Mingguan Malaysia 11 Julai 2010
Kedatangan bulan Julai sentiasa terpahat dalam memori. Bermulanya penulisan saya secara tetap dalam akhbar Mingguan Malaysia. Kini telah genap setahun. Minggu hadapan, buku saya akan akan berada di pasaran, hasil kompilasi artikel-artikel sebelum ini, bertajuk Nasib Melayu di Bumi Melayu. Saya amat mengharapkan para pembaca dapat menerima buku ini yang diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, dengan hati terbuka. Sebenarnya banyak lagi buku dan artikel di pasaran yang lebih kontroversi tetapi kita terima atas prinsip menghormati kebebasan bersuara.
Kebenaran kadang kala amat pahit untuk ditelan. Saya tidak menafikan cetusan minda dan karya saya telah menimbulkan kontroversi. Ada yang suka, tidak kurang pula yang mencerca. Malangnya, yang mencerca jarang berhujah secara profesional, melainkan kutukan dan penghinaan yang amat menyakitkan. Saya menerimanya, biarlah orang mahu kata apapun, saya tidak kisah. Saya lebih mengutamakan pandangan Allah berbanding pandangan manusia.
Penulisan saya dikatakan tidak akademik, tidak mencerminkan ‘kedoktoran’ dan ‘keintelektualan’ saya dan macam-macam kutukan lagi. Ratusan ribu maki hamun dan cacian dalam internet sudah tidak larat untuk dibaca. Hatta komen dalam blog saya sendiri, saya tidak kuasa memadamkannya. Biarlah kita memahami mentaliti ultra kiasu ini. Lagipun dosa pahala cacatan tersebut, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.
Saya tidak pernah memaki hamun sesiapa. Tidak juga saya membalas balik cacian dan makian mereka kerana saya tidak mahu dilihat sama seperti mereka.
Matlamat saya jelas, saya hanya mahu umat Islam bersatu. Saya tidak mahu melihat umat Islam terus berkelahi, sedangkan orang lain bertepuk tangan. Saya mahukan kita mempercayai saudara sendiri berbanding orang lain. Saya yakin orang lainpun sebegitu. Mereka lebih percaya orang sendiri, berbanding orang lain. Lumrah manusia, mereka mula mempercayai orang lain hanya apabila berada dalam keadaan tersepit. Inilah realiti politik Malaysia. Tidak perlulah saya membuat perbandingan lagi kerana akan mengeruhkan suasana.
Teringat pesanan guru saya agar mengurangkan konflik ketika menulis, tetapi perbanyakkan kerjasama, penyatuan dan persamaan atau cohesion. Adalah satu kerugian jika banyak menimbulkan konflik. Lagipun ia selaras dengan gagasan 1Malaysia. Inilah panduan setiap kali saya menulis. Malangnya, ia sengaja diputarbelitkan. Contoh-contoh konflik yang kecil, diperbesarkan untuk mendapat perhatian dan simpati. Apa boleh buat, spesis ini memang sentiasa ada untuk melemahkan semangat.
Mereka seolah-olah tidak boleh disentuh lagi. Mereka sahaja yang dilihat sebagai pejuang rakyat, orang lain tidak. Mereka juga adalah ‘jaguh’ menentang ‘korupsi dan penyelewengan’ yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional sahaja. ‘Korupsi dan penyelewengan’ mereka seolah-olah tiada.
Perjuangan inilah yang didakwa sangat mendapat sokongan rakyat yang telah diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum 2008. Mereka dikatakan sudah berbeza, lebih terbuka, telah banyak berubah dan semakin dekat dengan Islam. Baguslah kalau begitu. Maka segeralah laksanakan ‘perubahan’ itu. Sama-sama kita membina negara ke arah sejahtera. Saya teramat ingin untuk melihat dan merasai percikan ‘perubahan’ yang cuba diketengahkan itu agar saya boleh membuat pilihan.
