Wednesday, 9 September 2009

Perpaduan kaum hanya retorik


assalamualaikum , saya bersetuju dan merasa perlu untuk kita berkongsi bersama dengan apa yang diperkatakan oleh Prof Teo Kok Seong didalam rencana mingguan dibawah .

SEJAK akhir-akhir ini banyak sekali ditimbulkan isu-isu yang menyentuh mengenai hubungan antara kaum di negara ini. Walaupun sudah 52 tahun mencapai kemerdekaan, perpaduan yang selalu diperkatakan belum dinikmati sepenuhnya.

Antara kaum dihubungkan dengan perasaan curiga dan prasangka.

“Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik,” tegas Felo Penyelidikan Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Prof. Teo Kok Seong kepada wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID ketika diwawancara baru-baru ini.

MINGGUAN: Hingga setakat ini, bagaimana Prof. melihat hubungan kaum di negara ini?

TEO: Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik. Perlu ada interaksi yang kerap dan tulen sifatnya supaya ada semangat kenal-mengenali. Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalahnya. Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya.

Sepatutnya hanya ada satu bahasa pengantar sahaja. Bahasa lain boleh dipelajari tidak ada masalah namun kepentingan sistem satu bahasa adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Maka politik yang bersifat perkauman ini sangat bahaya dalam usaha kita memupuk perpaduan. Sekarang ini kita hanya melihat perpaduan di peringkat luaran dan tidak ada interaksi yang sebenar antara semua kaum. Komunikasi antara kaum ini ada yang hanya bercakap bahasa pasar sahaja malah ada yang tidak langsung boleh berbahasa Melayu. Maka kita perlu berusaha untuk memupuk satu interaksi tulen antara kaum ini supaya perpaduan yang selama ini kita perjuangkan akan berjaya.

ARKIB : 06/09/2009 utusan rencana