Monday 1 June 2009

Sime Darby tidak menyerlah dalam NCER

KANGAR 26 Dis. - Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengadakan pertemuan dengan Sime Darby Berhad (Sime Darby) bagi membincangkan pelaksanaan projek di bawah konglomerat itu di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang didakwa terlalu perlahan.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri berkaitan NCER itu berkata, pertemuan yang dijangka diadakan minggu hadapan itu akan melihat kemungkinan wujud salah faham atau perbezaan pendapat sehinggakan projek yang dirancang syarikat terbabit tidak dapat berjalan seperti dirancang.

''Saya melihat penglibatan Sime Darby yang membabitkan NCER tidak begitu menyerlah berbanding syarikat-syarikat besar dalam koridor lain seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Petronas yang giat melaksanakan projek yang dirancang.

''Pada peringkat perancangan mereka muncul tetapi apabila tiba peringkat pelaksanaan membabitkan projek yang dibincangkan tersebut, mereka seperti 'senyap' sekejap," katanya di sini hari ini.

Shahidan berkata, pertemuan bersama konglomerat itu penting bagi meleraikan kemungkinan wujud sebab tertentu kerana sekiranya wujud masalah berbangkit, ia perlu diselesaikan dengan cara terbaik.

''NCER merupakan projek kerajaan yang lebih kepada membina rakyat. Kita tidak mahu ada sebarang unsur politik dalam projek ini kerana ia hanya akan merugikan rakyat.

''Berhubung perkara ini saya sebagai perantara kepada Perdana Menteri, akan berjumpa dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri yang terlibat dalam NCER bagi mencari kata sepakat," ujarnya.

Dalam pada itu, Shahidan menolak dakwaan kononnya projek Pusat Benih Negara di Perlis akan dipindahkan ke Bukit Tangga, Kedah.

''Kawasan di Bukit Tangga memang strategik kerana mempunyai tapak yang luas untuk percubaan tanaman dan kedudukannya berdekatan dengan Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI).

''Bagaimanapun Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menerima rayuan saya agar ia dikekalkan di Perlis tetapi perbincangan lebih lanjut perlu dilakukan dengan pemaju projek iaitu Sime Darby," jelasnya.

Tambahnya, mengikut perbincangan awal bersama Sime Darby, mereka tidak memerlukan tanah yang terlalu luas iaitu kira-kira 16 hektar.

''Percubaan tanaman pula dibuat dengan kerjasama penduduk setempat yang terpilih dan mereka ini mempunyai tanah untuk diusahakan.

''Cara ini bukan sahaja menguntungkan Sime Darby tetapi memberi kebaikan kepada petani kerana benih yang dikeluarkan berkualiti tinggi dan selepas percubaan berjaya, mereka boleh membeli benih itu untuk dikomersialkan," ujarnya.

No comments: