Monday, 1 June 2009

Menasihati Pemimpin Dengan Tatacara Agama


------
NASIHATILAH PEMIMPINMU DENGAN PETUNJUK AS-SUNNAH
------

Seperti yang kita sedia maklum, pengaruh para ulama di kalangan rakyat amatlah besar, oleh itu tugas besar ulama yang wajib dipikul oleh mereka ialah menyedarkan ummah (rakyat) agar mentaati penguasa atau pemimpin Islam. Ulama wajib menolong pemerintah menyatukan ummah agar tidak membenci, memusuhi dan tidak keluar dari jamaah (pemerintah dan pemimpin Islam). Inilah antara amal bir (kebaikan) dan takwa yang dituntut oleh al-Quran agar di lakukan oleh para ulama. Allah Azza wa-Jalla berfirman:

“Bertolong-tolonglah kamu atas kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan atas perkara dosa dan permusuhan”. (al-Maidah 5: 2)

Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah:

“Ayahku telah menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Sairafi telah menceritakan bahawa Abdu Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibnu Abbas di Madinah, beliau berkata kepadanya: Bagaimana menghadapi sikap penguasa yang telah menzalimi kita, mencela kita dan merampas sadaqah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Al-Jamaah, al-Jamaah (peliharalah persatuan di bawah pemimpin) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan, apakah kamu tidak mendengar firman Allah: Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Tafsir Ibnu Hatim 2/455. Tahqiq Dr. Hikmat Basyir Sayuti. Lihat: Ad-Darrul Mansur 2/285-286. Cetakan Darul Fikr.)

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka”. (Ali Imran 3: 105)

Kisah di atas ini adalah contoh tauladan kepada umat Islam, bahawa para ulama di zaman awal bertindak mendidik rakyat jelata agar memelihara hak-hak pemimpin. Dengan ini adalah wajib bekerjasama dan tolong-menolong antara para ulama dengan penguasa, terutama dalam usaha mengislah rakyat dengan konseptualisasi siyasah as-Syariyah mengikut manhaj ahlus sunnah, kerana para ulama generasi awal Islam sentiasa membenci tindakan yang mengarah kepada perpecahan, malahan mereka mewajibkan bekerjasama dengan pemimpin negara Islam, berjamaah dengan mereka dan menyemai rasa persaudaraan di bawah bumbung pemimpin negara berdasarkan firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara” (al-Hujurat 49: 10)

Sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Tiga perkara yang menyelamatkan hati seseorang Muslim dari kedengkian: Ikhlas dalam beramal kerana Allah, menasihati penguasa dan komitmen dengan jamaah kaum Muslimin”. (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad 4/80-82)

Kapasiti pemikiran rakyat perlu diisi dan diyakinkan oleh pemerintah dengan kerjasama ulama dengan pengisian siyasah (politik) yang sejajar dengan kehendak agama, agar generasi yang bakal mewarisi pemerintahan dapat disalurkan ke destinasi dan dimensi pemahaman siyasah as-syariyah menurut al-Quran dan as-Sunnah yang autentik. Kerana keberkesanan dan keagungan siyasah Islamiyah yang telah ditunaikan oleh para golongan terdahulu terutama pada zaman generasi awal, kedua dan ketiga selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjadi bukti untuk meyakinkan rakyat.

Siyasah Islamiyah dengan kerjasama umara (penguasa/pemerintah) dan hukama (para ulama) dapat menyatukan hati rakyat untuk mentaati pemimpin kerana ia adalah merupakan perintah Allah kepada orang-orang yang beriman sebagaimana dijelaskan melalui firmanNya:

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. (an-Nisaa 4: 59)

Berkata Abdus Salam bin Bajras bin Hashir Ali Abdul Karim:


“Antara perintah Allah dalam ayat ini ialah mengenai hal kewajipan kita taat kepada penguasa, dan Allah Subhanahu wa-Ta’ala mensetarakan ketaatan kepada pemimpin dengan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Ini semuanya menunjukkan betapa penting posisi pemimpin dan amat agung keadaannya”. (Mu’amalatul Hukkam Fi Dhauil Kitab was-Sunnah. Hlm. 50)

Al-‘Izz bin Abdussalam rahimahullah juga menegaskan:


“Sepakat kaum Muslimin bahawa taat kepada kekuasaan pemimpin termasuk ketaatan kepada Allah”. (Qawa’idul Ahkam fi Masalihul Anam. 1/104)

Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:


“Sikap (taat kepada pemimpin) termasuk kewajipan terhadap agama yang agung”. (Majmu’ al-Fatawa 28/390)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat”. (Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)

Dan dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, dari jalan Nashr bin Ashim, dari Subi’ bin Khalid, dari Huzaifah al-Yaman radiallahu ‘anhu:

“Setelah Allah mempunyai khalifah di muka bumi dan dia memukul punggungmu serta mengambil harta bendamu, maka kamu (diperintah agar ) tetap taat”.

------
MENASIHATI PARA PEMIMPIN DAN PEMERINTAH
------


Telah sepakat para ulama yang beridir di atas paksi ahlus sunnah bahawa menasihati dan menegur kesilapan penguasa/pemimpin adalah merupakan perintah dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Namun ia bukanlah dilakukan di khalayak ramai atau umum, tetapi dilakukan secara peribadi iaitu di kalangan mereka yang berilmu. Menegur pemimpin di khalayak umum adalah salah satu contoh sikap yang tidak sopan yang mana adalah menyalahi sunnah, malah merupakan kejahatan hawa nafsu kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Barangsiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam suatu perkara, maka janganlah disebarkan (dicanang/dihebohkan) secara terang-terangan, akan tetapi peganglah tangannya dan ajaklah dia berbincang dengan diam-diam. Jika dia menerima, maka itulah diharapkan, jika tidak maka sesungguhnya dia telah menunaikan kewajipannya”. (Majma 5/229. Hadis Riwayat Imam Ahmad. Lihat: As-Sunnah 2/522 dari jalur Muhammad bin Ismail bin Abbas)

Ibnu Nahhas rahimahullah berkata:

“Saat yang amat tepat untuk menasihati pemimpin adalah disaat sepi dari pihak ketiga. Ini lebih baik daripada bersuara secara terbuka di hadapan media massa, bahkan menyuarakan dan menasihati pemimpin lebih mulia secara rahsia tanpa ada liputan pihak yang ketiga.” (Tanbihul Ghafilin ‘An A’ma lul-Jahilin wa-Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)

Syara’ tidak pernah menghalalkan sesiapapun dari kalangan umat Islam untuk mengumpat, membongkar keburukkan, mencari cacat-cela, sengaja menghina, mengkafirkan dan mereka-reka fitnah terhadap pemerintah, lebih-lebih lagi jika bertujuan untuk menjatuhkannya. Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang mewajibkan umat Islam mematuhi dan mentaati pemerintah Islam demi menjaga dan memelihara kesatuan umat, keutuhan agama dan martabat Islam:

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesungguhnya Allah rela atas kamu dalam tiga perkara: Hendaklah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah-belah, dan hendaklah kamu sekalian saling menasihati dengan orang yang diangkat Allah untuk memegang urusanmu (pemimpin kamu)". (Musnad Imam Ahmad, 2/376)

Maksud "Pemimpin kamu" ialah "Para pemimpin yang beragama Islam". Dalam hal ini al-Allamah As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata:

“Bukanlah termasuk uslub (metode/kaedah) para ulama generasi awal dalam hal melakukan perbuatan mendedahkan aib pemimpin dan menyebutkannya di atas mimbar (atau pentas), kerana hal ini hanya menimbulkan kerusuhan (kerosakan) dan hilangnya ketaatan rakyat terhadap pemimpin, juga menyebabkan banyak persepsi dan pandangan yang merbahaya yang tidak mendatangkan manfaat”.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

"Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin, maka janganlah melakukannya dengan terang-terang (di khalayak ramai di hadapan umum) dan hendaklah dia mengambil tangannya (bersemuka empat mata sahaja). Jika pemimpin mahu mendengar maka itulah yang diinginkan dan jika tidak mahu maka dia telah menunaikan kewajipannya". (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam Nasihatun Muhimmatun fi Salasi Qadaya ada termaktub:

“Apabila kemungkaran itu dilakukan oleh seorang pemimpin atau selainnya, hendaklah dia dinasihati dengan lemah lembut dan secara rahsia sehingga tidak diketahui oleh seorangpun, dengan harapan dia mahu menerimanya. Jika dia enggan, maka mintalah bantuan seseorang untuk menasihatinya dengan bersembunyi-sembunyi agar dia menerima nasihatnya. Jika sekiranya dia menolak juga, maka kita boleh secara terang-terangan mengingkari sifat pemimpin seperti itu”. (Nasihatun Muhimmatun fi Salasi Qadaya. Hlm. 49)

Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata:

“Orang yang menyedari sebahagian permasalahan tentang kesalahan pemimpin, hendaklah menasihatinya, jangan menyebarkannya di hadapan orang ramai (umum). Namun hendaklah dia berbincang secara empat mata dalam menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, pent.) serta tidak melekehkannya sebagaimana terdapat dalam hadis”. (Sail al-Jarrar 4/556. Asy-Syaukani)

Ini bermakna, sesiapa yang berpakat untuk menjatuhkan pemerintah atau pemimpin Islam adalah menyalahi manhaj ahlus sunnah wal-jama’ah. Begitu juga, mereka yang suka melontarkan kata-kata kotor, membuat tuduhan palsu, memfitnah dan mengkafirkan para pemimpin Islam adalah bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berada di atas manhaj yang tulen. Maka kepada mereka yang terlibat dengan pekerjaan mungkar ini, hendaklah bertaubat dan merubah niat kepada nasihat, kerana telah berkata Abu Usman az-Zahid:

“Nasihatilah para penguasa, perbanyakanlah doa untuk mereka agar mereka melakukan kebaikan dan kebenaran dalam beramal dan menjalankan hukum. Sesungguhnya jika mereka baik, maka akan baiklah rakyat. Hati-hatilah kamu! Jangan sampai kamu mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian hanya akan menambah kerosakan keadaan orang-orang Islam. Tetapi mintakanlah ampunan kepada Allah untuk penguasa (pemerintah dan pemimpin), semoga mereka meninggalkan perbuatan yang tidak baik, kemudian dihilangkanlah musibah dari kaum Muslimin”. (Al-Jamii Li Syu’abil Iman. 13/99. Al-Baihaqi. Cetakan Dar as-Salafiyah)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

"Sesungguhnya manusia itu apabila mereka melihat kezaliman dan mereka tidak mencegah dengan tangannya, maka dibimbangkan Allah akan menyiksa mereka keseluruhannya".

Berkata Ibn Abil 'Izzii rahimahullah:

"Sesungguhnya al-Quran dan as-Sunnah telah menunjukkan atas kewajipan menasihati pemerintah dan seterusnya taat kepada pemerintah selama dia tidak memerintahkan agar melakukan kemaksiatan".

Firman Allah Azza wa-Jalla:

"Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu". (an-Nisa 4: 59)

Semua nas di atas menyeru umat Islam menasihati pemerintah atau pemimpin. Tidak dibenarkan menentang mereka, tetapi diperintah agar mendoakan mereka. Ibnu Nahhas berkata:

“Dalam masalah menegur penguasa (pemimpin), pendapat yang benar ialah melakukannya secara individu, bukan di hadapan khalayak ramai. Bahkan amat baik jika tegurannya secara rahsia atau menasihatinya dengan cara sembunyi-sembunyi, tanpa ada pihak yang ketiga”. (Tanbih al-Gafilin an-A’malil Jahilin wa-Ta’zirus Salikin Min Af’alil Halikin. Hlm. 64)

Haram menubuhkan pemerintahan dalam sebuah negara Islam yang telah ada pemerintah dan ketua negara yang sah. Malah sesiapa yang menentang pemerintah yang sah yang telah dipilih oleh rakyat, kemudian memimpin rakyat untuk memprotes secara yang tidak sihat dan memfitnah penguasa (kerajaan) tanpa ada bukti, maka mereka ini sebenarnya mewarisi sifat-sifat kaum Khawarij yang sikapnya gemar memberontak, yang mana perbuatan mereka bertentangan dengan nas-nas al-Quran, as-Sunnah, atsar para sahabat dan fatwa-fatwa para ulama muktabar yang mengharamkan perbuatan sedemikian.

Telah berkata Muhammad bin al-Hussin al-Ajuri rahimahumullah (dalam memberi peringatan kepada kaum Khawarij):

"Khawarij adalah golongan yang menentang kepimpinan orang Islam sebagaimana yang terjadi terhadap kepimpinan Ali radiallahu 'anhu. Cara mereka menentang dengan melaung-laungkan slogan: ( لاَحُكْمَ اِلاَّ للهِ ) bermaksud: "Tidak ada hukum kecuali dari Allah" (Slogan ini samalah dengan apa yang dilaungkan oleh kelompk-kelompok tertentu yang lantang menentang kerajaan pemerintah di beberapa negara Islam. Mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak bersama kelompok mereka, tidak berjuang bersama mereka dan tidak berhukum dengan hukum Allah).

Berkata Ali radiallahu 'anhu untuk menentang dan membatalkan di’ayah/propaganda yang dilaungkan oleh Khawarij iaitu (لاَحُكْمَ اِلاَّ للهِ), maka beliau berkata:

"Kalimah yang hak tetapi yang mereka inginkan dari laungannya ialah kebatilan (kehancuran pemerintah)".

Fahaman Khawarij telah digerakkan semula oleh golongan fanatisime dengan nama dan istilah "Pejuang Tauhid Hakimiyah" iaitu mentauhidkan hukum, atau mengkafirkan secara mutlak sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Golongan ini telah bergerak di negara-negara Islam termasuk di Malaysia.

Mereka menghidupkan fahaman “Tauhid Hakimiyah” di setiap tempat yang dapat menerima fahaman ini. Kebiasaannya berselindung di sebalik parti politik. Ruang untuk mereka bergerak terbuka luas kerana kebanyakan negara-negara Islam yang mengamalkan dasar politik demokrasi mengizinkan sesiapapun dari rakyatnya menubuhkan parti politik yang baru.

Mungkin amat menakutkan apabila kita mengetahui bahawa Khawarij disebut dan digelar sebagai anjing neraka oleh Nabi Mhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Disuatu kejadian, diriwayatkan oleh Sa’id bin Jamhan, beliau berkata:

“Aku mendatangi Abdullah bin Aufa (seorang buta), lalu aku memberi salam kepadanya. Beliau bertanya, siapa kamu? Aku menjawab: Sa’id bin Jamhan. Beliau bertanya. Apa yang dilakukan oleh orang tuamu? Aku menjawab: Dibunuh oleh kaum Azariqah. Beliau berkata: Semoga Allah melaknat orang-orang Azariqah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Sesungguhnya mereka adalah anjing-anjing neraka”.

Aku bertanya, apakah itu khusus pada orang-orang Azariqah atau untuk orang-orang Khawarij seluruhnya? Beliau menjawab: Orang-orang Khawarij seluruhnya. (Hadis Riwayat Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

Imam Ahmad rahimahullah menguatkan lagi riwayat hadis di atas, iaitu agar tidak mencela penguasa dan tidak meniru sifat-sifat Khawarij:

“Aku (Ibnu Jamhan) berkata: Sultan berlaku zalim kepada manusia dan menindas mereka. Dia berkata: Lalu dia (Abdullah bin Aufa) memeluk tanganku dan menariknya dengan kuat, kemudian berkata: Celaka kamu wahai Ibnu Jamhan! Kamu wajib mengikuti sawadul a’zam (beliau mengulangi dua kali), jika Sultan mahu mendengar darimu maka datanglah ke rumahnya dan beritahu yang kamu ketahui (menasihatinya), jika dia menerimanya maka itu baik, tetapi jika ia tidak menerimanya maka tinggalkanlah. Kamu tidak lebih tahu darinya”. (H/R Imam Ahmad 4/382. Dan Ibnu Abu Asim 905, dari jalan al-Hasyraj bin Nabatah. Menurut Syekh Nasruddin al-Albani sanadnya Hasan)

------
LARANGAN MENGAIBKAN PEMERINTAH/PENGUASA
------

Pendirian Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berdiri di atas paksi yang benar, mereka sentiasa bertindak menyeru/mengajak sekalian umat supaya saling mencintai para saudara seagama-nya, tidak dipertikai siapa dan apa kedudukannya. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan saudara-saudaranya seagama, senegara dan para pemimpinnya. Menasihati para pemimpin jika didapati silap, kerana kebaikan pemimpin memberi manfaat kepada seluruh rakyat. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


اَلدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ ، قَلْنَا لِمَنْ يَارَسُوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : للهِ ، وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ ، وَِلاَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ
.

“Agama itu adalah nasihat, kami berkata: Bagi siapa wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin, kaum muslimin dan orang-orang awam”. (Hadis Riwayat Muslim, beliau menyendiri dalam lafaz hadis ini. Hadis dari Tamim ad-Dari)

Melalui hadis ini dapat difahami bahawa menasihati pemimpin itu amat dituntut, namun bagi mereka yang menyelisihi manhaj ahlus sunnah wal-jama’ah adalah sebaliknya, mereka lebih gemar bersifat dan berciri penderhaka kepada negara. Berkomplot untuk menumbangkan kerajaan Islam. Mengikis rasa cinta dan persaudaraan seagama. Mengkafirkan saudara-saudaranya yang seagama dan kerajaannya jika mereka tidak mengikut ideologi alirannya/kelompoknya/kumpulannya. Dan mereka sentiasa berusaha dengan pelbagai cara supaya rakyat membenci pemimpin Islam.

Kebanyakan kelompok-kelompok yang menyelisihi manhaj ahlus sunnah dalam urusan mentaati pemerintah ini gemar menggunakan topeng ibadah untuk mempengaruhi hati rakyat, bersolat hajat dan berdoa beramai-ramai agar ditimpakan kecelakaan, kehancuran, kemusnahan atau kejatuhan ke atas pemerintah Islam dengan beralasan bahawa pemerintah tidak berhukum dengan hukum Allah, kafir, zalim, fasik dan sebagainya.

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menceritakan tentang sikap manusia seperti ini, lalu mengancam mereka dengan ancaman yang menakutkan:


عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا قَالَ الرَّجُلُ : هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ اَهْلَكَهُمْ
.

"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Apabila seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang akan binasa". (Hadis Riwayat Muslim)

Imam Al-Barbahari berkata:

"Jika kamu mendengar seseorang suka mendoakan kecelakaan terhadap penguasa (pemimpin), maka ketahuilah bahawa dia adalah pengikut hawa nafsu (pembuat/aktivis bid'ah)". (Lihat; Al-Ibanah. Jld. 2. Hlm. 116. No.136)

سَيَكُوْنُ بَعْدِيْ سُلْطَانٌ فَاَعِزُّوْهُ مَنِ الْتَمَسَ ذِلَّهُ شَغَرَ شَغَرَةً فِى اْلاِسْلاَمِ وَلَمْ يُقْبَلْ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يُعِيْدُهَا كَمَا كَانَتْ
.

"Akan muncul selepas peninggalanku seorang pemimpin, maka muliakanlah dia, dan barangsiapa mencari-cari kehinaannya (kesalahannya dan keaibannya) bererti dia telah melubangi satu sendi dalam Islam dan tidak akan diterima taubatnya sampailah dia (mengembalikan keadaan sebagaimana sediakala)". (Lihat: As-Sunnah (2/513). Dari Ibn Abi 'Asim. Sanad hadis ini sahih)

Berkata Imam As-Syaukani Rahimahullah:

"Sebaiknya bagi orang yang menyedari kesalahan pemerintah (penguasa yang beragama Islam) dalam beberapa permasalahan untuk menasihatinya dengan tidak menyebarkan maki hamun kepadanya di khalayak umum". (Lihat: السيل الجرار Jld. 4. Hlm. 556)

Ibn Qayyim menjelaskan bagaimana sewajarnya sikap para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dan orang-orang awam yang beriman terhadap para pemimpin yang masih beragama Islam:

