Thursday 31 May 2012

UNTUNGNYA BILA UMNO DAN PAS BERTEMU



Saya menarik nafas lega apabila Mursyidul Am Pas menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan Umno bagi membincangkan isu yang timbul dalam kalangan umat Islam dengan lebih menyeluruh. Langkah pertama ini mesti disahut oleh Umno tanpa menoleh lagi. Tidak perlu sindir-menyindir atau mempertikaikan keikhlasan antara satu sama lain. Tidak ada faedahnya. Berbincanglah secara baik.

Tiba-tiba beberapa hari selepas itu, Mursyidul Am Pas mengenakan beberapa syarat yang menghalang untuk memulakan langkah pertama itu. Presidennya pula berkata tidak ada dialog sebelum PRU 13. Persoalan saya, kenapa merumitkan keadaan? Bersemukalah dahulu. Hulurkan tangan sebagai tanda persaudaraan. Kenapa mesti memberi syarat untuk menerima pakatan ultra kiasu yang jelas-jelas menentang Islam? Bagaimanakah langkah pertama boleh bermula?

Mengenakan syarat sebegini menampakkan ketidakikhlasan kita. Sampai bila kita mahu bergaduh dan berpecah, sedangkan kita adalah satu umat. Tidakkah kita terfikir, orang lain semakin jauh meninggalkan kita dan ada yang merancang untuk memusnahkan kita. Bacalah kitab adabul ikhtilaf, adab-adab berbeza pendapat. Berjumpa dahulu, barulah kenakan syarat. Bagaimana suka itu akan timbul jika tidak berjumpa. Takkan Pas mempercayai orang yang jelas menentang Islam daripada orang Islam sendiri? Saya fikir pendekatan Pas terlalu keras dan tidak berhikmah. Musykhil saya tentang asas Islam yang dibawa Pas. Sepatutnya Umnolah yang mengenakan syarat sebab mereka masih berkuasa, walaupun sedikit tersepit. Janganlah mengambil kesempatan.

Fahamilah real politik Malaysia. Ingatlah Parti Melayu Islam (Pas dan Umno) tidak boleh menang sendirian, jika mereka tidak bersatu, kerana kita hanya ada 50 peratus. Umat Islam memerlukan antara satu sama lain. Dua parti umat Islam ini sudah cukup untuk saling memperkukuhkan Islam jika ada kemahuan. Tidak perlu mengharapkan kepada PKR. Mereka hanya parti nyamuk. Nyamuk-nyamuk ini membawa banyak virus.

Setiap hari kedengaran, ahli-ahli PKR sibuk berebut mahu menjadi calon menjelang PRU 13. Agenda Melayu Islam entah ke mana. Kerja-kerja tidak buat juga. Maklumlah, mereka masih lagi membawa ‘perangai lama Umno’. Lebih kelakar lagi, dalam keadaan demikianpun mereka masih menganggap mereka kuat. Mahukan kerusi tambahan di setiap negeri sehingga mengenepikan parti senior seperti Pas. Begitulah sombongnya mereka yang menguasai Selangor hari ini.  Bayangkan jika mereka mendapat beberapa negeri lagi, bertambah bongkak jawabnya.

Perkara utama yang perlu dijadikan tajuk perbincangan adalah mengenai perpaduan dan menyelamatkan akidah umat Islam dari ancaman ultra kiasu. Jangan biarkan orang Melayu menjadi ahli parti ultra kiasu. Menyertai dan bersubahat dengan parti ultra kiasu adalah isu akidah. Mereka mahu tukar negara ini kepada negara sekular, mahu menghalalkan LGBT, dan lain-lain. Sekurang-kurang Umno masih cenderung kepada Islam dan menentang LGBT. Mana lebih baik untuk bergabung dan berkawan?

Saya ingin menawarkan diri untuk menjadi orang tengah atau moderator muzakarah ini. Lagipun saya adalah orang Cina Islam yang kurang kepentingan antara dua parti Melayu ini. Saya bersetuju dengan pendapat sayap ulama muda Umno, perbincangan itu mesti dilaksanakan dengan ilmiah, bukannya berlandaskan emosi dan sanggup menerima kebenaran yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, selari dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda.

Saya yakin selepas muzakarah ini parti ultra kiasu Cina dan Melayu akan kecut perutnya. Hari ini mereka begitu bongkak. Parti ultra kiasu amat yakin mereka akan dapat menarik orang Melayu untuk memasuki parti itu di sebalik perletakan jawatan Tunku Aziz Tunku Ibrahim. Sebagai ganti, ultra kiasu melantik pensyarah di tempat kerja saya berjawatan profesor madya, bukannya profesor penuh.

Umum mengetahui, Melayu yang menyertai parti ultra kiasu, ilmu Islamnya cetek. Jenis yang anti-Islam. Inilah Melayu yang diinginkan oleh ultra kiasu. Mudah diperalatkan. Pandangan mereka tidak selari dengan Islam. Mereka mahukan Islam yang liberal. Lihatlah telatah seorang anak muda Melayu, yang menjadi setiausaha politik pemimpin ultra kiasu di Pulau Pinang. Saya tidak hairanlah dia berperangai sedemikian, kerana bapa juga dahulu, bukanlah suka kepada Islam. Akhlaknya sama seperti ultra kiasu, suka minum.

Saya ingatkan umat Islam, berpolitiklah secara matang. Untuk mengalah ultra kiasu bukan dengan tarian ponggong, jual burger depan rumah. Perbuatan sebegini tidak mendatangkan faedah, malah memalukan. Cara kita berhadapan dengan ultra kiasu adalah dengan hujah ilmu dengan menguruskan negara penuh integriti.

Ingatlah hari ini, cabaran kita semakin hebat. Ultra kiasu berada di mana-mana hatta dalam rumah sendiri. Minggu lalu, di Kuantan kumpulan ultra kiasu berdemonstrasi mendesak kerajaan memberikan kebenaran mendirikan lebih banyak sekolah persendirian Cina di seluruh negara. Jika kerajaan tunduk kepada tekanan ini, sekolah persendirian akan tumbuh macam kulat. Mereka tidak ada masalah dari segi kewangan. Jutawan mereka berada di merata tempat.

Bayangkan selepas tamat sekolah rendah, lebih ramai akan memasuki sekolah persendirian, bagaimanakah pembinaan negara bangsa selepas ini?Apakah bentuk perpaduan yang akan kita hasilkan? Benar, pada peringkat permulaan, mereka tidak perlu bantuan kewangan. Lama kelamaan, bila sudah banyak, sudah pasti mereka akan mendesak supaya memberikan bantuan sepenuhnya seperti yang berlaku hari ini. Tidak ada lagi beza antara aliran kebangsaan dan vernakular. Bantuan yang diberikan hampir sama. Malah melebihi. Saya langsung tidak lihat bantuan diberikan kepada sekolah agama rakyat.  

Dalam demonstrasi tersebut, pemimpin ultra kiasu mahukan dua resolusi diterima, menyokong sepenuhnya penubuhan sebuah sekolah persendirian dan mendesak kerajaan mendengar tuntutan rakyat supaya meluluskan sekolah tersebut. Persoalan saya, siapakah rakyat yang dimaksudkan itu? Untuk makluman semua, saya difahamkan kerajaan telahpun tunduk, dengan mengiktiraf sijil UEC dan diterima masuk melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan. Tidak mustahil selepas ini ke semua IPTA. Walaupun beberapa syarat dikenakan, seperti mendapat kepujian dalam BM, Inggeris dan melalui proses temuduga, adakah itu cukup dalam pembinaan negara bangsa?

Dr.  Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Jabatan/ Prof Madya
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Universiti Pertahahan Nasional Malaysia
read more “UNTUNGNYA BILA UMNO DAN PAS BERTEMU”

Mencari Penawar Duka, Pengubat Sengsara


MENCARI PENAWAR DUKA, PENGUBAT SENGSARAProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?

Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?
Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.
Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.
Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.
Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.
Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.
Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.
read more “Mencari Penawar Duka, Pengubat Sengsara”

Wednesday 30 May 2012

TIDAK WAJAR BUKAN MELAYU MEMERINTAH TANAH MELAYU


Saya sebenarnya sudah malas untuk menulis dalam akhbar Utusan/Mingguan Malaysia. Keluar sahaja artikel, saya terus diserang. Tetapi bila akhbar ini diserang sedemikian rupa oleh ultra kiasu, malas atau tidak, terpaksalah juga saya tampil, bukan membela, tetapi berkata benar.

Isu bukan Melayu sebagai Perdana Menteri bukan hari ini dibangkitkan oleh parti ultra kiasu. Tetapi sejak dahulu lagi. Cuba saudara pembaca buat kajian kenyataan demi kenyataan parti anti Melayu dan anti Islam ini sejak dahulu lagi. Bermula daripada ucapan-ucapan mereka dalam kempen pilihan raya umum (PRU) 1969, sehingga berlangsungnya PRU 1969 pada 10 Mei, diikuti perarakan kemenangan ultra kiasu di Kuala Lumpur 12 Mei, seterusnya membawa tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas itu.

Saya tidak ingin mengungkap lagi apa yang telah berlaku. Biarkan sejarah berlalu. Tetapi provokasi mereka amat melampau. Saya menyeru kepada semua pembaca meluangkan masa membaca buku sejarah Peristiwa 13 Mei 1969 dalam pelbagai versi. Antaranya tulisan Goh Cheng Teik (1971), Leon Comber (1985), Tunku Abdul Rahman (2007) dan lain-lain lagi.

Kata-kata seperti “Melayu sudah jatuh”, “Kuala Lumpur sekarang Cina punya”, “Ini negeri bukan Melayu punya”, “kita mahu halau orang Melayu” dan kata-kata seumpama itu adalah perkara biasa yang sering diulang-ulang sesama mereka hari ini. Saya bukan mahu mengapikan. Tetapi inilah bukti bagaimana sikap ultra kiasu tidak pernah berubah.

Pada saya yang baik itu, baiklah. Perlu disokong. Namun, bila tiba bahagian mungkar, maka perlu ditolak. 

Hari ini mereka nampak lembut terhadap Islam dan Melayu sebab mereka inginkan kuasa. Apabila kuasa telah diperolehi nanti, rasalah akibatnya. Maklumlah mereka bukan sahaja mendapat sokongan dalaman, tetapi juga luaran, terutama pulau kecil di selatan tanahair yang sentiasa mengikuti perkembangan politik di negara kita. Menunggu masa sahaja untuk bertindak. Apakah kita masih buta? Pemimpin-pemimpin mereka selalu berulang alik ke sana mencari dan memberi maklumat.

Ultra kiasu anak beranak itu cuba mempertahankan pengerusinya dengan merujuk kepada perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan PM terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Namun, katanya, berdasarkan realiti politik selama ini, perdana menteri Malaysia akan tetap seorang Melayu.

Ya, saya tidak nafikan, tetapi jagalah adab-adab bila berbicara. Tidakkah kita tinggal di negara sebelah timur. Bila bercakap, berlapik kerana ini menyentuh sensitiviti orang lain.

Sama seperti isu perkataan ‘pendatang’. Perkataan ini amat sensitif. Kenapa tidak ada lagi orang Melayu yang bercakap menggunakan perkataan ini? Kerana ingin menjaga hati orang lain. Inilah adab-adab yang perlu kita belajar. Saya cadangkan parti ultra kiasu ini menganjurkan kursus kepada ahli-ahlinya. Kalaupun tidak ramai boleh berbahasa Melayu atau masih gagap, sekurang-kurangnya belajar menjaga sensitiviti kaum lain, terutama bangsa majoriti.
Isu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri amat sensitif kepada Melayu kerana ini adalah tanahair tumpah darah mereka kerana setiap bangsa ada tempat tumpah darahnya. Apakah kita masih tidak sedar? Kecualilah kalau kita masih terpengaruh dengan pemimpin ultra kiasu Singapura yang sudah tua itu. Beliau pernah berkata: Mengikut sejarah katanya orang-oarng Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang kecil, cuma kira-kira 700 tahun yang lalu. Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha Agung Umno, Dato’ Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun. Dari itu, adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa mereka adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia, dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka. Utra kiasu itu berkata lagi, beliau dapat menyusun-galur nenek moyangnya sehingga 100 tahun di Singapura. Beliau menolak pendapat bahawa orang-orang Melayu adalah Bumiputera Gugusan Pulau-Pulau Melayu (Lee Kuan Yew, 1965; Flether, 1969).

Saya yakin ramai ultra kiasu masih terpengaruh dengan kata-kata ultra kiasu tua itu. Saya tidak nampak Utusan bersikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dalam melaporkan berita. Jika tidak benar, samanlah. Utusan tidak boleh asyik nak mengalah sahaja di kala orang lain terus menyerang. Mereka juga harus bertindak seperti akhbar Rocket, Suara Keadilan dan Harakah.

Pemimpin ultra kiasu berkata, "Apabila DAP muncul di muka depan Utusan, ia pasti berita buruk/ masalah politik kerana ia gaya putar belit mereka." Persoalan saya, apakah Umno atau Barisan Nasional mendapat liputan yang baik di muka hadapan akhbar-akhbar mereka? Tidak juga. Jadi, sebenarnya, mengata orang dia yang lebih.

Saya berpegang kepada prinsip, “kita tidak akan menyerang jika tidak diserang. Tetapi kita tidak akan menyerang, tanpa tentangan”.

Menurut ultra kiasu, Utusan sengaja mencipta "isu yang tidak wujud" demi kepentingan politik dan berkempen menakut-nakutkan orang ramai, seperti "fitnah" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika Umno tumpas, Melayu akan hilang kuasa politik.

Pada saya, bukti sudah jelas di depan mata, apa yang terjadi kepada Melayu di Singapura apabila ultra kiasu memegang kuasa. Terbelakah orang Melayu. Ada atau tidak, Melayu menjadi presiden Singapura selepas itu? Begitu juga kedudukan Melayu dalam jawatan berkaitan strategik dan keselamatam seperti perkhidmatan polis, tentera, pilot, imigresen dan sebagainya. Janganlah buat tidak tahu. Perancangan busuk ultra kiasu sudah termaktub dalam sejarah.

Lepas ini mungkin ada yang berkata dalam blog saya, ada yang terasa nak murtad apabila membaca pandangan saya. Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya berkata benar. Jika ada yang mahu murtad disebabkan pandangan dan hak saya untuk bersuara, saya serahkan kepada Allah SWT. Tetapi saya tidak boleh berdiam diri melihat sahaja perancangan jahat orang lain.

Kenyataan balas pengerusi ultra kiasu dibuat semata-mata strategi untuk menarik orang Melayu menyertai mereka setelah Tunku Abdul Aziz keluar parti. Kepada orang Melayu berada dan yang menyertai parti ultra kiasu ini, insaflah. Banyak lagi parti lain yang matlamatnya lebih jelas daripada parti ini.

Pada saya, jika benarpun dari segi undang-undang, tidak perlu bercakap, kerana ia menyakitkan orang lain. Apakah mungkin Singapura berperdanamenterikan Melayu walaupun perlembagaan negara tersebut tidak menetapkan bangsa Cina sahaja yang akan menjadi perdana menteri? Apakah peluang tersebut akan diberikan kepada Melayu? Jauh panggang dari api.

Saya bukan membela Utusan atau membela Umno. Ada beberapa perkara yang saya tidak boleh bersetuju. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh biarkan sahaja mereka diserang. Yang baik, sokonglah, yang salah, saya tolak. Tetapi ultra kiasu ini tidak sedemikian, termasuk ultra kiasu Melayu, buat baik, salah, buat jahat, lagi salah. Semua jadi serba salah. Inikah ciri orang bertamadun?

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Jabatan, Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
read more “TIDAK WAJAR BUKAN MELAYU MEMERINTAH TANAH MELAYU”