Monday, 1 June 2009

Shahidan minta sistem kuota diteruskan

KANGAR 10 Sept. - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta agar sistem kuota dalam pemilihan parti dipertahankan bagi mengelak kepimpinan utama negara tidak dicabar individu yang tidak berkelayakan.

Katanya, sistem yang diperkenalkan sejak 20 tahun lalu masih relevan dan ia tidak menutup sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini sejak sekian lama.

''Alasan yang mengatakan sistem ini mengundang kepada berlakunya politik wang tidak perlu timbul kerana tanpa sistem ini (kuota) pun, politik wang tidak dapat dihentikan ia akan terus berlaku.

''Kita selalu bercakap mengenai demokrasi, tetapi ada yang tidak memahami apa itu demokrasi sehingga terdapat pihak yang menggangap demonstrasi sebagai antara proses demokrasi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada Isnin lalu agar sistem kuota dalam pemilihan parti dihapuskan bagi membanteras politik wang yang berlaku.

Gesaan itu kemudiannya disokong beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee.

Shahidan memberitahu, sekiranya sistem kuota dihapuskan kemungkinan ada calon yang mendapat dua pencalonan turut mahu mencabar kedudukan Presiden UMNO.

''Jika perkara ini berlaku, UMNO akan menjadi parti yang dipandang rendah kerana membenarkan semua orang bertanding merebut jawatan Presiden UMNO atau Timbalan Presiden UMNO.

''Kemungkinan bagi jawatan-jawatan lain yang lebih rendah sistem kuota ini boleh dimansuhkan, tetapi bagi tempat Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden sistem ini perlu dikekalkan," ujarnya.

Tambahnya, masalah berkaitan politik wang dapat diselesaikan sekiranya calon yang berhasrat bertanding dapat menghayati nilai keislaman dan tahap keimanan masing- masing.


No comments: