Sunday, 27 June 2010

Judi hak bukan Islam?

Mingguan Malaysia, 27 Jun 2010

Albert Einstein pernah berkata, "God does not play dice with the universe." If God isn't a gambler, are his followers? Kata-kata ini membuatkan saya amat teruja dengan kenyataan mengenai judi yang dikatakan adalah hak orang bukan Islam. Persoalannya, dari sumber manakah fakta tersebut diperolehi? atau kenyataan tersebut sekadar mahu mengambil hati atau menjaga hati orang lain? Kita tidak seharus membuat generalisasi bahawa amalan budaya sesuatu kaum merupakan hak mereka, tanpa merujuk kepada sumber asasi atau berautoriti.

Jika kita tidak rajin membaca, sekurang-kurangnya tanyalah mereka lebih arif serta pakar, seperti pakar perbandingan agama atau sami Buddha, Hindu, paderi Kristian dan sebagainya. Jangan cakap ikut sedap mulut tanpa fakta yang kukuh, takut nanti diketawa orang. Budaya merujuk pakar perlu ada dalam melahirkan masyarakat yang maju, berilmu dan mempunyai daya intelektual yang tinggi. Sedarlah, kita tidak akan tahu semua perkara. Dengan sebab itu, kita mempunyai pengkhususan bidang masing-masing. Lebih baik bercakap mengikut bidang. Apatah lagi menyentuh sensitiviti agama. Lebih menyedihkan, kadang-kadang yang jahil murakabpun mahu bercakap. Akibatnya, makin banyak cakap, makin terserlah kelemahan. Ini memberikan ruang dan peluang untuk mereka yang ingin mengambil kesempatan menangguh di air keruh, terutama ultra kiasu dan sekutunya.

Sepanjang pengetahuan saya mengkaji perbandingan agama sehinggalah memeluk Islam, tidak ada satupun agama yang menghalalkan judi. Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang turut sama tidak dihalalkan seperti arak, zina, pelacuran, pergaulan bebas, seks bebas, jenayah, bunuh diri dan sebagainya. Alangkah hinanya sesuatu agama, jika ada yang berpendapat judi dan perbuatan yang disebutkan itu adalah dibolehkan.

Justeru, tidak hairanlah semua agama mengharamkan judi. Ia dikategorikan sebagai dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Sila baca pandangan Kristian dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1 Corinthians 15:33, pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The Layman's Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII.54, pandangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940 (http://www.buddhanet.net/e-learning/ethics_s.htm).

Tidak ketinggalan, amalan judi juga diharamkan dalam agama Yahudi. (http://www.beliefnet.com/News/2003/01/Does-God-Play-Dice.aspx). Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin slot, dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan berdosa. Jadi, dimanakah hujah untuk menghalalkannya. Sila layari http://gospelway.com/morality/gambling.php. Saya merasa pelik kenapa kita takut untuk berkata benar. Saya memuji langkah Pemuda UMNO yang begitu tegas menolak tindakan menghalalkan judi. Ini selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Namun, jangan pula kita terpengaruh dengan agenda dan propaganda negeri ultra kiasu yang awal-awal lagi membuat gimik mengharamkan judi. Sebenarnya mereka mahu meniru negeri ultra kiasu di selatan Johor, yakni membuka kasino terbesar di Asia sebagai sumber pendapatan. Cuma masa masih tidak mengizinkan. Mereka masih belum mendapat apa yang dicitakan. Jika mereka sudah dapat, saya yakin gaya kepimpinan Umar Abdul Aziz akan dibuang entah ke mana.

Persoalannya, kala agama lain bersependapat dengan kita, kenapa kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi bentuk baru ini? Saya tidak nafikan ada sedikit kebaikan yang dibawa jika ianya dijalankan mengikut lunas undang-undang, sekurang-kurangnya tidak wujud lagi penjudi-penjudi haram.Persoalannya, adakah kita yakin dengan membenarkan operasinya, segala masalah akan dapat diselesaikan?

Pada hemat saya, yang haram tidak boleh disahkan, kerana implikasi haram akan menerbitkan keputusan yang haram juga. Logiknya mudah, bila halal + halal, jawapan halal tidak ragu-ragu lagi. Namun, jika haram + halal, jawapannya masih lagi haram. Jika tidak harampun, ia akan menimbulkan sangsi dan was-was. Apatah lagi jika haram + haram, sudah tentu menjadi lebih haram.

Justeru, oleh kerana tidak ada satupun agama yang membenarkan judi, eloklah kita fikirkan semula bagaimanakah kesannya, jika ianya dibenarkan atau dilesenkan.

Berasaskan pengalaman saya ketika tidak Islam dan pernah berjudi secara haram, judi langsung tidak mendatangkan kebaikan, malahan akan menimbulkan ketagihan walaupun judi itu tidak boleh dimakan, rasa tidak puas hati akan menimbulkan ketagihan. Apatah jika menjadi sumber rezeki, seterusnya menjadi darah daging.

Saya tidak pernah lihat ada taukeh judi yang bankrap atau jatuh miskin disebabkan oleh perniagaan haram ini. Yang jelas, rata-rata masyarakat atau rakyat menjadi mangsa. Sudah tentu ia bercanggah dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Dilihat dari sudut mana sekalipun tidak ada satupun kebaikan hasil perjudian. Menang sekali setelah ratusan kali dan ribuan kali kalah. Judi telah mengakibatkan penderitaan dan reputasi seseorang. Soal mereka masih melakukannya, sehingga menjadi amalan hidup, itu adalah soal individu. Adalah tidak wajar dikaitkan dengan peradaban dan agama mereka sehingga kita sanggup mengatakan bahawa ia merupakan hak mereka, tidak boleh diganggu-gugat.

Kadang kala saya tidak faham kenapa kita begitu cepat melatah dengan membuat kesimpulan? Apa niat dan matlamat kita sebenarnya? Apakah kita pernah membuat kajian kesan judi terhadap kehidupan seseorang? Sebelum memeluk Islam, saya pernah melihat dengan mata kepala saya sendiri bahana judi. Ada yang terpaksa melacurkan isteri kerana kalah berjudi kerana tidak dapat melangsaikan hutang judi. Tidak kurang pula yang membunuh diri. Ada juga yang sanggup menggadaikan harta benda dan tanah pusaka. Bapa saya sehingga ke akhir hayatnya, meninggal dalam keadaan terkilan dengan tindakan anaknya yang sanggup menggadaikan tanah pusaka kerana kalah dalam perjudian.

Justeru, apakah altenatif kepada penjudi-penjudi ini. Pada saya, cukuplah dengan apa yang telah ada. Tidak perlulah ditambah lagi. Jika dapat dikurangkan dan dihapuskan lagi baik kerana tidak ada agama yang menyetujuinya. Jangan mengundang bala, takut-takut nanti dimurkai Tuhan. Tatkala itu, mereka yang mengharamkan judi atau tidak pernah berjudipun akan terpalit sama kerana bala Tuhan tidak mengenal tempat atau orang tertentu sahaja.

Tsunami yang melanda tidak hanya kena pada mereka yang engkar dengan Tuhan, tetapi melibat ramai orang baik yang tidak berdosa, termasuk rumah ibadat seperti surau dan masjid. Janganlah kita anggap, jika bala turun ia hanya akan kena pada mereka yang melakukan maksiat sahaja.
Saya yakin kepimpinan negara kita akan melihat perkara ini dengan serius. Biarlah mereka yang berjudi haram ditangkap polis. Sekurang-kurangnya kita dapat memberikan mereka pengajaran daripada terus berjudi seumur hidup.

Kajian yang dibuat ke atas bandar-bandar utama di Amerika Syarikat seperti Washington, Minnesota, Mississippi, California, Colorado, Connecticut, Las Vegas, Wisconsin dan sebagainya, menunjukkan bahawa apabila pusat judi dibuka, kadar jenayah dalam pelbagai bidang meningkat serta merta sehingga 500 peratus.

Menurut John Curran, kadar jenayah ragut, rogol, rompak, serangan dan bunuh meningkat mendadak apabila kasino dibuka. Statistik Federal Bureau of Investigation (FBI) mempamerkan, kadar jenayah daripada 1000 orang penduduk meningkat daripada 134.3 pada tahun 1978 kepada tahap menakutkan iaitu 450.3 pada tahun 1988. Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh kajian Keith Copher, Ketua Penguatkuasaan, Lembaga Pengawasan Judi, Nevada, yang mendedahkan antara 450-500 pekerja ditangkap setahun kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram dalam satu daerah.

Menurut Schaff, Counselor for the Department of Corrections in Wisconsin "In the most desperate phase of compulsive gambling, they will do anything to gamble," "They start stealing money from their spouses, family . . . they'll get money anyhow, anywhere. They'll do forgeries, embezzlements, thefts. It's mostly white-collar crime."

Tidak ketinggalan, judi turut menjejaskan kadar percukaian negara. Menurut Tom Grey, President of National Coalition Against Legalized Gambling, "We have studies that show for every dollar you bring in gambling revenue, you'll lose $1.90 in costs to the taxpayer," he said. It's as simple as ABC, "the addiction, the bankruptcy, the crime and corruption that you already have will just multiply with this expansion." … "If you're not fighting it, it's like cancer and will metastasize and take you over,". Sila rujuk http://www.citizenlink.org/FOSI/gambling/cog/A000002180.cfm

Semua bukti ini menunjukkan bahawa perjudian langsung tidak mendatangkan kebaikan kepada negara, patah lagi kepada individu yang terlibat. Justeru, tunaikan hak semua agama dan hak rakyat untuk mendapatkan kebaikan dan hidup aman damai. Saya yakin ia bertepatan dengan amalan gagasan 1Malaysia. Saya juga yakin masyarakat Islam akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pentadbiran yang ada pada hari ini jika kita bertegas.

Keseriusan ini lebih baik daripada melayan pandangan dan tuntutan pemuda MCA, seperti Ka Siong yang membangkitkan isu pemberhentian penghantaran pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) keluar negara bagi lepasan SPM. Beliau mempertikaikan apakah MARA akan mengambil tindakan yang sama. Kita amat faham akan maksud tersurat dan tersirat sebab pelajar-pelajar MARA adalah orang Melayu. Dalam kepala beliau hanya bangsa, bangsa, bangsa, bukan soal negara yang lebih utama. Ultra kiasu sungguh. Lebih baik join sahaja parti ultra kiasu itu, baru senang cerita. Janganlah menjadi duri dalam daging dalam Barisan Nasional. Pernahkah parti-parti komponen Sabah Sarawak bangkit isu ini, walaupun mereka lebih berhak. Jawapannya tidak, kerana mereka memahami inspirasi dan aspirasi sejarah negara.

Apakah universiti tempatan terlalu lekeh untuk menempatkan pelajar-pelajar cemerlang ini? Jika begitulah keadaannya, tidak payahlah bersusah payah meminta kerajaan memberikan tanah dan bantuan untuk mendirikan Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Terbuka Wawasan dan sebagainya. Lebih baik hijrah universiti ini keluar negara. Kita mahu melihat adalah mereka mampu bertahan atau tidak untuk menjadi universiti yang berkualiti.

Kenyataan ini tidak sepatutnya keluar daripada seorang yang berjawatan dalam barisan kabinet kerajaan. Biarlah yang menyalak itu pemimpin mereka yang kononnya mempunyai moral yang tinggi. Barulah tidak menjadi duri dalam daging. Bertindaklah ada dasar apa yang benar, apa yang salah, bukannya menegakkan benang basah dalam lingkungan etnik yang sempit. Kita tidak akan ke mana-mana.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

No comments: