Kemudahan Puasa Ramadhan Ketika Balik Kampung.
oleh
Hafiz Firdaus Abdullah
Kemudahan adalah antara ciri istimewa syari‘at Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an:
Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Ia tidak menjadikan kamu
menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78].
Antara kemudahan Islam ialah mengecualikan kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan bagi orang yang bermusafir. Firman Allah:
(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit,
atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka)
itu pada hari-hari yang lain. [al-Baqarah 02:184].
Hal ini diulangi dalam ayat seterusnya:
Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya),
maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
[al-Baqarah 02:185].
Daripada dua ayat di atas, dibolehkan berbuka apabila seseorang itu dalam musafir. Dia hanya diwajibkan mengqadha semula bilangan hari puasa Ramadhan yang tidak disempurnakannya. Tidak ada perselisihan di kalangan ahli-ahli ilmuan dalam perkara ini. Akan tetapi terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan sebelum seseorang itu memanfaatkan kemudahan ini.
Pertama: Jarak Perjalanan
Jarak perjalanan yang membolehkan seseorang mengambil kemudahan ini adalah apabila dia bermusafir, sepertimana jarak yang membolehkan seseorang itu mengqasar solat-solat fardhunya. Di sini terdapat dua pendapat tentang jarak perjalanan yang dijadikan ukuran musafir. Pendapat pertama menetapkan jarak perjalanan yang tertentu berdasarkan beberapa hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Namun di sini tidak ada kesepakatan atas jarak yang sebenar kerana hadis-hadis yang berbeza menerangkan jarak perjalanan yang saling berbeza. Pendapat yang kedua tidak menetapkan apa-apa jarak perjalanan yang tertentu. Asalkan seseorang ini berada dalam satu perjalanan yang jaraknya melebihi kebiasaan bagi dirinya, maka dia dikira sebagai seorang musafir. Hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak ada yang menerangkan jarak perjalanan tertentu melainkan semuanya menerangkan bahawa baginda mengamalkan kemudahan hukum musafir apabila sahaja berada di luar Kota Madinah.
Kedua: Tempoh Perjalanan
Tempoh perjalanan yang membolehkan seseorang mengambil kemudahan ini adalah apabila dia bermusafir, seperti mana tempoh yang membolehkan seseorang itu mengqasar solat-solat fardhunya. Di sini juga terdapat dua pendapat tentang tempoh perjalanan yang dijadikan ukuran musafir. Pendapat pertama menetapkan hari-hari yang tertentu seperti 3, 4, 9, 11 dan 18 hari berdasarkan hadis-hadis yang menerangkan tempoh perjalanan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pendapat kedua tidak menetapkan apa-apa hari tertentu. Selagi seseorang itu tidak berniat untuk bermastautin di mana-mana selain kampung halamannya yang asal, selagi itulah perjalanannya dikira sebagai musafir. Hadis-hadis yang menerangkan tempoh perjalanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak ada yang menetapkan tempoh tertentu. Ia hanya menerangkan tindakan baginda yang memanfaatkan kemudahan musafir selagi mana baginda bermusafir.
Berkenaan jarak dan tempoh musafir, kedua-dua pendapat di atas adalah benar kerana setiapnya memiliki dalil dan hujah. Pendapat yang lebih kuat mengikut analisa penulis ialah pendapat kedua, iaitu tidak ada batas tertentu bagi jarak dan tempoh musafir melainkan apa yang melebih kebiasaan seseorang. Berkata Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):
Setiap nama (istilah) yang tidak ada baginya batasan dari sudut bahasa dan tidak ada (batasannya) daripada syari‘at maka tempat kembalinya ialah kepada kebiasaan (al-‘Uruf). Maka apa yang dipandang sebagai musafir dari sudut kebiasaan manusia maka ia adalah musafir yang padanya diikat hukum syara’.[1]
Hal ini diulas lanjut oleh Ibn al-Qayyim rahimahullah (751H):
Tidaklah diberi batasan tertentu kepada umat untuk menqasar solat dan berbuka puasa, bahkan bagi mereka (umat Islam) disebut secara mutlak “musafir” dan “bergerak di mukabumi” sebagaimana disebutkan juga kepada mereka (kemudahan) tayamum pada setiap musafir. Adapun apa yang diriwayatkan daripada Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam mengenai pembatasan hari perjalanan kepada sehari atau dua hari atau tiga hari, maka tiada satu jua yang sah daripada baginda (sama ada dari sudut kesahihan sanad mahupun sumber hukum pembatasan).[2]
Selain itu, tujuan syari‘at Islam ialah memberi kemudahan kepada umatnya ketika bermusafir manakala musafir itu pula ialah satu suasana yang berbeza-beza jarak dan tempohnya antara individu, ditambahi dengan kadar kesukaran (masyaqah) yang berbeza-beza juga. Tidaklah dinamakan kemudahan apabila semua musafir dan individu dikelompokkan ke dalam satu kategori yang sama. Adapun kebimbangan sebahagian pihak bahawa ini akan menyebabkan sebahagian umat Islam meremehkan hukum, maka kebimbangan ini dianggap lemah kerana orang yang pada lumrahnya suka meremehkan hukum Islam akan sentiasa bersikap sedemikian tanpa mengira apa dan bagaimana hukum tersebut.
Ketiga: Tujuan Perjalanan
Sekali lagi terdapat dua pendapat di kalangan ilmuan Islam tentang tujuan perjalanan yang membolehkan seseorang itu memanfaatkan kemudahan hukum musafir. Pendapat pertama mensyaratkan kemudahan hukum musafir hanya boleh dimanfaatkan oleh perjalanan yang diharuskan syara’ seperti menunai umrah dan haji, menziarahi saudara, menuntut ilmu dan berniaga. Adapun perjalanan yang dilarang oleh syara’ seperti ke Las Vegas untuk berjudi di kasino dan sebagainya, tidak dibolehkan memanfaatkan kemudahan hukum musafir. Dalil mereka ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa,
dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
[al-Maidah 5:02].
Pendapat kedua membolehkan seseorang itu memanfaatkan kemudahan hukum musafir tanpa mengira sama ada perjalanannya itu adalah untuk tujuan yang harus atau dilarang. Bagi mereka musafir duduk dalam kategorinya yang tersendiri manakala perjalanan yang harus atau maksiat duduk di dalam kategorinya yang tersendiri juga. Harus atau maksiat, baik atau jahat, pahala atau dosa sesuatu perjalanan bergantung kepada pelakunya. Kemudahan hukum musafir dalam Islam bebas daripada semua itu, jauh sekali daripada dianggap sebagai “bertolong-tolongan” dengan tujuan seseorang itu melakukan perjalanannya. Penulis menganggap pendapat yang kedua ini adalah lebih kuat.
Manakah lebih baik - berpuasa atau berbuka?
Pilihan sama ada untuk terus berpuasa atau berbuka ketika musafir adalah satu anugerah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hamba-Nya. Anugerah ini diberikan tanpa mensyaratkan sesuatu kesukaran dalam perjalanan. Seseorang itu bebas memilih antara berpuasa atau berbuka, sebagaimana terang hadis berikut ini daripada A’isyah radhiallahu 'anha, bahawa seorang sahabat bernama Hamzah bin 'Amr al-Aslami bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Patutkah aku berpuasa ketika bermusafir?” Rasulullah menjawab:
‘Abd Allah ibn Abbas radhiallahu 'anh berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adakalanya berpuasa dan adakalanya tidak berpuasa dalam perjalanan. Oleh itu sesiapa yang suka bolehlah berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuka.[4]
Anas bin Malik radhiallahu 'anhuma juga menerangkan:
Kami pernah berpergian bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, (di kalangan kami ada yang berpuasa
dan ada yang berbuka) tetapi yang berpuasa tidak mencela yang berbuka
dan yang berbuka tidak mencela yang berpuasa.[5]
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, ‘Abd al-Karim Zaidan merumuskan:
Dibolehkan bagi orang yang bermusafir yang menempuh jarak perjalanan yang membolehkan solat diqasar untuk berbuka pada bulan Ramadhan, sesuai dengan kesepakatan para ulama’ sama ada dia mampu untuk melakukan puasa atau tidak mampu, sama ada puasa itu menyukarkan dirinya atau tidak.[6]
Akan tetapi jika seseorang itu menghadapi kesukaran ketika berpuasa dalam musafir maka yang sebaiknya adalah untuk dia berbuka berdasarkan kepada hadis berikut daripada Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah dalam satu perjalanan melihat serombongan manusia dan seorang lelaki yang diteduhi oleh mereka. Lalu Rasulullah bertanya:
“Mengapa ini?” Mereka menjawab: “Dia sedang berpuasa.” Rasulullah kemudiannya bersabda:
Tidaklah satu kebaikan untuk berpuasa dalam perjalanan (sebegini).[7]
Apabila ketika musafir seseorang itu menghadapi suasana kesukaran yang amat berat lagi membahayakan untuk berpuasa, maka puasanya menjadi haram dan berbuka menjadi wajib berdasarkan hadis berikut:
Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anhuma berkata, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
pernah keluar dalam bulan Ramadhan pada tahun pembukaan Makkah (Fath al-Makkah)
lalu baginda berpuasa dan orang ramaipun berpuasa bersamanya.
Begitulah keadaannya sehingga sampai ke Kurail Ghamim.
Baginda diberi laporan bahawa orang-orang merasa amat payah berpuasa
dan kini mereka menanti keputusannya. Lalu (sesudah waktu Asar) Nabi meminta semangkuk air
lalu baginda minum. Kemudian sampailah berita kepada Nabi bahawa ada sebahagian orang yang masih berpuasa, maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Mereka itu orang-orang yang derhaka,
Berdasarkan hadis ini berkata Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah (1411H):
Jika berpuasa mendatangkan suasana kesusahan yang teramat sangat kepada orang yang bermusafir, dia wajib berbuka dan menqadhakan semula di hari yang lain. Tetap berpuasa dalam keadaan sedemikian adalah haram hukumnya.[9]
Secara ringkas, pilihan berbuka atau berpuasa ketika musafir boleh dikategorikan kepada tiga tahap, iaitu:
1. Dibolehkan berpuasa atau berbuka ketika musafir tanpa sebarang syarat atau halangan.
2. Sebaiknya berbuka puasa apabila menemui kesukaran.
3. Wajib berbuka apabila mengalami kesukaran yang amat berat.
Adakah terdapat perbezaan hukum musafir antara zaman dahulu dan sekarang?
Bagi menerangkan persoalan di atas, berikut diturunkan penerangan Yusuf al-Qaradhawi:
Dibolehkan melakukan perjalanan dengan keretapi, kapal laut, kapal terbang dan semisalnya, termasuk apa jua alat pengangkutan yang menyenangkan yang sedia ada pada zaman sekarang ini. Alat-alat pengangkutan tersebut tidak dapat menggugurkan kemudahan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Ia adalah sedekah Allah yang dilimpahkan kepada kita, oleh itu tidak memadai kita menolaknya.
Sebahagian orang yang tidak faham tentang fiqh berpendapat bahawa perjalanan pada zaman moden tidak sama dengan perjalanan di zaman dahulu. Mereka tidak menganggap perjalanan yang dilakukan dengan alat pengangkutan moden merupakan perjalanan yang membolehkan pelakunya mendapat kemudahan hukum.
Mereka lupa bahawa hukum-hukum Islam tidak dapat digugurkan dengan pendapat semata-mata, khususnya masalah ibadat. Nas-nas syara' yang menerangkan tentang kemudahan hukum bersifat terbuka sebagaimana yang lainnya dengan perkara yang jelas lagi pasti, iaitu perjalanan. Sifat keterbukaan hukum tidak dihubung-kaitkan dengan masyaqah badaniah [kesukaran yang bersifat fizikal] kerana ia tidak jelas dan tidak dapat dipastikan. Sebenarnya dengan kenderaan apapun, musafir tidak akan lepas daripada masyaqah. Manusia apabila di kampung orang lain pasti merasakan adanya kesukaran atau tidak selesa.
Orang yang melakukan perjalanan pada zaman sekarang ini, menemui kesukaran - kesukaran yang lain, misalnya masalah ashabiyah (perbezaan bangsa) dan psikologis sebagaimana yang dialami para musafir sekarang. Jadi masyaqah badaniyah bukanlah satu-satunya masyaqah.
Dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jld. 25, ms. 210, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata:
“Menurut ijma' ulama, orang musafir boleh berbuka, baik ia mampu berpuasa atau tidak mampu, baik ia sulit berpuasa maupun tidak sulit, bahkan walaupun berperjalanan dengan alat pengangkutan yang canggih dan ditemani oleh pembantunya, maka ia tetap boleh berbuka dan mengqasar shalat.”[10]
Antara kesukaran musafir masa kini ialah, perjalanan yang pantas melalui beberapa zon masa dalam tempoh seketika, perjalanan yang searah dengan perjalanan matahari sehingga menyebabkan waktu siangnya berjam-jam lamanya, kesukaran penyesuaian zon waktu bagi mereka yang tidak biasa bermusafir jauh, kesukaran mendapatkan makanan di negara bukan Islam dan pelbagai lagi. Semua ini termasuk dalam kesukaran musafir yang dikenali oleh Islam. Oleh itu seseorang yang bermusafir, sama ada pada masa lalu atau kini atau akan datang tetap tertakluk kepada kemudahan-kemudahan hukum musafir sebagaimana yang disyari'atkan.
Berpuasa atau berbuka: antara ibadah dan amanah
Satu faktor tambahan yang patut dijadikan pertimbangan sama ada berpuasa atau berbuka ketika musafir ialah tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang itu. Ini khusus ditujukan kepada para pemandu kenderaan seperti bas, lori, keretapi, kapal terbang, kapal laut dan sebagainya. Tidak ketinggalan ialah orang yang memandu balik kampung sempena menyambut 1 Syawal. Kesemua mereka patut mempertimbangkan sama ada berpuasa atau berbuka demi menjamin keselamatan penumpang dan kenderaan yang mereka pandu. Pilihan yang baik adalah mereka menerima serta mengamalkan kemudahan agama agar dapat dilaksanakan amanah tanggungannya dengan sempurna dan pada waktu yang sama menepati perintah-perintah agama.
Dalam usaha kita menunaikan ibadah puasa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telahpun memberikan kemudahan hukum sama ada untuk terus berpuasa atau berbuka. Oleh itu hendaklah kita mengamalkan kemudahan ini agar tidak terabai amanah atau tanggungjawab yang dipikul. Kesyumulan syari'at Islam tidak pernah memberatkan umatnya dengan sesuatu ibadah yang diluar kemampuan diri mahupun yang memberikan akibat negatif kepada umat secara umumnya. Di sini perlu dibetulkan salah faham sebahagian kita yang berpendapat melakukan ibadah dalam suasana kesukaran akan menghasilkan ganjaran yang lebih baik. Yang benar adalah sebaliknya berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
[al-Baqarah 2:286].
Senada dengan firman Allah di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda bahawa Allah lebih menyukai seseorang yang mengamalkan kemudahan Islam, bukan sebaliknya. Sabda baginda:
Sesungguhnya Allah menyukai keringanan-keringanan hukum-Nya diamalkan sebagaimana
Dia benci larangan-larangan-Nya dikerjakan.[11]
Kisah berikut patut dijadikan contoh teladan: Anas bin Malik radhiallahu 'anh berkata, kami pernah bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam satu perjalanan dan (disebabkan cuaca panas terik) seseorang itu hanya dapat berteduh di bawah bayangan yang dibuat oleh pakaiannya sendiri. Orang-orang yang berpuasa tidak melakukan apa-apa kerja manakala orang-orang yang tidak berpuasa menyediakan makanan untuk unta-unta dan membawakan air untuk mereka dan juga merawati orang-orang yang sakit atau tercedera. (Melihat yang demikian) maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Jibreen mengingatkan:
Jika seseorang itu berpuasa dan bermusafir dan dia dipertanggungjawabkan ke atas seseorang yang lain atau diamanahkan dengan sesuatu tugas maka orang yang sedemikian adalah lebih baik jika dia berbuka. Orang yang sedemikian ini akan tetap diberikan ganjaran yang setimpal, asalkan dia menqadha balik puasanya itu.[13]
[1] Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld. 24, ms. 40.
[2] Zad al-Ma‘ad (tahqiq: Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth; Muassasah al-Risalah, Beirut 1986), jld. 1, ms. 481.
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0684
[4] Rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 1948. (Kitab Puasa, Bab berbuka puasa di hadapan orang ramai ketika musafir supaya mereka dapat melihatnya).
[5] Rujuk al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0682.
[6] al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah (Muassasah al-Risalah, Beirut 2000), jld. 2, ms. 38.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0681.
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1114 (Kitab Puasa, Bab dibolehkan berpuasa dan berbuka dalam bulan Ramadhan kerana musafir)
[9] Fatawa al-Shiyam (Dar al-Salam, Riyadh 1996), ms. 19.
[10] Fiqh al-Shiyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dengan judul Fiqh Puasa; Citra Islami, Solo 1995), ms. 64-65.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 5866 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan.
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0683.
|
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment