Sunday, 12 June 2011

Muzakarah JAKIM Berkenaan Hukum Forex Trading

Muzakarah JAKIM Berkenaan Hukum Forex Trading

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

forexcrazy

Setelah berhempas pulas melayan sebahagian bantahan, komentar dan tidak puas hati pedagang matawang asing ( Forex Trader) sejak tahun 2008, iaitu sejak dari awal saya menyediakan kajian ringkas yang dipaparkan di web ini, boleh dirujuk artikel tersebut di link berikut :-

1. Hukum melabur dan berniaga Forex
2. Hukum Leverage Haram.
3. Perosak Forex Trader

Saya bersyukur kerana semalam telah diadakan satu muzakarah besar yang dihadiri oleh lebih 200 orang ilmuan Shariah, ulama, ahli ekonomi, bankers dan peguam. Tiga kertas kerja dibentangkan.

Kertas kerja pula bukanlah disediakan oleh individu tetapi dibuat secara berkumpulan. Ini bermakna kertas kerja tersebut wajar diberikan lebih kredit kerana merupakan buah fikiran dan kajian secara kolektif yang sememangnya akan lebih kukuh berbanding kajian dan pandangan dari seorang individu. Bukan sekadar itu, malah kumpulan pengkaji juga telah mencuba sendiri berdagang melalui salah satu platform forex bagi mendapatkan kejelasan maksimum sebelum menyimpulkan sebarang hukum. Selain itu, mereka juga telah bertemu dengan penyedia platform FOREX itu sendiri di samping beberapa siri temubual dengan pedagang FOREX yang berpengalaman. Justeru, saya kira, perdagang FOREX tidak boleh sama sekali mempertikaikan kefahaman para pengkaji kerana penyelidikan mereka jauh lebih dalam dari hanya sekadar 'pengalaman', tambahan pula penyelidik juga menrima informasi rasmi dari pihak Bank Negara Malaysia selaku 'regulator'.

KUMPULAN PERTAMA

Hasil daripada kajian kumpulan pengkaji pertama yang dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Bin Som, Dr. Marjan Muhammad, Ust Luqmanul Hakim Hussain, En. Wan Norhaziki Wan Abdul Halim. Kesimpulan mereka mencatatkan seperti berikut :-

“1. Spot forex yang dijalankan oleh individu melalui platform internet agak berbeza daripada konsep spot forex yang dijalankan di peringkat inter-bank. Dari satu sudut, ia dibuat berdasarkan spot forex dari segi harga lani (value spot), tetapi dari segi penyelesaian ia tidak berlaku berdasarkan T+2. Malah penyelesaian tidak akan berlaku selagi pedagang tidak menutup posisi yang dibukanya.

Namun, dari sudut yang lain, spot forex dilihat lebih mirip kepada forward forex, kerana apabila pedagang membeli sesuatu matawang daripada broker, beliau tidak akan dapat memiliki matawang yang dibelinya. Sebaliknya, pedagang akan menikmatinya setelah beliau menjualnya semula kepada broker pada waktu hadapan. Apa yang membezakan spot forex oleh individu dengan forward forex ialah kadar tukaran matawang masa hadapan adalah tetap iaitu kadar yang dipersetujui pada tarikh transaksi, manakala kadar tukaran matawang dalam spot forex tidak tetap, tetapi berdasarkan turun naik harga pasaran matawang yang didagangkan.

2. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah. Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1),(2) dan (3) Akta Kawalan Pertukaran
Wang (AKPW) 1953. Mana-mana individu dilarang sama sekali berurus niaga matawang asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia.

3. Berdasarkan beberapa isu syariah yang diketengahkan termasuk isu qard = leverage, riba al-nasi’ah = rollover interest, qabd, menjual matawang yang tiada dalam pegangan (qabd) dan spekulasi yang melibatkan perjudian, ternyata operasi spot forex secara online oleh individu adalah tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan berhubung jualbeli matawang (bay‘ alSarf).”

KUMPULAN KEDUA

Manakala satu kumpulan lagi datangnya dari Universiti Utara Malaysia yang dianggotai oleh Prof. Madya Dr Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib, Dr. Muhammad Nasri Hussain. Kertas mereka menyimpulkan seperti berikut :-

“Berdasarkan perbincangan di atas, perdagangan forex online adalah tidak dibenarkan oleh Syarak kerana adanya perkara-perkara yang menyalahi Syarak iaitu.

i. Pembelian wang tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan kontrak Sarf dan mengandungi unsur riba.

ii. Sekiranya pembelian kredit itu ditakyifkan sebagai pemberian pinjaman oleh broker, perkara tersebut masih termasuk dalam aktiviti yang dilarangkan oleh Syarak kerana mengandungi unsur mendapat manfaat dari pinjaman, dan larangan mengumpulkan ‘pinjaman’ dan jual-beli’.

iii. Menjual matawang secara menangguhkan penyerahan adalah dilarang oleh Syarak. Syarat qabd dalam majlis tidak wujud di dalam transaksi ini. Keharusan melewatkan penyerahan (qabd) tidak boleh diaplikasi dalam urusniaga ini kerana tidak termasuk di dalam konsep ‘darurat’ bagi transaksi ‘bonafide’.

iv. Urusniaga broker secara online ini mengandungi unsur bay’ al-najsy iaitu peniaga menawarkan harga bukan untuk memiliki matawang sebaliknya untuk memberi faedah kepada penjual melalui kenaikan harga.

v. Urusniaga ini juga mengandungi ihtikar yang dilarang oleh Syarak.

vi. Urusniaga ini juga mengandungi unsur perjudian yang bergantung kepada turun naik harga atau angka.”

PERANAN SAYA

Saya hanya berfungsi sebagai pengulas dalam majlis semalam. Secara dasarnya hampir kesemua kesimpulan yang dibuat oleh kedua-dua kumpulan adalah sama dengan kesimpulan yang telah saya simpulkan sejak tahun 2008 yang lalu, dengan itu, saya menyeru kepada semua pedagang matawang yang tidak berpuas hati dan menolak pandangan yang mengharamkan pedagangan matawang ini untuk berfikir kembali demi kebaikan iman dan pendapatan masing-masing.

No comments: