyai “ilmu” tertentu. Mereka bukan sahaja boleh meresap tetapi mereka kebal dan tidak boleh ditikam. Ada yang berkata tembak dengan peluru pun tak tembus. Mereka juga boleh membuat perempuan gila kepada mereka.

5. Di Kedah peperangan sering berlaku dengan Siam (Thai) di zaman dahulu. Tentera Sultan amat takut kepada askar Siam. Mereka yakin mereka tidak boleh kalahkan tentera Siam kerana mereka itu kebal, boleh meresap. Kononnya kadang-kadang mereka boleh terbang dan tiba-tiba berada di belakang.

6. Maka anggota pasukan Melayu pun baca doa macam-macam. Namun mereka tidak dapat mengatasi ketakutan mereka. Belum pun bertempur dengan pasukan perang Siam, mereka sudah yakin mereka akan kalah.

7. Dan mereka pun kalah kerana tidak percaya mereka boleh menang. Mereka tidak pun dapat mempertahankan diri mereka. Mereka kaku disebabkan ketakutan. Dan askar Siam boleh menyembelih mereka.

8. Yang lain melarikan diri, tidak berani mengadap orang kebal, boleh meresap, boleh tiba-tiba berdiri di atas pokok di belakang pasukan Melayu.

9. Demikian apabila kita takut dengan “bayang-bayang” kepercayaan kita sendiri. Adalah mustahil sesiapa boleh kebal, atau meresap (menghilangkan diri). Sedangkan Nabi tidak kebal dan luka dalam peperangan Jabal Uhud, apakah Tuhan memberi kelebihan kepada musuh orang Melayu dan orang Islam.

10. Mungkinkah ada makhluk yang berkuasa seperti Allah s.w.t. Sekarang ada orang kebal apabila memakai baju kalis peluru. Tetapi askar Siam di zaman dahulu tidak pakai baju kalis peluru. Jika mereka ditikam atau ditembak mereka akan cedera dan akan mati. Tetapi mereka kebal kerana dengan ketakutan kita, kita tidak terdaya menikam atau menembak mereka. Kalau tembak pun, kerana gigil dalam ketakutan, peluru tidak kena sasaran. Ini kononnya bukti mereka kebal.

11. Tetapi ini cerita lama. Apa guna saya bangkit perkara ini. Sebabnya saya masih dengar askar kita ada menghadapi orang yang berpakaian serba putih yang boleh terbang. Dan mereka jadi takut. Apabila askar diserang ketakutan, mereka tidak lagi dapat menjalankan tugas mereka.

12. Kita juga kerap mendengar cerita orang halus, toyol, hantu, pelesit dan berbagai lagi. Kes hilang akal (hysteria) kerap berlaku di kalangan murid perempuan Melayu di asrama.

13. Apa yang berlaku ialah pada malam hari mereka berkumpul dan mencerita berkenaan hantu atau sesuatu yang menakutkan. Mendengar cerita mereka berasa gerun dan ternampak bayang bergerak seolah ada makhluk di samping mereka. Apabila di pandang tidak ada apa-apa. Seorang dari mereka akan menjerit ketakutan. Dan yang lain akan turut sama. Dan jadilah fenomena hysteria beramai-ramai.

14. Sebenarnya kita biasa melihat gerakan di hujung mata (peripheral vision) dan apabila kita beralih untuk melihat, didapati tidak ada apa-apa. Ini adalah fenomena biasa.

15. Saya malu kenapa hysteria terjadi kepada anak Melayu yang semuanya beragama Islam. Agama kita menegah kepercayaan kepada makhluk yang mempunyai kuasa yang hampir dengan Allah s.w.t.

16. Diwaktu rusuhan kaum 13 Mei 1969, rami orang Melayu yang mencari ubat kebal. Di Alor Star terdapat seorang bomoh Indonesia yang kononnya boleh memberi kekebalan kepada sesiapa hanya dengan memasukan jarun “emas” ke dalam badan.
17. Saya pergi untuk melihat bagaimana bomoh ini dapat melakukan sesuatu yang ajaib. Seorang yang dikenali oleh saya telah “dirawat” dengan memasuk jarum “emas” kepada badannya.

18. Selepas ini dia diuji dengan ditetak oleh bomoh dengan pedang di belakangnya. Terlihat luka yang cetek yang berdarah sedikit sahaja walaupun ditetak dengan amat kuat.

19. Kemudian dia ditetak dibahagian perutnya. Luka yang sama di lihat. Dia kemudian memepak kaca lampu elektrik tanpa mulutnya berdarah.

20. Mereka yang lihat dan saya juga kagum dengan kekebalan beliau. Saya jemput supaya beliau datang ke klinik saya keesokan hari.

21. Apabila dia datang saya bertanya bolehkah saya cucuk jarum kedalam badannya. Dia mendakwa jarum tak mungkin masuk kerana dia tidak mengizinkannya.

22. Saya cucuk dan jarum masuk seperti biasa. Dia tidak kebal.

23. Tidak ada orang yang kebal. Mereka yang berjalan atas bara api dan dicucuk dengan besi tajam pun tidak kebal.

24. Dalam Islam ada jin dan iblis. Mereka merasuk fikiran kita supaya membuat apa yang dilarang. Dalam Islam tidak disebut tentang hantu, pelesit, toyol dan sebagainya. Semua ini berasas kepada kepercayaan di zaman pra-Islam.

25. Kita dapati ramai yang gemar mendengar cerita seram. Menyedari akan kegemaran ini banyaklah filem yang dibuat sekitar hantu, toyol dan makhluk luar biasa yang menakutkan. Filem seperti ini sering ditunjuk di TV dan pawagam.

26. Mungkin pengeluar filem seram ini mendapat keuntungan. Tetapi cerita-cerita seperti ini tidak menolong remaja menolak kepercayaan kepada yang karut yang tidak membina peribadi yang baik. Kes-kes hysteria ada kaitan dengan kepercayaan yang karut.

27. Menjadi penakut memalukan. Bangsa yang penakut tidak boleh dibanggakan. Janganlah kita sengaja menjadikan bangsa kita bangsa penakut. Sebaliknya cubalah supaya bangsa kita jadi lebih berani. Ahli-ahli politik pun tak usahlah cari bomoh kerana ingin menang. Bukan bomoh yang boleh beri kemenangan. Budi yang baik, tingkah laku yang sopan, keperihatinan akan masalah yang dihadapi rakyat yang boleh memberi kemenangan dan kejayaan.


28. Melayu mempunyai banyak sebab-sebab yang menghalang kejayaan mereka. Tidaklah perlu kita tambah halangan terhadap kejayaan mereka dengan kepercayaan kepada yang karut-karut.

tun mahathir

read more “TAKUT”

Tuesday 13 December 2011

Shahidan Kassim: ‘Saya calon boleh menang’

Shahidan Kassim: ‘Saya calon boleh menang’

December 14, 2011

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau adalah seorang “winnable candidate” iaitu calon boleh menang untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas Menteri Besar Perlis itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis kawasan Tambun Tulang berkata keyakinannya itu berdasarkan pandangan rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya.

“Semua rakyat tahu. Kalau tidak ada hal saya tak akan keluar dari Perlis.

“Saya akan duduk dari pagi sampai ke malam di kawasan saya sahaja... jumpa rakyat dan sebagainya. Kalau macam itu bukan ‘winnable candidate’, apa makna sebenarnya?” katanya dipetik Bernama Online.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertanding semula pada pilihan raya umum datang, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Arau, itu terserah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

Dalam laman Facebook beliau, Shahidan turut mengulas mengenai calon boleh menang bagi semua kawasan di Perlis, dengan memberi penilaian iaitu baik, sederhana baik, buruk, terburuk kepada mereka.

“Ada sesetengah pihak mempersoalkan kenapa saya buat macam itu.

“Masalahnya rakyat dah bercakap (menilai) macam itu. Bukan kita yang buat penilaian tetapi rakyat yang membuat penilaian. Jadi saya bagi pandangan rakyat apa yang berlaku. Kita bercakap (mengenai winnable candidate) tapi tak ada ciri yang jelas,” katanya.

Shahidan berkata bahawa dalam menyelesaikan masalah rakyat, seorang calon boleh menang tidak akan memberi alasan tidak ada peruntukan dan sebagainya, sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha termasuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

“Rakyat tak faham (soal peruntukan) itu. Kalau calon boleh menang, dia perlu berkorban. Tetapi pada masa yang sama hakikatnya ialah bukan semua masalah boleh diselesaikan serta merta oleh kerajaan,” katanya.

Mengenai senario politik semasa, beliau berkata negara tidak akan kekal aman sekiranya kemenangan berpihak kepada minoriti yang mahu menguasai majoriti.

Katanya penduduk Malaysia merangkumi 67 peratus kaum Melayu dan Bumiputera, 22 peratus Cina dan lapan peratus India, jadi kemenangan wakil rakyat mesti mewakili nisbah mengikut kaum untuk keharmonian negara.

“PAS tak akan jadi pemerintah sebab dia minoriti. Kalau nak jadi pemerintah pun DAP. Tapi kalau dia jadi pemerintah pun, bolehkah dia mewakili rakyat secara keseluruhan?” kata Shahidan.

Menyentuh politik di Perlis, beliau berkata, Umno dan BN boleh mengekalkan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dengan syarat parti dapat memperkukuhkan perpaduan anggota dan mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan.

“Kita boleh menang dengan cemerlang dan boleh kalah dengan teruk. Isu dalaman kena diperbetulkan. Begitu juga dengan orang yang menyokong MCA. Tapi di peringkat akar umbi, jentera sudah bergerak di seluruh negeri,” katanya.

Shahidan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah menunjukkan jalan terbaik dan memberi contoh kepada kepimpinan peringkat bawahan supaya bermula sekarang bagi memenangi hati rakyat.

“Siapa yang tak mahu ikut perubahan dia mesti diubah,” katanya.

themalaysianinsider


read more “Shahidan Kassim: ‘Saya calon boleh menang’”

Friday 21 October 2011

Selamatkan Aqidah Umat Islam


Sdr pembaca, hari ini terdapat dua artikel saya dalam akhbar harian, Utusan Malaysia mengenai "Himpunan 1 Juta Umat Islam" (dijemput menulis isu ini) dan dan Sinar Harian, mengenai "Belanjawan 2012 dan Keadilan" (kolum tetap setiap Isnin). Kedua-duanya artikel ini ada perkaitan antara sama lain. Mohon baca jika ada masa. Kedua-duanya ada dalam blog ini.

*************************************************************************************

Tanggal 22 Oktober 2011, kita sebagai umat Islam akan melakarkan sejarah. Percubaan untuk menghimpunkan seramai sejuta orang di Stadium Shah Alam. Sama ada berjaya atau tidak, kita serahkan kepada Allah SWT.

Perhimpunan ini yang dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) serta badan-badan bukan kerajaan, NGO-NGO Islam, mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, ahli jawatankuasa masjid dan surau, tenaga guru dan lain-lain badan.

Perhimpunan yang bertemakan “Selamatkan Akidah”, secara tidak langsung mahu memberi amaran kepada bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan orang Islam dan jangan sekali berani memurtadkan mereka. Saya difahamkan bahawa sekretariat HIMPUN telah berjumpa dengan beberapa orang mufti untuk memohon restu. Para mufti bersepakat bahawa keperluan persoalan aqidah perlu ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.

Kita sebagai umat Islam mesti memberikan sokongan padu ke atas niat murni ini, jika kita benar-benar sayangkan agama Islam dan negara tercinta, yang berasaskan sistem kenegeraan Melayu. Jangan biarlah negara ini menjadi Singapura yang kedua. Begitu juga dengan Pulau Pinang. Ia mesti dipertahankan sehingga titisan darah yang terakhir. Jika tidak, kita akan menyesal dan dikutuk oleh generasi akan datang kerana gagal mempertahankan kalimah yang mulia ini.

Tujuan HIMPUN amat murni untuk mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011. Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik. Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini. Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi. Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Perlu diingatkan bahawa orang Melayu adalah umat Islam yang paling beruntung di dunia ini berbanding dengan umat Islam di negara-negara lain. Melayu dan Islam dilindungi oleh perlembagaan. Islam itu, Melayu itu Islam. Lebih istimewa lagi yang memeluk agama Islam, pun boleh dikira sebagai Melayu mengikut perlembagaan, walaupun bukan Melayu dari segi keturunan. Bermakna, saudara Muslim juga tidak boleh murtad setelah memeluk Islam. Apatah lagi orang Melayu. Inilah peruntukan yang tidak ada dalam dunia. Begitulah beruntungnya umat Islam di negara bertuah ini.

Namun, sayangnya murtad tetap juga berlaku. Bukan Islam begitu berani memurtadkan umat Islam walaupun ia tidak dibenarkan sama sekali. Insiden yang dalam majlis Gereja Katholik Damansara Utama (DUMC) begitu mencabar sama sekali wibawa agama dan umat Islam. Kita mesti bangun sebelum nasi menjadi bubur.

Menurut statistik, setakat ini hanya 168 permohonan murtad diluluskan. Menurut sumber lain jumlah permohonan murtad sebanyak 686 manakala kelulusan diberikan kepada 135 orang. Sabah mendahului dengan 67 orang manakala Negeri Sembilan 33 orang. Menurut Pawanchek Merican, jurucakap Persatuan Peguam Muslim, Mahkamah Syariah Negeri Sembilan telah meluluskan 16 kes meninggalkan Islam. Saya amat yakin jumlah ini jauh lebih besar daripada yang sebenar kerana menurut Mufti Perak, lebih 260,000 telah dimurtadkan. Gerakan memurtadkan umat Islam telah lama berlaku. Apa yang penting bukannya angka, tetapi percubaan dan keberanian mencabar kedaulatan agama Islam. Kita tahu, tetapi buat-buat tidak tahu.

Pihak yang mengambil kesempatan amat licik. Contohnya, pembinaan pusat Kristian antarabangsa, yang dikenali sebagai Calvary Convention Centre (CCC) di Bukit Jalil oleh Calvary Church, atas nama badan kebajikan untuk mendapat pengecualian cukai. Memang menjadi perancangan Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai sasaran Kristianisasi setelah berjaya di negara Melayu yang lain seperti Indonesia.

Bagi mendapat kebenaran merancang, mereka telah mengemukakan plan kepada Dewan Bandaraya sebagai pusat komersial. Apabila mendapat kebenaran merancang, yang dibina bukanlah pusat komersial. Ia hanya sebagai alat, tetapi yang akan muncul nanti sebagai mercu tanda, adalah gereja terbesar di Asia. Itupun mereka masih terus mendesak dan memohon kerajaan membenarkan mereka mendirikan gereja di Putrajaya dan Shah Alam, di kawasan yang mereka amat minoriti. Apakah kita masih buta? Bagaimana populasi penduduk yang hanya 10 peratus boleh membina sebuah gereja terbesar di Asia dalam sebuah negara Islam? Tidak cukuplah dengan pembinaan patung tertinggi di dunia di Batu Caves. Jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Akhirnya, nanti negara ini akan keluar sebagai sebagai Malaysia boleh dalam segala hal. Di manakah kedudukan tujuh wasiat raja-raja Melayu itu?

Sebagai umat Islam kita sepatutnya menjunjung kasih titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah, yang disampaikan mewakili Raja-Raja Melayu sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama bulan lalu. Antara intipati utama yang terkandung dalam titah diraja baginda ialah supaya umat Islam di negara ini menghayati semangat bersatu padu khususnya dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa.

Dengan mengambil contoh bagaimana warga Malaysia berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, para akademia dan pelbagai organisasi, telah bersatu suara dan tindakan, atas nama mempertahankan maruah dalam isu novel Interlok yang dianggap menghina kaum mereka. Hasil kesatuan ini, tuntutan mereka berjaya membuahkan hasil dan semangat bersatu padu inilah yang wajar dijadikan iktibar. Menurut baginda lagi, kelemahan umat Islam yang semakin terserlah menyebabkan pihak-pihak lain bertambah angkuh, dan toleransi umat Islam terus dicabar. Akibatnya, pencerobohan-pencerobohan bentuk baru telah berlaku seperti pelanggaran menghormati kalimah suci Allah yang sekian lama menjadi ‘hak eksklusif’ kepada umat Islam.

Menurut Raja Nazrin lagi, pada ketika umat Islam hari ini dilihat berada dalam kemelut taksub untuk meraih kuasa dan pengaruh politik sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip asas agama dan maruah bangsa. Ketaksuban politik di kalangan umat menyebabkan mereka bergembira melihat pihak yang kalah menjadi abu walaupun pihak yang menang hanya akan menjadi puntung-puntung arang.

Ingatlah wahai saudaraku, ramai yang beranggapan bahawa survival umat Islam (Melayu) terletak di tangan parti politik. Tanpa kita sedari sepatutnya survival parti politik itulah yang bergantung kepada umat Islam (Melayu) itu sendiri. Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada kemenangan parti semata-mata, sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan mem¬bina kekuatan diri sendiri terlebih dahulu. Kekuatan diri yang akan menguatkan kekuatan parti.

Menurut Pahrol Juoi, parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara, tidak boleh berhenti walau apa pun masalah yang melanda parti. Ambillah iktibar dengan apa yang telah berlaku di sekeliling kita kerana Allah SWT mengingatkan kita supaya mengambil iktibar daripada sesuatu peristiwa yang berlaku.

Misalnya, Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kao¬mintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara. Begitu juga Golkar di Indonesia, Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun dan di mana-mana jua. Hakikatnya parti hanyalah satu alat sedangkan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah satu matlamat. Matlamat hanya ada satu, sedangkan jalan-jalan menuju ke matlamat begitu banyak. Bangsa yang bijak, tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk mencapai satu matlamat.

Di sinilah terletaknya ke¬matangan berpolitik. Lihatlah politik bukan Islam, mereka meluaskan jalan dan jaringan, bebas untuk bekerja¬sama dengan mana-mana pihak, sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi kor¬porat dan sebagainya tanpa mengira latar belakang dan ideologi. Yang penting matlamat tercapai, survival bangsa terjamin. Apabila mereka menjadi kuat, amat sukar untuk tergugat dan digugat. Akibatnya, kita terpaksa tunduk disebabkan oleh kekuatan mereka.

Titah Raja Nazrin agar Majlis Agama Islam di bawah payung naungan Raja-Raja Melayu berada di barisan hadapan bagi memenuhi peranan kritikal ini perlu dipandang serius oleh pihak-pihak yang berkenaan. Begitu juga titah Sultan Selangor yang mahukan peneraju dan kakitangan penguatkuasaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya jangan terus bersikap “mengalah” atau apologetik ketika berhadapan dengan sebarang percubaan untuk melunturkan akidah orang Islam.

Bukan Islam sengaja mahu mencabar Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988 dipayungi oleh Fasal (1) dan (4) Perkara 11 perlembagaan persekutuan tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada umat Islam. Sesungguhnya, tiada kompromi dalam soal akidah.

Pun begitu langkah preventif pada masa sama mesti diambil. Umat Islam tidak boleh terlalu dilekakan dengan hiburan. Akidah mereka mesti diperkemaskan dan diperhebatkan. Baru-baru ini saya menghadiri taklimat sebuah pertubuhan HIV/AIDS. Nampaknya, kita terlalu tunduk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sehingga soal istilah pun kita masih mengalah. Misalnya, istilah pelacur tidak boleh digunakan tetapi digantikan dengan pekerja seks. Seks selamat menggantikan istilah seks bebas atau seks luar nikah. Apa erti semuanya ini? Amat jelas sekali ada gerakan yang seolah-olah mahu melunturkan akidah umat Islam dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam. Inilah cabaran yang memerlukan pengorbanan di kalangan kita.

Ayuhlah, tidak kira apa jua latar belakang, ideologi, parti politik dan sebagainya, kita sebagai umat Islam perlu zahirkan tindakan dengan tampil ke hadapan untuk menunjukkan solidariti kita pada 22 Oktober ini. Barulah ketika itu orang lain tidak berani memijak kepala kita lagi. Selamatkan akidah umat Islam!

Utusan Malaysia 17 Oktober 2011
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
read more “Selamatkan Aqidah Umat Islam”

Friday 14 October 2011

Hidup Sebuah Misteri Dan Kembara


HIDUP SEBUAH MISTERI DAN KEMBARA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Saya sedang berada di OCIS, Oxford. Hadir ke sini di bawah program ‘Visiting Research Scholar’ selama sepuluh bulan. Saya pernah datang ke sini dulu sekadar melawat kawan-kawan. Tidak sangka pula, ada peluang datang pula untuk buat kajian di sini dengan agak lama, berserta sedikit elaun yang diberikan oleh British Council.

Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang menasihati bahawa sekarang bukan masa yang sesuai. Kebanyakan alasan mereka; pilihanraya sudah dekat. Duta British juga kata begitu kepada saya. Padahal, saya seperti rakyat marhaen yang lain tidak terlibat dengan pilihanraya melainkan sekadar seorang pengundi biasa. Itu bukan alasan yang kukuh. Saya ingin terus mengembara selagi mampu. Mengutip bekalan selagi ada upaya membawanya. Merentasi denai dan lurah. Mendaki gunung dan cuba menggapai awan, jika diizinkan Allah. Biarlah apa tafsiran orang terhadap kehidupan kita, selagi insan berpaksikan Tuhan, dia akan melihat keindahan dimensi hidup dalam pelbagai spektra dan rupa.

Ini tulisan pertama saya di sini. Saya belum mahu mula. Saya hanya mahu meletakkan satu mukadimah yang boleh kita kongsi bersama mengenai kehidupan. Sesuatu yang kita semua alami dan rasai. Allah menyuruh kita mengawal diri sendiri dan membetulkan keadaan dengan kadar kemampuan dan ruang yang kita miliki. Namun, tiada siapa dalam kalangan makhluk yang dapat memastikan episod-episod dalam perjalanan hidup.

Penulis dan bangunan mercu bersejarah dan perpustakaan besar Oxford


Misteri Kehidupan

Ya, hidup penuh keajaiban. Penuh misteri yang tersimpan di sisi Ilahi. Ada perkara yang insan jangka dan sangka, ia tidak berlaku. Ada perkara yang tidak diduga ia menjelma dalam pelbagai rupa dan warna. Tiada siapa boleh menyatakan yang dia menguasai perjalanan kehidupannya. Tidak! Sama sekali tidak! Dia mungkin menguasai dirinya bukan perjalanan hidupnya. Dalam alam ini yang penuh dengan pelbagai watak, episod, musim dan rasa, maka tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah. Manusia merancang dan mengatur. Ada kala rancangan itu berjaya, ada kala gagal, ada kala berubah arah dan pelbagai lagi.

Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya; insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing. Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepadaNya. Firman Allah (maksudnya):

“..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari masalahnya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang dia tidak sangka. dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah itu baginya (untuk menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala urusanNya. Allah telahpun menentukan kadar bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Talaq: 2-3).

Kudrat Tuhan

Ya, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pengatur urusannya. Ketika menyerah pasrah dirinya kepada Allah, insan mungkin mempunyai pelbagai bayangan bagaimana kehendak atau hajatnya akan tercapai. Namun kuasa, kudrat dan kehendak Allah merentasi segala bayangan dan igauan insani.

Dalam menunai hasrat seseorang insan, Allah kadang-kala takdirkan pelbagai kejadian dan episod hidup agar insan belajar, mendapat ganjaran pahala, menemui pelbagai hikmat dan menjadi hamba yang lebih bersyukur dan akur dengan keagunganNya. Cara sesuatu hasrat itu muncul dan menjelma juga, tidak semestinya sama. Pelbagai warna dan rupa. Mungkin insan ingin sesuatu, Allah gantikan yang lain yang lebih baik daripadanya. Mungkin insan tidak tahu kejelekan di sebalik sesuatu yang indah pada matanya sehingga dia mengidamnya.

Apabila insan menyerah diri kepada Tuhan dengan jiwa yang luhur dan akur, Allah akan memberikan ganti yang lain, yang mungkin insan kurang suka, tapi itu lebih baik untuknya. Demikian Allah menegaskan (maksudnya):

“..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah: 216).

Hanya pada tanganNya kekuasaan mutlak terhadap perjalanan alam ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalangNya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya. Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga. Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepadaNya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.

Allah mungkin menunaikan hasrat yang tersirat walaupun tidak dalam gambaran yang tersemat. Segalanya atas rahsia alam atau hikmat kehidupan yang Allah Maha Tahu. Apa yang penting Allah tidak mensia-siakan hamba yang bertawakal kepadaNya. Percaya, jika kita serahkan jiwa raga dengan penuh pasrah kepada Allah, harinya akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Kebahagiaan itu jika Allah berikan tiada siapa yang dapat merampasnya dalam dada kita, sekalipun tubuh diluka dan dipenjara. Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan itu menelusuri diari kehidupan ini.

Hidup Ini Kembara

Setiap insan mengembara di mayapada ini. Samada dia pernah keluar dari daerahnya ataupun tidak. Dia bagaikan pengembara. Perjalanan diari hidupnya sendiri yang bermula dari hari dilahirkan sehingga menemui kematian. Berjumpa dengan pelbagai watak dan bertemu dengan pelbagai episod dalam hayatnya.

Dalam menelusuri rantai-rantai hari yang datang pergi, insan disuruh mengabdikan diri kepada Ilahi. Melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Insan itu insan. Akan ada episod duka, salah, silap dan episod suka, benar dan tepat. Ada kala dosa, ada kala pahala. Itulah insan.

Namun, dalam kembaranya hendaklah dia pastikan kesilapan akan diikuti dengan pembetulan, dosa diikuti dengan istighfar dan taubat. Pastikan kebaikan yang mengusai dirinya, sementara kejahatan sesuatu yang asing dan terpencil. Pastikan dalam kembara hidup ini dia tidak membawa beban yang menyukar dia pulang ke pangkuan Tuhan. Sabda Nabi s.a.w: :

“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Walaupun hidup menyerupai sebuah kembara, insan disuruh pula untuk mengembara melihat alam ciptaan Allah. Mengambil iktibar dari pelbagai kejadian dan peristiwa. Begitu banyak ayat dalam al-Quran, Allah menyebut “Tidakkah kamu lihat?!” dan “berjalanlah kamu di bumi..”. Pelbagai perkara al-Quran menyuruh kita lihat; gunung-ganang, peristiwa lampau dan lain-lain. Demikian dalam riwayat al-Bukhari bagaimana Jabir bin ‘Abdillah menyembara selama sebulan untuk mendapat sebuah hadis sahaja daripada Abdullah bin Unais.

Maka saya terus mengembara lagi dan mengulangi ungkapan Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:

“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran”. (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).

read more “Hidup Sebuah Misteri Dan Kembara”

Tuesday 4 October 2011

Dr Asri disyor ketuai muzakarah hudud dicadang PAS

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Pusat Penyelidikan PAS mencadangkan agar bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilantik mengetuai muzakarah mengenai pelaksanaan hukum hudud, yang disyorkan oleh parti Islam itu semalam.

“Cadangan melantik Dr Asri ini dilihat boleh diterima oleh semua pihak memandangkan beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada PAS, PKR dan Umno.

“Justeru pelantikan beliau akan lebih menjayakan muzakarah ke arah pelaksanaan usaha yang murni ini,” kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar diadakan satu muzakarah untuk meleraikan kekeliruan dan membetulkan persepsi negatif yang timbul dalam masyarakat terhadap sistem perundangan Islam di negara ini.

Selain itu PAS turut mencadangkan agar muzakarah ini dihadiri oleh para mufti dan Umno mewakili parti pemerintah.

“Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak,” kata Tuan Ibrahim.

PAS mengesyorkan pandangan ini ketika negara menyaksikan kontroversi berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. Isu ini muncul kembali minggu lalu.

Selain itu kata Zuhdi, Asri juga dihormati sebagai ilmuan Islam kontemporari, yang peka dengan perkembangan politik semasa termasuk di Malaysia.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Zuhdi berkata, Pusat penyelidikan PAS berpandangan fungsi muzakarah ini seumpama Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mpen) yang pernah ditubuhkan oleh kerajaan untuk merangka rancangan jangka panjang pembangunan Malaysia menjelang tamatnya tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Menyedari hakikat tersebut, muzakarah pelaksanaan hukum-hukum syariah perlu merumuskan langkah-langkah yang perlu diambil ke arah melaksanakan syariah di Malaysia termasuklah mewujudkan suasana yang kondusif seperti yang pernah dibangkitkan oleh Dr Asri sebelum ini.

“Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh muzakarah ini hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, bukan seperti yang telah berlaku kepada Mpen sebelum ini, apabila Perdana Menteri ketika itu menegaskan kerajaan tidak terikat dengan keputusan-keputusan Mpen,” katanya lagi.

Jelas beliau, Pusat Penyelidikan PAS melihat dengan muzakarah yang dicadangkan itu, polemik berkaitan pelaksanaan syariah di Malaysia termasuklah yang berkaitan dengan isu pelaksanaan hukum hudud dapat diselesaikan.

“Pusat Penyelidikan PAS menggesa kerajaan Malaysia menyahut seruan Ketua Penerangan PAS untuk mewujudkan muzakarah tersebut, bukannya berdolak-dalik dalam isu pelaksanaan syariah ini.

“Pendirian Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri saling bercangggah dalam isu ini. Perdana Menteri menyatakan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia, yang difahami bahawa sampai bila-bila tiada ruang bagi hukum hudud untuk dilaksanakan manakala Timbalan Perdana Menteri pula menyatakan bahawa hukum hudud belum sesuai dilaksanakan, yang boleh difahami bahawa akan tiba masanya hukum hudud itu dilaksanakan,” kata Zuhdi.

Oleh itu kata beliau, Pusat Penyelidikan PAS menggesa supaya seruan ini disahut sebagai membuktikan komitmen kerajaan khususnya Umno dalam melaksanakan hukum-hukum syariah pada masa-masa hadapan.

sumber : The Malaysian Insider

read more “Dr Asri disyor ketuai muzakarah hudud dicadang PAS”

Monday 3 October 2011

Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah

HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.

Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.

Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:

“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)

Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.

Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:

“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).


- Gambar Hiasan

Membezakan Jenis Jenayah

Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.

Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):

“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)

Hudud Dan Hak Privasi

Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”

Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:

“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)

Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :

“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.

Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).

Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :

“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).

Membina Masyarakat Yang Pemaaf

Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:

“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.

Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).

Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.

Hudud Memerlukan Ijtihad Baru

Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.

Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).

read more “Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah”

Sunday 2 October 2011

Kelantan Dan Tanggungjawab Hudud

KELANTAN DAN TANGGUNGJAWAB HUDUD
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Apabila sebut hudud di Malaysia, ramai yang akan mengingati hasrat Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Ada yang menyatakan hasrat tersebut sekadar mainan politik, padahal tuduhan itulah mainan politik. Saya bukan anak Kelantan, tidak juga aktivis parti di Kelantan. Saya orang luar Kelantan yang sering diberikan peluang oleh Kerajaan Kelantan untuk melihat pentadbiran dari dekat.

Saya yakin bahawa dalam isu hudud hasrat Kelantan bukan main-main. Ia adalah hasrat yang terbit dari perasaan tanggungjawab perintah muslim terhadap ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan nas-nas Rasulullah s.a.w dalam sunnah baginda. Saya sendiri mendengar perkataan YAB Menteri Besar Kelantan ketika ditanya tentang hudud, beliau menjawab: “Jika Allah tanya saya di akhirat, saya akan beritahu Kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya”.

Saya lihat wajahnya, saya rasai kejujuran dan kebimbangan beliau yang diamanahkan pemerintahan mengenai hukum Allah berkenaan. Apa tidaknya, Allah menegaskan dalam al-Quran: (maksudnya)

“Ini ialah satu “surah” yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat. Perempuan Yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” (Surah an-Nur: 1).

Dalam al-Quran ada disebutkan beberapa jenis hukuman terhadap jenayah-jenayah tertentu; jenayah curi(Surah al-Maidah: 38), jenayah hirabah (Surah al-Maidah: 33), jenayah zina (Surah an-Nur: 3), dan qazf(Surah an-Nur: 4). Dalam hadis pula disebutkan hukuman sebat bagi peminum arak, buang daerah bagi penzina dan rejam bagi penzina muhsan, juga bunuh bagi yang murtad. Hukuman ini secara umumnya dikategorikan sebagai hudud. Walaupun begitu, ada perbincangan dalam kalangan sarjana mengenai kedudukan hukuman murtad, buang daerah dan rejam; adakah itu hudud atau ta’zir (discretionary punishment). Jika ia hudud bererti ia tidak boleh dipinda atau ditukar ganti. Jika ia ta’zir bererti ia terdedah kepada perubahan dan penilaian semula pihak pemerintah. Saya akan bincangkan nanti dalam artikel yang lain.

Niat Buruk

Usaha menggambarkan negara Islam atau design negara yang mendaulat Islam sebagai negara hudud adalah gambaran yang tidak tepat. Pihak musuh berniat buruk. Hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam. Hudud adalah hukum Islam yang menjadi makanisme dalam mencegah jenayah. Asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya. Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat. Dalam masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat. Firman Allah: (maksudnya):

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).

Penafsiran perkataan ‘makruf’ dan ‘munkar’ hendaklah diluaskan dalam konteks kehidupan muslim secara umum, dan kenegaraan secara khususnya. Maka dalam negara Islam; keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum. Tiada beza antara hukuman terhadap sultan atau raja dengan rakyat biasa. Tiada beza antara orang besar dan orang bawah. Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa. Kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga. Kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat.

Hukum Allah

Tiada seorang yang beriman pun yang akan berani membantah nas-nas qat’i (definitive texts) sama daripada al-Quran ataupun as-Sunnah. Mempersendakan teks al-Quran ataupun as-Sunnah seperti sendaan sesetengah pihak apabila Kelantan ingin melaksanakan hudud dengan menyatakan ‘sesiapa yang ingin makan sup tangan sila ke Kelantan’ adalah melampaui batasan agama. Bahkan, jika pengucap sedar dan bermaksud menghina nas al-Quran dan as-Sunnah, maka dia terkeluar dari Islam.

Nas-nas yang qat’i (definitive texts) itu, sekalipun diyakini tanpa syak daripada Allah, namun para sarjana Islam sering berbeza pendapat dalam menafsirkan maksudnya, atau berbeza pendapat dalam memperincikannya. Ini disebut sebagai dalil yang zanni (speculative meaning).

Umpamanya, dalam hukuman memotong tangan pencuri, tiada siapa yang syak tentang kewajiban melaksanakan nas ini. Namun, para sarjana berbeza pendapat dalam menentukan syarat yang melayakkan seseorang dijatuhkan hukuman tersebut. Demikian juga dibincang suasana yang membolehkan hukuman itu dilaksanakan. Ini kerana terdapat nas-nas yang lain yang boleh menafsirkan hukuman ini. Membahaskan, ataupun meletakkan syarat-syarat yang layak sebelum perlaksanaan sesuatu hukum hudud itu, bukanlah bererti menolak hukum itu, sebaliknya memastikan perlaksanaan itu memenuhi maksud sebenar dari titah perintah Allah dan rasulNya yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah (The Higher Objectives of Islamic Law).

Ini kerana bukan tujuan Islam ingin memastikan tangan pencuri itu putus, tetapi yang hendak dicapai ialah maksud keadilan, pencegahan dan pemeliharaan harta masyarakat di sebalik hukuman tersebut. Kaedahnya ditetapkan iaitu potong tangan. Maka, pelaksana hukum tersebut hendaklah memastikan bahawa apabila hukuman tersebut dilaksanakan, maksudnya dapat dicapai. Jika dilaksanakan, sedangkan maksud itu tidak dicapai, ataupun berlaku sebaliknya, maka itu tidak menunai tanggungjawab nas. Sebaliknya, hanya menzahirkan ketidakadilan, atau kekejaman atas nama Islam.

Suasana Kondusif

Suasana kondusif ialah suasana di mana apabila hukuman hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan. Tertegak keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri.

Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani).

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Dalam riwayat Abu Daud: “Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran” (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w mengarahkan agar hukuman tidak dilaksanakan dalam keadaan peperangan ataupun musafir kerana bimbang kesan yang negatif terhadap perlaksanaan itu disebabkan suasana yang tidak kondusif. Dengan melihat kepada nas yang seperti ini, maka persoalan persekitaran ketika hukuman hudud dilaksanakan perlu diambil kira.

Mewujudkan Suasana

Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suanana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum. Ini kerana pertama; dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.

Perjuangan penting kita pada hari ini, ialah mengujudkan suasana yang kondusif ini sebelum sesuatu undang-undang ini dilaksanakan. Ini kerana, jika undang-undang hudud dilaksanakan; dihukum orang bawahan; dilepas orang atasan, dihukum penzina; diketatkan perkahwinan serta disusahkan talak dan fasakh, dihukum peminum arak, digalakkan gambaran arak, dihukum pencuri; dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah dan salah guna harta negara dalam kalangan golongan atasan, dihukum pemberontak; dibiarkan kezaliman penguasa dan seterusnya, sudah pastilah hudud tidak dapat dilihat keindahannya.

Bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana yang seperti itu, hanya membinasakan masyarakat. Rasulullah s.a.w menyebut:

“Wahai manusia! Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di Kelantan suasana kondusif untuk hudud terikat bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran pusat. Selagi Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya, tidak mungkin suasana kondusif itu dapat diwujudkan. Selepas itu banyak lagi perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan. Maka, bukan menjadi kesalahan Kelantan jika beberapa hukuman hudud tidak dilaksanakan disebabkan keterbatasannya.

Kelantan telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu. Walaupun masih terbatas disebabkan banyak kekangan, namun apa yang penting hukuman itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan. Ijtihad-ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan. Saya akan bahaskan dalam artikel yang akan datang insyaAllah.

read more “Kelantan Dan Tanggungjawab Hudud”