Wednesday 9 September 2009

Kerapuhan pakatan pembangkang tidak dapat diselindung lagi - Zahid

KUALA KRAI: Kerapuhan gabungan pakatan pembangkang tidak boleh diselindung lagi dan tidak mustahil pakatan itu akan terlerai sepenuhnya tidak lama lagi, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Perlu diakui PAS mempergunakan DAP dan DAP menjadikan PAS kuda tunggangan mereka dan apa yang berlaku di Kedah hari ini membuktikan pakatan itu rapuh kerana mereka sebenarnya hanya berkahwin mutaah.

"Cukuplah perkahwinan mutaah itu, bubarlah pakatan yang tidak memberi makna dan PAS sertailah kami (Barisan Nasional)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bekas Tentera Malaysia di Masjid Seri Wangsa di Manik Urai Lama di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan DAP Kedah semalam yang mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS yang gagal menghalang perobohan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya oleh Majlis Bandaraya Alor Setar.

Dr Ahmad Zahid berkata demi kepentingan negara, PAS sewajarnya mengkaji hubungan tidak bermakna itu kerana ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat.

Sementara itu di Sepang, Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tindakan DAP Kedah itu membuktikan dakwaan pakatan pembangkang sebelum ini yang menyatakan gabungan mereka cukup kuat merupakan satu pembohongan.

"Apabila kita mencadangkan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, mereka kata mereka tidak boleh mengadakan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN).

"Sebab mereka kata kerajaan perpaduan pakatan pembangkang sudah cukup kuat tetapi ternyata apa yang berlaku semalam di Kedah, itu membuktikan ia hanya merupakan satu pembohongan," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana, projek pertama disiapkan menggunakan kaedah Sistem Binaan Industri (IBS).

Dr Mohd Puad berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini untuk menubuhkan kerajaan perpaduan adalah ikhlas dan serius sebenarnya.

"Kita pun tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa tetapi pada saya, orang yang menentang kerajaan perpaduan ini, ialah kerana dia tidak memikirkan faedah kepada negara," katanya.

Di Kuala Lumpur, Pergerakan Wanita Umno tidak terkejut langsung dengan berita mengenai DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu kerana sudah menjangkakannya.

"Tiada kejutan besar, kita memang tahu perkara ini akan berlaku, sebab pakatan pembangkang begitu rapuh sekali, jadi saya ibaratkan macam kahwin mutaah," kata Ketuanya Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Kerjasama mereka hanya sekejap masa saja untuk tujuan tertentu dan bukan untuk membela nasib rakyat, kata Shahrizat kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Rakyat pergerakan itu bersama Usahawan Wanita (Jalinan Niaga).

Di ALOR SETAR, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang negeri bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah telah dijangka kerana parti itu mempunyai agenda politik yang berbeza.

Beliau berkata kerapuhan gabungan pakatan pembangkang dikesan sejak awal lagi ekoran kegagalan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS menyelesaikan pelbagai isu tanpa rundingan dengan parti-parti pembangkang lain.

"Kita lihat kerjasama PAS dan DAP hanya setakat kepentingan politik masingmasing dan isu meroboh pusat penyembelihan babi oleh MBAS semalam adalah rentetan tindakan wakil rakyat DAP yang tidak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri," kata beliau pada sidang media.

Katanya, selain itu, pelbagai isu lagi seperti langkah PAS mahu melaksanakan hukum hudud turut ditentang oleh DAP.

Beliau berkata bagaimanapun Umno negeri berkecuali dan tidak berminat untuk mencampuri urusan pakatan pembangkang dan hanya mahu menumpukan pada projek-projek pembangunan kerajaan persekutuan di negeri itu.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Mustapa Mohamed berkata rakyat sepatutnya boleh menilai setakat mana kekuatan pakatan pembangkang dalam menghadapi pelbagai kemelut dan isu.

Pelbagai kemelut yang melanda pembangkang itu membuktikan kerapuhan hubungan mereka, berbeza sekali jika mahu dibandingkan dengan hubungan kukuh dalam Barisan Nasional, katanya.

"Di Pulau Pinang DAP ada masalah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Di Kedah pula DAP bermasalah dengan PAS, ini menunjukkan betapa rapuhnya hubungan mereka," katanya kepada pemberita di Kuala Krai.

Katanya beliau percaya apa yang berlaku di kalangan pembangkang membuka mata rakyat terhadap keupayaan BN sebagai satu barisan yang kuat dan terbukti mampu membawa kemajuan di seluruh negara.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menganggap keputusan DAP Kedah mempamerkan sikap sebenar pemimpin parti itu yang sebenarnya tidak boleh bekerjasama langsung dengan PAS.

"DAP hanya mementingkan agenda parti itu ketika bersetuju membentuk kerajaan pakatan pembangkang dengan PAS sedangkan secara prinsipnya mereka hanya tidur sebantal dan berlainan mimpi, " katanya di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang berkata keputusan yang dibuat DAP itu tidak membawa apaapa perubahan kepada kerajaan PAS negeri itu.

"Sebaliknya DAP Kedah harus bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan perpaduan baru Kedah yang akan mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia di negeri ini dan membantu pembangunan negeri itu berdasarkan dasar lebih konstruktif, dinamik dan progresif," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menganggap tindakan DAP Kedah itu hanya sandiwara DAP dan PAS.

"Saya rasa mereka main wayang, kalau DAP nak keluar daripada kerajaan PAS, mereka tak perlu tunggu begitu lama.

"Banyak tindakan-tindakan kerajaan PAS di Kedah yang telah menyeleweng daripada asalnya...tapi baru sekarang mereka (DAP Kedah) buat keputusan ini.

"Mereka memang dah lama tak boleh bersama, dasar tak sama, politik tak sama. Jadi, ini menunjukkan kelemahan dalam parti masingmasing dan kita tak tahu apa lagi wayang kulit yang akan dimainkan DAP dan PAS," katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen di sini, hari ini. BERNAMA