Namun, sehingga ke hari ini, dalam menganalisis senario politik negara, saya masih tidak ada pilihan ketiga. Saya hanya ada dua pilihan antara Umat Islam (Umno dan Pas) dan bangsa saya (bukan Islam). Yang mana satu perlu dipilih? Tanpa berselindung, sudah tentu saya perlu menyelamat umat Islam, tidak kira di mana mereka berada, dalam parti apa sekalipun, walaupun terpaksa berhadapan dengan kutukan, cacian dan maki hamun masyarakat sebangsa. Biar saya hina di sisi bangsa, tetapi jangan saya hina dan menerima kutukan Yang Maha Esa.
Inilah pertembungan yang kadang kala terlalu sukar untuk saya membuat keputusan. Kepentingan agama lebih besar daripada kepentingan bangsa. Kepentingan umat mengatasi daripada kepentingan diri. Saya tidak rela agama dan umat Islam berdagang di bumi sendiri. Mereka yang tidak setuju ada hak untuk bersuara balik. Tidak menjadi masalah. Saya tidak rugi satu sen pun, walaupun emosi saya kadangkala tercuit dengan tindakan ultra ini. Dalam tempoh setahun ini, saya telah menjadi lali. Pedulikan apa orang nak kata, itu hak mereka.
Saya tidak pernah kata semua tindak tanduk Umno betul? Saya mengakui masalah yang juga berserabut dalam Umno seperti korupsi, politik wang dan politik saling jatuh-menjatuhi. Saya selalu tegur, bacalah buku yang akan diterbitkan itu.
Persoalannya, wajarkah dengan masalah dalam Umno menyebabkan kita tolak semuanya apa yang ada di dalam Umno? Adakah nikmat yang kita kecapi ini, langsung bukan hasil kerja Umno? Adakah semua harta dan kekayaan negara hanya jatuh kepada kroni Umno? Jika ia jatuh ke tangan kroni sekalipun, apakah ia tidak menguntungkan orang lain yang menjadi pengeluar utama? Tidakkah ultra kiasu yang turut menjadi kaya, adalah juga hasil daripada sistem kroni yang berjalan selama ini?
Ramai rakan saya dalam Umno sanggup belot, menggadaikan prinsip dan maruah dengan berpaling tadah kepada ultra kiasu, semata-mata untuk mendapatkan tender dan projek. Mereka sanggup menjadi sikitol semata-mata untuk cari makan. Adakah memberikan tender dan projek kepada mereka tidak kroni namanya? Bentangkanlah tender dan projek yang diterima mereka di setiap majlis perbandaran negeri-negeri yang dikuasai pakatan? Saya amat yakin semuanya adalah kroni. Paling tidakpun tender dan projek diberikan kepada mereka yang telah belot kepada Umno. Apakah ia satu tindakan yang wajar? Janganlah mengatakan dulang paku serpih.
Perdana Menteri hari ini cuba sedaya melakukan perubahan selaras dengan gagasan 1Malaysia, tetapi semuanya ditolak. Pada masa sama, mereka tidak malu-malu menuntut. Saya yakin tuntutan peruntukan sebanyak satu billion untuk sekolah vernakular dalam RMK-10 suara bersama. Betapa malangnya nasib sekolah agama, berapa billion yang diperolehi dalam RMK-10. Kita tunggu dan lihat nasib umat Islam yang termaktub dalam perlembagaan ini.
Sebelum kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka, pihak kerajaan perlu membuat audit ke atas akaun persatuan-persatuan berkaitan sekolah vernakular ini yang memperolehi dana dan bantuan daripada luar bernilai jutaan ringgit dalam simpanannya. Banyak cara yang digunakan oleh syarikat-syarikat besar memberikan sumbangan bagi mengelakkan diri dari membayar cukai dengan menyalurkan wang ke sekolah ini. Secara tidak langsung, kerajaan telahpun membantu mereka apabila cukai syarikat disalurkan kepada pertubuhan yang dikecualikan cukai dan seterusnya cukai itu disalurkan ke sana.
Atas semangat cohesion, saya bersetuju dengan peruntukan satu billion, malah lebih dari itupun boleh, dengan syarat kerajaan mengambilalih semua sekolah ini dan diserapkan ke dalam pendidikan nasional yang lebih sejajar dengan gagasan 1Malaysia agar terbina sebuah negara bangsa yang utuh, tanpa menafikan hak mempelajari bahasa ibunda. Termasuk juga memberi pengikhtirafan ke atas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan syarat mengikut silibus yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Malangnya, ia terus ditentang kerana kita lebih takut silibus yang ditetapkan itu tidak diterima oleh negara China dan Taiwan.
Namun demikian, walaupun kerajaan tidak mengikhtirafnya, mereka masih lagi tidak rugi apa-apa, kerana syarikat-syarikat swasta yang rata-rata dikuasainya terus menerima mereka. Pendek kata, persoalan sama ada diikhtiraf atau tidak, langsung tidak timbul. Makna tersurat dan tersirat cukup mudah, tidak diterima pun dapat, diterima, lagi banyak dapat.
Saban hari mereka asyik menyalahkan kerajaan walaupun ‘kesalahan’ itu mungkin datang dari orang lain. Semua tidak betul. Misalnya, wajarkah kita menyalahkan kerajaan hanya kerana anak bekas pejuang kemerdekaan tidak mahu menyerahkan dokumen sejarah hampir 150 kotak kepada muzium negara atau arkib negara, sebaliknya memberikannya kepada Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) di Singapura?
Kita boleh bawa kuda ke tepi kolam, tetapi kita tidak boleh paksa kuda minum air. Kita terlalu banyak bersangka buruk. Kerana sangkaan buruk inilah sehingga kita terpaksa dan sanggup mencadangkan supaya muzium atau arkib bangsa sendiri lebih banyak diwujudkan daripada yang sedia ada? Adakah tindakan ini membawa kepada cohesion? Inilah hasil yang kita tuai setelah 53 tahun mencapai kemerdekaan.
Jika kita benar-benar sayang kepada negara, sekurang-kurangnya buatlah salinan dan serahkan kepada Arkib Negara. Sayang sekali, kita lebih mempercayai negara lain daripada negara sendiri.
Hari ini, tanpa disedari ataupun kita menyedari, kita sebenarnya memelihara duri dalam daging. Kita ibarat menahan lukah di pergentingan, mengambil kesempatan di saat-saat sukar.
Terbaru, parti nyamuk yang terasa dirinya kuat menggugut mahu keluar daripada BN jika terbukti Umno terlibat menentang ketuanya. Pada saya, silakanlah, adapun menyusahkan, pergi, lagi menyenangkan. Budi baik orang lain langsung tidak dikenang, seolah-olah melepaskan anjing tersepit.
Sama juga adik-beradik parti nyamuk baru-baru ini dalam Mesyuarat Agong mereka menuntut jawatan menteri penuh diberikan walaupun ahlinya hanya sekelumit. Siapakah yang patut berkorban untuk memberi kerusi tersebut? Saya tidak yakin parti-parti komponen BN akan memberi laluan. Bukti menunjukkan bahawa sikap ultra kiasu amat kuat, bila kosong sahaja kerusi senator, sepantas kilat mereka sudah ada calon untuk menggantikannya. Akhirnya, nanti kerusi Umno juga yang akan terlepas. Kawasan Parlimen Gerik sudah menyaksikan segalanya.
Apapun, saya dapat simpulkan, setiap sudut yang rugi adalah umat Islam. Semakin banyak parti-parti politik ditubuhkan untuk menyertai BN, kerusi orang Islam hanya satu iaitu Umno. Sedangkan bukan Islam yang menyertai BN mengimpikan jawatan menteri atau kuasa mesti dikongsi bersama mereka. BN adalah alat untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan. Atas semangat cohesion kita terus memberi, tetapi jarang menerima.
Tidak cukup dengan itu, mereka terus mengasak untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kabinet seperti Menteri Kewangan, Menteri Kerja Raya, Menteri Dalam Menteri dan sebagainya. Mereka sentiasa merancang mahukan lebih dan lebih. Malangnya, umat Islam merancang saling jatuh-menjatuhi antara satu sama lain, sama ada di dalam parti atau di luar parti.
Inilah politik ultra kiasu yang mesti ditangani oleh Umno yang memimpin BN hari ini. Jika Umno sanggup beralah, kenapa orang lain tidak? Saya teringat komen rakan blog, kenyataan yang dikeluarkan tidak menyembuhkan luka yang ada, tetapi semakin menyakitkan luka yang sedia ada. Akhirnya luka semakin mendalam.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment