Thursday, 29 September 2011

POLITIK DESPERADO PR

Saya amat pelik dengan tuduhan Timbalan Ketua Pemuda, Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap sahabat saya Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, yang kini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengenai kedudukan rumahnya. Saya sudah lama mengenali Jamil Khir dari mula menjadi pegawai kanan tentera sehinggalah menjadi menteri. Seringkali saya ke rumah beliau untuk bersama-sama pergi menjadi tetamu majlis forum atau ceramah. Rumah beliau seadanya sejak dulu sampai sekarang. Bezanya hanya, ada sedikit ubah suai yang dilakukan yang masa ke semasa mengikut cita rasa. Belanjanya tidaklah begitu besar berbanding mereka yang membina mahligai.

Pemimpin PKR menuduh beliau menggunakan wang zakat untuk ubah suai rumah. Tuduhan ini amat berat. Inilah politik desperado PKR yang bercita-cita rakus menguasai Putrajaya bersama parti ultra kiasu. Mereka tidak ada kerja lain, asyik pergi mengintai rumah orang untuk mendapatkan laba politik. Tidak mustahil nanti, bilik mandipun akan diintai, untuk mengetahui jenama sabun apa yang dipakai. Hina sungguh politik sebegini.

Saya ingin bertanya, adakah semua rumah pemimpin PKR kecil-kecil? Kenapa tidak melihat rumah pemimpin mereka seperti rumah Menteri Besar Selangor sekarang? Adakah wajar kita menuduh beliau dia mengambil duit PNB atau Guthrie semasa menjadi pemimpin organisasi tersebut? Saya tidak sebacul itu walaupun fahaman kita berbeza.

Saya lihat tidak kurang pemimpin PKR (ketika berada dalam Umno) dan sekutunya hidup mewah, menaiki kapal terbang kelas satu dan sebagainya. Mengata dulang paku serpih. Kita jarang mahu mencontohi pemimpin seperti Mahatma Ghandi. Begitu tawaduk. Jika naik keretapi, jarang dia naik kelas pertama, tetapi dia memilih kelas tiga. Rakyat merasa hairan lalu bertanya kepada Ghandi: “mengapa membeli tiket kelas tiga? Ghandi menjawab: “kerana tidak ada tiket kelas empat!” (Hamka, 2007). Maaflah, saya tidak mengambil contoh Rasulullah SAW, nanti dituduh terlalu Islamik pula.

Saya tidak nafikan ada juga pemimpin Umno yang hidup mewah bergaya, berlagak ke sana ke mari dengan isterinya yang bergelar artis. Percayalah pemimpin sebegini tidak akan kekal lama. Tibanya masanya, spesis seperti ini akan diundurkan atau berundur sendiri. Goustave Le Bon pernah berkata: orang yang percaya akan dirinya tidaklah mengharapkan pujian manusia. Orang yang mengharapkan pujian, nescaya ragu-ragu akan harga dirinya.

Mengintip hal ehwal peribadi seseorang untuk mendapatkan laba politik adalah perbuatan yang amat keji. Berhujahlah secara professional jika kita mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan seseorang. Tidak perlulah menggunakan kaedah pengintipan jika ingin mendapat publisiti murahan. Cara kita berpolitik jauh sekali berbeza, berbanding negara maju yang lain.

Peranan pembangkang di negara maju, jarang menjaga tepi kain orang. Tetapi mereka sentiasa memberikan input yang terbaik untuk pemerintah. Tidak seperti parti ultra kiasu mahu menukar jalur gemilang jika berjaya memerintah. Ini adalah pemikiran komunis yang amat bahaya. Apa salahnya dengan bendera. Bendera tidak pernah mengacau orang. Bendera adalah lambang kedaulatan dalam sebuah negara. Dalam peperangan, jika bendera dipacakkan, itu adalah lambang kemenangan. Jika gagal, itulah nasib bendera. Justeru, jangan mangsakan bendera dek kerana perbezaan politik.

Siapa jatuh dan bangun, bendera tetap sama. Tidak perlu ditukar kerana ia warisan zaman berzaman. Sama juga apabila Perdana Menteri mengistiharkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, sepatutnya semua pihak menyokong. Ini tidak, ada yang berkata ini disebabkan oleh desakan pembangkang. Tanpa pembangkangpun, pasti ada rakyat yang akan bangun menentang ISA.

Kenapa kita tidak amalkan politik yang ada sedikit nilai intelektual? Kenapa kita begitu bebal dan pandir? Tidakkah lebih baik kita berpolitik secara lebih Islamik, yang baik disokong hatta datang daripada Yahudi sekalipun. Inikan pula kita sesama Islam.

Apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini? Pertama, berpolitik secara matang, yang tidak bebal dan tidak pandir, seperti yang saya sentuh minggu lalu. Kedua, berhujah secara professional. Jangan gunakan isu peribadi untuk menjatuhkan seseorang, tetapi gunakan hujah berasaskan kepada faktan ilmiah dan rasional kajian.

Ketiga, mengiktiraf pilihan rakyat. Jika rakyat telah memilih Barisan Nasional untuk mengetuai Putrajaya maka hormatilah keputusan itu. Begitu juga dengan pilihan rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Selangor. Tidak perlulah menggunakan taktik-taktik kotor untuk saling menjatuh, kerana rakyat akan memilih semula lima tahun yang akan datang.

Keempat, bijak menguruskan perbezaan dan memanfaatkan persamaan. Malang sekali, persamaan yang dapat memberi manfaat yang banyak nampaknya semakin kabur disebabkan oleh api kemarahan dan per¬musuhan yang tidak pernah kunjung padam. Kaedah yang digunakan untuk menyerang lawan begitu hina sehingga yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Jika pertembungan ini sekadar berlegar waktu pilihan raya masih lagi boleh diterima. Ini tidak, ia terus berlarutan seolah-olah tidak ada noktahnya.

Pihak yang kalah, tidak boleh menerima hakikat dan terus menimbulkan suasana haru biru. Manakala pihak yang menang pula, bertindak balas sama, terus meng¬hentak musuh politiknya. Terlupakah kita bahawa kerja untuk membina masih banyak menunggu? Mengapa dan kenapa kerja untuk meruntuh terus menerus berlaku?

Berbeza sungguh dengan politik negara maju. Begitu beretika dan profesional. Di Amerika Syarikat, pertandingan merebut jawa¬tan presiden adalah perkara biasa dan mereka akan berkempen secara profesional. Namun, apabila keputusan pemilihan presiden diumumkan. Seluruh rakyat akan menerima. Kemenangan Obama (Democrat) diterima baik oleh lawannya McCain (Republican).

Begitu juga ketika Al Gore dan George W. Bush merebut jawatan sebagai presiden Amerika pada tahun 2000. Tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya tersebut, Al Gore membawa kes ini ke mahkamah. Mahkamah memutuskan, Bush diterima sebagai presiden Amerika. Al Gore menerima keputusan tersebut dengan lapang dada. Al Gore menyeru kepada rakyat Amerika agar menumpukan taat setia kepada Bush. Tidak ada dendam-berdendam, kutuk-mengutuk dan tuduh-menuduh selepas itu. Pemimpin yang terpilih boleh terus menjalankan tugasnya, manakala yang kalah, menerima kekalahan dan terus memberi sumbangan. Dengan sifat sebegini, ditakdirkan orang barat memeluk Islam, maka pupuskan umat Islam di Tanah Arab, termasuk negara kita, yang asyik berpecah tidak berkesudahan.

Rakyat Amerika tidak kira parti apapun, terus bekerja membina ne¬gara mengikut apa yang dirancang oleh parti yang memerintah kerajaan. Setiap warga akan berfikir dan berusaha bagaimana untuk membela kebajikan rakyat dan keutuhan negara se¬panjang tempoh pemerintahan tersebut. Jika ada ketidakpuasan hati, maka ia disuarakan secara betul dan profesional di meja perundingan.

Politik di kalangan ahli-ahli politik tidak terbawa-bawa dalam sektor awam dan sektor swasta. Pegawai kerajaan, para akademia, dan golongan marhaen tidak terikut-ikut rentak ahli politik kerana mereka telah memberi tumpuan untuk membangunkan negara mengikut bidang kepakaran. Masing-masing berhempas-pulas mahu menyumbang. Anak-anak mereka tidak dimangsakan meskipun parti politik berbeza. Berbeza dengan kita, memberi bantuan masih berkira, siapa dia? Apa partinya?

Melihat kepada perbandingan tersebut, jelas kematangan berpolitik seumpama itu belum ada di kalangan rakyat di negara kita. Sama ada di pihak mana pun, masing-masing masih kuat terikat dengan politik kepartian sempit walaupun bahang pilihan raya telah lama tamat. Akibat¬nya, yang menang sukar mengisi kemenangan, manakala yang kalah pula terus mencari kesalahan yang menang. Masa banyak terbuang dengan mengintip orang lain seperti yang dilakukan oleh PKR ke atas Jamil Khir. Inilah politik desperado PKR.

Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

No comments: