KUALA LUMPUR - Datuk Seri Shahidan Kassim, mendakwa, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhutang lebih RM100,000 kepada tiga sukan yang diterajuinya - olahraga, renang dan petanque selepas tamat Sukan SEA 2007 di Korat.
Katanya, jumlah tersebut adalah ekoran kegagalan mereka melunaskan perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menghantar atlet bagi kategori B yang berjaya meraih pingat pada temasya berkenaan.
“Perbelanjaan atlet kategori A ditanggung sepenuhnya MOM dan atlet kategori B ditanggung persatuan tetapi akan dibayar balik jika mereka meraih pingat pada Sukan SEA.
“Begitupun ada atlet kategori B yang meraih pingat renang, olahraga dan petanque di Korat tetapi tidak dibayar semula,’’ kata Shahidan.
MOM bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan, persatuan yang sebenarnya masih berhutang kepada mereka.
“Saya tidak faham bagaimana kami boleh berhutang, sedangkan MOM membayar pendahuluan semua atlet ke Sukan SEA baik kategori A mahu pun B.
“Bezanya, atlet kategori A tak perlu bayar balik kerana kami tanggung semua, atlet kategori B juga tak perlu bayar jika menang pingat tetapi atlet kategori B yang tidak menang pingat perlu pulangkan pendahuluan,’’ kata jurucakap MOM yang mendakwa ada persatuan masih terhutang RM44,000 kepada MOM.
Bagaimanapun katanya, Shahidan boleh menyerahkan butiran
siapa atlet dan acara yang dimaksudkan jika beliau punya sebarang kemusykilan.
No comments:
Post a Comment