Antara perkara yang paling buruk yang menimpa negara ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka fahami. Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan jika wujud keperbagaian fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun setaraf mereka. Ini mempunyai kaitan dengan persoalan 'kuasa agama' seperti yang saya sebutkan dalam artikel saya yang lepas. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya. Atau, mereka mungkin melabel pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan berbagai-bagai istilah. Ramai mereka yang cuba melakukan pembaharuan dalam sejarah Melayu dimusuhi dan diberikan berbagai tuduhan. Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Za'ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain. Di'cop' Nama-nama yang disebutkan itu pada zaman mereka menghadapi tuduhan yang berbagai terutama di'cop' sebagai 'kaum muda' atau wahabi atau sesat atau menentang mazhab. Usaha-usaha pembaharuan mereka ditentang. Pendeta Za'ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan Melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau. Za'ba pernah menyebut: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005). Za'ba juga berkata: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta. Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan dan Rasulnya tidak menyukai orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain. Imam-imam Mujtahidun dahulu kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekelian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid dan pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu”.(m.s. 25-26). Prof Hamka terkenal sebagai sarjana Nusantara yang besar. Tafsirnya Al-Azhar mendapat mengiktirafan atas keilmuwannya. Beliau sendiri merupakan tokoh pembaharuan di Indonesia yang terlibat membangunkan Gerakan Muhammadiyyah, Indonesia. Bahkan beliau sering membantu pergerakan pembaharuan Islami Tanah Melayu. Antara usahanya yang terkenal ialah risalah yang ditulisnya mengkritik Mufti Johor ketika yang memusuhi gerakan pembaharuan. Setiap mereka yang berminat dengan gerakan pembaharuan patut membaca buku Prof Hamka Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor. Antara tegurannya: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85). Kata Prof Hamka juga: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor m.s. 48, Selangor: Pustaka Dini, 2009). Katanya juga: “Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na'am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49). Nasib golongan Pembaharuan Nasib golongan pembaharuan agak tersisih bukan disebabkan kekurangan jasa dan penolakan masyarakat tetapi kegagalan mereka 'mengampu' pihak berkuasa. Itu yang saya sebut kegagalan menggabungkan kuasa agama dengan kuasa politik. Dengan itu mereka ditindas. Sumbangan mereka sangat besar. Kebanyakan nilai-nilai keterbukaan dan kemerdekaan minda yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan mereka. Walaupun saya secara peribadi bukannya bersetuju dengan semua idea mereka. Namun merekalah yang menentang pemikiran sempit, adat-istiadat yang menyanggahi syarak dan fanatik mazhab tanpa asas yang benar. Merekalah yang membebas kongkongan terhadap kaum wanita disebabkan fanatik mazhab dan adat Melayu. Mereka yang memecah paksaan perkahwinan dan wanita tidak boleh keluar belajar. Mereka yang menggerakkan idea-idea kemerdekaan dan mengasaskan institusi-institusi pendidikan. Merekalah yang melebarkan Islam kepada pelbagai bidang. Sumbangan mereka menggerakkan idea penentangan terhadap penjajahan sangat besar. Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari. Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana. Banyak adat-istiadat Melayu yang dianggap tidak serasi dengan Islam menyebabkan mereka sukar untuk mengikut kehendak telunjuk sultan dan raja. Pendirian mereka yang berterus terang dengan prinsip-prinsip Islam itu menyebabkan sukar untuk mereka berdamping dengan raja-raja Melayu. Ruang ini telah diambil oleh golongan penentang mereka untuk mengisi jawatan-jawatan agama dan mendampingi istana-istana untuk menindas gerakan pembaharuan. Hal ini disebutkan oleh Prof Hamka dalam bukunya 'Ayahku' yang menceritakan perjuangan pembaharuan ayahnya. Kata Hamka: “Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi'i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu 'melotot' serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi'i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa...alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (Prof Hamka, Ayahku, m.s. 162, Selangor: Pustaka Dini 2007). Enggan mengampu Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama. Fatwa-fatwa mereka hanya dihalakan kepada rakyat dan dilupai kerabat dan pembesar. Dengan itu, mereka dapat mempengaruhi istana agar menghalang perkembangan gerakan pembaharuan. Pada hari ini kita lihat pemakaian tali leher tidak diharamkan. Namun semasa zaman perkembangan pembaharuan dahulu tali leher diharamkan. Apabila tokoh-tokoh pembaharuan menyatakan tali leher tidak haram, mereka ditentang. Namun apabila didapati sultan memakainya, terus fatwa golongan penentang pembaharuan dikeluarkan bahawa tali leher tidak haram jika ada keperluan (lihat: Hamka, Teguran Suci dan Jujur Kepada Mufti Johor, 48-49). Berlindung Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatahlagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah. Banyak amalan istana yang akan dipertikaikan oleh tokoh-tokoh pembaharuan. Penentang pembaharuan mengambil kesempatan ini. Mereka melupakan berbagai amalan khurafat di istana dan rakyat, kemunduran akal dan harta masyarakat Muslim, unsur-unsur feudalism yang menyanggahi jiwa merdeka Islam dan berbagai lagi. Bagi mereka semua itu kecil dibandingkan usaha menentang golongan pembaharuan yang mengajak umat berfikir dan terbuka minda. Bagi mereka itu akan mengancam kedudukan mereka dalam masyarakat yang mana mereka selama ini boleh berkata apa sahaja tanpa dicabar. Sedangkan gerakan pembaharuan menentang taklid buta. Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama. Kadang-kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain. kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 65). Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana. Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana. Cumanya, Inggeris sering memantau penentangan mereka terhadap penjajahan. Hari Ini Perjuangan para reformis sudah banyak berhasil walaupun mereka menjadi korban kezaliman kuasa. Banyak perubahan telah berlaku. Hari ini sudah tidak seteruk semalam. Pun begitu masih ada persamaannya. Pembaharuan umat atau tajdid (renewal) masih diperlukan. Kejumudan kembali atau masih mengongkong kita. Seruan agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah serta membebaskan diri dari taklid tanpa faham masih diperlukan. Ya, penindasan terus berlaku. Cumanya, yang agak istimewa di era ini golongan pembaharuan mempunyai media alternatif dan internet untuk pandangan mereka disebarkan. Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini. Internet memboleh banyak hujah disampaikan dan idea disalurkan. Istana sepatutnya tidak berpihak dan mendengar dari semua aliran. Namun, dalam banyak keadaan, itu belum berlaku. Kepada Allah kembali segala urusan. Semoga tajdid di era baru lebih kemas dan bertenaga!! |
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment