Sunday 13 June 2010

Perlukah memorial Tan Cheng Lock?

Mingguan Malaysia 13 Jun 2010

Menurut kenyataan pemimpin MCA, Arkib Negara telah bersetuju membina memorial Tan Cheng Lock, bersebelahan memorial Tunku Abdul Rahman. Lanjutan itu, bangunan Parlimen pertama di Jalan Dato’ Onn di Kuala Lumpur, akan diubahsuai menjadi memorial itu yang melibatkan kos kira-kira RM10 juta, mulai tahun depan. Menurut MCA lagi, memorial tersebut penting sebagai memperingati jasa tokoh negara yang juga Presiden mereka yang pertama.

Jika benar, ingatan saya kepada Arkib Negara, agar perlu memikirkannya kembali. Saya tidak melarang, tidak juga menyokong. Tetapi ingatlah, politik Malaysia adalah berasaskan kepada politik perkauman. Cukuplah dengan memorial pemimpin nombor satu negara. Saya bimbang nanti, semua parti etnik yang ada di negara kita, termasuk Sabah dan Sarawak mahukan memorial sama ini turut dibina, bagi mengenangkan pemimpin mereka yang tidak kurang berjasa, sesuai dengan zaman yang dilalui. Apatah lagi dari segi hak, mereka lebih berhak, sebab mereka adalah pribumi.

Kita perlu memahami, setiap pemimpin melalui zaman-zaman yang berlainan. Adalah kurang sopan jika kita mengatakan hanya sejarah detik kemerdekaan sahaja yang penting dalam menilai sumbangan seseorang ke atas tanahair. Semua sejarah perjuangan mempertahankan tanahair daripada penjajahan yang dilalui negara kita, adalah penting. Persoalan saya, apakah indeks (KPI) yang digunakan dalam menilaikan sumbangan seseorang itu, sejarah yang sebenar? sejarah yang benar? atau sejarah yang sengaja diperbesarkan bagi tujuan tertentu?

Dalam memahami politik Malaysia, kita selalu memutar belitkan dan menyempitkan skop sejarah untuk kepentingan diri, kaum dan parti. Tujuannya tidak lain, agar tokoh kita atau bangsa kita dipandang hebat. Janganlah hanya mengenang jasa seseorang ketika detik negara mencapai kemerdekaan menjelang 31 Ogos 1957, sehingga kita lupa tokoh-tokoh yang lebih berjasa sebelum itu? Kenapa cetek sangat kita menilai dan menghayati sejarah?

Ingatlah, sejarah Tanah Melayu tidak hanya bermula pada tahun-tahun 1940an, tetapi sejarah perjuangan kemerdekaan telah bermula sejak Tanah Melayu mula ‘dijajah’. Saya agak kurang selesa menggunakan perkataan ‘dijajah’. Tanah Melayu tidak dijajah secara langsung dalam konteks yang sebenar kerana institusi raja-raja Melayu masih wujud, kecuali negeri-negeri Selat. Maknanya, sejarah perjuangan tanahair bermula sebelum merdeka ratusan tahun dahulu, jauh lebih penting, kerana banyak nyawa terkorban dan darah tumpah menyembah bumi.

Ringkasnya, sejarah menentang penjajah telah bermula sebelum penghijrahan besar-besaran berlaku. Orang Melayu Islam telah lama bangkit, tetapi masih belum berjaya menghalau penjajah sepenuhnya, namun pengorbanan mereka tidak ada tolok bandingnya. Pada saya, mereka lebih berjasa daripada yang lain. Saya minta kajilah latar belakang tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, Mat Salleh, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan ramai lagi sebelum itu. Kenapa bila sebut sahaja sejarah kemerdekaan tanahair, maka dalam benak kepala kita adalah muka-muka yang stereotaip setiap tahun?

Tokoh menjelang kemerdekaan yang tidak kurang hebatnya seperti Dato Onn Jaafar, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Mustapha Hussein dan ramai lagi jarang diperkatakan. Pada saya, memorial mereka juga berhak didirikan, kerana mereka turut mempertahankan nyawa. Sedangkan detik kemerdekaan hanyalah satu proses rundingan setelah berlaku desakan, tuntutan dan perjuangan sebelum itu. Cuba kita kaji detik-detik sejarah antara tahun 1940-1948, siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan? Siapakah yang menentang Malayan Union? Adakah orang Melayu Islam, Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA), MCA, MIC atau Parti Komunis Malaya?

Kadangkala saya tidak faham adakah mereka yang berada di Arkib Negara itu tahu atau tidak tangungjawab dan ruang lingkup kerja mereka.

Mengingati tokoh tidak semestinya dengan membina memorial. Banyak cara lain yang boleh digunakan. Sebelum itu, saya ingin ingatkan, tulislah dan fahamilah dahulu sejarah Tanah Melayu dengan baik. Jangan turut berpolitik. Hati rakyat yang mengkaji dan celik sejarah kena jaga juga.

Selepas ini saya bimbang ada pihak yang menuntut supaya memorial Lim Chong Eu (Gerakan), Tan Siew Sin (MCA) dikuti dengan pemimpin-pemimpin seterusnya. Jangan asyik memandang bangsa sendiri. Gagasan 1Malaysia mahu juga kita memandang dan mengambil berat bangsa lain juga. Pemimpin parti Gerakan yang pertama seperti Syed Hussien Al-Atas, jarang disebut sumbangannya. Saya cadangkan diperbesarkan lagi memorial Tunku Abdul Rahman dan dimuat semua sumbangan semua tokoh dalam satu memorial, daripada membina memorial demi memorial atas nama-nama tertentu.

Cukuplah dengan memorial Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) yang telah didirikan tanpa persetujuan kerajaan negeri dan pusat, tetapi tetap juga didirikan yang kini menjadi pusat penyembahan di Taman Peringatan Nilai, walaupun telah dipertikaikan oleh tokoh-tokoh sejarah sebelum ini, akan peranan MPAJA dalam memperjuangkan kemerdekaan. MPAJA didakwa oleh sesetengah pihak sebagai pejuang kemerdekaan, wal hal sebenar tidak. MPAJA adalah sayap Parti Komunis Malaya (PKM) yang bercita-cita tinggi untuk menguasai Tanah Melayu apabila Jepun menyerah kalah. Wujudnya parti berhaluan kiri ini disebabkan oleh permusuhan mereka dengan Jepun, bukan soal memerdekakan Tanah Melayu.

Kita mesti ingat setiap tokoh mempunyai lagenda mereka sendiri kerana mereka hidup di zaman yang berlainan. Kita tidak boleh samakan peranan Tunku dengan peranan Mahathir misalnya kerana mereka berjuang pada zaman yang berbeza. Jika itulah nilaiannya, saya boleh katakan jasa Mahathir lebih banyak daripada jasa Tunku, kerana Mahathir menjadi PM lebih lama dari Tunku. Sudah tentu jasanya lebih banyak ketika memimpin negara. Kitapun sudah dapat lihat hasilnya hari ini. Apakah selepas ini kita akan bina memorial setiap PM dan pemimpin-pemimpin parti? Saya bimbang selepas ini negara kita dipenuhi dengan memorial.

Saya fikir sudah sampai masanya kita merancang untuk membina masa depan dengan memastikan rakyat memahami sejarah negara yang sebenar daripada bercakap untuk membina memorial. Dengan bertambahnya memorial tidak akan menjadi kita lebih patriotik. Apa yang lebih penting adalah menyusun agenda menanamkan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Pastikan mereka mencinta negara lebih daripada mencintai bangsa, menyayangi bahasa kebangsaan lebih dari bahasa sendiri, menyayangi sekolah untuk semua lebih daripada sekolah sendiri. Menyayangi pemimpin yang terkorban kerana terlalu banyak berkorban daripada pemimpin yang telah berkorban tetapi tidak terkorban.

Pada saya, semua pemimpin layak dikenang jasanya, kerana mereka bernasib baik terpilih menjadi pemimpin. Namun, kita janganlah terlalu perasan, lantas berkata: “jika tidak ada Tunku, Cheng Lock dan Sambhantan negara tidak akan merdeka”. Pemimpin datang dan pergi. Patah tumbuh hilang berganti. Setiap pemimpin ada lagenda dan jasanya tersendiri. Dunia dan negara akan terus bergerak dan berputar mengikut peredaran masa. Pasti ada pelapis selepas itu yang akan berjasa.

Siapa juga yang memerintah, perjuangan mesti diteruskan. Negara akan terus membangun. Kita tidak boleh statik dan jumud. Korea Utara terus ditakuti dunia walaupun kita beranggapan bahawa pemimpin mereka tidak demokratik dan ketinggalan zaman dengan fahaman komunisnya. Benar, rakyat dan negerinya agak miskin, tetapi mereka bahagia dan berbangga dengan kehebatan teknologi nuklear dan pertahanan mereka sehingga menggerunkan barat. Tidakkah itu ada tolak campurnya? Lemah di sana, kuat di sini. Dalam maksud, ada kelebihan dan ada kelemahan. Pemimpin mereka tetap berjasa, walaupun mungkin dunia mengutuknya.

Hitler yang dikatakan kejam dan zalim juga tetap berjasa pada zamannya. Paling tidak, sekurang-kurangnya Hitler mengingatkan dan menyedarkan kita siapa Yahudi sebenarnya? Masih ingatkah kita kata-kata Hitler kenapa beliau bertindak membunuh Yahudi dalam bukunya ‘mein kampf’? Katanya: “Saya boleh bunuh semua Yahudi ketika saya berkuasa. Tetapi saya tinggalkan sedikit kepada kamu. Kenapa? supaya kamu kenal siapa yahudi, dan mencari jawapan kenapa saya bunuh yahudi”.

Kata-kata Hitler ini amat besar ertinya kepada kita supaya belajar dan mengkaji psiki yahudi. Kenapa yahudi ini boleh menjadi satu bangsa yang kuat walaupun bilangannya amat sedikit. Yahudi tidak pentingkan jasa individu, tetapi yahudi mengambil berat soal negara dan masa depan serta survival bangsa mereka. Sifat inilah yang menjadikan kekuatannya begitu menyerlah terutama dalam teknologi maklumat dan pertahanan. Kenapa kita berfikir ke arah itu?

Saya mengkaji serba sedikit psiki bangsa yang bongkak ini. Apabila mereka berjaya menapak di Palestin, yahudi membangunkan teknologi dan pertahanan mereka terlebih dahulu. Sifat ini juga turut ditiru oleh ultra kiasu di selatan negara kita. Setelah mereka benar-benar kuat, barulah mereka bangunkan sumber lain. Hari ini Israel terbukti berjaya menjadi salah satu kuasa dunia. Walaupun negara ini hanya sebesar semut ini tetapi ditakuti negara sebesar gajah. Satu dunia memerhatikan Israel menawan kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Siapa berani menegur Israel? Israel telah menjadi terlalu kuat sehingga sukar untuk ditembusi. Negara semut ini sudah menjadi terlalu kuat sehingga sukar untuk dikalahkan jika berlaku peperangan.

Dengan sebab itu, kita lihat mereka begitu berani, termasuk negara ultra kiasu. Saban hari kita dengar mereka menceroboh ruang udara dan kedaulatan negara kita. Apa yang boleh kita lakukan? Kita hanya boleh memberi amaran demi amaran. Tetapi adakah dipedulikan? Beranikah kita tembak kapal pejuang mereka setelah jelas menceroboh kedaulatan kita? Saya kira kita akan berani jika kekuatan kita melebihi atau setara dengan yahudi kecil ini. Tetapi kekuatan kita dengan yahudi kecil ini amat jauh dari segi teknologi persenjataan dan pertahanan. Kapal selam mereka jarang rosak, sedangkan kapal selam kita baru beli sudah rosak. Itu belum termasuk enjin jet yang telah hilang. Bayangkan ketika peperangan benar-benar berlaku, bila mana jet pejuang mahu digerakkan, tiba-tiba enjinnya tidak dapat dihidupkan, rupa-rupanya baru kita sedar jet tidak boleh terbang kerana enjinnya sudah hilang. Mampukah kita bertahan ketika itu?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdaga

No comments: