Monday, 23 July 2012

Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah.


Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah.
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah


Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah satu perintah agama yang dikenali oleh semua umat Islam, malah termasuk oleh kebanyakan orang bukan Islam. Kewajipan ini bermula kira-kira pada tahun 2 Hijrah di Kota Madinah. Sehingga kini, lebih daripada 1400 tahun yang telah berlalu. Dalam tempoh masa yang lama ini, terdapat beberapa amalan dan hukum yang merupakan sebahagian daripada ibadah puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan umat. Pada waktu yang sama terdapat beberapa amalan dan hukum yang bukan merupakan sebahagian daripada ibadah puasa yang telah ditokok tambah. Yang memberatkan, sebahagian daripada peninggalan atau penambahan ini berasal daripada ahli fiqh itu sendiri, semoga Allah merahmati mereka semua.

Dalam menghadapi suasana ini, manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah jelas, iaitu kebenaran tetap diukur berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sekali pun kita menghormati dan mengiktiraf ketinggian ilmu para ahli fiqh, ia tidaklah bererti kita mengunggulkan mereka dan meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih di tangga yang kedua. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah
dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,
maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah)
- jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu),
dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’ 4:59]

Perhatikan dalam ayat di atas, terhadap Allah dan Rasul-Nya, ia didahului dengan perintah “taat”. Akan tetapi perintah “taat” ini tidak mendahului “Ulil Amri”. Ini menunjukkan bahawa ketaatan kita, orang-orang yang beriman, kepada Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada Ulil Amri ia bersyarat selagi mana mereka mengeluarkan hukum yang selari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ulil Amri ditafsirkan kepada sesiapa yang memegang urusan umat Islam, termasuk di dalam pengertian ini ialah para ahli fiqh yang bertanggungjawab menjelaskan hukum-hukum agama kepada umat Islam.

Perhatikan dalam rangkap seterusnya, Allah berfirman bahawa jika kita berbantah-bantahan atau berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, hendaklah kita kembalikan perkara tersebut – bukan kepada para ahli fiqh – tetapi kepada Allah dan Rasul-Nya. Pada masa kini, ia adalah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ayat ini menggariskan kaedah yang amat penting bagi kita, bahawa apabila timbul perselisihan pendapat, hendaklah kita ambil pendapat yang berasal daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika perselisihan tersebut merupakan satu perkara yang diijtihadkan, maka hendaklah kita memilih ijtihad yang paling mendekati dalil dan tujuan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.[1]

Penghormatan dan pengiktirafan kita kepada para ahli fiqh tidaklah sehingga ke tahap kita meletakkan taraf maksum kepada mereka. Para ahli adalah manusia yang tidak terlepas daripada beberapa kekurangan, khasnya:
  1. Mereka adakalanya berhujah dengan hadis yang mereka sangka sahih padahal yang benar ia adalah tidak sahih.
  2. Mereka adakalanya menokok tambah hukum atas dasar ingin berhati-hati dan memilih jalan yang selamat (conservative). Tokok tambah ini akhirnya menjadikan hukum-hukum fiqh Islam tersasar jauh daripada roh syari‘at yang sentiasa memberi penekanan kepada kemudahan dan keampunan.

Dalam membicarakan amalan dan hukum puasa yang telah ditinggalkan dan ditokok tambah, penulis membahagikan risalah ini kepada dua bahagian. Bahagian A membicarakan amalan dan hukum yang telah ditinggalkan manakala Bahagian B membicarakan amalan dan hukum yang telah ditokok tambah. Walaubagaimanapun pemisah antara yang ditinggalkan dan ditokok tambah tidaklah jelas kerana kadangkala wujud satu amalan atau hukum yang memiliki kedua-dua peninggalan dan penambahan. Oleh itu para pembaca diminta mengkaji risalah ini secara keseluruhannya. 

Bahagian A: Perkara yang ditinggalkan




[1]               Lebih lanjut, rujuk buku penulis Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam (Edisi Baru) terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004.

No comments: