Tuesday 26 July 2011

Dialog dengan kami, Dato Seri Shahidan ajak menteri dan PDRM

Isu Wahabi: Dialog dengan kami, Shahidan ajak menteri dan PDRM

July 26, 2011

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan buat selama-lamanya dan tidak terus dibangkitkan termasuk dilaporkan menjadi fokus Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Sehubungan itu beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mahu satu dialog diadakan bersama pihak-pihak yang dilabel sebagai pengamal dan pengikut fahaman Wahabi.

Shahidan sendiri pernah dikaitkan sebagai pengamal fahaman Wahabi.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai ‘dikehendaki’ dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu.

Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti.

“Perkara ini sudah lama dibangkitkan, bukan baru. Jadi, saya akan minta (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengadakan satu dialog, dialog antara mufti-mufti dengan mereka yang didakwa mengamalkan fahaman Wahabi.

“Saya juga minta polis mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak ini (didakwa mengamalkan Wahabi), kami pun hendak tahu di bahagian mana dalam badan kami ada amalan Wahabi, kami mengamalkan fahaman Wahabi... bincang dengan kami, dan selesaikan isu ini buat selama-lamanya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Malah perkara itu turut ditekankan oleh dalam laman sosial Facebooknya.

Shahidan antara lain berkata “kerajaan persekutuan dan negeri kena perjelaskan apakah dia fahaman Ahbash kerana dalam buku haram edaran puak-puak Syiah gambar Zamihan, seorang pengamal Ahbash dipamerkan sebagai hero... mungkin kerajaan pun tidak faham tentang bahaya Ahbash.. menteri agama (Jamil Khir) camna?” kata beliau dilihat merujuk kepada Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia.

Pegawai itu pernah didakwa menyenaraikan Shahidan, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada taklimat dengan Polis Diraja Malaysia dan para naib canselor pusat pengajian tingggi tempatan tahun lalu.

Justeru tegas Shahidan, beliau akan menghubungi Jamil Khir hari ini meminta agar diadakan satu dialog dan tidak mahu isu ini berpanjangan.

“Bagaimana mereka boleh menghina tokoh-tokoh agama ini, mufti ini kononnya mengamalkan Wahabi dan dikaitkan sebagai menjurus kepada keganasan... mengapa tidak panggil mereka dan diadakan dialog,” kata Shahidan sambil mengulangi bahawa pihaknya tidak mengamalkan fahaman Wahabi.

“Saya pun tidak tahu apa itu amalan Wahabi, beritahu kami apa itu amalan Wahabi, beri kami penjelasan... kalau dapat memberikan penjelasan, kami gembira,” kata Shahidan yang memainkan peranan penting dalam membawa 40 ulama muda menyertai Umno tahun lalu.

Kesemua 40 ulama muda itu turut didakwa disenaraikan sebagai pengamal fahaman Wahabi bersama Asri dan Juanda kali ini.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider pagi tadi, Asri berharap ulama-ulama muda itu, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Sehubungan itu, Asri berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi.

“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.

“Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno,” kata Asri kepada The Malaysian Insiderhari ini.

Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”

“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”

Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”

read more “Dialog dengan kami, Dato Seri Shahidan ajak menteri dan PDRM”