Sunday, 20 June 2010

Bahaya jika kita buta sejarah

Mingguan Malaysia, 20 Jun 2010

SAYA mengalu-alukan langkah kerajaan untuk memasukkan kurikulum bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan. Sekurang-kurangnya ia membantu orang Melayu Islam dalam menguasai bahasa ini, walaupun mungkin tidak sepandai mereka yang berada di sekolah jenis kebangsaan.

Persoalannya, kala kerajaan mula bersikap terbuka dan memandang ke hadapan, bagaimanakah pula dengan kedudukan Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan?

Adakah wajar Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan diajar hanya tiga kali seminggu dengan silibus yang begitu mudah berbanding silibus sekolah kebangsaan? Sebarang penambahan waktu pembelajaran Bahasa Melayu dan penyeragaman silibus dianggap sebagai beban dan menggugat kedudukan bahasa ibunda. Apakah akan wujud keadaan selepas ini, orang Melayu boleh berbahasa bukan Melayu manakala mereka yang berada di sekolah jenis kebangsaan masih berada di takuk lama atau mungkin bagaimana?

Inilah dilema yang akan dihadapi dan menghantui sistem pendidikan di negara kita. Sedangkan satu dunia maklum bahawa sistem pendidikan berasaskan sejarah bahasa kebangsaan adalah teras kepada pembinaan sebuah negara bangsa.

Apatah lagi matapelajaran sejarah 'Malaysia Negaraku' yang mahu dijadikan subjek di setiap sekolah bagi melahirkan semangat patriotisme dan jati diri. Subjek ini juga turut ditolak mentah-mentah di sekolah jenis kebangsaan kecuali jika ia diajar dalam bahasa ibunda. Sedangkan kita tahu pendidikan berteraskan sejarah adalah soal masa depan negara.

Bagaimana akan lahir semangat patriotisme jika kita buta sejarah? Setiap bangsa dan negara ada sejarahnya, ia mesti dipelihara sebagai warisan generasi akan datang, kecuali jika kita mahu memadamkan sejarah dan mencipta sejarah baru seperti mana percubaan negara ultra kiasu di selatan negara kita.

Percubaan mereka setakat ini hampir berjaya. Menolak sejarah bererti kita menolak asal-usul kita dan negara tercinta. Melalui komen-komen dalam laman blog ultra kiasu dan blog saya mengenai artikel minggu lalu, bertajuk Perlukah memorial Tan Cheng Lock?, ternyata kumpulan ultra kiasu ini kelihatan begitu marah apabila saya menyeru agar kita menghayati sejarah sebagai asas kehidupan bernegara. Blog saya dihentam dan digodam secara tidak bersopan dan tidak beradab, walhal saya tidak jemput pun mereka melayarinya. Berhenti membaca jika dirasakan bertentangan dengan naluri. Tidak ada paksaan.

Apa yang saya minta cubalah memahami sejarah. Pada mereka, sejarah tidak penting kerana ia telah berlalu. Mengingati masa lalu akan merugikan dan memundurkan kita. Apa yang lebih penting adalah masa depan negara. Kita tidak akan ke mana-mana dengan memperkatakan perkara yang telah lepas.

Cetek sungguh pemikiran mereka. Inilah golongan ultra kiasu yang saya sentiasa ingatkan supaya kita berhati-hati. Bagaimana kita boleh mendepani masa kini dan akan datang sekiranya tidak ada masa lalu?

Apakah ada agenda untuk memadamkan sejarah ini atau memutar-belitkannya? Mana-mana negara bangsa di dunia ini memang tidak dapat lari daripada sejarah. Sejarah adalah asas dan tunggak kekuatan negara. Sejarah diwajibkan sebagai mata pelajaran asas yang mesti dipelajari suka atau tidak.

Mereka mesti lulus matapelajaran ini berbanding kita yang masih menjadikan sejarah sebagai matapelajaran pilihan. Di peringkat sekolah rendah pula, sejarah langsung tidak diajar. Apakah kemunculan pengikut ultra kiasu hari ini disebabkan oleh mereka tidak memahami atau mempedulikan sejarah?

Saya yakin masalah yang timbul hari ini disebabkan kita buta sejarah ataupun mungkin kita sengaja membutakan mata. Dengan makna, kita tidak cuba untuk memahami orang lain atau bangsa lain. Bila ada percubaan untuk memperkasakan sejarah, kita berasa terancam, sedangkan kita tahu jika mahu menjadi perkasa, sejarah adalah asas pemerkasaannya.

Keras kepala

Kita mahu berada dalam dunia sendiri yang akhirnya menjadi manusia yang keras kepala, tidak mahu mengalah dan merasakan diri sendiri sahaja yang betul, orang lain semua salah.

Jika kita membuka sejarah masa lalu, kita akan bertemu kejadian-kejadian yang menimpa umat, mampu menjadi faktor terbesar untuk membangkitkan kemahuan dan membangunkan semangat. Tidak hairanlah jika ada ulama yang mengatakan bahawa sejarah adalah tentera Allah SWT di muka bumi. Tidak ada manusia yang mampu melawan sejarah.

Menurut Peter N Stearns, dari Persatuan Sejarah Amerika, history should be studied because it is essential to individuals and to society, and because it harbors beauty. Pada beliau, sejarah adalah satu bukti dan tidak pernah menipu. Sejarah dapat mengelakkan salah faham dan konflik sesama manusia dan menjadikan kehidupan kita lebih baik.

Dengan sejarah kita belajar soal masa depan, kerana sejarah masa lalu memandu masa depan. Manusia yang tidak pernah belajar daripada sejarah tidak akan punya inspirasi dan semangat untuk mencipta dan berjuang. Umat Islam sepatutnya mampu mengambil begitu banyak iktibar daripada sejarah untuk kembali mencipta kegemilangan seperti yang pernah dikecapi sebelum ini. Biarkanlah ultra kiasu dengan labu-labunya. Suatu hari nanti pasti tembelangnya akan pecah.

Bahkan para panglima perang dan penganalisis strategik, belajar daripada sejarah peperangan demi peperangan, baik mengenai politik, taktikal, medan, adat budaya musuh, sehinggakan sampai pada perkara-perkara yang kecil di ambil kira, selain kekuatan musuh.

Begitulah pentingnya kita mesti mempelajari sejarah. Bangsa yang bongkak seperti Yahudi pun belajar daripada sejarah. Sudah sewajarnya kita umat Islam yang lebih perlu belajar daripada sejarah kerana kita mempunyai sejarah keagungan dan kegemilangan yang tidak ada tolok bandingnya.

Apa yang menyedihkan hari ini, umat Islam tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah. Sejarah dijadikan alat untuk membalas dendam. Mereka rela diperalatkan daripada bekerjasama sesama umat seagama.

Nampaknya percubaan ultra kiasu yang berusaha menjauhkan umat Islam daripada sejarah semakin berjaya. Mereka mengasak pemikiran kita dengan sejarah peradaban lain yang telah diubahsuai, seperti sejarah Barat dan Timur, revolusi industri, perang dunia dan perjuangan menuntut kemerdekaan, penjajahan orientalis, sosialis dan sebagainya.

Mereka pura-pura menutup mata dan kalau boleh, tidak mahu menyebut sedikitpun peradaban dan perjuangan pribumi dan Islam. Mereka sahaja yang bertamadun, orang lain tidak. Jika ada percubaan untuk mengungkap sejarah Islam, ia cuba diputarbelitkan sehingga umat Islam benci dan malu untuk belajar sejarah Islam. Percubaan untuk meniru gaya pemerintahan Umar Abdul Aziz hanyalah untuk mencairkan kita sahaja.

Masihkah kita ingat negara kecil Jepun suatu ketika dahulu mampu mengalah negara sebesar Rusia? Kemudian, Jepun digegarkan pula dengan kekalahan dalam Perang Dunia Kedua dengan kehancuran Hiroshima dan Nagasaki. Kenapa Jepun boleh bangkit melalui kehancuran tersebut? Saya yakin Jepun belajar daripada sejarah kemenangannya ke atas Rusia.

Berbeza dengan kumpulan ultra kiasu di negara kita. Mereka cuba membasuh otak kita dengan mengatakan, "Kita tidak akan maju jika kita selalu melihat ke belakang". Sedangkan kita tahu negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sentiasa mewajibkan rakyatnya belajar daripada sejarah. Kekalahan mereka dalam Perang Vietnam memberikan impak besar kepada bangsa bongkak ini walaupun mereka menguasai segala teknologi peperangan dan senjata kimia.

Sejarah ini tidak boleh dipadamkan dan sentiasa terpahat di sanubari mereka. Filem-filem bercorak Rambo adalah percubaan untuk menaikkan imej mereka.

Cuba kita fikir kenapa AS tidak bersendirian ketika menyerang negara kaum muslim yang nampak kecil dan lemah seperti Afghanistan dan Iraq? Mungkin selepas ini Iran. AS selalu melibatkan negara-negara Eropah dan beberapa negara Asia untuk bersama-sama menyerang negara tersebut. Walhal jika dilihat dari segi kekuatan ketenteraan dan persenjataan, mereka boleh lakukan secara bersendirian?

Inilah strategi ultra kiasu hari ini, cuba memperalatkan kita demi kepentingan mereka. Mereka tahu, jika bertindak bersendirian, agar sukar untuk membuahkan hasil.

Justeru, pelbagai strategi digunakan untuk mencari rakan sekutu dan mencairkan hati dengan menonjolkan kebaikan mereka seolah-olah nampak ikhlas, walaupun sebelum ini merekalah musuh dalam selimut menolak Islam secara nyata.

Segelintir mereka mahu menjadi bangsa terhormat. Mereka tidak mahu masyarakat kita kembali melihat sejarah perjuangan masa lampau. Apatah lagi jika dikaitkan dengan orang Melayu dan Islam. Kalau boleh mereka mahu mengatakan sejarah negara ini semulajadinya sudah berbilang kaum. Tidak ada tuan asalnya. Tuan asalnya hanyalah Orang Asli.

Ingatlah wahai semua saudaraku termasuk ultra kiasu, sejarah adalah pelajaran mengenai masa lampau kita. Dengan mempelajari sejarah kita akan lebih mengenal diri kita sendiri. Kejayaan generasi lampau boleh dijadikan iktibar dan semangat untuk kita mencipta kejayaan pada hari ini.

Kegagalan generasi lampau boleh juga dijadikan iktibar dan teladan agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Memang menjadi sifat manusia, mereka lebih mengambil berat soal masih depan berbanding masa lalu. Sedangkan sejarah adalah pembelajaran masa lalu. Kenapa kita mahu sibuk-sibuk dengan masa lalu sedangkan ia tidak akan berulang lagi.

Dalam Islam, Allah SWT mahukan kita mengambil iktibar dan pengajaran, terutama kepada orang yang melihat.

Pakar sejarah bukan pakar bedah, pakar jalan raya atau pakar pencegah jenayah. Dengan sebab masyarakat memandang lewa akan mereka. Sejarah sebenarnya lebih sukar daripada ilmu kejuruteraan dan perubatan. Ia tidak dapat dilihat oleh generasi yang tidak melaluinya berbanding hasil rekaan dan ciptaan.

Sejarah mengandungi segala maklumat mengenai kedudukan manusia dan masyarakat serta tindak tanduk mereka. Jika sejarah itu tidak penting kenapa nenek moyang menjadi begitu penting sekali. Sehingga timbul pepatah, harta boleh dicari tetapi warisan nenek moyang tidak boleh dijual beli.

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia

No comments: