Tuesday, 24 May 2011

Jangan terlalu mengalah sehingga kalah

Jangan terlalu mengalah sehingga kalah

(Sinar Harian 9 Mei 2011)

Akhbar rasis terus menggembar-gemburkan peristiwa seorang pemandu lori, Ong Kim Koon, 52, yang dianggapnya sebagai wira dalam membantu sepasang suami isteri Melayu yang cedera parah tersepit dalam kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) pada 14 April lalu. Dalam kejadian itu, Zainal Mohammad Yusoff, 45, dan isteri, Rosamiah Hashim, 38, cedera parah. Kim Koon segera turun daripada kenderaan dan mengangkat Zainal ke bahu jalan. Apabila kembali mahu menolong Rosamiah, tiba-tiba sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan laju oleh seorang pemuda Cina melanggarnya, lalu meninggal.

Saya amat menghargai sikap dan jasa baik mendiang. Atas rasa tanggungjawab kerajaan turut memberikan bantuan. Peliknya, bantuan kerajaan terhadap keluarga mangsa tidak banyak diberikan perhatian dan publisiti. Malah ada yang mengutuk dan sinis.

Terbaharu, Shin Chew melaporkan Hua Zong atau Persekutuan Persatuan Cina Malaysia mengatakan pendirian mereka akan menyokong Barisan Nasional dan MCA jika kerajaan benar-benar melaksanakan gagasan 1Malaysia berasaskan sama rata dan sama rasa dalam semua polisinya, terutama berkaitan sistem pendidikan Cina. Jika tidak, orang Cina akan memilih DAP dan akan wujud sistem dua parti. Sebelum itu, Jawatankuasa Persekutuan Persatuan Sekolah Menengah Persendirian Cina Sabah (UA) mendesak kerajaan supaya mengiktiraf dan memberikan layanan sama rata kepada pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian di universiti-universiti dari negeri China. Publisiti diberikan secara besar-besaran. Sama ada mereka ada kelulusan bahasa Melayu atau boleh berbahasa kebangsaan langsung tidak dibangkitkan.

Malah mereka mendesak supaya kerajaan menghantar lebih ramai lagi pelajar ke China berbanding 3000 yang ada pada hari ini. UA membandingkan jika negara China boleh menghantar 10,000 pelajarnya ke sini, kenapa kita tidak? Ultra kiasu sungguh. Berapakah populasi China berbanding dengan Malaysia. Pada saya angka 3000 sudah cukup besar. Lagipun menuju tempat yang sama. Mungkin menambahkan lagi sentimen perkauman.

Kata UA lagi, majoriti pelajar sekolah persendirian Cina di Sabah hanya dapat melanjutkan pelajaran ke negeri China sekitar 8.5 peratus. Selebihnya 36 peratus berada di universiti tempatan. Semua ini disebabkan oleh polisi kerajaan yang membantutkan mereka ke China. Persoalan saya, di manakah kiblat kita? China sahajakah destinasinya? Pada saya biarlah pelajar Melayu ke China, belajar mengenai bangsa lain. Pelajar Cina sepatut banyak belajar mengenai bangsa Melayu. Pergilah ke Indonesia atau mana-mana kepulauan yang bukan Cina untuk belajar tentang bangsa lain pula. Jangan asyik melihat sehala sahaja. Dunia hari ini memerlukan kita melihat berbagai hala, elok banyak berjalan, baru luas pandangan dan bertambah pengalaman. Pengalaman mendewasakan kita.

Tidak timbul soal pelajar-pelajar kita yang pergi belajar di sana dapat merapat hubungan bilateral antara kedua buah negara. Hubungan kita dengan China memang telah baik sejak zaman Tun Razak lagi iaitu bapa kepada Perdana Menteri. Kedatangan Perdana Menteri China sudah cukup membuktikan. Tidak cukupkah lagi? Menghantar lebih ramai pelajar ke sana hanya akan mengikis jati diri atau mengubah kiblat kita. Sehingga akhirnya sanggup mengutuk negara sendiri seperti namewee yang terlalu lama tinggal di sana.

UA juga mendesak kerajaan supaya memberikan biasiswa terhadap pelajar-pelajar Cina yang ingin belajar di China. Terfikir saya tidak ada lagi negara lain di dunia ini yang hampir 200 buah, selain China? Saya ingatkan Cina di Sabah, kurang sedikit kiasunya, rupa-rupa langsung tidak ada bezakan. Hanya lautan sahaja yang memisahkan, roh dan jasad tetap sama. Adakah ini bukan 1Cina 1Bumi. Bila ada akhbar yang menulis 1Melayu 1Bumi, bukan main lagi dihentamnya. Bila mereka mengamalkan sikap 1Cina 1Bumi, disokong seratus peratus. Saya yakin ini bukan suara UA seorang tetapi suara orang lain juga seperti parti dan NGO ultra kiasu. Mereka langsung tidak peduli soal keupayaan bahasa kebangsaan.

Persatuan ini memberikan reaksi mengenai sokongan orang Cina akan berubah kepada DAP, berbanding MCA jika kerajaan tidak melihat perkara ini dengan serius. Persoalan saya, adakah benar selama ini mereka mengundi Barisan Nasional? Saya yakin tidak, selama ini mereka mengundi parti ultra kiasu, sebab sikap mereka sudah jelas menunjukkannya.

Nampaknya perjuangan perkauman tidak pernah habis dalam politik Malaysia. Memperlihat seolah-olah Malaysia jaguh perkauman. Berita inilah yang selalu diwar-warkan setiap masa sehingga orang luar melihat minoriti berada dalam keadaan tertekan disebabkan oleh bentuk berita sebegeini; berita nasional vs berita perkauman dan pendidikan nasional vs pendidikan perkauman (vernakular) tidak pernah akan selesai dan disensasikan.

Publisiti akan ‘ketidakadilan’ dasar kerajaan diberikan seolah-olah sudah tidak ada cerita lain di Malaysia ini. Wal hal, keadilan yang dinikmati sudah melimpah ruah, cuma mereka mahu menambah lagi yang telah diperolehi. Satu kebaikan bangsa sendiri dicanang habis-habis, sedangkan kebaikan orang lain yang tidak terkira banyaknya disenyapkan. Sama juga peristiwa jika ada seorang bukan Melayu mati dalam tahanan di tangan SPRM atau Polis, heboh 1Malaysia, sedangkan ramai lagi Melayu yang mati, tetapi tidak ada siapa peduli.

Berapa ramai muallaf yang kalah dalam perbicaraan mendapatkan hak mereka, perebutan anak, perebutan mayat dan sebagainya, disenyapkan? Namun jika satu dari kalangan mereka yang kalah, maka Malaysia dituduh tidak mengamalkan kebebasan hak asasi manusia, mahkamah syariah tidak adil, ada campurtangan politik dalam mahkamah dan sebagainya. Malaysia digambarkan seolah-olah tidak menjaga hak mereka langsung. Kebebasan media dikatakan disekat sama sekali dan berbagai tohmahan lagi. Mereka seperti kaduk naik junjung, diberikan betis hendak peha.

Saya begitu hairan bagaimana Indeks kebebasan media terbaharu 2011 oleh Freedom House, meletakkan Malaysia di tangga 143 daripada 196 negara yang dikaji. Di Asia Tenggara, Malaysia berada di bawah Timor Timur (18), Filipina (21), Indonesia (23), Thailand (29) dan Cambodia (30), tetapi mengatasi Singapura (32), Brunei (34) dan Nietnam (36). Negara yang mengamalkan kebebasan media dalah Finland, Norway, Sweden, Belgium, Iceland dan Luxembourg. Sedangkan kebebasan media di negara ini saya lihat agak bebas, walaupun tidak sepenuhnya.

Jika kita bandingkan kebebasan media Melayu dan media bukan Melayu, saya berani mengatakan media bukan Melayu mempunyai lebih kebebasan daripada media Melayu. Dari segi bilangannya sahaja sudah cukup membuktikan bahawa media bukan Melayu sudah menenggelamkan media Melayu. Mereka lebih bebas melaporkan kerana majoriti orang Melayu tidak tahu isi kandungannya.

Ya, saya tidak nafikan ada kawalan terhadap media, terutama kepada media pembangkang. Perkara ini biasa berlaku di mana-mana. Malah kita lebih baik daripada Singapura, yang selalu dipuji oleh ultra kiasu ini. Saya amat jarang mendengar mereka mengutuk Singapura walaupun kebebasan media mereka lebih teruk daripada negara kita. Yang saya tahu mereka memujinya dan saban kali mengunjungi negara Yahudi itu untuk mengatur langkah dan strategi.

Pada saya, indikator yang digunakan oleh Freedom House juga boleh dipersoalkan dari sudut ketelusannya. Kebebasan bersuara di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga semakin terbuka terutama dengan munculnya media baru yang tidak dikenakan sekatan seperti internet, blog dan portal berita. Adakah bila hajat mereka tidak tercapai, dan mereka gagal memenuhi nafsu ultra kiasunya, bererti media negara ini dikatakan tidak bebas? Semua ini berlaku saya fikir disebabkan oleh tindak-tanduk ultra kiasu yang sengaja membesar-besar atau mereka-reka cerita-cerita sensasi untuk menarik perhatian orang lain. Hasilnya, media kita dikatakan tidak bebas.

Saya tidak pasti berita perhimpunan Kristian seluruh diPulau Pinang yang digembar-gembur itu benar atau tidak. Jika benar, bermakna kaduk sudah naik junjung. Mereka sudah benar-benar mencabar kewibawaan kita. Kepala kita sudah dipijak-pijak. Di manakah maruah kita sebagai penganut agama Islam?

Kita sedia maklum, berapa kerat sahaja penganut Kristian di negara ini. Tolak campur lebih kurang 10 peratus. Tetapi publisiti mereka menenggelamkan agama lain, termasuk agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Ternyata mereka telah menang besar dalam isu kalimah Allah dan terjemahan kitab Injil dalam Melayu. Kita juga yang kalah kerana terlalu mengalah. Mereka mahu tunjuk besar kepala lagi, walaupun saya yakin mereka sedar bahawa agama Islam mendapat perlindungan yang istimewa dalam perlembagaan. Mereka sengaja mencabar. Isu kalimah Allah sudah cukup menyayatkan dan mengguris hati kita. Bukan kita tidak melarang menggunakan mahu menggunakan kalimah Allah atau menterjemahkan kitab Injil dalam bahasa Melayu. Secara peribadi, saya tidak melarang, bukan makna bersetuju. Persoalannya, kenapa sekarang baharu ditimbulkan? Apa tujuan di sebalik? Saya petik kata-kata cendekiawan tersohor Profesor Syed Naguib Al-attas mengenai isu kalimah Allah yang berbunyi:

“Allah is not from Bahasa Malaysia, it is not a National Language. It belongs to the Language of the Muslims all over the world. Therefore your argument using this for the word ‘Allah’ does not fit into your idea of God because Allah does not have a son. It is not one of three. That is why, out of respect to Allah we can’t allow you to use this. We agree you want to use God then use ‘Tuhan’ as we also use that. But we understand in the Malay language ‘Tuhan’ is not a translation of Allah. That is why we say,. So Allah cannot be translated as no language has translated Allah. But if they use it and they say in Indonesia they have used it, why can’t we here. It is because of the Muslims. If Muslims don’t care, they will go on and use it, and in Indonesia they are using not only that but other things too. They even call it choir for selawat. Choir is not a Selawat as selawat is for the Prophet. It is not singing a hymn”.

Pendapat ini memang tepat dan padat. Kalimah Allah bukan berasal datang daripada bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Kalimah ini kepunyaan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, penggunaan kalimah ini tidak sesuai kepada agama lain kerana kalimah Allah berbeza dengan Allah menurut Kristian.

Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Rujuk surah Al-Ikhlas. Allah bukan satu dalam tiga atau tiga dalam satu. Sebab itu kalimah ini tidak dibenarkan digunakan. Kita boleh bersetuju menggunakan perkataan Tuhan, kerana di Malaysia perkataan ini memang digunakan. Tetapi perkataan Tuhan bukan terjemahan daripada kalimah Allah. Dengan sebab kita menyebut ‘Tiada tuhan melainkan Allah, bukan ‘Tiada tuhan melainkan Tuhan’. Mereka boleh gunakan di Indonesia kerana dibenarkan, silakan, tetapi tidak di sini.

Kepada orang bukan Islam, jangan begitu berani mencabar orang Islam. Paderi-paderi Kristian mengeluarkan kenyataan mereka tidak mencabar kewibawaan Islam, tetapi tindak-tanduk mereka tidak menunjukkan sedemikian. Mereka amat kurang ajar dan biadab. Justeru, sudah sampai masanya kita jangan terlalu mengalah. Jangan terlalu fikirkan soal undi dan kemenangan pilihan raya. Apa guna sorak jika kampong halaman tergadai. Kita akan menyesal seumur hidup. Kita akan dikutuk oleh generasi akan datang disebabkan tangan-tangan kita sendiri yang merosakkan.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau

No comments: