Monday, 1 June 2009

Shahidan alu-alukan perebutan jawatan

KANGAR - Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau akan mempertahankan jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) pada mesyuarat agung tahunan persatuan itu bulan depan, lapor JOHARI SHAWAL.

Bekas Menteri Besar Perlis itu bagaimanapun mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding merebut jawatan itu.

"Keputusan saya ini tidak bermakna tiada pertandingan. Sesiapa sahaja yang merasakan mereka layak untuk memegang jawatan itu boleh bertanding. Dan saya akan mempertahankan jawatan ini kalau ada pertandingan," katanya di sini, semalam.

Shahidan berkata, setakat ini beliau telah menerima banyak sokongan daripada ahli gabungan untuk terus menerajui KOAM.

"Buat masa sekarang saya fikir tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden sebab belum ada sesiapa yang menyuarakan hasrat bertanding.

"Begitu juga dengan jawatan Timbalan Presiden. Saya berharap kami diberi peluang lagi untuk terus menerajui dan membimbing KOAM ke arah lebih berwibawa," katanya.

Jawatan Timbalan Presiden KOAM disandang oleh Karim Ibrahim dan jawatan ini juga dijangka tiada pertandingan.

Menurut Shahidan, di dalam sesebuah persatuan atau pertubuhan, presiden dan timbalan presiden mesti bersatu hati dan satu jiwa supaya segala perkara yang hendak dilakukan dapat berjalan dengan sempurna dan lebih berkesan.

"Anda (pemberita) sendiri mungkin boleh fikirkan bagaimana kalau presiden dan timbalannya tidak sehaluan," katanya.

Apa pun Shahidan berkata, apa sahaja perkara yang berlaku dalam kesatuan semasa mesyuarat atau selepas mesyuarat agung itu harus mengambil kira keutamaan dan kebajikan atlet.

"Memberi keutamaan kepada atlet lebih penting daripada berebut-rebut memegang jawatan dalam kesatuan. Tiada gunanya kalau kita menang jawatan tetapi kita tidak ada atlet yang baik," katanya.

Ditanya sama ada terdapat beberapa pihak yang mula menunjukkan minat untuk merebut jawatan presiden kesatuan itu, Shahidan berkata ia memang ada.

"Kalau ada yang berminat dan fikirkan layak untuk pegang KOAM, saya sedia serahkan.

"Cuma yang penting... kena ada kesepakatan dan tidak ada perbezaan pendapat sehingga boleh merugikan atlet dan masa depan sukan olahraga negara," katanya.

Difahamkan setakat hari ini, Shahidan sudah menerima sekurang-kurangnya enam sokongan lisan daripada ahli gabungan kesatuan iaitu Pahang, Perlis, Johor, Sabah, Kelantan dan Melaka.

KOAM dijadual mengadakan mesyuarat agungnya pada 14 Disember ini.

No comments: