Monday, 7 September 2009

PBT DAN AHLI MAJLIS

PBT DAN AHLI MAJLIS

Isu pembinaan istana Dato’ Zakaria Md. Deros tanpa kelulusan dan perlantikan ahli majlis PBT menarik perhatian saya untuk menulis kembali setelah jelek dan menyampah dengan sikap sesetengah ahli politik dan pimpinan PBT yang seolah-olah tidak mengetahui apa yang sedang berlaku atau cuba menutup sebelah mata sahaja apabila kejadian yang menimpa Dato’ Z hangat diperkatakan. Isu membina rumah tanpa kelulusan PBT dan cara perlantikan ahli majlis bukan suatu perkara yang baru, tetapi isu lapok yang telah sekian lama bermaharajalela tanpa apa-apa tindakan. Kebetulan Dato’ Z yang menjadi mangsa keadaan disebabkan oleh ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu yang tidak sehaluan atau mengambil pendekatan bermusuh dengannya. Maka ‘kelemahan’ beliau dijadikan satu ‘peluang’ untuk menjatuhkannya. Saya tidak pernah kenal dengan Dato’ Z, tetapi adalah tidak wajar menuding jari atau menyalahkan beliau semata-mata, yang lain menyucikan tangan dengan mengambil kesempatan yang ada termasuk PBT. PBT sebenarnya dua kali lima. Sekiranya mereka ini efisien dan professional sudah tentu kejadian ini tidak berlaku. Apapun, inilah pengajaran yang Allah ingin tunjukkan kepada manusia di atas kerakusan sesetengah pihak yang menganggap diri mereka kebal. Mereka tidak sedar bahawa ada yang lebih kebal.

Saya adalah rakyat marhaen yang tinggal di Ampang Jaya dan selalu berurusan dengan PBT. Sedikit sebanyak, saya telah masak dengan rentak tari PBT dan ahli majlisnya.
Hal yang sama pernah saya bangkitkan ketika perjumpaan dengan PBT di Ampang Jaya. Sikap PBT yang telalu menjaga orang politik sehinggakan kebajikan rakyat yang memilih mereka diabaikan. Misalnya aduan-aduan mengenai lubang-lubang jalan, masalah sampah, pembiakan nyamuk dan sebagainya.

Masalah jalan yang berlubang-lubang sebagai contoh. Oleh kerana jalan tersebut tidak dilalui atau berdekatan dengan rumah atau pejabat orang-orang besar atau ahli politik, maka dibiarkan sehingga keadaan menjadi teruk baru diperbaiki. Berbeza kiranya kawasan tersebut dilalui oleh orang-orang besar atau ahli politik tertentu, aduan mereka diambil tindakan serta merta terutama kawasan-kawasan Ampang Jaya, di mana golongan elit berada di sana. Tetapi bagi yang lain, aduan-aduan mereka dibiarkan sahaja bertahun-tahun lamanya. Saya mempunyai bukti-bukti dengan apa yang diutarakan ini.

Contoh lain, rakyat marhaen yang ingin membina atau membaik pulih (renovate) rumah dikenakan syarat ini dan itu. Tetapi bila kena pada ahli politik, semua pihak berdiam diri.

Sedangkan siapakah mereka jika rakyat tidak mengundi mereka. Dato’ Z tidak boleh dipersalahkan semata-mata atas isu ini. Beliau mungkin menjadi mangsa keadaan akibat sistem yang tidak telus. Banyak lagi projek PBT yang boleh diketengahkan. Ada projek yang tidak layak mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (CF), tetapi dengan campurtangan ahli politik, semuanya lulus.

Cara pemilihan ahli majlis perbandaran amat menjelekkan sama sekali. Saya mengambil contoh PBT di kawasan tempat tinggal saya. Saya seringkali berdamping dengan mereka kerana banyak isu-isu berkaitan dengan perbandaran yang selalu dikemukakan. Sepanjang pengamatan saya, tidak ada seorangpun wakil ahli professional yang dilantik untuk duduk kerusi ahli majlis. Semuanya wakil parti-parti politik, yang mana kemampuan mereka untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat amat meragukan. Mereka adalah ketua bahagian UMNO, MIC, MCA, dan Gerakan. Tidak dinafikan ada ketua bahagian parti-parti politik yang professional. Namun, inilah praktis yang berlaku disemua PBT yang amat jelek sama sekali. Apatah lagi jika ditinjau dari segi kelulusan mereka. Disebabkan oleh mereka pemimpin bahagian parti politik maka mereka secara otomatik akan dilantik menjadi ahli majlis. Lebih menjengkelkan lagi ialah kebanyakan projek-projek PBT dibolot oleh mereka dan kroni-kroni mereka. Pernah berlaku, di kawasan saya ada ahli majlis bergaduh sesama sendiri (sesama parti) dalam mesyuarat kerana berebut projek PBT. Tidak puas hati kerana projek-projek PBT tidak jatuh ke tangan kroni-kroninya.

Saya ingin mencadangkan supaya ahli-ahli majlis ini turut dilantik dari kalangan professional, selain daripada pemimpin politik. Mereka mungkin ketua bahagian UMNO, MCA, MIC atau Gerakan, tetapi pastikan professional dan benar-benar meletakkan kepentingan masyarakat di hadapan dan bukannya menjaga periuk nasi mereka sahaja sepertimana yang berlaku pada masa kini. Wakil-wakil lain yang boleh diketengahkan ialah NGO-NGO yang aktif, wakil-wakil mengikut bidang profesionalisme, seperti perubatan, kejuruteraan, motivasi, agama, undang-undang, sosial dan sebagainya. Jadikan mesyuarat majlis sebagai tempat percambahan pemikiran, idea dan sumbangan yang boleh membangunkan dan memakmurkan PBT serta kawasan di bawah penyelenggaraannya. Ini selaras dengan pembangunan modal insan yang selalu dilaung-luangkan oleh YAB Perdana Menteri. Mesyuarat ahli majlis hendaklah diperluaskan skopnya, bukan sekadar menjadi medan untuk meluluskan projek-projek perbandarannya.

Bagi saya, sebenarnya PBT dan ahli majlis ini boleh bertindak sebagai ‘think tank’ atau tangki pemikiran. Ahli majlis cum ‘think tank’ akan menjadi medan berfikir, mengolah dan memerah idea demi kesejahteraan rakyat jelata.

PBT jangan lupa bahawa apa asas utama agenda local 21 yang diberikan penekanan oleh kerajaan pada masa kini, terutama oleh kerajaan Negeri Selangor? Ia tidak lain untuk memastikan persekitaran yang kondusif dan ceria, warganya yang berakhlak mulia, dan tidak berlaku vandalisme. 7 sifat pengguna yang ingin dilahirkan dalam agenda 21 ialah berbudi bahasa, bertimbang rasa, mengambil berat, berterus terang, kreatif, berani dan bijak.

Justeru, ahli majlis juga hendaklah mengambil sikap turun padang. Menyelami hakikat, dan masalah yang sebenar. Banyakkan membaca dan membuat R&D. Ini juga tugas sebenar wakil rakyat, ketua bahagian, cum ahli majlis. Bila semua ini berlaku, siapakah yang untung? Bukan ahli majlis? Kerana elaun mereka sikit sahaja. Yang untung ialah kerajaan dan PBT, demi masa depan agama, bangsa dan negara.

sumber -ridhuan tee.blogspot.com