Saturday, 21 July 2012

BERPUASA TAPI BERSUGILAH


BERPUASA TAPI BERSUGILAHProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Kebersihan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sepanjang masa. Ini khususnya apabila kita beribadah kepada Allah. Juga apabila kita bertemu manusia lain. Islam memerintahkan kita menjaga hubungan baik dengan Allah, demikian juga kita menjaga hubungan baik sesama manusia. Kebersihan, wangian dan penampilan yang baik sesuatu yang menunjukkan penghormatan dan penghargaan kita kepada pihak yang ingin kita bertemu dengannya. Ini adalah tabiat manusia.
Justeru itu, semasa soat kita diwajibkan menjaga kebersihan dan menutup aurat, juga disunatkan berwangian. Demikian ketika berjumpa dengan manusia. Pakaian yang sesuai dan memakai wangian adalah sunnah dalam bermasyarakat. Mereka yang mempunyai bau busuk dilarang datang ke tempat perhimpunan awam khususnya solat berjemaah. Sebab itu tidak dibenarkan sesiapa yang memakan bawang putih ataupun makanan yang lain yang mengeluarkan bau busuk dari pemakannya menghadiri solat berjemaah. Ini kerana Islam ingin mengelakkan kita menyakitkan orang lain dan menimbulkan kebencian sesama manusia.
Galakan Gosok Gigi
Islam menggalakkan bersugi (gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.

Bukan Hujah
Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda:
“Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).
Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:
“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!

No comments: