Monday, 1 June 2009

MOM dituntut segera buat perubahan

KUALA LUMPUR - Beberapa persatuan sukan yang semalam memilih ahli jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2009-2011 mahu badan induk persatuan sukan kebangsaan itu segera membuat perubahan.

Mereka mahu melihat MOM bertindak lebih aktif dalam membantu anggota-anggota gabungannya.

"Sebagai badan induk, mereka juga perlu lebih peka dan prihatin untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi persatuan terutamanya yang kurang mendapat perhatian," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia, Ganga Rao.

Beliau berkata, MOM yang mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan pihak kerajaan juga perlu membuka jalan kepada persatuan sukan untuk dapat berhubung terus dengan kerajaan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Malaysia, Mejar (B) Maulud Othman berkata, dengan barisan jawatankuasa baru MOM yang mantap, ia mampu menyumbang kepada pembangunan sukan di negara ini.

Maulud berkata, PTAM akan memberi sokongan penuh kepada MOM bagi memastikan setiap agenda pembangunan yang dirancang mampu berkembang seperti yang telah diharapkan.

"Secara peribadi saya percaya dengan calon yang dipilih kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai pengalaman yang luas sama ada pada peringkat tempatan mahu pun antarabangsa," katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad yang percaya dengan kebolehan yang ada pada anggota jawatankuasa baru ini dan diharapkan meneruskan perjuangan membantu anggota-anggota gabungan yang bernaung di bawahnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, jawatankuasa itu perlu segera bertindak melakukan perubahan bagi membantu ahli gabungannya dengan melakukan langkah pertama, membantu dari segi kewangan.

''Saya berharap di dalam jangkamasa dua tahun ini MOM akan berusaha mencari penaja-penaja terutama bagi membantu kewangan persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang bermasalah.

"Jika perkara ini dapat dilakukan, mereka pasti akan dapat memberi tumpuan penuh kepada pencapaian sukan dan bukannya sibuk mencari dana untuk menggerakkan persatuan," katanya yang merupakan presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia, Persatuan Petanque Kebangsaan dan Persatuan Kabbadi Malaysia.

Shahidan yang menarik diri dari bertanding jawatan presiden MOM berkata, semoga MOM dapat membuktikan sesuatu dalam jangka masa dua tahun ini demi kepentingan semua persatuan sukan di bawah naungannya. - Bernama


No comments: