Mingguan Malaysia, 15 Nov 2009
Seperti yang dijangka pantang soal pendidikan vernakular disentuh, maka melompatlah segelintir ultra kiasu ini. Mereka mengatakan itu hak mereka. Kepentingan etnik mesti dijaga. Jangan campurtangan. Sedangkan saya bercakap dalam soal pembinaan negara bangsa, memperkasakan masa depan dan kepentingan nasional, dengan tidak menafikan hak bangsa lain untuk belajar bahasa ibunda. Apakah kita masih tidak faham? Lebih ekstrim lagi, mereka mencadangkan jika mahu dibuat sekolah satu aliran, jadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar, bukan bahasa Melayu. Ternyata mereka mengenepikan sama sekali dan memandang rendah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bila bahasa itu dipandang rendah, tidakkah pandangan terhadap bangsa bahasa tersebut turut terpalit sama?
Maka tidak hairanlah hari ini mereka amat bangga dan megah dengan nama-nama tambahan seperti Joe, Michael, Nicol, Amy, Martin dan lain-lain. Kadangkala naik mual memanggil dan mendengarnya. Mereka bangga dikaitkan dengan Kristian dan barat, namun tidak mahu langsung dikaitkan dengan Islam dan Melayu. Tidakkah timur itu lebih dekat dengan kita berbanding barat? Ada yang sanggup menukar kad pengenalan baru semata-mata taksub dengan nama barat. Kenapa bila tiba nama-nama seperti Muhammad, Mahmud, Aziz, Ridhuan dan nama-nama Islam lain tidak dipandang tinggi, malah dilihat dengan nada penuh kebencian? Hina sangatkah nama Melayu dan Islam? Penggunaan nama-nama Islam dianggap tidak ada standard dan glamour? Tidakkah nama-nama timur ini lebih berwajah 1Malaysia? Saya tidak mahu untuk membuka tembelang yang lain. Biarlah saya simpan buat sementara waktu ini.
Bukanlah niat saya untuk menanamkan api kebencian antara kaum. Tetapi serangan demi serangan menyebabkan saya terpaksa berterus-terang bagi menunjukkan segelintir mereka ini yang tidak pernah bersyukur. Mereka lebih rela diasimilasi dan diakulturasikan dengan barat berbanding Melayu dan Islam.
Apa jua perkara yang berkaitan asimilasi dan akulturasi dengan Melayu Islam akan dipandang rendah dan langsung tidak akan diamalkan. Manakala cara hidup barat diterima bulat-bulat. Misalnya, cara hidup Melayu seperti berpakaian Melayu, bersongkok, makan menggunakan tangan dan muzik Melayu. Pernahkah kita lihat orang bukan Melayu sekurang-kurangnya mengakulturasikan dengan cara sedemikian? Kalau adapun boleh dibilang dengan jari.
Dalam konteks 1Malaysia, adalah lebih wajar kita mengasimilasikan atau mengakuturasikan diri dengan cara hidup Melayu Islam, kerana ia lebih membawa manfaat kepada masa depan negara. Orang Islam amat kagum dan mudah cair jika ada di kalangan bukan Melayu yang mencuba meminjam cara hidup mereka. Ini tidak, kita lebih barat dari barat. Termasuk juga dengan orang Melayu. Kadang-kadang sampai terlupa bahawa mereka ini orang Melayu kerana terlalu kebaratan.
Sebagai Cina Muslim, bangsa saya memang tidak mahu dikaitkan dengan Melayu langsung terutama dari segi cara hidup. Kalau adanya yang berjinak-jinak dengan Melayu hanyalah untuk dipergunakan dan diperalatkan. Amat sedikit sekali orang Melayu yang bekerja di syarikat-syarikat bukan Melayu. Syarat-syarat seperti keupayaan bahasa Mandarin dijadikan alasan untuk menolak pekerja Melayu. Berbanding dengan syarikat-syarikat Melayu yang mengambil pekerja-pekerja bukan Melayu, atas alasan bukan Melayu lebih rajin daripada Melayu. Bahkan, kadangkala bukan Melayu juga dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Siapakah yang lebih sanggup memberi dan menerima sebenarnya dalam hal ini?
Kalau adapun orang Melayu (termasuk Indonesia) diambil bekerja hanya dipergunakan untuk melariskan jualan makanan dan perkhidmatan. Melayu diperalatkan. Nama Melayu akan digunakan untuk melariskan jualan seperti jenama makanan yang mempunyai nama-nama Melayu dan Islam. Sedangkan hak-hak mereka asas mereka tidak penuhi. Orang Melayu tetap redha sebab itulah periuk nasi mereka. Berapa pekerja-pekerja Melayu Islam yang datang mengadu kepada saya kerana dihalang untuk solat Jumaat dan solat fardu? Saya boleh senaraikan satu per satu syarikat tersebut. Solat dikatakan membuang masa dan mengurangkan kualiti dan produktiviti. Sedangkan kita sedia maklum, semakin takut seseorang itu dengan Allah, semakin kuat dia bekerja untuk manusia, sama ada majikannya itu Islam atau tidak. Sifat takutkan Allah akan menjadikan dia berhati-hati melakukan pekerjaan. Saya tidak nafikan ada yang kuat solat, tetapi malas dan culas.
Apakah wujud perancangan untuk memisahkan orang Melayu dengan Tuhannya agar mereka menjadi cair?Apabila ikatan mereka dengan Allah telah cair, maka lunturlah semangat jihad mereka, maka mudahkan untuk mensekularkan dan menguasai mereka. Inilah tindakan licik yang mesti kita sedar. Saya tidak maksudkan jihad itu dengan berperang, tetapi cukup sekadar jihad itu menuntut perubahan untuk menjadikan kita lebih baik dan dekat dengan Maha Pencipta.
Kadangkala saya tidak menyalahkan mereka. Mereka mencari dan mengambil kesempatan. Kita sahaja yang leka dan syok sendiri. Kita tidak menghargai apa yang kita ada, apatah lagi untuk menguatkuasakannya. Kita rela korbankan segala yang ada pada kita asalkan negara dapat bergerak maju ke hadapan, walaupun yang dikorbankan itu adalah maruah agama dan bangsa. Misalnya kedudukan bahasa dan dasar pendidikan.
Kenapa kita tidak kaji kekuatan yang ada pada kita sebelum mengkaji kekuatan orang lain? Saya amat pelik kadang-kadang, kita begitu beriya-iya mengkaji orang lain sehingga terlupa kepada diri sendiri. Ini menyebabkan kekuatan sendiri terabai disebabkan oleh terlalu taksub terhadap orang lain. Apakah ini sebenarnya sekularisme?
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi, pelajar-pelajar diwajibkan belajar dan memahami pelbagai teori yang datang daripada barat (terutamanya) dan timur daripada tokoh-tokoh tertentu. Teori-teori ini bukan sahaja disuruh hafal, malahan mereka yang berjaya menerangkan lebih lanjut itulah pelajar yang terbaik dan diberi markah tinggi. Contoh kecil, teori strategi dan peperangan Tsun Tzu. Pelajar-pelajar dipaksa menghadam teori ini luar dan dalam, kulit ke kulit, sehingga kadangkala terlupa tanggungjawab terhadap al-Quran dan Sunnah. Strategi Tsun Tzu tidak hanya diaplikasikan dalam peperangan tetapi juga dalam perniagaan. Sedangkan Tsun Tzu tidak pernah masuk universiti, apatah lagi mengambil SPM dan PMR.
Paling saya hairan, kita lupa dalam agama kita ada pakar dan pemikiran strategi perang yang cukup hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Khalid Ibn Walid, Omar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi dan sebagainya. Tokoh-tokoh amat jarang dibincang dan ketengahkan. Apatah lagi untuk dihafal teori-teorinya. Apakah kurangnya tokoh-tokoh ini berbanding dengan Tsun Tzu, Kautilya (India), Clausewitz, Duhe dan sebagainya? Saya tidak menolak tokoh-tokoh ini, tetapi biarlah diseimbangkan dengan tokoh kita yang tidak kurang hebatnya.
Apakah Tsun Tzu pernah mendapat ijazah atau PhD daripada universiti? Tidak juga. Kenapa hari ini pelajar-pelajar universiti pelbagai peringkat mengkaji strategi peperangan orang yang tidak pernahpun ada atau masuk universiti? Nabi Muhammad SAWpun tidak pernah masuk universiti. Tetapi Nabi adalah Rasul pilihan Allah. Makamnya amat tinggi. Maka tidak hairan Michael Hart (2006) meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia agong maha hebat daripada 100 orang terhebat dunia meninggalkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha, Konfucius, Aristotle, Tsun Tzu dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat. Malangnya tidak ramai yang mengkaji.
Hari ini sudah terbalik, barat amat berminat mengkaji peribadi orang timur. Tetapi orang timur sibuk mengkaji barat sehingga terabai kehebatan tokoh sendiri. Justeru, saya tidak hairan, bila orang bukan Islam tidak mahu diasimilasikan atau diakulturasikan sebab kita tidak pernah hormat diri tokoh kita atau diri sendiri.
Saya tidak percaya kita boleh bangun dengan acuan orang lain. Sejarah menunjukkan semua bangsa bangkit dengan kekuatan dan acuan sendiri. Jepun bangkit dengan semangat Kejepunan, Cina dengan semangat Kecinaan. Apakah kita mahu bangun dengan semangat kebaratan? Sudah tentu orang Islam mesti bangun dengan semangat keIslaman. Barulah kita mendapat keredhaan Allah SWT.
Baru-baru ini saya menghadiri satu mesyuarat penting kementerian. Kebetulan dalam mesyuarat tersebut ada seorang usahawan Amerika boleh berbahasa Melayu secara pelat. Hanya kerana seorang Mat Salleh, serta merta pengerusi mesyuarat terpaksa korbankan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris. Saya amat yakin presiden Iran tidak akan sama sekali melakukan sedemikian, walaupun beliau pandai berbahasa Inggeris. Kalau kita sendiri tidak yakin dengan bahasa sendiri, siapa lagi yang mahu kita harapkan untuk mendaulatkan bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
1 comment:
Selepas membaca blog tuan, saya tidak dapat bersetuju dengan tuan. Kalau ini bukan 'racist', saya juga tidak tahu tingkah-laku mana yang merupakan 'racist' lagi. Tuan boleh menyemarakkan sikap cinta akan bangsa tetapi bukan dengan mengkritik kaum lain. Kita perlu mengamalkan sifat terbuka dalam apa-apa jua perkara untuk terus maju jaya. Kalau kata orang Melayu dipergunakan, maka orang Cina juga berasa mereka dilayan dengan tidak adil. Satu contoh ialah orang Cina dihukum secara tegas di bawah undang-undang namun terdapat orang Melayu yang berniaga di tepi jalan tanpa lesen-lesen perniagaan tidak langsung didenda oleh pihak berkuasa walaupun sudah mengetahui keadaan. Kita sama-sama dilahirkan di atas tanah air ini dan inilah negara asal kita. Golongan bukan bumiputra tidak lagi berfikiran untuk 'balik ke negara keibuan'. Kita memang cinta akan negara kita. Kenapalah kita saling 'bermusuhan' walaupun kita lahir daripada ibu yang sama? Demi kemajuan dan perkembangan negara, kita sepatutnya menyingkirkan prasangka dan sifat ketuanan dan saling bersatu agar negara kita mencapai taraf negara maju.
(Maaf kerana tidak meninggalkan identiti sebab masih takut akan masalah yang tidak diperlukan.)
Post a Comment