Wednesday, 15 June 2011

Ambil pengajaran bangsa yang pupus

Ambil pengajaran bangsa yang pupus

Sinar Harian 12 Jun 2011

Saya melihat generasi bangsa Melayu hari ini agak begitu complacent dengan kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu hilang di dunia”. Benarkah Melayu tidak akan hilang dengan melihat realiti hari ini? Perlu diingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya hingga akhir zaman, hanya kerana mereka adalah peribumi yang mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Jika kita mudah lupa, tidak bersedia, tidak bertegas dan engkar kepada perintah Allah, maka tunggulah harinya.

Realiti yang sedang berlaku di depan mata kepada umat Islam di Palestin dan orang Melayu Singapura amat menghibakan. Peribumi merempat di bumi sendiri dan tidak tahu ke mana nasibnya selepas itu. Apakah kita tidak mengambil pengajaran? Walaupun belum pupus, tetapi tanda-tanda kepupusan sudah semakin nyata akibat perpecahan yang tidak berkesudahan.

Tidak perlulah dinukilkan apa yang telah terjadi kepada kaum Lut, kaum ‘Add, penduduk Madyan, kaum Tsamud, Firaun, Qarun dan Haman yang telah dibinasakan oleh Allah. Jika sampai terjadi, generasi hari ini bakal dikutuk dan disumpah oleh generasi akan datang atas keegoan dan keangkuhannya.

Ingatlah, sudah banyak umat yang terusir dari tanah air, malah tidak sedikit yang telah hilang di dunia. Mereka yang berhak mewarisi bumi pusaka tidak semestinya bumiputera, tetapi sesiapa sahaja Allah akan gantikan jika sesuatu bangsa itu tidak bersyukur dan beriman. Mereka yang kekal di bumi sendiri adalah mereka yang beramal soleh dan tidak mengkhianati Allah. Begitulah ketetapan Ilahi sejak dahulu, kini, dan selama-lamanya;

"Dan sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis di dalam) Lauh Al-Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh" (Al-Anbiya: 105).

Sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu bangsa hancur disebabkan oleh mereka mudah lupa, rosak akhlaknya dan perpecahan yang tidak berkesudahan. Lebih malang jika Islam telah tercabut dalam dirinya. Allah yang berkuasa menjadikan, Allah juga berkuasa untuk menghapuskan.

“Maka tiap-tiap (mereka itu) Kami binasakan disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya angin ribut, hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang dibinasakan dengan letusan yang menggempakan bumi, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka yang Kami tenggelamkan di laut, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabut: 40)

Berdasarkan ayat ini, Allah telah menurunkan empat jenis azab yang telah ditimpakan ke atas umat terdahulu yang sebelum ini hebat dan gagah perkasa. Namun tiba-tiba, dengan sekelip mata hilang di dunia. Kepupusan yang berlaku bukan disebabkan Allah mahu menganiaya mereka, tetapi akibat dosa-dosa dan kezaliman mereka sendiri.

Justeru, sudah sampai masanya kita membuat muhasabah diri sendiri, apakah selama ini kita semakin tunduk dan sujud kepada Yang Maha Esa atau sebaliknya banyak melakukan kemungkaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh umat terdahulu? Firman Allah SWT lagi:

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.” (Al-An'am: 6)

Kekuatan dan kehebatan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal dan unggul. Sekelip mata boleh menjadi padang jarak padang terkukur jika Allah mengkehendakinya. Hancurnya kaum ‘Add dan kaum Tsamud, tenggelamnya Firaun dan Haman, serta punahnya Qarun ditelan bumi, tidak pernah ditangisi sebagai suatu tragedi. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Dunia tidak pernah rugi. Setiap yang pergi, pasti ada pengganti yang lebih baik.

Namun, manusia selalu leka apabila mendapat kuasa. Mereka lupa bahawa kuasa adalah milik Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah. Justeru, manusia mesti tunduk dan sujud kepadaNya. Manusia tidak boleh bermarajalela dan bertindak sewenang-wenangnya, seolah-olah dunia ini ‘ana yang punya’. Rakyat adalah hamba dan abdinya. Penguasa seperti ini biasanya tidak akan kekal lama. Apa yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab yang lain, sudah jelas menunjukkan bahawa seisi alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya meminjam buat sementara. Amanah ini hendaklah dipikul dengan ikhlas dan diserahkan kepada Pencipta.

Manusia yang terpedaya dengan kuasa itulah yang dibinasakan Allah dengan cara-cara yang dikendakiNya. Ada yang dihancurkan melalui bencana yang menimpa secara tiba-tiba seperti Tsunami. Tidak kurang yang dibinasakan dengan perpecahan sesama mereka. Ada yang musnah melalui proses yang memakan masa seperti serangan wabak penyakit, krisis ekonomi, krisis alam sekitar dan sebagainya lagi.

Kesimpulannya, nasib suatu bangsa sangat bergantung kepada kualiti diri yang dicirikan oleh khidmat dan manfaat. Suatu bangsa layak untuk terus hadir di dunia selama kehadirannya bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat. Hakikat inilah yang tersirat di sebalik ungkapan simbolik oleh Allah SWT yang bermaksud:

"...Adapun buih itu, akan hilang sebagai (bahan) yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (ar-Ra'd: 17).

Rasulullah SAW turut mengingatkan perkara yang sama, akan tiba satu zaman yang mana umat Islam akan dikerumuni oleh semua bangsa di seluruh dunia, seperti mereka ingin memakan hidangan makanan. Sahabat bertanya “adakah umat islam sedikit pada waktu itu”. Rasulullah menjawab” Tidak,bahkan kamu banyak seperti buih di waktu banjir. Tetapi Allah telah mencabut rasa gerun dihati musuh-musuh kamu terhadap kamu dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu”. Sahabat bertanya “Apakah wahan itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab “cintakan dunia dan takutkan mati”.”

Kiasan buih di sini adalah lambang kualiti sesuatu bangsa. Kosong tanpa isi walaupun membukit tingginya. Mudah pecah dan hilang. Persoalannya, adakah kita akan menjadi seperti buih? Mampukah kata-kata “Tak Melayu hilang di dunia dipertahankan, jika langkah-langkah sewajarnya tidak diambil untuk menyelamatkan Melayu? Justeru, untuk terus kekal relevan di nusantara ini, Melayu mesti bersatu atas asas Islam, bersedia menyumbang, mempunyai visi dan misi, idealisme dan iltizam.

Umat Islam tidak boleh duduk berdiam diri sahaja, dengan melihat sahaja apa yang berlaku. Lupakanlah perbezaan latar belakang, bangsa, ideologi dan parti politik buat selama-lamanya. Kita semua perlu menjadi penyumbang. Masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.

Ingatlah! Orang orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putusa asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam. Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telahpun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya.

Bertambah menyedihkan apabila umat Islam sendiri mengecam sesama sendiri, seolah-olah sudah tidak wujud persaudaraan lagi. Sedangkan Allah SWT sentiasa mengingatkan bahawa semua orang Mukmin itu bersaudara, tidak kira apa jua bangsa dan warna kulitnya.

Sejarah telah membuktikan, telah menjadi sunnatullah, generasi bangsa yang sudah tidak dapat diharapkan akan dibinasakan Allah. Mereka segera digantikan oleh generasi lain yang lebih baik, yang watak dan kualiti begitu jauh berbeza dengan sebelumnya.

Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka(Surah al-Kahfi: 59).

Dalam surah at-Taubah ayat 38-39, Allah SWT memberikan ancaman kepada mereka yang sudah tidak mahu berjuang, mereka yang lalai dengan kesenangan hidup, terpedaya dengan habuan keduniaan yang bersifat sementara dan tidak seberapa. Sedangkan semua tahu bahawa kebahagiaan akhirat yang kekal abadi. Jangan sampai Allah SWT gantikan kita dengan orang lain disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian sendiri.

Sedarlah wahai umatku, kesenangan dan kemewahan duniawi dapat membunuh idealisme dan melumpuhkan daya juang, jika tidak diseimbangkan dengan kepentingan ukhrawi. Bangsa yang telah hanyut dan terlalu obses dengan kebendaan hanya akan melunturkan dan mematikan perjuangan, adalah bangsa yang segera akan hilang di dunia. Saya tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan kita sebagai umat Islam, kerana saya bukan penulis upahan yang mendapat jutaan ringgit seperti yang didakwa. Saya hanya seorang ahli akademik yang imbuhan gajinya tidak seberapa. Tetapi saya sentiasa beringat dengan ancaman Allan SWT yang bermaksud:

"Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan ditukarnya (kamu) dengan kaum yang lain,..."(Surah at-Taubah: 39).

Yakinlah umatku, tanda-tanda bangsa pupus sudah semakin jelas dan menghampiri. Jika benar-benar berlaku pertembungan sesama umat Islam seperti yang dirancangkan pada 9 Julai ini sehingga berlaku tumpah darah, maka itulah adalah satu malapetaka yang dirancang. Memang, seolah-olah nampak ada orang bukan Islam bersama.

Persoalannya, adakah mereka akan meneruskan rancangan ini jika umat Islam tidak bersama mereka? Kita jangan terperangkap. Jangan nanti yang bertempur adalah kalangan yang berkulit sawo matang. Yang lain akan lari bertempiaran.

Saya berpendirian, menyokong tidak, menentangpun tidak, kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat ada hak untuk bersuara melalui pelbagai saluran yang telah dibenarkan dan disediakan. Bukan hanya dengan berhimpunan melalui pelbagai nama.

Apa yang penting jangan sampai berlaku pertempuran, jika ditakdirkan perhimpunan tersebut masih mahu diteruskan. Ada yang beranggapan bahawa itu adalah perhimpunan aman, tetapi adakah sesiapa boleh pastikan ia akan terus aman. Kita tidak tahu provokasi yang akan dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga boleh menyebabkan berlaku sesuatu di luar kawalan. Namun, saya tidak nampak rakyat Malaysia akan bertindak seperti apa yang berlaku di seperti di Mesir, Tunisia dan Syria kerana gaya dan cara hidup kita berbeza.

Kenyataannya, apa jua yang cuba dilakukan oleh Pas dan Umno terus berlaku pertembungan. Titik pertemuan semakin jauh. Titik perbezaan semakin meluas. Apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang terus dibangkang, apa yang dilakukan kerajaan juga dibangkang. Kenapa tidak, jika baik, disokong, jika mungkar ditentang. Yang hak tetap hak, yang batil tetap batil. Ambillah pengajaran bangsa-bangsa yang telah pupus.

1 comment:

Anonymous said...

dimana bumi dipijak disitu lah kita mati..bukan nya bangsa atau pun keturunan..yg penting hidup kerana Allah dan bukan nya secara perpasukan atau berbangsaan.sabenar nya banssaan itu terangkum sudah dalam agama Allah.