Monday, 1 June 2009

Perlis terkilan tiada wakil

KANGAR 10 April - Badan Perhubungan UMNO Perlis terkilan tiada pemimpin dari Perlis tersenarai dalam barisan Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau bersetuju dengan pelantikan yang dibuat tetapi mengharapkan sekurang-kurangnya ada satu tempat untuk salah seorang pemimpin Perlis bagi mengisi jawatan sekurang-kurangnya timbalan menteri.

Katanya, sebagai satu-satunya negeri di utara yang memenangi dengan cemerlang pilihan raya umum lalu, wajar ada wakil pemimpin negeri itu dalam Kabinet kerana pemimpin-pemimpin negeri yang kalah ada juga yang dipilih.

''Bagaimanapun saya mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua barisan Kabinet yang dilantik.

''Saya amat berharap pendekatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dapat memperkukuhkan lagi kerajaan sedia ada dan yakin ia dapat dilakukan di tahap cemerlang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam Kabinet baru yang diumumkan Najib semalam menyaksikan hanya Perlis dan Melaka yang tidak mempunyai wakil dalam senarai 28 menteri.

Kedah yang sebelum ini tidak mempunyai menteri dalam barisan Kabinet mendapat seorang wakil apabila Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom terpilih mengisi jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain Kedah, Perak dan Pulau Pinang yang menyaksikan kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu memperolehi wakil dalam Kabinet baru tersebut.

Menurut Shahidan, pengumuman pengenalan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi jemaah Menteri setiap enam bulan yang diumumkan juga amat baik untuk dipraktikkan.

''Tindakan mengecilkan kementerian yang ada juga salah satu langkah yang bijak tetapi mungkin ada jabatan-jabatan yang akan keliru.

''Oleh itu, tindakan perlu diambil bagi menggelak kekeliruan yang mungkin akan wujud," jelasnya.


No comments: