KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) sedia untuk bertanding jawatan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sekiranya mendapat pencalonan dan sokongan yang mencukupi sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), MOM pada 30 Mei ini.
Beliau berkata, penawaran tersebut dibuat dengan hasrat membawa perubahan dalam badan yang memayungi badan-badan sukan di negara ini.
"Sekiranya ada persatuan yang mencalonkan serta mendapat sokongan, saya sedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi MOM itu," katanya di sini, semalam.
MOM akan mengadakan pemilihan bagi 12 jawatan utamanya pada AGM yang dijadualkan berlangsung 30 Mei ini, bagi penggal 2009-2011.
Pada pemilihan MOM bagi penggal 2007-2009 yang berlangsung pada Mei 2007, Shahidan muncul calon tunggal yang mencabar jawatan presiden yang disandang oleh Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar sejak 1999.
Shahidan yang juga presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Persatuan Kabaddi Malaysia serta Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), bagaimanapun mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding beberapa minggu sebelum pemilihan 2007.
Pada pemilihan tersebut, Shahidan dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden MOM oleh Persatuan Kriket Malaysia (MCA).
Ditanya adakah beliau mampu meluangkan masa untuk memikul tanggungjawab sebagai presiden MOM jika dilantik, Shahidan berkata, beliau mempunyai masa yang mencukupi untuk menunaikan segala tanggungjawab tersebut.
"Cuma pada pandangan orang ramai, saya teramat sibuk dengan semua jawatan tersebut tetapi saya pasti menunaikan segala tanggungjawab yang diamanahkan," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment