Saturday 12 September 2009

Sistem kuota dihapus


 


Sistem kuota pertandingan jawatan UMNO yang sering menjadi polimek setiap kali menjelang pemilihan parti itu kerana dianggap tidak demokratik dan galak politik wang akan berkubur tidak lama lagi. 

Serentak dengan itu sudah pasti jumlah perwakilan UMNO yang berkuasa menentukan siapa yang dipilih akan lebih dari 2,500 orang seperti sebelum ini. 

Ini dua perkara utama yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di ibupejabat parti itu di PWTC petang Jumaat. 

 

Sistem kuota diperkenalkan semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pemilihan parti yang hangat tahun 1987 dimana beliau berentap dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Dibawah sistem itu calon jawatan Presiden perlu dapat 30 peratus pencalonan dari 191 bahagian UMNO manakala Timbalan 20 peratus dan Naib Presiden 10 peratus. 

Sistem ini juga melibatkan pemilihan jawatan sayap parti Pemuda,Wanita dan Puteri. 

Sebelum ini kisah kejar mengejar untuk mendapatkan jumlah pencalonan yang mencukupi kuota menjadi perhatian menjelang pemilihan parti. 

Anihnya kerap kali jumlah pencalonan yang diperolehi itu tidak dizahirkan dalam bentuk undi semasa pemilihan sebenar.Ada yang dapat lebih pencalonan dapat kurang undi manakala yang kurang pencalonan lebih undi.
 

Ekoran polimek mengenainya Dr Mahathir sendiri akhirnya turut mencadangkan sistem kuota dihapuskan.Begitu juga halnya dengan kebanyakan pimpinan utama UMNO termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Cadangan menghapuskan kedua-dua sistem itu semakin jelas apabila Najib dipilih sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac lalu.

Dalam ucapannya ketika penangguhan perhimpunan itu, Najib menegaskan sudah tiba masanya sistem kuota dan pemilihan pemimpin parti yang ditentukan kira-kira 2,500 perwakilan dikaji semula.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat kira-kira tiga jam itu, Najib menegaskan bahawa perubahan ini perlu menjurus ke arah membanteras politik wang dan jadikan proses pemilihan lebih telus. 

Ia juga katanya, untuk menunjukkan bahawa UMNO benar-benar inklusif dengan melibatkan seberapa golongan yang ramai dengan asasnya parti dilihat lebih demokratik dalam pemilihan.

Walaupun sistem kuota dihapuskan, ada beberapa kriteria yang tidak mengongkong kebebasan dalam menentukan mereka yang bertanding benar-benar menghayati prinsip matlamat perjuangan parti.

Menurut Najib, pengalaman seseorang calon juga antara kriteria penting pemilihan.

"Sedikit sebnayak pengalaman jadi asas kriteria. Soal-soal lain ada juga dibincangkan... lebih terperinci... satu mesyuarat Biro Politik akan diadakan untuk memuktamadkan cadangan pindaan.. dan akan dibentangkan pada MT akan datang, sebelum perhimpunan Agung," katanya. 

Difahamkan biro itu dijadual bermesyuarat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan Khas (EGM) pada 13 Oktober sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan 2009.

Mengenai jumlah perwakilan pula, Najib berkata mesyuarat MT tidak membuat keputusan muktamad tentang saiz perwakilan yang bakal memilih jawatan-jawatan tertinggi parti.

Sebelum ini ada dilaporkan bahawa akan terdapat sehingga 650,000 perwakilan yang layak untuk memilih pucuk kepimpinan parti berbanding 2,500 sekarang.

Langkah ini bagi memastikan UMNO lebih inklusif serta dilihat lebih demokratik dengan seberapa ramai ahli boleh terbabit pemilihan parti.

Jelas Najib, jumlah perwakilan perhimpunan agung tahunan masa depan pastinya jauh lebih besar daripada jumlah sekarang.

Bagaimanapun, jumlah perwakilan katanya belum muktamad kerana ianya turut mengambilkira soal logistik dan sebagainya.

Beliau juga berkata, pandangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri terhadap pindaan perlembagaan parti turut diambil kira.

Mengenai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional memberitahu, isu itu ada dibincangkan.

Tetapi katanya, bukan tradisi bagi MT mengumumkan nama calon selepas mesyuaratnya. 

Selepas mesyuarat MT,para pemimpin UMNO berbuka puasa bersama dan kemudiannya bersembahyang tarawikh, 

Hadir sama ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi.
-10/9/2009

sumber-agendadaily.com

1 comment:

Anonymous said...

excellent points and the details are more precise than elsewhere, thanks.

- Murk