Wednesday 18 November 2009

Kejayaan Moral yang pertama buat Dr Asri

Asri tidak mengaku salah

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak mengaku salah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi ini atas tuduhan mengajar agama tanpa ditauliah.

Mohd Asri, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman beralamat No. 2 Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 malam sehingga 9.45 malam 1 November lalu.

Berikutan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM3,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan kes ini didengar pada 5 Januari depan di mahkamah yang sama.

Mahkamah juga menolak permohonan Ketua Pendakwa Syarie Abdul Shukor Abdul Hamid untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Beliau memberi tiga alasan untuk menyokong permohonan untuk memindah kes tersebut, iaitu:

- Permohonan dibuat melalui kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada ketua pendakwa syarie;

- Kes ini akan melibatkan pemakaian undang-undang dan prosedur yang memerlukan kepada pandangan dan tafsiran tepat dari yang arif hakim yang lebih berpengalaman; dan

- Kes ini mendapat liputan meluas media massa seluruh negara melibatkan tertuduh yang mempunyai pengaruh.

Terdengar bunyi menghela nafas lega dari kalangan penyokong Dr Mohd Asri yang berada dalam dewan mahkamah, apabila Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad menolak permohonan tersebut.

Dr Mohd Asri tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi bersama dengan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut hadir memberi sokongan ialah kira-kira 80 pengikut dan bekas anak murid Dr Mohd Asri.

Mahkamah mula mendengar pada jam 9.18 pagi dalam dewan mahkamah yang sesak dengan orang ramai.

Turut hadir ialah Datuk Paduka Marina Mahathir. Sementara itu, salinan keratan akhbar mengenai kes Dr Mohd Asri diedarkan di kalangan penyokong dan orang ramai di luar mahkamah.

Manakala orang ramai kelihatan berasak-asak di depan pintu utama bangunan mahkamah menunggu ianya dibuka, untuk mengikuti perbicaraan kes tersebut.

Pintu dewan mahkamah ditutup sebaik sahaja semua tempat dipenuhi. Prosiding selama hampir sejam sebelum mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu didengar pada 5 Januari depan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, peguam Kamar Ainiah Kamaruszaman, yang mewakili Mohd Asri, membantah pertuduhan yang dikenakan kerana dalam pertuduhan itu dikatakan mengajar agama Islam tanpa tauliah sedangkan tidak menyatakan butir-butir dengan jelas, tepat dan terang serta tidak menyatakan skop sebenar tauliah itu.

"Saya meminta kepada pihak pendakwa agar mengkhususkan skop pertuduhan itu kerana pelbagai pihak akan membuat tafsiran.

"Afidavit yang dikemukakan iaitu untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi oleh pihak pendakwa pada 12 Nov lalu sebenarnya telah melangkaui pertuduhan pada pagi ini dan ini tidak menepati format yang sepatutnya dilakukan," katanya.

Beliau berhujah bahawa permohonan pihak pendakwa itu seolah menghina mahkamah dan hakim yang mendengar kes ini kerana seolah-olah menyatakan mahkamah dan hakim tidak layak.

"Jika dibenarkan, anak guam kami akan dinafikan hak bagi proses rayuan nanti iaitu Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, dan pihak pendakwa menyatakan tertuduh mempunyai pengaruh besar yang akan mengganggu proses
perbicaraan adalah tidak relevan.

"Pihak pembelaan juga berpendapat afidavit itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan terdesak," katanya.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menolak permohonan pihak pendakwaan secara lisan atas alasan permohonan itu hanya dibenarkan jika pihak pendakwaan mengemukakan alasan yang munasabah dan lebih tepat kerana mahkamah berpandangan kes itu perlu dibicarakan dengan segera.

"Jika permohonan ini dibenarkan akan menyebabkan tertangguh beberapa kali dan akan menyebabkan berlaku prejudis kepada tertuduh dan juga subjudis kepada mahkamah ini adalah kerana telah dimaklumkan kepada media massa terlebih dahulu.

"Ini akan menyebabkan gangguan dalam proses bicara nanti dan terdapat juga kes yang sama seperti ini telah banyak dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah tanpa masalah," katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa sepatutnya pihak pendakwaan lebih konsisten, bukannya merujuk kepada seseorang individu dalam memberikan keadilan.

"Mahkamah juga berpendapat Mahkamah Rendah Syariah mempunyai kuasa yang telah diperuntukkan undang-undang dan mempunyai kuasa untuk memutuskan sebarang keputusan," katanya.

Sementara itu, ikatjamin dibayar oleh Md Sadik Md Ismail dan Mohd Ismail Mirasa.

Pada 2 November lepas, Mohd Asri dihadapkan di mahkamah yang sama tetapi tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kemudiannya dibebaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran.

1 comment:

Anonymous said...

moga jais hancur ....udahler kristian ajak muslim ke gereja , lansung x endah si jais , now muslim ajak sesama muslim nak di kawalnyer