Monday 31 January 2011

Manfaatkan Tahun Baru Cina

Mingguan Malaysian 30 Januari 2011

Tahun Baru Cina menjelang tiba. Malah, bahangnya begitu dirasai apabila limau mandarin diagih-agihkan ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang sehinggalah hari pengundian pada hari ini.

Ramai yang bertanya bolehkah umat Islam bersama-sama orang Cina menyambut Tahun Baru Cina. Saya ingin menegaskan di sini, boleh. Tidak timbul masalah selagi kita pandai menjaga batas-batas sebagai seorang Islam.

Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya, tidak ada kena-mengena dengan agama. Malah digalakkan jika mahu menyambutnya demi dakwah, terutama saudara Muslim Cina yang telah memeluk Islam.

Hari raya orang Cina adalah Tahun Baru Cina. Berbeza dengan Islam, tahun baru Islam dikenali sebagai tahun baru hijrah atau Maal Hijrah, tidak akan kaitan dengan hari raya. Manakala hari raya dalam Islam adalah hari raya puasa dan hari raya kurban. Dari segi signifikannya, sambutan hari raya lebih membawa banyak erti, kerana nasnya jelas, berbanding sambutan tahun baru.

Bagi orang Cina, tahun baru membawa signifikan yang cukup bermakna. Jika mahu melihat orang Cina berhenti bekerja atau cuti rehat, tahun baru akan menyaksikan segala. Selebihnya masa setahun digunakan untuk bekerja. Kerja keras tanpa kenal erti penat. Sikap sebegini perlu dicontohi oleh umat Islam, jika mahu dipandang hebat. Malangnya, ada yang hanya bekerja sehari, mahu hidup sebulan atau setahun, dengan menggunakan jalan pintas seperti mengambil rasuah.

Sebagai Cina Muslim, saya tidak ketinggalan, saban tahun ‘menyambut’ tahun baru bersama-sama ahli keluarga seperti ibu tercinta dan sanak saudara. Matlamatnya tidak lain, dakwah. Sambutan ini penting untuk menunjukkan bahawa apabila memeluk Islam, kita tidak menjadi ekstrim atau meninggalkan cara hidup lama yang tidak bertentangan dengan Islam.

Walaupun menjelang sambutan Tahun Baru Cina, ada upacara sembahyang. Itu hanya sebagai tanda ingatan kepada nenek moyang, tidak ada kaitan dengan agama. Sebagai Cina Muslim, kami tidak campur tangan dalam upacara tersebut.

Dakwah

Pada saya, daripada menyambut tahun baru Masehi, lebih baik kita menyambut Tahun Baru Cina. Kerana impak dakwahnya lebih besar dan bertepatan dengan gagasan 1Malaysia. Lagipun cara sambutannya tidaklah seghairah menyambut tahun masehi yang penuh dengan hiburan.

Tidak dinafikan bahawa tahun masihi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Boleh menyambutnya jika tahu menjaga adab sopan. Apa yang menyedihkan, setiap tahun menjelang masuk tahun baru masihi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan sehingga tidak menampakkan nilai keilmuan dan ketimuran.

Justeru, jika ada pilihan antara dua perayaan ini, saya lebih prefer untuk ‘menyambut’ tahun baru Cina kerana signifikan dakwahnya lebih besar serta menyumbang kepada matlamat gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

Sebenarnya cara orang Islam dan orang Cina mengira atau menghitung hari atau tahun baru pendekatan yang hampir sama, walaupun cara sambutan berbeza. Kalendar Islam dan kalendar Cina disebut sebagai kalendar kamari (bulan) atau kalendar lunar, yakni berasaskan kepada peredaran bulan.

Perayaan Tahun Baru Cina lahir dari rasa takut dan mitos. Legenda berbicara tentang binatang liar bernama Nien (juga membawa makna "tahun") yang muncul di akhir setiap tahun di Tanah Besar China suatu ketika dahulu. Nien dikatakan bertindak menyerang dan membunuh penduduk kampung. Cara untuk menghalau dan menakut-nakutkan Nien adalah dengan menggunakan bunyi letupan (mercun) dan cahaya terang benderang (bunga api).

Kejayaan menewaskan Nien ini telah disambut sebagai permulaan kepada tahun baru Cina dengan mengambil kira nama 12 jenis binatang terpilih yang silih berganti setiap tahun. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru.

Terdapat berbagai versi cerita bagaimana binatang ini dipilih. Antaranya, lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Gautama Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja berkumpul.

Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.

Ada yang percaya mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Tahun ini pula jatuh pada tahun arnab.

Tidak perlulah saya huraikan sama ada tahun arnab membawa tuah atau tidak, kerana tidak semua mempercayainya, apatah kita sebagai umat Islam. Takdir, ajal maut, susah senang adalah di bawah qada dan qadar Allah. Kita hanya berusaha, Tuhan sahajalah yang menentukannya. Tetapi yakinlah, Allah tidak akan sia-siakan usaha orang yang ingin merubah hidup, tidak kira pada tahun apa sekalipun.

Namun, jika ada orang Cina percaya kepada untung nasib tahun binatang yang silih berganti itu maka hormatilah kepercayaan hidup mereka.

Makan besar

Pada orang Cina, tahun baru melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Lantaran itu, permulaan tahun baru disambut pada waktu menjelang maghrib (kalendar kamari) dengan makan besar atau reunion dinner sebagai tanda perjumpaan besar atau persaudaraan.

Makan tradisi akan dihidangkan seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin. Tidak ketinggalan yee sang dan kuih bakul. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian tradisi, yang menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Budaya ini telah diwarisi turun temurun.

Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau hantu dan perkara tidak baik. Ucapan Gong Xi Fa Cai atau Kiong Hi Huat Chai (Hokkien) lazim kedengaran maksud tahniah! Semoga bertambah atau dimurahkan rezeki.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah. Juga tidak dibenarkan menyapu sampah kerana ada yang percaya seolah-olah menolak rezeki atau menyapu rezeki keluar.

Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Budaya ini juga turut diikuti orang Melayu ketika menyambut hari raya dengan warna ang pau yang berbeza (hijau).

Budaya

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun, hari kesembilan (juga tahun baru bagi orang hokkien) dan kelima belas atau ‘Chap Goh Mei’ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Islam tidak melarang menyambut perayaan budaya ini. Begitu juga memakan yee sang menggunakan sepit, dan makanan yang lain, selagi mana ia halal. Inilah universaliti Islam. Meniru atau mengikut budaya atau cara hidup orang lain tidak salah. Kerana kejadian berbangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah SWT. Selagi mana budaya tersebut tidak bercanggah dengan Islam, selagi itu kita boleh raikan. Termasuk menggantung lampu tanglung.

Jangan pulak jika ada saudara kita Cina Muslim yang menggantung lampu tanglung, kita tuduh mereka tidak Islamik kerana saya belum pernah melihat orang Arab berhari raya menggantung lampu pelita, lampu ketupat dan bulan bintang. Ini adalah hanya budaya bangsa Melayu. Budaya setiap bangsa saling berbeza.

Bangsa Arab ada identiti lampunya tersendiri dan cara menghiasi rumah. Sama juga dengan seni reka bentuk masjid yang berkubah dan tidak berkubah. Kita tidak boleh kata seni reka bentuk Pagoda tidak Islamik. Kerana senibina kubah yang ada rata-rata pada masjid hari ini bukan senibina Arab atau Islam tetapi seni bina Moorish-Indian. Justeru, di manakah senibina Islam? Jawapannya, universaliti Islam menerima segala bentuk budaya dan seni reka selagi tidak bercanggah dengan asas Islam. Dengan sebab itu, Islam tidak ada lambang khusus yang menentukan kita Islamik atau tidak. Yang penting iman dan takwa. Lambang tidak penting seperti orang Yahudi.

Berbangsa-bangsa

Pendek kata, berbangsa-bangsa adalah ciptaan Allah SWT. Allah yang menjadi Melayu, Cina, India, bumi putera Sabah Sarawak dan semua bangsa di dunia ini. Mereka ada cara hidup dan budaya sendiri. Tidak salah mengamalkan jika tidak keterlaluan atau bercanggah dengan Islam.

Cuma satu sahaja saya ingatkan supaya umat Islam tidak terlibat dalam hiburan melalaikan, walaupun tidak salah kita meraikan bersama atas semangat 1Malaysia. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 51 yang bermaksud “Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”.

Ingatan Allah SWT ini amat jelas supaya kita tidak melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari kalangan mereka” (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Justeru, pada saya menyambut tahun baru Cina tidak salah, kerana ia adalah perayaan 1Malaysia. Tetapi pandai-pandailah menjaga batas-batasnya. Sama juga menyambut Hari raya puasa dan hari raya korban adalah ibadah. Tetapi jika cara kita sambut sehingga terkeluar dari norma-norma Islam, maka ibadah akan bertukar kepada padah. Pahala bertukar kepada dosa. Pendek kata, bukan soal perayaan itu yang menjadi masalah tetapi cara kita menyambut perayaan tersebut. Jika kita isi dengan hiburan yang melalaikan sudah tentu sambutan yang awalnya bersifat ibadah, tidak mendatangkan pahala lagi melainkan dosa dan musibah.

Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.

Kepada seluruh masyarakat Cina saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Cina, Gong Xi Fa Cai, maaf dipohon jika penulisan saya selama ini ada mengguris hati kalian.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Manfaatkan Tahun Baru Cina”

Saturday 29 January 2011

Bertanyalah Sebelum Anda Ditanya

Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Dalam pertemuan kita bulan ini, saya ingin memulakannya dengan berkongsi tiga ayat al-Qur’an dari surah al-Baqarah. Ia seperti berikut:
M
Ayat Pertama:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” [al-Baqarah 2:30]

Ayat Kedua:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya).”
M
Allah berfirman: “(Jika demikian) ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Baqarah 2:260]
Ayat Ketiga:
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” [al-Baqarah 2:186]

Ayat pertama berkenaan awal penciptaan manusia, ayat kedua berkenaan Nabi Ibrahim, ayat ketiga berkenaan umat Muhammad. Di antara ketiga-tiga ayat di atas, dapatkah para pembaca sekalian menangkap satu kesamaan?

Kesamaannya ialah, ia berbentuk pertanyaan atau soalan. Dalam ayat pertama para malaikat bertanya: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu……” Dalam ayat kedua Nabi Ibrahim bertanya: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Dalam ayat ketiga para sahabat Rasulullah bertanya: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku……

Di antara ketiga-tiga pertanyaan ini, dapatkah para pembaca sekalian menangkap satu kesamaan? Kesamaannya ialah mereka bertanya bukan kepada sebarangan orang, tetapi bertanya kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Pengajaran penting yang ingin saya sampaikan dari ketiga-tiga ayat di atas ialah berani untuk bertanya. Dalam ketiga-tiga ayat di atas, pertanyaan ditujukan kepada Allah, Tuhan yang Agung lagi Berkuasa. Sengaja Allah merakam pertanyaan-pertanyaan ini dalam al-Qur’an bagi menunjukkan keberanian para malaikat, Nabi dan para sahabat Rasulullah bertanya. Bertanya bukan untuk meremehkan, bertanya bukan untuk berdebat, akan tetapi bertanya untuk mengetahui dan memahami.

Berani Bertanya.

Ini menjadi topik saya pada bulan ini kerana pada pengamatan saya, sebahagian umat Islam takut atau segan-segan untuk bertanya. Mereka bukan takut kepada Allah, bukan takut kepada malaikat, para Rasul atau Nabi tetapi takut kepada manusia-manusia biasa yang memegang sehelai dua kelulusan kertas yang memberikan gelaran ustaz dan ustazah di sisi nama mereka. Ketakutan ini menyebabkan mereka mengangguk kepala kepada apa sahaja yang disampaikan oleh para agamawan tanpa berani untuk bertanya.

Bertanya yang saya maksudkan bukanlah untuk menunjukkan kehebatan diri atau meremeh dan berdebat dengan para agamawan. Ini dilarang oleh Rasulullah: “Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.” [Shahih Ibn Hibban, no: 77].

Namun yang saya maksudkan ialah bertanya untuk mengetahui dalil dan hujah, agar apa yang dianggukkan itu benar-benar memiliki dasar dalam agama. Juga bertanya tentang sumber seperti nama tokoh dan kitab rujukan agar dapat disemak kembali demi memperoleh keyakinan yang lebih jitu. Tidak ketinggalan, bertanya untuk memahami atau membetulkan apa-apa salah faham. Ini adalah pertanyaan-pertanyaan yang terpuji yang patut dijadikan kebiasaan dan keberanian oleh semua umat Islam.

Berani untuk bertanya amatlah penting kerana pada masa kini terdapat segelintir agamawan yang menyampaikan hukum, ajaran dan petua agama tanpa berdasarkan dalil yang sahih. Atau mereka dengan mudah mengatakan “Ini adalah pendapat dalam Mazhab asy-Syafi’e” tanpa pendapat itu benar-benar berasal dari mana-mana tokoh asy-Syafi’eyyah. Bahkan ada yang menjadikan dalil akal di atas dalil wahyu, sunnah masyarakat di atas sunnah Rasulullah.

Para pembaca sekalian hendaklah berani bertanya sebelum anda sendiri kelak ditanya oleh Allah sebagaimana firman-Nya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [al-Isra’ 17:36]
read more “Bertanyalah Sebelum Anda Ditanya”

Selesaikan masalah menerusi dialog

Mingguan Malaysia 23 Januari 2011

Nampaknya hari demi hari isu-isu agama sentiasa menghantui masyarakat kita, seolah-olah tidak pernah habis. Belumpun reda isu azan dan novel interlok, kini timbul isu pelatih PLKN beragama sikh dipotong rambutnya oleh pelatih-pelatih lain sekhemah dengannya. Sama ada benar atau tidak, atau sengaja dibuat-buat, kita tunggu hasil siasatan. Saya yakin selepas ini akan timbul lagi, lagi dan lagi. Punca dan tujuan dibangkitkan Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi kita tidak boleh duduk diam.

Apakah kita akan terus dilingkungi dengan masalah-masalah sebegini? Tidakkah lebih baik masa yang ada digunakan untuk memikirkan bagaimana menjayakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan perpaduan? Di manakah titik toleransi untuk kita bekerjasama?

Pada saya, sudah sampai masanya dialog antara agama dan peradaban mengambil tempat seperti yang dipelopori Islam sejak zaman berzaman. Dialog bukan bertujuan untuk mencari siapa yang salah atau siapa yang betul. Tetapi pendekatan lebih kepada untuk mencari kebenaran. Dialog tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan kita sahajalah yang terbaik, sedangkan orang lain tidak. Jika itulah kesudahannya, dialog tidak akan mencapai persetujuan. Yang wujud adalah pertegangan leher antara kedua belah pihak. Gagasan 1Malaysia perlu menjadikan dialog sebagai agenda utama.

Sebagai agama yang bersifat universal, kepentingan dan keperluan dialog amat jelas dan tuntas dalam Islam. Menurut Ramli Awang (2008), Islam sentiasa menyeru supaya penganutnya berfikiran bebas, tidak bertaklid membuta tuli kepada mana-mana manusia. Umat Islam diseru supaya hidup bersama orang lain dengan saling menjaga keamanan satu sama lain.

Dalam sejarah Islam, banyak terjadi perbahasan dan dialog antara para cendekiawan Islam dengan cendekiawan agama-agama lain. Bekas Presiden Iran, Mohammed Khatami, telah mengemukakan dialog antara peradaban kepada masyarakat dunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menamakan tahun 2004 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban.

Menurut Diez-Hochleitner (2009) pemimpin-pemimpin negara (dunia) jangan sesekali berhenti untuk melibatkan diri dalam dialog, dan bekerjasama atas nama kewujudan bersama secara harmoni. Barat seharusnya berhadapan dengan Timur secara bersemuka atas dasar sama rata.

Walaupun kita mempunyai asal usul budaya dan kepercayaan yang berbeza, kita telah menunjukkan di dalam dialog, bahawa betapa luasnya titik persamaan kesefahaman kita dalam usaha untuk memberi khidmat kepada manusia dan juga alam semula jadi. Daripada terlibat dalam pertembungan peradaban, lebih bermakna lagi jika kita memberi tumpuan kepada berdialog dan bekerjasama, terutama pada ketika seluruh dunia sedang mengalami ketidakpastian dan kebimbangan yang semakin menjadi-jadi akibat dominasi kuasa-kuasa besar.

Islam telah mempelopori dialog sejak dahulu lagi. Dialog pertama antara Muslim dan Kristian telah berlaku semasa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah. Disebabkan umat Islam ditindas dan ditekan oleh kaum Musyrikin Mekah. Menurut Menurut Martin Lings atau nama Islamnya, Abu Bakr Siraj Ad-Din, rombongan tersebut disertai oleh 14 orang lelaki dan empat orang perempuan termasuk Uthman bin Affan dan isterinya Ruqaiyyah, Jaafar bin Abu Talib dan isterinya lebih 1400 tahun dahulu (Ramli Awang, 2008). Justeru, tidak timbul soal Islam tidak bersifat terbuka dan mengambil pendekatan esktrim seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ramai percaya dalam syarat-syarat berdialog, kedua pihak mesti bersetuju mempunyai kesefahaman dengan kepercayaan orang lain, menghormati perbezaan fikiran dan keyakinan, berilmu, menjaga adab dialog, bebas memilih, dan tidak menggunakan pendekatan teologi. Pun begitu, jika pendekatan teologi mahu digunakan haruslah jangan sampai menghina agama lain.

Namun demikian, dalam keadaan-keadaan tertentu, kadangkala dialog tidak mampu mengambil tempat, terutama apabila adanya tangan-tangan zalim yang dengan tidak semena-mena menyerang dan merompak kekayaan sesebuah negara.

Dalam situasi sebegini, Islam menyarankan pembelaan diri dan meminta kepada pihak yang dizalimi agar bangkit untuk melawan semampunya untuk merebut kembali hak mereka yang dirampas. Misalnya, keadaan yang berlaku di Palestin. Dialog antara peradaban tidak dapat mengambil tempat kerana hak umat Islam telah dirampas oleh Yahudi Zionis. Lebih dahsyat lagi, umat Islam telah dibunuh saban hari. Tidak ada gunanya dialog, melainkan dengan berjihad. Malangnya, umat Islam hanya melihat apa yang berlaku di sana.

Maka tidak hairanlah jika dialog tidak dapat mengambil tempat kerana ada pihak yang mengambil pendekatan berat sebelah. Dalam hal ini, adalah tidak mustahil jika pandangan Samuel Huntington (1997) dan Francis Fukuyama (1992) ditolak kerana kecenderungannya lebih kepada dendam dan bersifat monopoli. Pendirian kedua-dua cendekiawan Amerika Syarikat ini mendapat protes meluas dari banyak pemikir dan cendekiawan dunia, termasuk orang Barat sendiri. Akhirnya, Huntington dan Fukuyama terpaksa membetulkan pandangannya dan mengakui akan kemungkinan kebangkitan peradaban Islam.

Justeru, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, kita perlu mengambil langkah ke hadapan. Dialog perlu dijadikan budaya masyarakat, bukan mengambil pendekatan hentam keromo.

Dialog ini penting kerana terdapatnya perbezaan fahaman dan amalan agama, kecurigaan kepada mereka yang berlainan agama dan didorong oleh keperluan menyebarkan dakwah. Lantaran itu, dialog antara agama perlu dijadikan medan untuk bertukar-tukar pandangan tentang masalah dan kehidupan kemanusiaan yang berlandaskan agama masing-masing. Realitinya, agak sukar untuk dialog berjalan dengan baik selagi masing-masing penganut masih diselaputi bibit-bibit prasangka dan kecurigaan.

Untuk mengurangkan sifat negatif ini, dialog harus memiliki tujuan yang positif bagi mengikis rasa curiga, memahami orang lain, merapatkan hubungan kemanusiaan, membina tamadun manusia yang utuh, menjelaskan hakikat sebenar tuduhan, memupuk rasa saling menghormati, mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan, menciptakan persatuan dan mengeratkan silaturrahim, dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Jika perkara ini dapat difahami, saya yakin matlamat gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti. Kita tidak mahu perkara yang telah selesai dipertikaikan. Permohonan maaf isu azan yang menimbul keributan baru-baru ini bukan bermakna, perkara ini tidak akan berbangkit lagi. Masih banyak lagi yang terpendam sebenarnya. Puncanya jelas, kita kurang memahami sensitiviti hidup umat Islam dan kedudukan Islam dalam perlembagaan.

Di pihak Islam pula, jika isu azan jika tidak ditangani dengan betul akan merugikan dakwah Islam. Sudahlah bilangan yang memeluk Islam kalangan bukan Islam kurang daripada satu peratus, mewakili setiap bangsa di negara kita, jika dipolitikkan lagi, sudah tentu minat untuk mendekati Islam semakin menurun.

Saya tidak pasti sama ada orang bukan Islam masih tidak dapat membezakan antara azan, tarhim, bacaan Quran dan zikir, yang selalu berkumandang pada pembesar suara masjid dan surau. Begitu juga dengan ceramah yang menggunakan pembesar suara.

Namun, jika azan itu tidak dapat dibezakan, alangkah malangnya setelah lebih 54 tahun merdeka perkara ini masih tidak difahami sedangkan ia dialunkan saban hari. Maka, sudah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menerangkan kepada orang bukan Islam hakikat yang sebenar.

Kadangkala saya tidak menyalahkan bukan Islam, kerana kita yang mengelirukan ajaran Islam yang sebenar. Saya masih lagi mencari jawapan kenapa tarhim, zikir, bacaan Quran dan wirid selalu diperdengarkan dengan kuat pada awal-awal pagi sebelum masuk azan solat subuh? Wajarkah amalan peribadi ini tersebut menggunakan pembesar suara?

Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita adab menghormati jiran. Sehinggakan jika bacaan Quran yang kuat boleh mengganggu jiran, maka kita disuruh perlahankan suara. Inilah pula menggunakan pembesar suara dihening pagi yang amat kerap dilakukan di surau-surau dan masjid-masjid.

Sepanjang bacaan saya, tidak ada nas yang membenarkan menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang lain. Islam adalah agama yang sentiasa menghormati orang lain dan hak mereka. Walaupun bacaan Quran, wirid dan zikir amat baik, tetapi kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengarnya. Apatah lagi semuanya dikategorikan sebagai amalan individu.

Nabi SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain.

Bayangkan ketika kita membaca Quran dengan kuat, masih ada kalangan jamaah yang masih bersolat, sudah tentu bacaan kita mengganggu kekhusukan mereka yang bersolat. Saya tidak mengambil peduli jika semua penduduk sekitarnya beragama Islam. Namun, jika di kawasan tersebut dihuni oleh mereka yang berbilang kaum, maka tindakan ini perlu difikirkan semula. Dalam kariah saya, terdapat surau dan masjid, empat puluh minit sebelum masuk waktu subuh, akan dikumandangkan tarhim, bacaan Quran, zikir dan wirid dengan kuat. Tindakan ini adalah tidak wajar dan harus difikirkan semula?

Satu pesanan saya hargailah toleransi yang ada seperti pesan Perdana Menteri dan Timbalannya. Pada masa sama, belajarlah memahami sejarah dan perlembagaan. Bukan apa, kadangkala kita mempertikaikan sesuatu yang terlah termaktub dalam perlembagaan yang sudah tidak perlu didialogkan. Misalnya, bacaan doa dalam majlis rasmi. Islam selaku agama rasmi dan agama persekutuan, perlu mendapat tempat dalam majlis-majlis rasmi. Dengan sebab itu, kita lihat ada bacaan doa. Takkan bacaan doa itupun mahu dipertikaikan.

Akhirnya, dialog boleh mengambil tempat mengenai boleh atau tidak, umat Islam bekerja di premis yang menjual arak. Apakah tindakan itu dikira bersubahat? Sama juga umat Islam yang bekerja di bank konvensional. Jika semuanya bersubahat, apakah bidang kerja yang sesuai untuk umat Islam? Apakah mungkin nanti akan wujud pasaraya Islam dan pasaraya bukan Islam?

Saya amat bimbang jika kita tidak dialogkan masalah ini dan terus menjatuhkan hukum, apakah altenatif yang dapat disediakan kepada umat Islam yang ingin mendapatkan rezeki yang halal? Bagaimana pula dengan paramugari yang bekerja di atas kapal terbang yang dihidangkan dengan arak? Halal atau haram? Ini belum termasuk soal pakaian mereka yang kurang bersopan yang direkabentuk sedemikian rupa seperti Air Asia dan Firefly.

Paramugari tidak salah kerana mereka terpaksa mencari rezeki di bawah majikan yang ramai Islam, tetapi tidak ada roh Islam dalam jiwanya. Sedangkan paramugari Singapore Airlines dan Thai Airways masih kekal dengan pakaian tradisi yang begitu bersopan walaupun mereka tidak Islam tetapi nampak lebih Islamik. Apakah perkara ini juga perlu didialogkan? Sama-sama kita mencari kebenaran!

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Selesaikan masalah menerusi dialog”

Bertindak sebelum terlambat

Utusan Malaysia 20 Januari 2010 (Khamis)

Oleh DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew minggu lalu, mengenai kenapa negara sekangkang kera itu memerlukan pertahanan yang begitu kuat sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika pegawai-pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kuan Yew merujuk kepada Malaysia dan Indonesia sebagai ancaman utama kenapa negara itu perlu pertahanan yang kuat.

Dalam bersedia menghadapi ancaman tersebut, negara anak didik Yahudi ini membelanjakan RM35.5 bilion untuk pertahanan pada tahun lalu, tertinggi di Asia Tenggara dan mungkin juga di Asia. Berbanding negara sebesar kita, sejak lebih 23 tahun yang lalu, perbelanjaan pertahanan negara membabitkan RM180 bilion sahaja. Purata perbelanjaan pertahanan setiap tahun hampir 2.5 peratus daripada KDNK negara antara 1987 hingga 2004. Bermaksud lebih lima tahun, belanja pertahanan Singapura bersamaan lebih 23 tahun belanja pertahanan kita. Lihatlah betapa jauhnya kita ketinggalan dalam aspek pertahanan negara.

Perbelanjaan pertahanan merupakan yang kedua terbesar dalam bajet negara sehinggalah krisis kewangan global melanda Malaysia pada 2008, menyebabkan ia diatasi oleh perkara lain dalam bajet 2009. Namun begitu, perbelanjaan pertahanan kita telah meningkat lebih lima kali ganda dari RM2.09 bilion pada 1987 kepada RM11.013 bilion pada 2010 (enam peratus belanjawan negara).

Jumlah ini masih kecil berbanding dengan negara jiran yang sebenarnya itulah ancaman kita. Apakah kita tidak takut dengan ancaman baru hari ini. Tidakkah terlepasnya Pulau Batu Putih menjadi pengajaran kepada kita? Saya yakin, pulau tersebut masih menjadi milik kita, jika pertahanan kita mengatasi negara Singapura. Malangnya, kita terus bersangka baik dan memberikan 'khidmat percuma' seperti isu air kepada negara 'sejahat' itu. Pernahkah mereka mengenang budi?

Menurut Kuan Yew, tanpa pertahanan yang kuat, tidak akan wujud Singapura. Negara ini akan 'dimakan' oleh negara-negara jirannya, dirujuk Malaysia dan Indonesia.

Dari segi perancangan strategi dan keselamatan, saya tidak nafikan jawapan tersebut. Tetapi dari sudut lain, jawapan ini amat bongkak dan sombong. Beliau tidak sedar, tanpa pertolongan Malaysia, tidak wujud Singapura. Namun, sifat ultra kiasu telah mengatasi segalanya. Negara ini telah berjaya keluar daripada kemelut ketakutan.
Hari ini, kita pula takut kepada negara sekecil itu yang begitu bergantung air kepada kita. Itupun mereka masih menang. Kita kelihatan masih kalah, walaupun harta itu kepunyaan kita.

Singapura adalah sebuah pulau Melayu yang terletak di kepulauan Melayu. Jika ditakdirkan Tunku Abdul Rahman bertindak menangkap Kuan Yew dan mengadakan perintah berkurung sebelum berpisahnya Singapura dari Malaysia pada 1965, sudah tentu pulau tersebut hari ini milik kita.

Tetapi adakah Tunku bertindak sedemikian? Walaupun pada ketika itu, kita mampu untuk bertindak, kerana kuasa polis dan tentera masih berpihak di tangan Melayu?

Saya fikir Tunku berfikir panjang sebelum bertindak. Inilah sifat dan toleransi Islam yang perlu dihargai. Saya yakin, jika tidak ada pertimbangan ini atau jika pemimpin kita ketika itu tidak Islam, mempraktikkan sistem komunis, sudah lama Kuan Yew dihumban ke dalam penjara.

Hari ini beliau berlagak sombong dengan kenyataan yang langsung tidak mengenang budi. Apakah kita masih terus mahu berlembut ibarat menarik rambut dalam tepung? Zaman berlembut sudah berakhir. Saya tidak pasti apa pandangan Tuan Guru Nik Aziz yang begitu ghairah menyambut Kuan Yew sebelum ini.

Kita sepatutnya bertindak sezalim Kuan Yew, yang menghumban golongan yang menentangnya ke dalam penjara kerana kewujudan mereka dikatakan mengganggu ketenteraman dan perancangan Singapura. Maka tidak hairanlah orang Melayu Singapura seperti Dr. Lili Zubaidah yang cerdik tidak mendapat tempat di Singapura, hanya kerana tidak sekapal dengan Kuan Yew.

Jika Malaysia bertindak sedemikian kepada pembangkang hari ini, apakah perkara ini dapat diterima? Tetapi perkara sebegini adalah biasa di Singapura. Kenapa kumpulan hak asasi manusia ini tidak bangun menentang tindakan Kuan Yew?

Malah ramai ultra kiasu di negara ini yang begitu memuji Singapura. Hanya kerana mereka sekapal. Bayangkan jika kita bertindak seperti mana Singapura bertindak, akan hebohlah satu dunia bahawa Malaysia mengamalkan sistem regim komunis dan mengabaikan hak asasi manusia.

Kuan Yew bertindak mematikan orang yang diistilahkan 'tidak berguna' (duds) walaupun mereka dipilih oleh rakyat. Golongan ini, pada beliau tidak perlu berada dalam Parlimen dan kerajaan. Tindakan Kuan Yew langsung tidak dipertikaikan oleh ultra kiasu di Malaysia.

Kuan Yew begitu disanjung dan mendapat pujian ultra kiasu saban hari kerana dikatakan berjaya memajukan Singapura. Mereka sanggup lupakan 'kekejaman' beliau hanya kerana sekapal. Justeru, kita perlu berhati-hati dengan kelicikan golongan ini sebelum terlambat.

Terlalu bertoleransi juga tidak sepatutnya berlaku. Dengan sebab itu, dalam pemerintahan Islam, ada unsur demokrasi dan ada unsur autokrasi. Jika tindakan seseorang boleh menjahanamkan agama dan negara, maka tindakan nekad perlu dilakukan untuk menjaga kepentingan awam.

Saya fikir sudah sampai masanya negara kita mengambil pendekatan berhati-hati sebelum terlambat. Memang kita memerlukan Singapura. Johor Bahru akan bankrap tanpa Singapura.

Tetapi kita perlu fikirkan pelan jangka panjang supaya tidak terlalu bergantung kepada Singapura, walaupun tidak dinafikan pulau itu juga terlalu bergantung kepada kita. Kita mesti ingat, bahawa pulau itu mendapat sokongan Yahudi, sedangkan kita tidak.

Jika ditakdirkan kita putuskan Tambak Johor, negara kecil itu masih lagi boleh survive sebab sekutu mereka masih ramai yang akan membantu. Negara kita bagaimana?

Justeru, projek Koridor Iskandar hendaklah dirancang dengan betul supaya jangan terlalu berharap kepada Singapura. Jangan biarkan mereka membeli tanah dan harta negara kita sewenang-wenangnya. Saya amat bimbang Johor akan menjadi Singapura kedua kerana pimpinan mereka amat licik. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang.

Saya masih teringat kata-kata isteri Kuan Yew, mendiang Kwa sebelum meninggal baru-baru ini. Pesannya kepada Kuan Yew supaya jangan mempercayai orang Melayu dan Malaysia. Dalam kata lain, sampai mati pun, mereka masih tidak mempercayai kita. Apakah kita masih terus mahu bersangka baik?

Masa bersangka baik dan bermain dengan mereka sudah habis. Kini adalah masa untuk kita bekerja untuk berhadapan dengan mereka. Jika mereka boleh menyediakan RM35.5 bilion untuk pertahanan negara sekecil itu, sudah tentu kita perlu berbelanja lebih daripada itu. Jika tidak, kita akan 'dimakan' satu masa nanti, percayalah.

Saya pernah membuat kajian mengenai republik itu ketika membuat program ijazah sarjana pengajian strategi dan keselamatan. Ternyata memang sukar untuk kita menyainginya. Ketua Pengarang Kumpulan akhbar ini, Datuk Aziz Ishak pasti bersetuju dengan saya sebab kami mengambil kursus yang sama.

Justeru, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, pakar strategi dan semua panglima angkatan tentera, sepatutnya memikirkan dan bertindak untuk merangka strategi, apakah langkah terbaik yang perlu dilakukan untuk berhadapan dengan Yahudi kecil ini sebelum nasi menjadi bubur?

Kita perlu ingat, pemimpin Pulau Pinang difahamkan selalu ke sana untuk mencari idea. Apakah mungkin nanti akan wujud Singapura kedua, ketiga dan sebagainya?

Bertindaklah sebelum terlambat kerana masa tidak menunggu kita. Jangan terlalu banyak berpolitik, sehingga wang habis, akhirnya bidang pertahanan terabai. Musuh sedang melihat kita. Mereka sedang menunggu peluang untuk 'masuk' pada ketika waktu yang sesuai.

Ketika itu, jika mahu berjihad sudah terlambat. Apakah mungkin senjata batu boleh berhadapan dengan jet-jet pejuang dan kereta kebal seperti yang berlaku di Palestin? Sedangkan Allah SWT mahukan kita mengambil iktibar daripada kejadian lampau yang ditunjukkan.

Keruntuhan empayar Islam Othmaniyyah sudah cukup menyayat hati kita semua. Begitu juga keadaan di Iraq, Afghanistan dan Palestin hari ini. Apakah wajar kita hanya memerhati tanpa membuat apa-apa tindakan. Ya, kita wajar membantu tetapi pada masa sama, jangan abai kepentingan kita.

Perbelanjaan yang kurang memberikan impak kepada keselamatan hendaklah dikurangkan seperti perkara yang bersifat ceremonial, supaya kita dapat berjimat dan wang tersebut boleh disalurkan untuk pertahanan.

Jika tidak, saya bimbang, bila sampai masanya Allah SWT tarik semua nikmat yang dianugerahkan kepada kita seperti minyak dan gas. Kita akan menyesal seumur hidup. Hari ini seolah-olah kita terlalu bergantung kepada hasil minyak, sedangkan negara kita masih kaya dengan hasil lain.

Saya ingin cadangkan supaya kita ambil semua hasil keuntungan minyak ini setiap tahun untuk membangunkan pertahanan. Jika keuntungan Petronas lebih kurang RM50 bilion digunakan untuk pertahanan, saya yakin dalam jangka masa lima tahun, Malaysia muncul menjadi negara hebat di Asia dan mungkin di dunia.

Apapun, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada minyak dan gas sebagai sumber pendapatan utama negara. Sampai masanya minyak dan gas akan habis. Apakah ketika itu negara kita akan menjadi papa kedana?

Jadi, fikirkan sumber lain untuk menjana pendapatan negara kerana sumber minyak pasti akan habis. Sementara minyak masih ada, tumpukan usaha membangunkan pertahanan negara. Sebagai persiapan awal, kurangkan berbelanja ketika pilihan raya kecil DUN Tenang. Fikirkan masa depan negara. Kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang begitu besar untuk pilihan raya sekecil ini.

DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
read more “Bertindak sebelum terlambat”

Persaudaraan Kita Sepatutnya Membangunkan Ekonomi Umat

PERSAUDARAAN KITA SEPATUTNYA MEMBANGUNKAN EKONOMI UMAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong antara satu sama lain dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan, nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai‘perkauman’. Suara itu dinyatakan kepada saya kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu sedaya mungkin membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh saudara-saudara muslim kita. Saya katakan; saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor.

Antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama di sudut sebagai kuasa pengeluaran. Sedangkan kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi. Juga seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim.

Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu yang memerlukan satu kajian luhur mengenai hal tersebut. Di samping itu, kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Sama ada disebabkan oleh faktor kualiti, atau perasaan yang lain, saya kurang pasti. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Dunia Islam Lemah

Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak, tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik Dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan:

“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”. (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah)

Ini realiti yang berlaku. Maka jangan kita tanya, mengapa ramai ‘pak arab’ yang tabik tidak henti-henti dengan Barat. Ekonomi kebanyakan dunia Islam dijajah. Maruah kita menjadi rendah. Kita hakikatnya hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, namun negara umat Islam ramai yang masih meminta sedekah.

Senjata Ekonomi

Keadaan ini benar-benar mendesak, bahkan kita dalam keadaan darurat yang menuntut agar setiap kita berfikir membantu menaikkan kekuatan ekonomi umat Islam. Dunia hari ini sudah berubah dibandingkan dahulu. Bukan hanya kekuatan persenjataan yang menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara itu terhadap percaturan dunia. Bahkan ekonomi juga memainkan peranan penting dalam menentukan perubahan peta. Firman Allah dalam Surah al-Anfal: 60:

(maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh-musuh umat. Kekuatan yang mesti disiapkan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda adalah salah satu daripadanya yang dapat dilihat oleh manusia di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu. Pada zaman sekarang dari segi persenjataan, senjata-senjata canggih yang wujud pula menduduki tempat tugasan menggerunkan musuh. Maka umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu kekuatan ekonomi juga adalah senjata baru dalam membina kekuasaan di era moden. Kekuatan ekonomi mampu membawa kepada hasrat yang sama iaitu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi di zaman ini adalah satu tuntutan agama.

Produk Muslim

Malangnya kita cuai dan alpa. Kita ketinggalan dan dihina. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.

agro-bazar.jpg

Agro Bazar

Peranan Akidah

Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah mengujudkan rangkaian ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah islamiyyah) yang kukuh sesama kita. Di atas akidah yang teguh ini jugalah telah menjadikan umat ini dahulunya bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam. Ini rahsia kejayaan umat yang lalu.

Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan yang lain, termasuk dalam bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb:

(Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa Dunia Islam.. kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan, pemikiran dan kebudayaan. (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu‘asir, m.s. 172, Saudi: Muassasah al-Madinah)

Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedang ini adalah sesuatu yang dituntut: Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadith ini, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta perasaan mengambil berat sesama antara satu sama lain. Baginda S.A.W. memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas:

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.( Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi` wa Qawa‘id ‘Ammat, m.s. 134, Beirut, Dar al-Fikr).

Persaudaraan Islam

Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasululuh S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuh dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Sabda Nabi s.a.w :

ayat3.jpg

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tolong menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Namun sekira ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah dari orang lain dan Islam akan dipandang hina. Dr Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith di atas, menyebut:

Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, dia semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa. (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, 1/ 199, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita akan menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita ingin mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?.

Malanglah bagi kita ini jika sekadar tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran. Bahkan dalam soal ekonomi, jika tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Ukhuwwah Islamiyyah lebih penting. Sebab itu saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.

Gambar Hiasan

Kekuatan Kita

Sekiranya kesedaran ukhuwwah islamiyyah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Ini saya katakan berdasarkan faktor-foktor berikut:

Kuasa Membeli Yang Tinggi: Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada -secara kelompok- mereka memiliki kuasa membeli yang tinggi. Ini kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa

Isu Halal Haram: Isu-isu mengenai makanan tidak halal telah menimbulkan keresahan kebanyakan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal berdikari dalam menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.

Ketegangan Yang Wujud : Ketegangan yang wujud sekarang antara Blok Barat dan umat Islam boleh membantu ke arah mengujudkan umat yang lebih memiliki jatidiri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab ramai yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.

Jika ukhuwwah Islamiyyah itu benar-benar dapat digilapkan sehingga ke peringkat penghayatan dalam bidang ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jatidiri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa. Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim di zaman ini.

read more “Persaudaraan Kita Sepatutnya Membangunkan Ekonomi Umat”

Friday 28 January 2011

Gabungan 1Malaysia


(Mingguan Malaysia 16 Jan 2011)

Membaca tesis kedoktoran Aimee Dawis, warganegara Indonesia berbangsa Cina, bertajuk “Orang Indonesia Tionghua mencari identitas” begitu menarik perhatian saya. Orang Cina Indonesia sudah tidak lagi kelihatan seperti orang Cina seperti di Malaysia. Indonesia mengamalkan asimilasi secara paksaan bermula tahun 1965, apabila jatuhnya regim komunis pimpinan Sukarno.

Suharto yang menggantikan Sukarno mengambil tindakan drastik memutuskan hubungan orang Cina Indonesia dengan negara asalnya secara kekerasan. Asimilasi dilaksanakan seratus peratus. Cara hidup orang Cina diubah sepenuhnya menjadi orang Indonesia termasuk dari segi nama, pakaian, bahasa, sambutan perayaan dan segala cara hidup yang lain. Rancangan televisyen, radio, filem, sekolah, makalah, perayaan kebesaran dan sebagainya yang ada berbau kecinaan diharamkan. Proses ‘pengindonesiaan’ berlaku secara ekstrim. Tujuannya tidak lain, untuk membina sebuah negara bangsa. Hal ini tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku di Thailand dan Filipina, tetapi tidak seaggresif Indonesia.

Hari ini, orang Cina Indonesia tidak lagi seperti orang Cina. Mereka tidak ada beza langsung dengan orang Indonesia dari cara hidupnya. Hatta, perkara-perkara kecil melibat istilah juga dijaga rapi. Orang Cina di sana tidak dipanggil orang Cina Indonesia tetapi dipanggil orang Indonesia Tionghua. Negara Indonesia didahulukan berbanding dengan bangsa.

Semua ini mengingatkan saya iklan 1Malaysia di kaca televisyen yang disiarkan saban hari. Antaranya berbunyi, “nama saya Saifuddin, saya orang Melayu, nama Pugalmani a/l Maniam, saya orang India, begitulah seterusnya seterus orang Cina, Iban dan sebagainya. Kenapa kita tidak dahulukan Malaysia seperti saya orang Malaysia Melayu, orang Malaysia Cina atau orang Malaysia India? Hari ini kita sibuk memperkatakan bangsa Malaysia. Tidakkah wajar perkara sebegini ini diteliti walaupun kelihatan ‘kecil’ oleh penerbit?

Saya lihat dari sudut lain, cara kita menamakan universiti sudah tepat iaitu Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan sebagainya. Kenapa kita tidak praktikkan istilah yang sama dalam konteks anak bangsa yang hidup bersama di sini?

Membandingkan Malaysia dan Indonesia, ternyata bukan Melayu di bumi bertuah ini cukup bernasib baik dan beruntung. Mereka masih boleh mengekalkan semua identiti mereka, tanpa diubahsuai dan langsung tidak diasimilasikan.

Semuanya mengingatkan saya kepada ceramah Profesor Rupert Brown daripada Univeriti Sussex, England baru-baru ini, mengenai dinamika akulturasi di negara lain, di kalangan minoriti atau imigran. Akulturasi bermaksud peminjaman budaya orang lain (majoriti) untuk diamalkan (minoriti) tetapi tidak kekal. Misalnya, bangsa minoriti meminjam budaya majoriti seperti pemakaian baju Melayu dan bersongkok oleh bukan Melayu. Sama juga, seperti orang Melayu memakai pakaian tradisi bukan Melayu dan sebagainya.

Persoalannya, adakah proses akulturasi sebegini berjalan dengan baik? Dari segi pemakanan, saya tidak menafikannya, seronok melihat rakyat Malaysia makan roti canai dan nasi lemak bersama-sama.

Pengalaman di negara lain menunjukkan akulturasi berjaya menyatu-padukan rakyat. Berbanding dengan Malaysia. Kita masih lagi bertatih atau merangkak-rangkak. Ini kerana masih ada perasaan takut diasimilasikan.

Saya lihat orang Melayu lebih terbuka kepada proses akulturasi. Mereka tidak segan silu makan bersepit atau memakai pakaian bangsa lain. Sambutan tahun baru Cina akan menyaksikan segalanya bagaimana semangat 1Malaysia diraikan. Tetapi saya jarang melihat bangsa lain mengakulturasikan budaya Melayu. Kalau adapun, hanya pada pemakaian baju jurung ketika majlis tertentu oleh kaum wanita. Lelaki bukan Melayu amat jarang sekali memakai baju Melayu penuh berbanding sekali sekala melihat orang putih memakainya. Bilakah agaknya kita dapat melihat keunikan akulturasi ini, meskipun asimilasi tidak dapat diterima lagi?

Sifat tulus, ikhlas dan terbuka amat penting dalam menjayakan proses ini. Jika tidak, kita akan terus dilanda dengan perasaan saling curiga-mencurigai. Misalnya, peminjaman istilah atau perkataan bahasa bangsa lain yang biasa digunakan, juga dalam akulturasi. Misalnya, isu novel interlok yang menimbulkan kontroversi, dikatakan menghina masyarakat India. Saya sempat membaca beberapa perenggan yang dikatakan sensitif. Jika dibaca dari sudut konteks dan bidang kepakaran, memang tidak menimbulkan masalah langsung. Kecuali jika dalam novel tersebut dimasukkan unsur-unsur stereotaip, prejudis, etnosentrik dan lain-lain lagi istilah negatif dalam hubungan etnik. Sudah tentu segelintir kumpulan ekstrim ini akan lebih terkinja-kinja seperti cacing kepanasan.

Persoalannya saya, kenapa baru sekarang dibangkitkan? Majoriti masyarakat kita tidak ada masalah dengan novel tersebut, termasuk bukan Melayu yang lain. MCA awal-awal lagi sudah memberikan reaksi yang positif. Mereka yang memahami seni dan sastera langsung begitu memuji karya sastera tersebut.

Cuma segelintir kecil sahaja yang menimbulkan masalah. Itupun bukan dalam bidang kepakaran mereka. Yang bukan pakar bercakap lebih dari pakar. Menunjukkan ada satu gerakan yang ditaja oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan menangguh air yang keroh. Mereka mahu kelihatan seolah-olah seperti jaguh.

Kita mahu hidup di kalangan kelompok sendiri, tanpa mahu memikirkan bangsa lain. Ingatlah, kita bukan negara sebangsa seperti negara lain. Di negara yang mempunyai satu bangsa sahaja, mungkin mereka tidak menghadapi masalah serumit kita. Namun, negara pluralistik seperti kita terpaksa melayan tuntutan dan desakan setiap komuniti etnik atas alasan mereka mempunyai hak yang perlu dipenuhi, walaupun kadangkala tidak munasabah.

Tidakkah kita sepatutnya bersyukur tinggal di bumi bertuah ini? Perlembagaan dan dasar-dasar yang digubal sentiasa meraikan bangsa lain yang ada, sehingga jati diri bangsa asal terhakis. Lihatlah pengalaman negara lain yang mahu identiti mereka dikekalkan tanpa diganggu-gugat. Bayangkan jika perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan hari ini.

Misalnya, bulan lalu kerajaan China mengumumkan larangan penggunaan singkatan bahasa Inggeris dalam akhbar-akhbar tempatan, buku, dan laman sesawang kerana bimbang ketulenan bahasa Cina berada dalam bahaya. Pentadbiran Am Akhbar dan Penerbitan melaporkan, peningkatan penggunaan perkataan dan singkatan Inggeris dalam penerbitan di China akan menimbulkan kebingungan pembaca.

Amalan penulisan itu dikhuatiri merosakkan taraf bahasa Cina dan mampu mengganggu-gugat keharmonian bahasa serta persekitaran budaya sehingga mengakibatkan kesan sosial negatif. Lantaran itu, kerajaan China melarang untuk mencampurkan frasa bahasa asing seperti ayat atau singkatan Inggeris dalam penerbitan bahasa Cina sehingga mencipta kata-kata yang tidak membawa maksud dalam bahasa Cina atau bahasa asing lain.

Syarikat penerbitan dan media harus mengukuhkan peraturan penggunaan bahasa asing yang ditetapkan dan menghormati struktur, glosari dan tatabahasa bahasa Cina dan bahasa luar. Syarikat televisyen di China menerima notis daripada kerajaan untuk mengelakkan penggunaan singkatan bahasa Inggeris dalam program berbahasa Cina, awal tahun 2011. Bagaimanapun, singkatan perkataan bahasa Inggeris masih digunakan secara kerap dalam siaran berita utama dan berita sukan.

Begitulah serius negara-negara lain menjaga bahasa kebangsaan dan identiti kebangsaan mereka. Kita sepatutnya belajar daripada pengalaman tersebut. Bukannya asyik berpolitik dan memikirkan untuk kepentingan bangsa sahaja. Pembinaan negara bangsa hendaklah diutamakan berbanding yang lain.

Bayangkan jika kumpulan ini menjadi minoriti di China, apakah reaksi mereka terhadap dasar tegas kerajaan komunis ini. Di Malaysia, hak bukan Islam dijamin dalam perlembagaan, termasuk agama dan bahasanya. Tetapi janganlah mengambil kesempatan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, malah boleh menggagalkan program tranformasi kerajaan.

Lebih malang lagi, di kalangan kita sendiri menjadi pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Misalnya, gerakan untuk meneruskan pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), walaupun telah dimuktamadkan oleh kerajaan. Hujah mereka amat simplistik, keputusan peperiksaan-periksaaan lalu menunjukkan peningkatan. Indeks ini dijadikan alasan menunjukkan bahawa PPSMI telah berjaya. Mereka yang bukan pakar melihat dari segi indeks.

Sedangkan mereka yang pakar dalam bidang bahasa melihat dari sudut lain. Jika penguasaan bahasa Inggeris yang menimbulkan masalah, yang perlu diperbetulkan adalah semua perkara yang berkaitan dengan bidang tersebut, seperti prasarana, makmal, guru, cara pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya, bukannya dengan merubah sistem yang menjadi identiti kenegaraan Melayu.

Hari ini, tindakan kita adalah merubah sistem, bukannya merubah cara. Inilah kekeliruan yang selalu timbul. Pakar bahasa diketepikan dalam perkara sebesar ini. Merubah sistem melibatkan keseluruhan cara hidup dan masa depan sehingga menenggelamkan identiti dan jati diri. Sedangkan merubah cara melibat aspek teknikal dan kemahiran.

Amat hina sekali melihat orang Timur hari ini apabila bertutur dalam bahasa Inggeris, accent atau gaya terlalu keInggerisan atau kebaratan. Kita sepatutnya bertutur bahasa Inggeris dengan sebutan dan bunyi yang betul, bukannya bertutur bahasa Inggeris bunyinya lebih Inggeris daripada orang Inggeris sehingga kita tidak dapat bezakan yang bertutur bahasa Inggeris itu orang putih atau orang Melayu. Sepatutnya, mendengar sahaja orang timur berbahasa Inggeris, kita sudah tahu sama ada penutur tersebut Melayu, Cina atai India.

Cuba kita lihat cara orang putih berbahasa Melayu. Mereka bercakap bahasa Melayu dengan accent atau gaya orang putih, tanpa perlu memelayukan bunyi bahasa Melayu tersebut sehingga seolah-olah mereka kelihatan seperti orang Melayu. Akulturasi itu berlaku tetapi tidak menghilang identitinya. Persoalannya, kenapa orang Melayu hari ini berbahasa Inggeris sehingga hilang identiti keMelayuannya?

Bertindak sebelum terlambat. Proses dinamika akulturasi perlu diberikan perhatian serius oleh kabinet daripada melayan karenah remeh-temeh novel interlok yang sengaja dicetuskan oleh golongan berkepentingan. Banyak lagi masalah negara yang sedang menunggu. Kita terlalu cepat melatah dalam perkara bukan isu. Interlok tidak sepatutnya dibawa sampai ke kabinet seolah-olah isu ini adalah masalah negara. Cukup hanya dibincangkan di peringkat kampung atau pemimpin bawahan sahaja.

Saya bimbang selepas ini, pihak-pihak berkepentingan akan mencari setiap baris dan ayat dalam buku teks untuk dijadikan modal isu, untuk menggugut dan mendesak kerajaan. Mereka tahu kerajaan mudah mengalah dalam keadaan tersepit hari ini. Sudah sampai masanya kita bertindak berani dan tegas dalam perkara-perkara yang tidak boleh ditolak ansur lagi.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Gabungan 1Malaysia”

Friday 7 January 2011

BOLEHKAH BERI ZAKAT KEPADA BUKAN MUSLIM?


Soalan: Prof Madya Dr Asri, saya ingin bertanya mengenai bolehkah orang bukan Islam mendapat peruntukan zakat. Saya difahamkan ada pendapat yang menyatakan golongan muallaf yang berhak dapat zakat itu, ada pendapat kata termasuk yang bukan muslim. Begitu juga fakir miskin. Tapi ada yang beritahu tidak boleh. Sehingga timbul isu politik. Saya rasa di Malaysia ini kita patut faham Islam dengan lebih luas. Harap tuan dapat berikan pencerahan kepada kami.

Nuruddin, Selangor.

Jawapan Prof Madya Dr MAZA: Terima kasih saudara yang bertanya. Usaha saudara dan rakan-rakan untuk memahami Islam dengan lebih luas adalah sesuatu yang terpuji. Apatah lagi dalam isu-isu muamalat yang membabit interaksi antara agama yang memberi impak kepada perkembangan Islam. Untuk menjawab persoalan saudara, di sini saya sebutkan beberapa perkara;

1. Masalah bolehkah bahagian sadaqah wajib atau yang dinamakan zakat diberikan kepada bukan muslim adalah masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah). Al-Imam al-Syafi’i r.h (w. 204H) berpendapat tidak boleh. Pendapat yang sama dikeluarkan oleh fuqaha lain. Pendapat ini beliau sebutkan dalam karyanya yang terkenal al-Umm, katanya:

“Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi s.a.w sendiri. Bukan dari harta zakat”. (al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

2. Pendapat al-Imam al-Syafi’i r.h tersebut telah menjadi pegangan dalam Mazhab al-Syafi’i. Maka, kita dapati tokoh-tokoh dalam mazhab al-Syafi’i akan menegaskan hal yang sama. Ini seperti al-Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab, al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ dan lain-lain. Berdasarkan asas ‘kekufuran’ itu menghalang bukan muslim menerima peruntukan zakat, maka –dalam Mazhab al-Syafi’i mereka tidak boleh menerimanya samada atas tiket kefakiran ataupun muallaf.

3. Adapun jika kita melihat pendapat yang lain, sebahagian para fuqaha menyatakan mereka boleh menerima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Ini seperti yang dinaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 60. Peruntukan ini merangkumi mereka yang masih kafir dan yang telah menjadi muslim. Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620):

“Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).

zakat1.jpg

4. Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi s.a.w memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:

“Demi Allah! Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” (Riwayat Muslim).

5. Walaupun Mazhab al-Syafi’i dan selainnya menyatakan bahawa nas Surah al-Taubah itu bermaksud mereka yang sudah menganut Islam dan kisah Nabi s.a.w memberikan harta kepada pembesar-pembesar Arab yang masih kafir itu diambil dari peruntukan selain zakat, namun di sana ada ayat al-Quran lain yang menunjukkan bahawa Nabi memberikan sadaqah (zakat) kepada bukan muslim. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 58-59: (maksudnya)

“dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (alanglah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka dan berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”.

Kata Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar:

“Nas ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat sadaqat (zakat), pemberian tersebut adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah s.a.w mengenai zakat”. (ibid).

Ertinya, mereka itu belum menganut Islam, jika tidak, mana mungkin mereka mencela Rasulullah s.a.w kerana itu perbuatan yang kufur. Justeru, ayat ini memberi maksud Rasulullah s.a.w memberikan zakat kepada bukan muslim untuk dijinakkan jantung hati mereka pada zaman baginda.

6. Bagi saya, pendapat yang membolehkan zakat bahagian muallaf diberikan kepada bukan muslim dengan tujuan dakwah adalah lebih kukuh dan sangat relevan untuk masa kini. Hari ini Islam disalahfahami dan dituduh sebagai agama yang negatif. Pemberian zakat kepada muallaf yang sudah muslim dan belum muslim dapat membantu memelihara keindahan Islam. Jika kita bimbang aktiviti dakwah agama lain yang menggunakan sumbangan kewangan dan bantuan, mengapa tidak kita mengamalkan pendapat para ulama yang membolehkan pemberian zakat muallaf kepada mereka yang bukan muslim untuk menarik minat mereka kepada Islam?!

7. Selain dari peruntukan zakat kepada bukan muslim atas nama muallaf, para ulama juga berbeza pendapat tentang peruntukan zakat fakir miskin kepada bukan muslim. Jumhur (majoriti) berpendapat tidak boleh. Namun, Dr Yusuf al-Qaradawi mentarjihkan bahawa ia dibolehkan (lihat: Fiqh al-Zakat, 2/707) . Antara dalil dalam hal ini, Saidina ‘Umar ketika membaca firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 itu: (maksudnya)

“Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir…”, beliau berkata: “Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)” (Riwayat Ibn Abi Syaibah).

8. Para sarjana fekah bersepakat bahawa peruntukan zakat tidak boleh diberikan kepada kuffar yang memerangi Islam atau golongan kafir harbi. Ini berasaskan firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah 8-9).

Namun bagi yang tidak memerangi Islam; samada mereka warga negara umat Islam, atau yang ada perjanjian keamanan dengan kerajaan umat Islam, atau anak-anak dan kaum wanita kafir harbi yang bapa mereka memerangi tetapi mereka tidak terlibat, boleh diberikan peruntukan zakat muallaf atau fakir miskin ini.

9. Institusi zakat sebenarnya, jika berperanan dengan betul akan membangun umat Islam, dakwah Islam dan membina imej yang baik untuk masyarakat Islam. Jika zakat diuruskan dengan baik, banyak yang dapat dilakukan. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu!

read more “BOLEHKAH BERI ZAKAT KEPADA BUKAN MUSLIM?”

BUNUH PENGKRITIK SULTAN, SATU CADANGAN YANG HINA

Seorang YB dan NGOs tertentu mencadangkan agar pengkritik sultan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Walaupun ada kaitan dengan politik kepartian tertentu -itu bukan urusan saya- tetapi saya ingin mengulas cadangan ini di sudut hukum Islam seperti berikut;

1. Cadangan ini sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau kesemua maksiat yang lain. Ini kerana, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Cadangan ini bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul. Dosa membunuh dalam Islam lebih besar dari dosa zina, arak, judi dan lain-lain.

2. Sultan bukanlah nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik. Kepercayaan sesetengah pihak bahawa haram mengkritik atau berbeza pendapat dengan sultan seakan menyamakan kedudukan sultan dan raja melayu dengan para nabi a.s. Sedang para al-khulafa al-rasyidin iaitu Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali yang jauh lebih mulia dari sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka. Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih.

Demi Allah! Debu yang berada di hidung kuda para sahabat nabi s.a.w yang berjuang bersama Nabi s.a.w lebih mulia dari kebanyakan sultan atau raja yang ada dalam dunia ini. Sahabat Nabi s.a.w tidak pernah menggesa agar dibunuh pengkritik mereka. Bahkan dalam Sirah, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi s.a.w dan membantah baginda seperti yang berlaku kepada ‘Umar r.a ketika perjanjian Hudaibiyyah, pun Nabi s.a.w tidak membunuh beliau.

3. Pada saya, pencadang hukuman tersebut; adalah pengampu yang melebihi had. Jika dia muslim, dia seorang yang ‘kering perasaan’ dan tidak takutkan Allah mengenai ‘darah orang lain’. Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak. Wajib dia bertaubat dan menarik balik cadangan tersebut.

read more “BUNUH PENGKRITIK SULTAN, SATU CADANGAN YANG HINA”

Sunday 2 January 2011

Politik murahan yang memualkan

Mingguan Malaysian 2 januari 2011

Minggu ini kita dihidangkan dengan dua isu permohonan maaf melibatkan dua pemimpin utama negara. Pertama, Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahukan mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya. Lebih berat lagi beliau berkata: “Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya”.

Kedua, ketua parti ultra kiasu Selangor dan pemimpin Pas Shah Alam mendesak Perdana Menteri memohon maaf berhubung satu arahan daripada pejabat PM supaya tidak menonjolkan elemen keagamaan Kristian seperti lambang salib, upacara sembahyang, doa dan nyanyian berunsur Kristian, dalam satu majlis sambutan Krismas (rumah terbuka) yang dihadiri oleh PM, di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur, 25 Disember lalu, anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) itu.

Pemimpin ultra kiasu ini menyifatkan arahan daripada pejabat PM merupakan satu tindakan yang “tidak menghormati” penganut Kristian. Ia juga dikatakan satu pengkhianatan terhadap (slogan) berbilang etnik, berbilang agama dan gagasan 1Malaysia yang diwar-warkan oleh PM. Tindakan ini dilihat seolah-olah mahu “menyah-Kristiankan” majlis sambutan Krismas berkenaan dan menafikan kebebasan beragama bagi rakyat Malaysia.

Lebih ultra lagi, mereka menggesa PM mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan mengarahkan kerajaan supaya menghormati tradisi Krismas dan hak rakyat Malaysia untuk bebas beragama. Ultra kiasu sungguh mereka yang tidak sedar diuntung ini. Mencari politik murahan yang amat memualkan, dalam keadaan umat Islam tersepit.

Pada saya, jika benarlah berita tersebut, permintaan pejabat PM itu tidaklah terlalu berat. Ia tidak ada kaitan langsung dengan tindakan untuk menghalang kebebasan beragama, kecuali mereka yang ingin mendapatkan laba politik. Selama ini, tidak ada siapapun melarang sambutan Krismas sehingga menenggelamkan suasana bandaraya, walaupun bilangannya begitu sedikit. Sambutan Krismas seolah-olah mempamerkan penganutnya lebih daripada 50 peratus. Atas dasar menghormati kebebasan beragama, tidak ada larangan untuk menghadkannya, walaupun sepatutnya berpada-pada dengan bilangan kurang dari 10 peratus.

Pemimpin Pas Shah Alam begitu beriya-iya mempertahankan isu ini dan mendakwa PM tidak mengamalkan toleransi beragama. Pada saya toleransi yang ditunjukkan oleh pemimpin negara selama ini terlalu tinggi, jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Berapa banyak cuti perayaan bukan Islam yang diberikan cuti umum? Bandingkan perayaan-perayaan Islam di negara bukan Islam. Lihatlah apa yang berlaku di Singapura.

Cuba kita fikir sebentar berapa banyakkah gereja Kristian yang telah didirikan dengan penganutnya yang tidak sampai 10 peratus. Ini tidak termasuk di Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan rumah ibarat penganut Sikh yang kurang dari lima peratus. Hindu dan Buddha, tidak usahlah dikira lagi.

Pas tidak perlulah menangguk di air yang keruh. Saya yakin jika pemimpin Pas Shah Alam itu bertanding atas tiket ultra kiasu di salah satu kawasan parlimen Kuala Lumpur, sudah tentu sambutan yang diterima amat luar biasa, kerana beliau jelas mewakili suara bukan Islam. Malang sungguh rakyat Shah Alam mendapat pemimpin sebegini rupa. Ternyata suara ketua ultra kiasu Selangor dan pemimpin Shah Alam ini sama dan senada, cuma agama sahaja yang berbeza. Jika tidak, mungkin mereka berjodoh.

Benar, Kristian berhak untuk menyambut perayaan mereka. Namun, tidakkah mereka juga patut menghormati PM selaku seorang pemimpin nombor satu yang beragama Islam? Jika mengikut hukum, banyak perayaan agama bukan Islam yang tidak boleh dihadiri oleh orang Islam. Tetapi atas toleransi dan keharmonian, pemimpin negara kita buat pejam mata sahaja. Saya juga ingin mendapat komen pemimpin Pas dalam hal ini. Dan juga, apakah hukum membina patung Buddha yang begitu besar di Kelantan dengan bilangan penganut mereka yang begitu sedikit di sana?

Cacatkah majlis tersebut dengan ketiadaan lambang-lambang tersebut? Selama ini kebanyakan sambutan perayaan Malaysia diadakan di tempat terbuka (neutral) yang dihadiri oleh PM. Kali ini PM bermurah hati menerima jemputan yang diadakan di rumah bishop tersebut. Sudah tentu lambang-lambang keagamaan bersepah-sepah di rumah tersebut. Apakah permintaan PM begitu besar kesalahannya, hanya semata-mata untuk mengelakkan fitnah?

Maklumlah politik murahan hari ini hanya menunggu masa untuk menjatuhkan seseorang. Seribu kebaikan akan dilupakan hanya dengan satu kesilapan atau kesalahan. Inilah politik kotor saling jatuh-menjatuh yang tidak pernah berkesudahan kalangan orang Melayu Islam?

Lebih hina lagi pemimpin ini membanding dengan, apakah mungkin PM akan mengalihkan patung-patung di Batu Caves jika ada jemputan dibuat daripada penganut Hindu di sana? Ternyata ia merupakan dua isu yang berbeza. Saya yakin, semua pemimpin Islam tidak akan berada selesa jika majlis keramaian atau perayaan diadakan di tempat-tempat ibadat.

Justeru, kita lihat amat jarang sekali, rumah terbuka sambutan hari raya diadakan di dalam masjid, kerana kita menghormati sensitiviti orang bukan Islam. Sambutan akan diadakan di tempat-tempat awam untuk mengelakkan kontroversi. Matlamat utama adalah perpaduan.

Sepatutnya sambutan Krismas tidak sepatutnya dibuat di gereja atau di rumah paderi tetapi di tempat umum. Sama juga sambutan di Tahun Baru Cina, tidak wajar di adakan di tokong atau kuil Cina kerana sambutan tersebut tidak sesuai diadakan di sana kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah.

Sudah tentu kita masih ingat kisah Khalifah Islam kedua, Saidina Omar Al-Khattab yang pernah melawat gereja. Ketika tiba waktu sembahyang, paderi tersebut menawarkan Omar untuk solat di gereja. Namun, Saidina Omar menolak dan memilih untuk tidak solat di dalam gereja kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah. Mungkin orang Kristian akan beranggapan Omar mahu menukarkan gereja menjadi masjid. Semua ini dilakukan atas kebijaksanaan seseorang pemimpin.

Kesediaan dan kesudian PM yang sanggup ‘mencemar duli’ pergi ke ‘rumah ibadat’ tersebut sepatut diberikan penghargaan dan pujian, bukannya dilacurpolitikkan. Bayangkan jika PM tidak berhati-hati dan terus pergi ke ‘rumah ibadah’ tersebut, tiba-tiba muncul gambar PM bersama-sama lambang salib di atas kepalanya. Tidakkah nanti akan dipolitikkan oleh pembangkang ketika pilihan raya. Saya masih teringat bagaimana lambang salib dijadikan isu untuk mengaibkan dan menjatuh pemimpin Islam satu ketika dahulu. Tidak kiralah siapa yang melakukannya, tetapi semua peristiwa ini perlu dijadikan teladan.

Pada saya jika tidak ada arahanpun, sepatutnya pihak gereja perlu faham sensitiviti masyarakat Islam di negara ini setelah lebih 53 kita merdeka. Jika perkara ini sudah tidak menjadi sensitif lagi, saya cadangkan Menteri Besar Selangor atau Kelantan, satu hari nanti mungkin boleh mengambil kesempatan untuk merasmikan tokong atau gereja orang bukan Islam? Saya yakin orang bukan Islam juga tidak akan berasa selesa jika kita panggil menghadiri majlis keagamaan orang Islam di dalam masjid.

Sebenarnya, banyak cara untuk menunjukkan rasa hormat terhadap agama lain, tidak semestinya melalui jemputan rumah terbuka, apatah jika di buat di tempat ibadat. Saya tidak pasti, apakah PM akan melakukan permohonan maaf atau tidak. Dalam isu ini, yang pasti PM tidak bersalah. Terpulang kepada kebijaksanaan PM. Tetapi amatlah tidak molek dan bersopan, jika kita memaksa PM memohon maaf secara terbuka seperti yang cuba dilakukan oleh Nik Aziz.

Saya amat hairan, tidak seorangpun yang memberikan pandangan akan desakan Nik Aziz agar mereka yang menfitnah soal kematiannya supaya memohon maaf. Tidakkah tuan guru sebagai orang alim dan orang agama sepatutnya memaafkan mereka yang bersalah? Bukankah ini sifat Rasulullah yang sentiasa mengampunkan kesalahan umatnya? Sedangkan Nabi ampunkan umat inikan pula kita sesama manusia. Tutup buku dan habis cerita. Kenapa kita mesti bebankan mereka dengan ‘dosa’ yang tidak diampunkan. Jika demikian sifatnya, saya bimbang nanti, neraka di akhirat ini penuh dengan umat Islam yang tidak diampunkan dosanya oleh Nik Aziz.

Saya tidaklah sealim Nik Aziz. Apatah lagi ilmu agama amat cetek berbanding Nik Aziz. Saya tidak pernah meminta mereka yang mengutuk saya dan menfitnah saya selama ini menerusi penulisan saya dalam Mingguan Malaysia untuk memohon maaf. Kalau kita lihat dalan internet, boleh dikatakan ratusan ribu, mungkin sampai juta, orang mengata dan mengutuk saya macam-macam. Saya tidak pula meminta mereka memohon maaf. Pada saya inilah adalah asam garam hidup yang perlu dihadapi dengan lapang dada.

Dahulu, saya amat menghormati Nik Aziz atas sifat ketokguruan beliau. Namun, sejak akhir-akhir ini saya mula rasa sangsi dan ragu. Pas sahaja yang betul, Umno semuanya salah.

Lantaran itu, Nik Aziz secara total menolak pintu perundingan dengan Umno, walaupun demi kepentingan umat Islam. Beliau sentiasa berprasangka buruk kepada Umno dalam apa jua cara sekalipun. Alasannya mudah, PAS pernah merasai peristiwa pahit ketika bersama Umno dalam Barisan Nasional suatu masa dahulu.

Keadaan sudah banyak berubah pada masa kini. Walaupun kini Pas tidak bersama Umno, tetapi saya amat yakin sekiranya Nik Aziz pergi berjumpa dengan Perdana Menteri dan berbisik kepadanya mengenai wang royalti minyak secara baik, tidak mustahil suatu hari nanti Nik Aziz akan merasa menggenggam wang royalti tersebut untuk diserahkan kepada rakyat Kelantan. Tetapi saya amat tidak faham kenapa sejak akhir-akhir ini sikap lunak tuan guru semakin hilang.

Saya masih teringat kata-kata hikmah antaranya yang berbunyi, cara untuk menewaskan musuh adalah dengan mendekati dan memenangi hatinya, bukannya menjauhkan diri atau tidak mahu memaafkan kesalahannya. Jika nak tahu keburukan kita tanya musuh. Jika nak tahu kebaikan kita tanya kawan kita. Orang Pas sudah pasti tidak akan mengutuk Nik Aziz, kerana mereka amat menghormati ketokguruan Nik Aziz. Tetapi tidak pada orang bukan Pas. Mungkin mereka mempunyai pandangan sebaliknya. Tidakkah pandangan tersebut sepatutnya kita muhasabahkan untuk melihat diri kita dengan lebih mendalam?

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Politik murahan yang memualkan”