Mingguan Malaysia 25 April 2010
Setiap kali ada pilihan raya sama ada umum (PRU) atau kecil (PRK), penduduk kawasan terlibat akan bersorak gembira kerana mereka akan mendapat peruntukan sana sini dan boleh menuntut itu dan ini. Tidak cukup dengan itu, ada yang begitu berani menggugut untuk mengundi parti lain atau berpaling tadah jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Bagi parti yang mahukan kemenangan, sudah tentu peruntukan disalurkan kerana jentera tidak akan bergerak tanpa habuan. Kawasan terbabit akan mendapat jalan baru, tar baru, tapak sekolah baru, kemudahan sekolah baru, pelbagai projek pembangunan baru dijanjikan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Tidak salah, cuma kadang kala naik sebu telinga mendengarnya. Namun, apakan daya inilah realiti budaya politik kita yang diharapkan akan berubah.
Jika ianya berterusan, selepas ini saya bimbang, rakyat saban hari akan berdoa kepada Tuhan supaya wakil rakyat mereka meninggal dunia atau mati cepat. Logiknya mudah, apabila berlakunya kematian wakil rakyat seperti parlimen Hulu Selangor ini, maka PRK akan diadakan. Kawasan tersebut tiba-tiba menjadi meriah. Episod menagih janji dan menunaikan janji, serta tuntut menuntut pun bermula. Sekelip mata kita akan dapat melihat perubahan wajah fizikal kawasan yang terbabit. Begitulah yang berlaku di parlimen Hulu Selangor, antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Boleh dikatakan semua orang mendapat manfaat.
Tidak kurang yang mendapat keuntungan segera hasil kemeriahan tersebut. Hotel dan rumah tumpangan penuh, makanan habis dijual di restoran-restoran dan berbagai lagi. Sebelum ini ramai yang tidak buat kisah keadaan Hulu Selangor kerana satu pihak telah menang, dan satu pihak lagi telah kalah, sehinggalah wakil rakyatnya meninggal dunia. Sepatutnya yang menang menjaga kawasan, yang kalah memantau. Keadaan berlaku sebaliknya.
Budaya ini menunjukkan bahawa seolah-olah pilihan raya adalah medan untuk mendapatkan sesuatu habuan, bukannya untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berwibawa dan mampu membawa perubahan ke arah lebih baik daripada yang sebelumnya. Trend ini menunjukkan bahawa kita masih belum matang dalam kehidupan berpolitik dan berpilihan raya berbanding dengan negara maju.
Di negara maju, pilihan raya adalah medan untuk mencari ‘pemimpin terbaik’ yang mampu membawa perubahan dan pembangunan dalam pelbagai aspek sama ada fizikal mahupun spiritual mengikut lunas demokrasi. Pemimpin terbaik yang dimaksudkan mereka yang benar-benar terserlah kewibawaannya terutama dari segi semangat patriotism dan kenegaraan yang tinggi. Misalnya, penerimaan Barack Obama yang berkulit hitam sebagai presiden Amerika Syarikat oleh mereka yang rata-ratanya berkulit putih. Bezanya, di barat mungkin mereka tidak berapa kisah jika pemimpin mereka minum arak atau rosak akhlaknya. Bagi yang penting adalah wibawa dan karisma, tetapi norma sebegini tidak dapat diterima oleh masyarakat kita apatah orang Islam. Kita mahukan pemimpin yang baik dalam semua aspek, fizikal dan spiritual atau jasmani dan rohani.
Secara peribadi, saya dapat menerima ketelusan barat mengendalikan pilihan raya tetapi menolak calon yang rosak akhlaknya untuk bertanding dalam pilihan raya walaupun mereka berwibawa. Ini kerana, kebiasaannya tabiat merokok, minum arak, berjudi dan berzina mempunyai unsur-unsur ketagihan, kecuali mereka benar-benar telah ‘bertaubat’. Kadang kala sukar juga untuk mempercayai pengakuan ‘taubat’ seseorang manusia selagi manusia itu tidak beriman sepenuhnya kepada Allah SWT. Ibarat kata pepatah Melayu, anjing jika sudah biasa makan tahi, tak dapat makan, hidu pun jadi. Hendaknya biarlah kita benar-benar bertaubat. Janganlah hari bertaubat, esok berjahat kerana berhajat lebih hina daripada menjadi penjahat.
Apapun, faktor peribadi dan latar belakang seseorang amat dititik beratkan oleh Islam apatah lagi jika ia hendak menjadi pemimpin kepada masyarakat. Pemimpin mesti menjadi role model. Mereka mesti kelihatan baik luar dan dalam. Sebaik-baiknya tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan minum arak. Pada masa sama kewibawaan hendaklah juga terserlah.
Isu arak di negeri Selangor ini bukanlah isu baru. Kita telah dengar sebelum ini bagaimana parti ultra kiasu begitu marah kepada penguatkuasa bila mereka bertindak merampas arak yang dijual di kawasan majoriti Islam. Kita dapati parti ultra kiasu tidak dapat menerima hakikat ini. Mereka mengkritik hebat tindakan penguatkuasa dan serta merta mengeluarkan arahan supaya menghentikan tindakan tersebut. Sedangkan tujuannya adalah baik iaitu melarang orang Islam daripada minum arak. Kepada orang bukan Islam mereka boleh minum dan mandi arak, tidak siapa larang selagi tidak mengganggu ketenteraman awam. Dengan sebab itu, saya tidak berminat untuk mengulas perkara ini lebih panjang kerana semuanya telah faham, apatah dijadikan bahan untuk menyerang peribadi seseorang seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Dalam kempen pilihan raya, sebaik-baiknya kita tidak menyerang peribadi seseorang calon yang bertanding kerana perbuatan tersebut adalah tidak professional. Mereka yang diserang akan bertindak sama menyerang peribadi lawannya itu. Akhirnya berlakulah episod serang menyerang peribadi sehingga yang tidak kena mengena dengan pertandingan dalam pilihan raya turut terpalit sama. Inilah budaya kita. Kita yang makan nangka, orang lain pula yang kena getahnya. Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Tidakkah lebih molek jika kita berkempen dan berhujah dengan menilai perubahan sesebuah kawasan itu setelah kepimpinan beralih tangan? Saya lebih suka kita berpegang kepada kata-kata ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang
Dalam konteks parlimen Hulu Selangor, kita sedia maklum bahawa kawasan ini mula membangun ketika Tan Sri Muhammad Taib menjadi menteri besar Selangor. Pada saya, jika pemilihan calon tidak berasaskan kuota parti, beliau adalah yang paling sesuai untuk bertanding di sana berbanding calon lain, sekiranya tidak ada kontroversi . Jasa beliau amat besar kepada penduduk Hulu Selangor. Saya tidaklah mengatakan bahawa Hulu Selangor masih penuh hutan tanpa beliau, tetapi itulah hakikatnya, biarlah kita berterus terang. Justeru, dalam pemilihan calon, kita perlu mencari calon yang menghampiri ketokohan Muhammad Taib, kerana tanpa beliau, Hulu Selangor mungkin masih hulu lagi.
Inilah kritiria utama yang perlu dilihat dalam memilih calon. Apatah lagi ketika berkempen. Sepatut medan pilihan raya ini digunakan untuk menilai keberkesanan wakil rakyat serta tanggungjawabnya. Adakah wakil rakyat yang dilantik benar-benar mewakili rakyat atau indah khabar dari rupa. Adakah kerja wakil rakyat ini hanya melihat masalah rakyat ketika pilihan raya?
Bandingkan perubahan kawasan tersebut sebelum ini dengan dua tahun lalu setelah kepimpinan bertukar tangan. Adakah terdapat perubahan yang ketara atau sekadar penerusan agenda pembangunan sebelum ini semata-mata? Inilah sepatutnya yang dinilai oleh pengundi-pengundi di sana, bukannya meminta itu dan ini serta menyerang peribadi seseorang. Masyarakat yang matang harus pandai berhujah dan menepis hujah dengan hujah, bukannya menyerang dan menggugut sesuatu yang tidak ada kaitannya dengan prestasi seseorang. Kita harus rasional dan bukan emosional.
Kita perlu menilai adakah kepemimpinan dua tahun kebelakangan ini telah mengotakan janji-janji pilihan raya mereka atau cakap tidak serupa bikin. Saya fikir perbincangan sebegini lebih bermanfaat dan membangun minda berbanding pemikiran pandir yang hanya mahukan habuan dan tuntuan. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana. Amat sukar untuk kita pergi lebih jauh. Kita tidak proaktif tetapi lebih action-oriented.
Satu lagi perkara yang menjadi asas menguji kematangan dalam pilihan raya ialah bagaimana menanamkan nilai keikhlasan dalam berjuang seperti pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berjalan kaki dan bersusah payah merempuh onak duri berkempen ke sana ke mari tanpa mengharapkan imbuhan. Diri mereka sudah tidak penting. Apa yang lebih penting ialah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.
Berbanding dengan kita hari ini, keadaan sudah mula berubah. Kita sudah tidak mampu untuk berpanas di pondok panas. Dalam kepada kita hanya terbayang imbuhan dan wang besar. Pemikiran sebegini adalah cerminan kepada kemajuan yang akan dicapai. Kita akan menghadapi kesukaran memacu kemajuan menjelang 2020, disebabkan cara kita berfikir masih belum maju. Sebab dalam kepala kita mereka hanya ada projek, habuan dan peruntukan, bila berlaku PRK atau PRU.
Kita perlu berubah sebelum rebah seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri. Kita mesti ikhlas dalam perjuangan. Barulah kita akan berjaya. Kita akan kalah jika tidak ada keikhlasan. Jika menangpun, kemenangan itu hanya bersifat sementara. Tidak kekal lama. Masalah pasti akan berulang dan berulang. Kita tidak habis-habis akan menjadi mangsa.
Kita hendaklah menanamkan semangat kepada pengikut kita bahawa ganjaran yang paling besar bukan wang tetapi pahala. Pahala hanya boleh dianugerahkan oleh Alla SWT. Itulah jaminan kesenangan di dunia dan akhirat. Inilah juga semangat pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berhujan, berpanas dan berjaga sampai sampai ke pagi, bekerja tanpa kenal erti lelah, hanya kerana mereka mengharapkan habuan syurga. Saya yakin kita boleh pergi ke arah itu, pokoknya kita jangan mudah cair dengan habuan dunia, walaupun tidak nafikan ianya penting.
Ramai yang masih tidak faham bahawa pilihan raya sebenar bukanlah untuk menukarkan kerajaan kerana kerajaan tidak pernah bertukar. Kerajaan telah wujud semenjak wujudnya negara bangsa. Kita tidak boleh menukar kerajaan. Kita hanya boleh menukar parti yang memerintah kerajaan atau ruling party. Adalah salah bila kita menyebut kerajaan pembangkang atau bukan pembangkang. Kerajaan tidak pernah membangkang. Yang membangkang atau menyokong adalah parti yang memerintah kerajaan.
Justeru, sudah sampai masa kita mendidik rakyat apa yang betul, apa yang salah, bukannya siapa yang betul, siapa yang salah. Biarlah rakyat yang menghakimi apa yang betul apa yang salah di Hulu Selangor pada hari ini. Adakah wakil rakyat sebelum ini telah mengotakan janji-janji mereka atau janji tinggal janji?
Dalam sistem demokrasi, kemenangan pilihan raya tidak cukup, sekiranya tidak mendapat dua pertiga majoriti seperti berlaku pada hari ini. Akibatnya parlimen tidak dapat berfungsi dengan baik. Banyak perkara tertangguh disebabkan berlaku boikot-memboikot dalam sidang parlimen sehingga tidak menampakkan kematangan. Justeru, kemenangan dua per tiga adalah amat penting. Dalam mendapatkan kemenangan ini, calon yang berwibawa hendaklah diketengahkan berasaskan kehendak majoriti. Pada saya, jika kaum minoriti tidak mempunyai kawasan majoriti mereka, maka tidak perlu bertanding. Lebih elok kiranya wakil mereka dilantik sebagai senator daripada bertanding dalam pilihan raya. Itulah lebih membawa manfaat dalam menentukan kemenangan dua pertiga.
Kepada pengundi Hulu Selangor, selamat mengundi dan buatlah pilihan yang bijak. Masa depan Selangor berada di tangan anda. Saya pasti saudara semua boleh menilaikan antara kaca dengan permata.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment