Mingguan Malaysia 18 April 2010
Ketika membentangkan kertas kertas bicara sosial dalam Konvensyen Barisan Nasioanl (BN) Negeri Selangor baru-baru ini, saya telah menghujahkan beberapa perkara pokok yang mesti dapat dilihat dilaksanakan jika BN mahu kembali memerintah termasuk memenangi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.
Pertama, pemimpin mesti dapat dilihat latar belakang dan akhlaknya baik. Kebaikannya itu bermula dengan dia berjaya menjaga diri sendiri dengan imej bersih serta keluarganya, bertunjangkan keikhlasan. Saya memetik kata-kata ahli falsafah Cina, Konfucius yang berbunyi, if you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere. Kata-kata ini amat bertepatan dengan Islam walaupun bukan datang daripada ‘orang Islam’. Namun, dalam hati kecil ini sentiasa berkata kemungkinan besar Konfucius merupakan salah seorang Nabi daripada ribuan Nabi-nabi dalam Islam, kerana kata-kata langsung tidak bercanggah dengan roh Islam.
Pemimpin mesti dapat dilihat berakhlak sedemikian, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Mereka mesti menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat bagi membolehkan mereka dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, tanggungjawab memimpin teramat berat, bukan sekadar main-main atau ingin mencuba nasib. Ada perhitungan dunia dan akhirat. Menjadi pemimpin bukanlah tiket untuk membuncitkan perut atau mengumpul harta. Kekayaan negara mesti digunakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Pemimpin yang mempunyai skandal, hendaklah diketepikan kerana rakyat hari ini bijak memilih antara permata dan kaca. Tindakan bekas ketua wanita MCA, Chew Mei Fun patut dipuji, walaupun dalam beberapa perkara saya tidak boleh bersetuju pandangan beliau mengenai Islam dan hak asasi manusia. Beliau terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, berpegang kepada prinsip tidak dapat menerima pemimpin yang rendah moral dan akhlaknya. Tindakan ini mesti dihormati dalam melahirkan sebuah masyarakat berintegriti tinggi dan bermaruah. Jika ramai pemimpin seperti ini, BN tidak perlu merasai bimbang dalam menghadapi pilihan raya atau berhadapan dengan rakyat. Secara otomatik, mereka akan diterima rakyat.
Pemimpin mesti ada rasa malu untuk memimpin jika mereka mempunyai masalah peribadi dan masalah keluarga, kerana kehadiran mereka tidak perlukan, malah merosakkan agama, bangsa dan negara. Sikap menerima keburukan dan berusaha untuk menutupnya, hanya akan mengundang kehancuran. Ingatlah kita boleh menutup kemarahan manusia, tetapi kita tidak dapat menutup kemurkaan Allah SWT. Kadangkala saya bimbang jika bala turun disebabkan oleh perbuatan kita, adakah orang baik yang tidak bersalah akan terselamat! Apa yang saya tahu, bila bala turun, semuanya akan terpalit, walaupun orang tidak bersalah itu tidak melakukan kejahatan tersebut. Justeru, fikirkanlah secara mendalam sebelum berjahat dan menjadi penjahat.
Kata-kata dahulu kala seperti ‘jika BN letak tunggul kayu sekalipun akan menang pilihan raya’ tidak dapat diterima pakai lagi. Tunggul hari ini bukan hanya akan dipatahkan, malah dicampak rakyat entah ke mana. Justeru, pemimpin mesti mempunyai integriti yang amat tinggi. Menjadi role model kepada rakyat, terutama kanak-kanak yang sentiasa melihat pemimpin sebagai contoh teladan. Jika pemimpin terlibat dalam seks bebas dan korupsi bagaimanakah kita hendak mengatakan kepada rakyat supaya menjauhi perkara terkutuk itu kerana cakap sudah tidak serupa bikin.
Pendek kata, sebagai pemimpin mereka mesti dapat mengalir manfaatnya kepada manusia. Seperti kata Pendeta Za’ba, hidup ini mesti melakukan kebajikan dengan berjasa kepada orang. Sebaik-baik kebajikan itu biarlah kekal berpanjangan biarpun kita telah mati kerana demikian itulah iaitu salah satu daripada tiga perkara yang dikatakan oleh Nabi kita tidak putus amal seseorang anak Adam daripadanya apabila ia (anak Adam itu) mati. Perkataan itupun tidak tertentu bagi orang Islam sahaja melainkan ‘anak Adam’. Adapun fasal nama itu tergantung kepada hati. Kalau membuka masjid sekalipun jika hati tiada ikhlas kerana Allah melain kerana puji dan sebagainya termasuk dalam jumlah riak dan mencari nama. Tiada satu faedahnya di akhirat walaupun seribu masjid dibuat. Bangsa kita tidak boleh maju dengan masjid sahaja, jikalau orang yang memenuhi masjid itu jahil dan bodoh, atau orang yang tidak layak hidup di dunia ini.
Kedua, pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN janganlah bertindak mendesak dan menggugut UMNO ketika parti Melayu ini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan orang Melayu. Secara umumnya, semua rakyat Malaysia sudah dapat apa yang sepatutnya mereka dapat (basic need). Cuma apa yang berlaku hari ini, kita mahu menambah apa yang telah kita dapat. Pada hemat saya, buat sementara ini, lupakanlah tindakan mendesak buat sementara waktu. Sebaik-baiknya berikanlah sokongan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat dengan penuh integriti. Sokonglah UMNO selagi mana ia berada di landasan yang betul. Perbetulkannya, jika ia mula melencong daripada landasan.
Parti-parti komponen BN hendaklah mengumpulkan kekuatan dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa musibah atau tidak berupaya. Memang tidak dapat dinafikan inilah peluang keemasan dan kesempatan yang perlu dipergunakan dengan menuntut itu dan ini, tetapi saya ingatkan belajarlah memahami psiki orang Melayu. Melayu jarang meluahkan kemarahannya di khalayak, tetapi mereka mudah memendam rasa. Menyimpan sesuatu yang terbuku di hati, kemudian diterjemahkan dalam bentuk sukar dikawal. Inilah yang paling saya bimbang sekian lama memahami bangsa ini.
Ketiga, mengikhtiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Kemajmukan masyarakat di negara ini tidak berlaku secara semulajadi. Negara ini bermula dengan satu bangsa iaitu bangsa Melayu, dengan tidak menafikan orang asli. Hakikat ini mesti diterima oleh semua manusia di dunia ini. Tidak ada negara dalam dunia ini bermula dengan berbilang kaum. Ia bermula dengan satu kaum yang menduduki sesuatu kawasan atau negara. Nama kaum itu akan menjadi nama sesebuah negara negara. Tidak perlu saya ulangi kenapa Siam menjadi negara Siam, bangsa Cina menjadi negara China, dan bangsa India membentuk negara India. Fikir-fikirkanlah kenapa ia berlaku sedemikian. Justeru, tidak timbul Melayu itu adalah pendatang kerana nama Tanah Melayu sudah jelas mencerminkan kedudukannya di kepulauan Melayu. Tindakan mengungkit perkara ini hanya akan mengundang musibah kepada BN.
Lanjutan daripada itu, slogan Ketuanan Melayu jangan pula dilihat sebagai melambangkan Melayu itu tuan, manakala bukan Melayu itu hamba. Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar untuk mengingatkan sahaja bahawa negara ini berakarkan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, sudah tentu kita akan merempat di bumi ini. Tetapi adakah ianya berlaku sedemikian rupa? Siapakah tuan, siapakah hamba sebenarnya? Jika orang Melayu tuan, saya tidak fikir hanya 8 orang sahaja yang tersenarai daripada 40 orang terkaya di negara kita. Justeru, tidak perlulah lagi isu sebegini dimanipulasikan.
Fahamilah konsep keadilan dalam Islam. Keadilan itu bukannya sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam boleh memberikan keadilan, tetapi Islam tidak dapat memberikan sama rata dan sama rasa, sebab agama Islam itu sendiri tidak boleh disamakan dengan agama lain. Tetapi Islam memberikan jaminan keadilan. Dengan sebab itu, kita lihat orang bukan Islam boleh membina empayar kekayaan dan hidup aman damai di bumi Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh merasai perkara yang sama di bumi bukan Islam. Lagi pula orang Islam jarang cemburu dengan kekayaan yang dimiliki oleh bukan Melayu.
Justeru, tindakan mengungkit-ngungkit hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 153 hanya kemarahan orang Melayu. Sedangkan kita tahu bahawa hak-hak tersebut tidak langsung menyekat orang bukan Melayu untuk terus berjaya. Malah apa yang kita lihat, bukan Melayu semakin berjaya, manakala kejayaan Melayu dan bumiputera masih menjadi tanda tanya. Adakah sebenarnya mereka benar-benar berjaya?
Keempat, menolak rasuah lebih hina daripada daripada makan babi. Maksud saya, imej seorang pemimpin BN mesti bersih dan bebas daripada rasuah. Memberi dan menerima rasuah, kedua-dua masuk neraka. Rasuah adalah perbuatan yang dapat dilihat dan masyarakat kita mula jijik dengannya. Rasuah adalah amat bahaya kepada agama, bangsa dan negara, tidak ada kompromi dalam isu ini. Pemimpin yang hendak mewakili rakyat mesti menjauhkan diri daripada perbuatan ini. Sama ada mereka mahu menjadi pemimpin cawangan atau bahagian sehinggalah ke peringkat negeri dan pusat, pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan politik hendaklah ditolak untuk cuba diketengahkan atau bertanding.
Kelima, mencari persamaan dalam kehidupan beragama, bersatu atas kebaikan dan menolak kemungkaran. Tidak ada agama yang menerima keburukan. Semuanya menganjurkan kebaikan. Maka nilai kebersamaan itu mesti dicari. Misalnya, seks bebas, pergaulan bebas, berzina, hiburan melampau, minum arak, judi dan sebagainya. Tidak ada satupun agama yang membenarkan perbuatan terkutuk ini. Justeru, tidak timbul soal untuk berhujah mempertahankan bahawa ianya adalah hak asasi manusia. Bila mana hak asasi manusia tertembung dengan hak Pencipta, maka hak Pencipta mesti diutamakan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.
Mempertahankan kemungkaran dan kemaksiatan hanya akan mengundang bala, sedangkan kita tahu ia ditolak oleh semua agama. Jika ada agama-agama yang menjadi anutan parti-parti politik komponen BN mengatakan bahawa kemungkaran dan kemaksiatan tersebut boleh diterima dan dibenar, sila buktikan pada saya. Saya akan jawab, nilai moral agama mereka amat rendah tarafnya. Mereka tidak layak untuk menganuti agama tersebut, kerana agama itu terlalu suci. Kesucian itu mesti dipelihara, tidak dapat tidak.
Keenam, menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi anutan orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa orang Islam tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal atau urusan bukan Islam. Justeru, sudah sampai masanya orang bukan Islam tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan orang Islam.
Misalnya, hukuman sebat ke atas umat Islam tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia adalah hal ehwal dalaman dan keluarga umat Islam. Biarkan umat Islam menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campurtangan orang lain. Sama ada ia bercanggah dengan hak asasi manusia atau tidak, itu bukan hak orang bukan Islam untuk menentukannya. Serahkanlah kepada umat Islam yang telah cuba mengambil pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut mereka sesama sendiri. Hormatilah keputusan ini.
Saya lihat kerajaan hari ini sudah mula cenderung ke arah itu. Semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin ia mendapat sokongan, kerana agama tidak pernah menipu manusia. Tuhan tidak pernah menipu manusia, melainkan manusia yang selalu menipu Tuhan. Yakinlah.
Secara peribadi, saya amat bersyukur dan memuji langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang telah mengubah cara sambutan hari pahlawan di tugu negara kepada sambutan yang lebih Islamik dengan mengambil kira pendapat ulamak dan cendekiawan Islam seperti yang telah disuarakan sekian lama. Baru inilah yang dikatakan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Kembalilah kepada rakyat, barulah kita dapat menawan hati rakyat kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment