Tuesday, 13 July 2010

Isu Hakim Wanita: Kita Wajar Terbuka

Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin

Ramai yang meminta saya memberikan pandangan berhubungan perlantikan hakim wanita di mahkamah syariah baru-baru ini. Sebahagian mereka ini terpengaruh dengan pendapat yang agak ‘keras’ yang hanya membenarkan Islam itu dilihat dalam kerangka sesebuah mazhab sahaja, lalu tanpa penelitian atau kesederhanaan menghukum haram, sesat, dosa dan berbagai lagi.

Sedangkan kita sepatutnya melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas yang meliputi semua aliran mazhab, pendapat dan pandangan ilmiah dari mana sahaja ia berasal. Apa yang penting penghujahannya hendaklah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta mengikuti garis panduan ilmu yang ditetapkan. Di samping bersedia menerima perbezaan dalam perkara-perkara yang boleh kita berbeza. Saya ingin menyentuh hal ini dalam nota-nota berikut;

1. Isu hakim wanita adalah persoalan yang sarjana Islam berbeza pendapat mengenainya. Kita sebagai muslim hendaklah bebas dari fanatik mazhab, sebaliknya dengan takwa kepada Allah ingin mencari apa yang paling kukuh penghujahannya di sisi garis panduan ilmu. Penerimaan sesuatu hujah atau alasan juga berbeza antara satu sama lain, berdasarkan kepada kadar ilmu dan pemikiran, juga dimensi tempat dan masa. Berlapang dada mendengar setiap hujah dengan penilaian yang adil dan takwa adalah sikap seorang muslim yang baik.

2. Tujuan asas kepada penghakiman bukannya soal gender, tetapi keadilan. Jika lelaki pun tetapi tidak adil apa ertinya? Maka, yang mesti ditegaskan dalam hal ini adalah bagaimana hendak mencapai keadilan dalam hukuman. Itulah maqsad atau tujuan sesuatu penghakiman. Apakah jika wanita menjadi hakim akan menyebabkan kurang adil dari lelaki? Dari segi realiti hari ini ada wanita yang menjadi hakim di mahkamah sivil di negara ini bahkan di dunia seluruhnya. Apakah dengan jelas terbukti bahawa mereka tidak dapat bertindak secara adil? Jika tiada bukti, asas larangan dalam masalah ini adalah lemah.

3. Dalam al-Quran, dalam Surah al-Naml Allah menceritakan tentang Permaisuri atau Ratu negara Saba’ (dikenali oleh sejarah sebagai Balqis) telah mengepalai kerajaan yang besar, yang bertindak dengan cara yang lebih bijak dari menteri-menteri lelaki dalam kerajaannya.

Firman Allah menceritakan hal ini: (setelah membaca surat itu), Ratu Saba’ berkata: “Wahai para pembesar negara! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri”. Ratu itu berkata lagi: “Wahai para pembesar negara, berilah pendapat kamu kepadaku mengenai perkaraku ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir (memberi pendapat)”. Mereka menjawab: “Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan”. Ratu itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. Dan sesungguhnya aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita”. (Surah al-Naml: ayat 29-35).
Di sini al-Quran meriwayatkan kebijaksaannya membuat keputusan sehingga akhirnya membawa Ratu Saba’ itu beriman dengan Nabi Sulaiman a.s. Kisah wanita yang bijak ini dirakamkan oleh al-Quran tanda wanita juga mampu membuat keputusan yang baik.

4. Dalam sejarah keilmuan, isteri-isteri Nabi s.a.w seperti ‘Aishah, Umm Salamah, Hafsah dan selain mereka telah mengeluarkan berbagai fatwa yang diguna pakai oleh umat Islam ketika zaman mereka dan selepas mereka. Walaupun ada sedikit perbezaan antara fatwa dan penghakiman kes, namun dalam banyak hal, asasnya sama.

5. Sejarah juga merakamkan, Aishah r.a. pernah mengepalai angkatan dalam gerakan menentang pemberontak yang membunuh Khalifah Uthman r.a dan akhirnya terlibat dengan Perang Jamal. Aishah juga yang memutuskan keputusan-keputusan penting dalam krisis tersebut. Ia lebih besar dari isu nikah dan talak. Ia membabit masa depan dan politik umat Islam. Turut bersama ‘Aishah r.a. sahabah-sahabat Nabi s.a.w yang besar seperti Zubair bin ‘Awwam dan Talhah bin ‘Ubaidillah. Mereka tidak membantah tindakan ‘Aishah mengepai isu-isu ini walaupun sesetengah kurang bersetuju beliau keluar meninggalkan kediamannya, disebabkan beliau isteri Nabi s.a.w.

6. Kaedah penghakiman hari ini juga berbeza dengan masa lampau. Hakim tidak lagi bergantung kepada ijtihad beliau sepenuhnya, sebaliknya berasaskan enakmen-enakmen bertulis yang tersedia ada. Apatah lagi, mahkamah syariah di negara ini bukan untuk mengendalikan kes-kes jenayah berat yang mana itu berada di bawah mahkamah sivil. Ertinya, tugasan hakim mahkamah syariah di negara ini tidak seberat mahkamah sivil dan tidak sebeban hakim-hakim zaman dahulu. Jika bebanan hakim-hakim dahulu antara punca sebahagian sarjana mengharamkan mereka memegang jawatan tersebut, hal ini tidak wujud dalam konteks mahkamah syariah negara ini.

7. Wanita dalam negara ini sudah terdedah kepada banyak pengetahuan yang menyaingi kaum lelaki. Walaupun dari segi emosinya tetap tidak sama, namun persekitaran atau environment telah menjadikan mereka menyaingi kematangan lelaki dalam banyak hal. Maka, adanya perbezaan antara wanita-wanita pada zaman fatwa ulama-ulama silam yang mengharamkan mereka menjadi hakim dengan wanita hari ini yang terdedah kepada pendidikan dan persekitaran yang baru.

8.Banyak kes-kes perkahwinan yang menganiyai wanita disebabkan penangguhan kes yang begitu lama, juga mungkin kurang faham atau prihatin hakim lelaki terhadap keadaan wanita. Perlantikan hakim wanita dalam kes-kes rumahtangga mungkin boleh mengelakkan hal-hal tersebut. Kita wajar melihat soal politik, perundangan dan kemasyarakat dalam kerangka syariah yang lebih luas yang dapat memenuhi keperluan masa dan tempat.

9.Oleh kerana dalam banyak keadaan emosi mempengaruhi wanita, seperti mana ia juga mempengaruhi lelaki dalam perkara-perkara tertentu. Maka, jika hendak dilantik, pemilihan yang teliti dan amanah wajib dipastikan.

10.Kesimpulannya, saya bersetuju hakim mahkamah syariah dilantik dalam kalangan wanita dengan syarat-syaratnya. Saya juga menasihati semua pihak termasuk diri sendiri agar mengelakkan pendapat yang tidak mengambil kira keserasian text dan context. Barangkali, sebahagian pendapat silam itu, ada konteksnya yang tersendiri. Sedangkan kita hendaklah melihat isu-isu kehidupan ini dalam konteks yang semasa sebelum dipadankan dengan sesuatu nas atau text yang barangkali lahir dalam konteks yang berbeza.

No comments: