Monday 1 June 2009

Shahidan sendiri selesai kemelut KOAM, HPTC

KUALA LUMPUR - Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau sendiri akan menyelesaikan kemelut kesatuan itu dengan Pusat Latihan Prestasi Tinggi (HPTC) Asia yang semakin berlarutan.

Menurutnya, beliau akan menggunakan kuasa sebagai Presiden KOAM untuk menyelesaikan masalah tersebut.

''Saya akan menyelesaikan kemelut KOAM dan HPTC ini kerana peraturan telah memperuntukkan bahawa masalah berkaitan dengan HPTC diserahkan kepada Presiden KOAM kerana Presiden (KAOM) adalah ahli lembaga pengarah HPTC.

''HPTC ditubuhkan atas persetujuan tiga pihak iaitu kerajaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan KOAM.

''Dalam hal ini Presiden KOAM mempunyai hak untuk menentukan apa juga masalah berkaitan HPTC,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat KOAM di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang bersedia menjadi orang tengah dalam kemelut KOAM dan HPTC, baru-baru ini.

Menurut Shahidan, pergeseran di antara dua badan olahraga itu sebenarnya lebih bersifat peribadi dan pertikaman lidah antara Ketua Pengarah HPTC, Mohd. Musa Noor Mohd. dan Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim.

Katanya, Musa mendakwa Karim sering memburukkan nama HPTC Asia kepada badan olahraga dunia, selain sering menentang sebarang program yang dianjurkan oleh mereka dengan pelbagai alasan yang tidak difahami.

''Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak membantah jika HPTC mahu mengadakan program olahraga tetapi setiap program perlulah mendapat pengiktirafan daripada KOAM terlebih dahulu.

''Bagaimana jika ada pihak yang menganjurkan sesuatu program tanpa meminta restu KOAM... Tentulah kita akan terasa.

''KOAM juga bimbang jika sesuatu program yang dijalankan tidak mengikut syarat yang ditetapkan oleh KOAM.

''Sebagai contoh penganjuran sukan maraton sepatutnya mendapat kebenaran KOAM terlebih dahulu.

''Tetapi acara tersebut nampaknya boleh dianjurkan oleh sesiapa sahaja dan kita tidak mahu penganjur hanya mencari untung dengan menganjurkan acara tersebut.

''Sekarang KOAM mahu setiap penganjuran perlumbaan maraton perlu mendapat pengiktirafan daripada KOAM terlebih dahulu.

''Jika tidak, pihak polis tidak akan mengeluarkan permit perlumbaan,'' katanya.

No comments: