Sunday, 4 April 2010

Berubah sebelum parah

Mingguan Malaysia, 4 April 2010

Sejak akhir-akhir ini krisis dalaman MCA mewarnai politik negara. Liputan demi liputan diberikan seolah-olah MCA adalah sebuah parti yang amat berpengaruh di kalangan orang Cina. Pada saya, MCA tidaklah sekuat mana berbanding parti-parti politik yang lain terutama parti ultra kiasu. Parti ultra kiasu telah berjaya mengalihkan perhatian dan minat ahli-ahli parti MCA dan Gerakan kepada mereka. Dengan sebab itu, tsunami politik dan pilihan raya 2008 adalah petunjuk yang amat jelas bahawa sokongan orang Cina telah beralih arah kepada ultra kiasu. Saya amat yakin, jika ditakdirkan pilihan raya umum berlangsung hari ini, belum tentu ahli MCA dan Gerakan mengundi calon mereka dalam pilihan raya. Kenapa? Inilah psiki yang mesti kita fahami.

Parti ultra kiasu telah berjaya memanipulasikan dan mengekspoitasikan isu sehingga menyerlahkan kehebatan mereka seolah-olah kelihatan sebagai jaguh rakyat. Mereka berjaya melindungi sifat ultra kiasu mereka disebabkan oleh kelemahan kita sendiri sehingga diambil kesempatan oleh mereka.

Jika sejak dahulu kita menyahut seruan Perdana Menteri dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, maka sudah tentu tsunami politik ini tidak akan berlaku. Ayat keramat ini sebenarnya telah diamalkan pemimpin terdahulu seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dr. Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’ba), Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Pada mereka, politik bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi politik adalah untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara, agar kepentingan rakyat terpelihara.

Hari ini segelintir kita sudah jauh berubah. Politik digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa. Kuasa diperalatkan untuk mendapatkan dan mengumpul harta kekayaan. Kita berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup menikam bangsa dan rakan sesama sendiri. Semata-mata kerana dengan adanya kuasa, segala dapat diperolehi dan kemahuan nafsu dipenuhi.

Pemimpin-pemimpin lalu dapat dilihat (to be seen) sebagai pemimpin yang tidak menimbunkan harta. Mereka berjiwa rakyat dan hidup matinya semata-mata adalah untuk rakyat, berpaksikan kepada ajaran agama. Rakyat didahulukan dalam sebarang hal, dengan mengambil kira rakyat yang memilih kita untuk naik ke puncak teratas. Tanpa rakyat siapalah kita hari ini. Justeru, kita perlu pulangkan kembali amanah yang dipikul ini kepada rakyat dengan menjaga kebajikan dan keselamatan mereka. Biar rakyat kaya, pemimpin hidup serba sederhana. Biar rakyat tahu, kekayaan mereka disebabkan oleh pemimpin yang bekerja dengan ikhlas dan sentiasa low profile bukannya berlagak tidak tentu pasal. Jejak langkah inilah yang patut kita contohi kerana ia selari dengan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh nabi Muhammad SAW.

Sehingga ke akhir hayat Baginda, laungan ummati, ummati dan ummati, tetap berkumandang. Ini menunjukkan kecintaan Rasulullah SAW yang teramat kuat kepada umatnya, berpaksikan Cinta Agungnya kepada Allah SWT. Kecintaan yang amat mendalam inilah yang telah menyelamatkan agama, bangsa dan negara serta dunia secara keseluruhannya.

Sebahagian besar harta Nabi habis digunakan untuk perjuangan Islam demi kepentingan rakyat tercinta. Begitu juga dengan pimpinan para sahabat. Islam yang kita nikmati hari ini adalah juga hasil daripada perjuangan mereka. Baginda ternyata teramat berjaya merealisasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ramai rakyat jelata yang menjadi kaya raya dijana menyokong bersama-sama perjuangan dan inspirasi Baginda. Baginda tidak dilihat menimbunkan harta. Pengorbanan Baginda tidak ada tolok bandingnya. Siapalah kita jika ajaran Baginda tidak sampai ke Nusantara. Apakah mungkin kita menjadi seadanya? Ingatlah, hari ini kita hebat disebabkan oleh Islam datang kepada kita. Mengubah cara hidup kita yang dahulunya jahil, kini menjadi umat terpelihara. Jika ditakdirkan kita masih Hindu-Buddha, apakah keadaannya sama seperti hari ini?

Hari ini segelintir kita sudah mulai jauh dari perjuangan Baginda dan pemimpin terdahulu? Keadaan kelihatan sudah mula terbalik. Kita lebih berseronok dengan kuasa. Kuasa boleh membeli rumah mewah, kereta mewah, isteri mewah dan sebagainya, sehinggakan perjuangan sebenar tergadai. Akhirnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita asyik marahkan orang lain kerana mengambil kesempatan. Persoalannya, kenapa kita biarkan orang lain mengambil kesempatan hasil daripada kelemahan kita sendiri?

Saya tidak fikir orang lain akan mengambil kesempatan, jika kita memperlihatkan kehebatan dan kekuatan kita. Kita tidak mudah dijual beli. Kita mempunyai prinsip perjuangan yang jelas memartabatkan agama, bangsa negara serta menjauhi sifat-sifat mazmumah. Hari ini kalau kita mahu menjadi juara rakyat, memenangi hati rakyat dan seterusnya menang dalam pilihan raya, pemimpin mesti dalam dilihat melakukan kebaikan, berjuang untuk rakyat, baik akhlaknya dan menyayangi agamanya.

Biarlah rakyat yang kaya, pemimpin tidak seberapa nampak terlalu kaya. Bukannya pemimpin kaya, rakyat di bawah hidup menderita. Kenapa hari ini parti ultra kiasu dan sekutunya berjaya mengaburi hati rakyat? Rakyat yang kaya berada di belakang mereka menyokong penuh aspirasi mereka, menampakkan mereka seolah-olah tidak berada. Sedangkan kita tahu, mereka juga tidak kurang kayanya. Sistem yang sedia ada turut membantu mereka menjadi kaya. Cuma, mereka pandai cover, menutup kelemahan dengan mengaburinya melalui kebaikan yang dipublisitikan secara besar-besaran. Kebaikan dan pertolongan mereka diperlihatkan, dimasukkan ke dalam laman-laman web mereka. Bantuan kepada sekolah agama dan jabatan agama diperbesar-besarkan, dengan mengatakan peruntukannya sebelum ini lebih kecil. Saya tidak nampak penambahan peruntukan itu perlu diperbesarkan. Ia semata-mata dilakukan untuk mencairkan hati kita. Logiknya mudah, jika peruntukan lebih kecil, sudah tentu hati kita tidak cair. Saya yakin peruntukan dikatakan lebih besar jauh lebih kecil jika kita dapat angka yang sebenar peruntukan yang disalurkan untuk orang mereka yang disengaja disenyapkan. Strategi licik perlu difahami seperti yang saya tulis minggu lalu.

Masa masih belum terlambat dalam merealiasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ingatlah kata-kata keramat Pendeta Za’ba, rupa tidak boleh diubah, tetapi perangai boleh diubah. Umat Islam hari ini mengalami krisis identiti untuk mengubah perangai supaya menjadi lebih baik. Sedangkan kita tahu perangai boleh diubah jika telah ada kesedaran dan matlamat hidup.

Cuba kita amati betul-betul amanat yang pernah disampaikan oleh almarhum Tun Dr. Ismail, katanya, UMNO perlu membetulkan lemahnya kefahaman parti-parti lain serta lemahnya komitmen mereka kepada struktur politik yang telah dibina. Dalam pilihan raya 1969 persoalan sensitif tentang Bahasa Kebangsaan dan Hak Istimewa Melayu menjadi hambatan kepada Perikatan umumnya dan menyebabkan pertumpahan darah pada 13 Mei. Lalu kita maktubkan isu-isu itu dalam Perlembagaan sebagai perkara yang tidak boleh dibangkitkan dalam bentuk apapun oleh pembangkang. Dengan itu kelemahan rakan-rakan kita dilindungi. Pada masa akan datang, MIC dan MCA tidak boleh memandang kepada UMNO dan berkata mereka menghadapi kesulitan dengan isu-isu tersebut, sebab mulai sekarang isu-isu itu tidak akan menyusahkan mereka lagi. Kita akan mensyaratkan persetujuan tentang perlaksanaan dasar dan kurangkan masa yang digunakan untuk menjelaskan kepada sesama kita isu-isu yang sudah diterima sebagai dasar Perikatan. Kita harus tumpukan perhatian pada perlaksanaan Bahasa Kebangsaan yang sewajarnya serta perlindungan Hak Istimewa Melayu, dan mempertahankan kewarganegaraaan kaum bukan Melayu. Tiga isu ini harus menjadi asas perbincangan yang terus terang dan ikhlas antara ketiga rakan dalam Perikatan, agar kita dapat mencapai kemenangan yang munasabah dalam pilihan raya akan datang. Tetapi kalau kita balik kepada perangai lama dan bercakap tanpa berterus-terang dan tanpa keikhlasan, dan kita “sembunyikan masalah kita di bawa tikar”, saya rasa Perikatan akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang. Kalau kita tidak mencapai kesepakatan seperti itu, lebih baik kita bubarkan sahaja perkongsian ini daripada meneruskan pakatan yang hidup segan mati tak mahu (Ooi Kee Beng, 2007).

Amanat ini walaupun sudah lama, ternyata sudah menampakkan kebenarannya. Kontrak sosial yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seolah-olah telah dicabuli dan kita rela membiarkannya. Pada kita, kontrak sosial mengurangkan sokongan bukan Melayu, sedangkan kita jarang mengkaji kesan positifnya dan perasaan orang Melayu sendiri. Apakah kita lupa peringatan yang telah diberikan oleh sarjana barat seperti Comber (2007) dan Faaland (2005)?

Menurut Faaland, orang bukan Melayu sebenarnya memahami maksud kontrak sosial yang sebenar yakni mereka bertanggungjawab untuk membantu orang Melayu memasuki alam perniagaan dan perdagangan. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian ikhlas yang dipercayai umum wujud antara mereka. Sayangnya, bukan Melayu tidak tampil dengan bantuan sebenar kepada orang Melayu dalam sektor swasta. DAP, MCA, Gerakan dan Pertubuhan dan Persatuan Cina mahupun MIC, tidak tampil dengan inisiatif atau rancangan usaha sama kenegarawanan, program dan projek untuk membantu orang Melayu agar terbentuk satu identiti kepentingan di kalangan kumpulan kaum, meskipun inisiatif sedemikian adalah untuk kepentingan mereka sendiri, yang memberi keselamatan dan jaminan untuk masa depan. Namun, perkara sebaliknya berlaku.

Menurutnya lagi, bukan Melayu mendiskriminasikan orang Melayu dalam perniagaan dari segi kontrak, dalam pekerjaan dan lain-lain, memihak kepada kaum mereka sendiri. Melayu dianggap rendah dan malas serta hanya mampu melakukan kerja-kerja yang kurang memerlukan daya fikiran dan daya fizikal. Mereka juga dianggap tidak responsif kepada motif keuntungan dan kurang berinisiatif, serta apabila diberikan sesuatu kerja, orang Melayu dianggap tidak berkeupayaan melaksanakannya dengan serius dalam jangka panjang, berbanding kaum lain. Orang Melayu hanya diberikan jawatan hiasan untuk tujuan kosmetik dan perhubungan awam, khususnya jika syarikat berkenaan mempunyai urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh pegawai Melayu. Secara praktik, orang Melayu telah memberikan kepada bukan Melayu hak-hak yang tidak terpisah di bawah perlembagaan sebagai ganti untuk apa yang akhirnya hanya berupa tidak lebih daripada janji-janji samar dan kosong oleh bukan Melayu. Namun, janji-janji ini pun kini dinafikan sesetengah bahagian komuniti bukan Melayu.

Sebagai kesimpulan, kita tidak perlu menggadaikan prinsip untuk merealisasikan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Apa yang penting, perangai kita mesti berubah. Pemimpin mesti dapat dilihat sebagai juara rakyat, dengan bertindak mengikut landasan kebenaran berpaksikan kepada perlembagaan seperti mana yang telah dipersetujui bersama. Yakinlah, Allah bersama-sama orang yang benar. Berubahlah sebelum parah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

3 comments:

tuan director said...

teruskan perjuangan sunnah di Perlis

Anonymous said...

Salam Dato Seri,
Saya memang sangat bersetuju dengan pandangang Dato Seri menganai perkara ini. Orang Cina baik dalam MCA dan Gerakan dah terpengaruh dengan propaganda pari ulra kisiou ini. Entah sampai bila mereka akan kembali berubah. Mereka nak samakan Malaysia dengan Jepun, Cina, Korea tapi mereka tak sedar negara tersebut mempunyai penduduk hanya satu bangsa tapi Malaysia mempunyai tiga bangsa besar. Melayu adalah bangsa asal di Malaysia yang dahulunya di Panggil Tanah Melayu. Sampai bila bila pun mereka tetap tidak akan dapat taraf bumiputra sebab mereka bukan bumiputra. Salam Dato Seri.

Anonymous said...

salam, dato seri..

saya seorang pelajar IPTA..

saya ada perkara yg hendak diutarakan pada dato seri..

bagaimana boleh saya hubungi dato seri?