Apabila mengikuti (mentaati) hadis Nabi (tentang negara atau pemerintah yang beragama Islam): Semestinya menasihati pemimpin-pemimpin kaum muslimin, hadis ini (yang memerintahkan agar mendekati dan menasihati pemimpin Islam) mengandungi maksud agar menghilangkan sifat iri hati dan dengki, kerana nasihat tidak mungkin bersatu dengan kedengkian, sebaliknya ia melawan rasa kedengkian. Oleh kerana itu sesiapa yang menegakkan nasihat kepada para pemimpin Islam dan rakyat biasa, bermakna dia telah terlepas dari sifat dengki". (Lihat: مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Seterusnya Ibn Qayyim rahimahullah berkata lagi:

“Hal ini jauh berbeza dengan keadaan orang yang suka menentang pemerintah dan menghabiskan masanya dengan memaki-hamun (mencela, mencerca dan memburuk-burukkan para pemimpin Islam, pent.). Mereka suka mengaibkan dan menghina, maka ini samalah dengan tindakan kaum-kaum Rafidah, Khawarij, Muktazilah dan golongan yang seumpama mereka, kerana hati mereka sudah dipenuhi rasa iri hati dan kedengkian". (Lihat: مفتاح دار السعادة Jld. 1. Hlm. 72)

Menurut Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab:

"Sesungguhnya termasuk dalam kesepakatan ulama (kaum muslimin) agar mendengar kemudian taat kepada siapa sahaja yang memerintah kita walaupun dia adalah seorang hamba Habsyi (selagi ia beragama Islam. Pent)". (Lihat: اصول الستة Muhammad bin Abdul Wahab)

Berkata Imam Tahawi rahimahullah:

"Kita tidak pernah diizinkan untuk memberontak kepada imam-imam dan pemimpin negara kita (pemimpin muslim), sekalipun mereka zalim. Kita tidak boleh mendoakan mereka (supaya jatuh), tidak boleh menarik ketaatan kepada mereka kerana ketaatan kita kepada mereka termasuk ketaatan kepada Allah, hal ini adalah wajib selagi kita tidak dipaksa mentaati yang maksiat dan kita sewajarnya mendoakan mereka dengan kebaikan dan ampunan (bukan sebaliknya, pent.)".

Nas-nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa-fatwa para ulama Salaf as-Soleh yang tertera di atas, telah menjelaskan bahawa menentang, memfitnah, menghina dan berjuang untuk menjatuhkan pemerintahan Islam dan pemimpinnya, adalah perbuatan bid'ah dan haram.

Dalam sejarah, al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi terkenal dengan kezalimannya, bengis dan kejam dalam menumpahkan darah, menodai hal-hal yang diharamkan Allah, membunuh tokoh-tokoh utama umat Islam seperti Sa’id bin Zubir. Menghalalkan apa-apa yang haram. Mengepung Ibnu Zubir yang telah berlindung di Ka’abah dan kemudian membunuhnya walaupun Ibnu Zubir telah ditaati dan dibaiat oleh penduduk Mekkah, Madinah, Yaman dan sebahagian wilayah Iraq.

Al-Hajjaj adalah wakil Marwan, sekaligus wakil anaknya Abdul Malik. Tidak ada seorang khalifah pun yang menjanjikan Marwan (menjadi penguasa) dan tidak dibaiat oleh Ahlul Halli wal Aqdi. Ibnu Umar dan ramai lagi para sahabat hidup dan mengharungi zaman kekuasaan al-Hajjaj, namun mereka tidak mencabut ketaatan kepada al-Hajjaj, mereka tidak melarang sesiapa untuk taat kepadanya dalam perkara-perkara yang boleh mempertahankan agama dan hak-hak rakyat.

Bani Abbasiyah ketika menguasai dan memerintah kaum Muslimin. Mereka terkenal keras, kejam dan ketajaman pedangnya. Banyak membunuh manusia dari berbagai-bagai kalangan, terutama dari kalangan pemimpin dan tokoh Bani Umaiyah. Antara yang dibunuh adalah Ibnu Hubairah penguasa Iraq dan juga Khalifah Marwan.

As-Saffah penguasa Bani Abbasiyah membunuh lapan puluh orang dari Bani Umayah dalam sehari. Walaupun sudah demikian parahnya, para imam kaum Muslimin seperti al-Auzaii, Malik, Al-Laits bin Sa’ad, Atha’ bin Abi Rabah dan yang lainnya tetap bersikap taat dan mendengar. Kebenaran seperti ini hanya dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu yang mendalam.

Adalah haram hukumnya bagi sesiapa yang berniat mahu menjatuhkan penguasa, para pemimpin yang berkuasa, pemerintah dan mereka yang memerintah, kerana menjatuhkan penguasa sama dengan merampas kekuasaan yang ada di tangan mereka yang pasti akan mengakibatkan perpecahan, perbalahan, huru-hara, kacau-bilau dan boleh menyebabkan kemusnahan kepada agama, harta benda, negara dan umat Islam.

Di zaman para Imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Ismail, Muhammad bin Idris (as-Syafie), Ahmad bin Nuh, Ishak bin Rahawih dan ramai lagi, mereka menghadapi suatu masa di mana para penguasanya banyak melakukan perbuatan zalim dan bid’ah yang sangat serious. Penguasa dimasa itu mengingkari sifat-sifat Allah. Para ulama dipaksa untuk menyokong kesesatan tersebut, tetapi para ulama tidak berganjak dengan perinsip-perinsip kebenaran. Para ulama diuji dengan berbagai-bagai siksaan. Ramai yang telah dibunuh, antara mereka ialah Ahmad bin Hashr. Walaupun keadaan ini sudah demikian sadisnya, namun tidak mendorong para ulama untuk keluar dari ketaatan dan tidak melakukan pemberontakan, tidak mencerca dan tidak memburuk-burukkan penguasa (pemimpin mereka). (Lihat: Ad-Durar as-Sunniyah fil Ajwibah an-Najdiyah 7/177-178)

Kewajipan para ulama ialah mendidik rakyat, menyebarkan segala kebaikan pemerintah, mengenang budi dan jasa di atas kebaikan dan pembangunan yang telah diusahakan, bersyukur kepada Allah, berterima kasih, menjauhkan rakyat dari menyebarkan keburukan pemerintah, para pemimpin dan ketua negara mereka kerana mereka beragama Islam.

Memburuk-burukkan kerajaan, penguasa atau pemimpin adalah perbuatan yan salah menurut manhaj ahlus sunnah wal-Jama’ah, malah bertentangan dengan etika, amalan, sikap dan prinsip ulama terdahulu. Memaki-hamun, kutuk-mengutuk, caci, sumpah-seranah, menabur fitnah, menyebar keburukan pemerintah dan menanam perasaan benci terhadap penguasa atau pemimpin Islam adalah perbuatan yang diharamkan oleh al-Quran, hadis-hadis sahih dan fatwa para ulama terdahulu. Firman Allah:


اِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ اَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ ءامَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ فِىالدُّنْيَا وَاْلاَخِرَةِ وَاللهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لاَتَعْلَمُوْنَ
.

"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui". (an-Nur 24: 19)


وَلاَ تَسُبُّوْا اُمَرَاءَ كُمْ وَلاَتَغُشُّوْهُمْ وَلاَتَبْغِضُوْهُمْ وَاتَّقُوْا اللهَ وَاصْبِرُوْا فِاِنَّ اْلاَمْرَ قَرِيْبٌ.

"Dan janganlah kamu maki (kutuk/maki-hamun) para pemimpin kamu, janganlah mengkhianati mereka dan janganlah menjadikan mereka marah. Bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah kerana urusan itu adalah dekat". (Lihat: As-Sunnah. 2/499. Ibn Abi 'Asim)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Ada lima perkara barangsiapa melaksanakan salah satu darinya di bawah jaminan Allah Subhanahu wa-Ta’ala: Iaitu melawat orang yang sakit, berjihad di medan perang dan menemui penguasa (pemimpin) dengan niat untuk menghormati dan memuliakannya atau duduk di rumah (berdiam diri) sehingga orang aman darinya (sehingga aman manusia)”. (Lihat: As-Sunnah 2/490-492. Ibnu Abi ‘Asim. Ahmad dalam Musnad 5/241. Zilalul Jannah fi Takhrij as-Sunnah 2/490-491. Al-Albani. Ibnu Zanjawiyah dalam Al-Amwal 1/87)


sumber-http://an-nawawi.blogspot.com/-


No comments: