Saturday, 16 October 2010

Meyakini kekuatan sendiri

Artikel Ahad lalu tidak disiarkan oleh Mingguan Malaysia kerana kekurangan ruang. Ahad ini artikel yang telah dihantar akan disiarkan seperti biasa. Sebagai tanda terima kasih atas ingatan sdr putrarahman, saya masukkan artikel untuk minggu ini.

Meyakini kekuatan diri

Artikel saya seringkali di ‘cut’ and ‘paste’ oleh laman web ultra kiasu seperti Malaysianinsider. Tujuannya tidak lain, laman web tersebut suka melihat saya dikutuk oleh pengunjung-pengunjung mereka yang juga ultra kiasu. Komen-komen yang positif tidak disiarkan, manakala komen yang negatif dibiarkan sahaja, langsung tidak ditapis.Terima kasih atas ‘publisiti’ itu.

Sedangkan mereka yang mengikuti penulisan saya mengetahui bahawa saya hanya cuba membawa kita semua menghayati sejarah dan perlembagaan serta menginsafi akan makna keadilan yang sebenar, bertunjangkan kepada kekuatan yang sedia ada pada kita. Kepelbagaian inilah sebenarnya yang menjadi sumber kekuatan kita berbanding negara lain selaras dengan gagasan 1Malaysia. Kekuatan ini yang sepatutnya digembelingkan, menjadi satu asset negara dan bukannya diputar belitkan.

Saya amat yakin Allah SWT merahmati negara kita. Kita jarang ditimpa bencana seperti negara lain. Malah kita dianugerah dengan pelbagai kekayaan sumber dan hasil masyhul serta bumi yang subur. Bayangkan jika apa yang ada ini, ditambah dengan kepelbagaian etnik yang menghayati sejarah, berpegang kepada perlembagaan dan norma kehidupan beragama serta mempunyai semangat patriotisma yang tinggi, sudah tentu kita boleh keluar sebagai negara Islam contoh terhebat di rantau ini dan negara Islam keseluruhannya sebagaimana yang diramalkan oleh Alvin Toffler. Mari kita melayari kehebatan kita satu persatu.

Lihat sahaja tanaman getah, kopi, kelapa sawit dan sebagainya. Tanaman ini bukan berasal daripada negara kita, tetapi berasal daripada Afrika. Bila dibawa masuk dan ditanamkan di sini, ianya hidup begitu subur dan menambahkan kekayaan negara kita sehingga boleh dieksport setanding dengan negara asal tanaman ini.

Begitu juga dengan tumbuhan herba dan rempah ratus. Baru-baru ini saya berkesempatan melawat ladang kepunyaan Haji Nasuha Kasian di Pagoh. Boleh dikatakan kebanyakan herba dan rempah ratus yang ditanam, datang daripada negara luar, namun ia tumbuh dengan suburnya apabila ditanam di sini bertuah ini, ibarat fajar di bumi permata. Pendek kata, letak apa sahaja biji benih di bumi ini, boleh dikatakan semuanya menjadi. Saya amat kagum dengan nikmat anugerah ini. Malangnya berapa ramai yang mensyukurinya. Teringat saya akan kata-kata hukama, haram membiarkan tanah terbiar selama tiga tahun begitu sahaja, hukumnya berdosa.

Di Thailand, setiap inci tanah dimanfaatkan. Di hadapan rumah mereka di tanam dengan berbagai jenis tanaman, sedangkan kita sibuk dengan mencantikkan rumah dengan menanam pokok-pokok bunga. Orang lain sanggup berjemur dan mencangkul di bawah kabel elektrik menanam sayur-sayuran. Sedangkan kita terus menjadi pembeli kepada sayur tersebut. Bekalan daging lembu, kambing, ayam, beras, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya masih lagi tidak mencukupi untuk menampung keperluan tempatan. Sedangkan kita tahu bahawa tanah kita amat subur kepada boleh dikatakan sesuai untuk semua jenis tanaman dan ternakan. Kita selalu mengamalkan budaya tidak kisah, janji makan minum cukup.

Selain itu, mengikut kajian yang dijalankan ke atas produk tempat kita seperti limau dari segi kandungan vitaminnya, ia lebih banyak daripada buah-buahan import. Menurut FAMA, masyarakat kita memandang rendah kepada buah-buahan tempatan seperti jambu, ciku, nanas, mempelam, betik serta buah-buahan bermusim seperti durian, langsat, duku, pulasan, rambutan, cempedak dan pelbagai buah yang lain. Ada yang menganggap buah-buahan ini boleh mengundang penyakit. Kita lebih berbangga dengan buah import. Pada hal buah-buahan tempatan tersebut mengandungi khasiat dan serat yang tinggi. Misalnya, salah tanggap terhadap durian sebagai buah ‘penyakit’ patut diperbetulkan. Ramai yang tidak tahu raja buah itu sangat kaya dengan potassium. Namun perlu diambil secara sederhana, jangan pula terlalu ultra atau ekstrim.

Kajian ini dibuktikan lagi melalui kenyataan Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Toh Puan Dr Aishah Ong. Menurutnya, buah tempatan mempunyai khasiat yang tinggi berbanding dengan buah yang diimport. Bahkan, Allah SWT juga menjadikan buah-buahan sebegini secara bermusim. Durian misalnya mengandungi fiber yang tinggi, kaya dengan vitamin C dan Vitamin A. Jika ada orang kata makan durian panas badan, Allah jadikan manggis sebagai penyejuknya, itulah sebabnya manggis dan durian boleh didapati pada musim yang sama.

Buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku, pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Misalnya, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan ini turut menyumbangkan serat.

Begitulah nikmat anugerah yang tidak ternilai. Masalah hari ini kita agak tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Media pulak tidak banyak membantu mempromosikannya. Buah-buahan import lebih banyak digunakan menghiasi iklan akhbar dan majalah daripada buah-buahan tempatan seperti ruangan kesihatan. Buah-buahan import dikatakan ada kelas dan berprestij, sedangkan buah tersebut mungkin mengandungi pengawet dan tidak segar lagi berbanding buah-buahan tempatan yang masih segar dan bebas bahan awetan.

Hujah ini menunjukkan kita seolah-olah tidak bangga dengan produk sendiri. Perkara ini berlaku dalam banyak hal. Kita lebih mempercayai kekuatan orang lain daripada kekuatan sendiri. Kita selalu memperkenalkan anak-anak kita dengan budaya-budaya dan bahan-bahan luar daripada jati diri kita sendiri. Akhirnya budaya sendiri dan produk sendiri tidak terdaulat di bumi sendiri. Orang lain menguasai kita. Kita hanya menjadi pengguna. Tidakkah kita merasa berdosa?

Tidakkah kita sedar bahawa kita mempunyai budaya yang unggul, tetapi kenapa budaya kita tidak tertonjol? Lagu-lagu Melayu dan etnik lain tidak kurang hebatnya berbanding dengan lagu-lagu barat. Persoalannya, kenapa lagu rock, hip hop, RnB dan berbagai lagi rentak barat menjadi pilihan? Ada yang beranggapan seolah-olah menyanyikan lagu etnik nampak lekeh dan konservatif, manakala bila menyanyi lagu barat nampak moden dan up to date. Inilah pemikiran yang perlu diubah.

Hari ini saya amat jarang mendengar, ahli korporat dan kadangkala ahli politik kita menggunakan bahasa Melayu bila berbicara atau ditanya oleh wartawan. Lebih menjengkelkan lagi ada wartawan yang bertanya dalam bahasa Melayu dijawab selamba sahaja dalam bahasa Inggeris.

Kita seolah-olah hendak menunjukkan kehebatan kita bahawa dengan berbahasa Inggeris, biar nampak bagus. Sebenarnya kita tidak sehebat manapun. Kita tidak akan ke mana-mana dengan hanya berbahasa Inggeris, jika perangai atau sikap tidak berubah. Lagipun bahasa Inggeris bukannya penentu kejayaan seseorang dunia, apatah lagi di akhirat. Allah tidak akan tanya, apakah kita pandai berbahasa Inggeris atau tidak? Apalah ertinya jika kita cair dengan bahasa Inggeris tetapi gagap bila membaca al-Quran, apatah lagi untuk memahaminya. Paling baik kita menguasai kedua-duanya atau lebih dari itu. Tetapi janganlah terlebih bahasa Inggeris sehingga identiti sendiri hilang entah ke mana. Bahasa Inggeris penting sebagai bahasa kemajuan, tetapi janganlah pula beranggapan dengan berbahasa Inggeris sahaja kita boleh maju. Sekadar menguasai bahasa Melayu kita tidak ke mana-mana.

Kenapa kita tidak bertindak seperti presiden Iran? Ke mana sahaja beliau pergi, bahasa Iran yang dijajanya, walaupun beliau fasih berbahasa Inggeris. Beliau amat arif mempamerkan kehebatan bangsanya dengan meletakkan ia di tempat yang betul. Bila mana beliau berucap dalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bahasa Iran, orang lain kelam kabut untuk menterjemahkannya. Mereka terlalu ingin tahu apa yang akan disampaikan oleh Mahmoud Ahmadinejad. Kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya, Mahmoud Ahmadinejad telah berjaya meletakkan satu tanda aras atau standard pada diri dan bangsa serta bahasanya, sehingga barat terpaksa mempelajari bahasa Iran. Inilah standard yang perlu kita tonjolkan dalam budaya sendiri.

Saya amat yakin pelancong-pelancong yang datang ke negara kita mahu melihat kelainan berbanding dengan apa yang ada di negara mereka. Jika berhibur, mereka mahu melihat dan mendengar budaya dan lagu-lagu rentak kita. Bila mahu makan minum, mereka mahukan makanan dan minuman kita. Saya yakin mereka mahu merasa cendul, ais kacang dan laici kang. Bukannya menghidangkan mereka dengan arak kerana di negara mereka arak ibarat lautan. Mereka boleh minum dan mandi arak. Kenapa kita begitu perasan bahawa pelancong datang ke sini mahu minum arak dan mendengar lagu-lagu rentak barat?

Saya teramat sedih apabila melihat dalam kursus induksi perkhidmatan awam, kita diajar dengan teliti tatacara makan minum mengikut tradisi dan budaya barat dan Cina. Modul ini diwajibkan para peserta memahaminya. Malangnya apabila ditanya bilakah modul cara makan minum mengikuti tradisi dan budaya Melayu Islam mahu diajar? Maka jawapannya, ia tidak ada dalam modul dan tidak perlu diajar. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu, kita sendiri yang melenyapkan budaya sendiri.

Sebenarnya kita terlalu kebaratan dan tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Sedangkan orang lain yang datang amat menghargai kekuatan itu. Oleh kerana, kita tidak menghargai, maka kesempatan ini digunakan oleh orang lain untuk meluntur budaya kita sendiri.

Hari ini kita seolah-olah dilanda dengan inferioriti kompleks. Kita tidak percaya bahawa apa yang ada pada kita hebat. Kita percaya kepada kehebatan orang lain. Dengan sebab itu kita tidak hargai dengan apa yang kita ada, dan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang datang daripada barat. Kita tidak mengamalkan kata-kata budaya sendiri didahulukan, budaya orang lain dikemudiankan, yang jelas kelihatan budaya orang lain semakin mendominasi, budaya sendiri merempat di bumi sendiri, tidak mendapat publisiti.

Kadangkala saya terfikir, apakah kurangnya sensitiviti ini mempunyai kaitan dengan halal dan haram yang masuk ke perut, sehingga menyebabkan hati kita menjadi buta? Kita tidak lagi kisah mengunjungi hotel atau kopitiam halal atau tidak? Sama ada mendapat pengikhtirafan sijil halal JAKIM atau tidak? Yang pentingnya sedap, ada gaya dan glamour.

Penemuan kaki katak dalam makanan di salah sebuah kopitiam seharus menjadi pengajaran kepada kita. Ada orang sanggup buat apa sahaja untuk mengaut keuntungan dan seterusnya menutup keputihan pintu hati kita. Apakah kita sudah tidak ada pilihan sehingga terpaksa memilih perkara yang was-was daripada yang sudah terjamin halalnya? Sedapkah sangatkah makanan di tempat tersebut sehingga kita terlupa kepada tanggungjawab fardu kifayah kita? Pada saya, sebelum menolong orang lain, kita sepatutnya menolong orang kita dahulu. Sebelum membudayakan budaya orang lain, tidakkah kita patut berbangga dan mengutamakan kekuatan yang kita ada terlebih dahulu. Cintailah kekuatan yang kita ada sebelum ianya lenyap ditelan zaman.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

No comments: