Tuesday, 24 May 2011

Bertindak sebelum terlambat

Bertindak sebelum terlambat

Sinar Harian 16 Mei 2011

Minggu lalu, saya bertemu dengan seorang Menteri bertanyakan “kenapa benarkan orang Kristian membina begitu banyak gereja dan dibina berskala besar, di tempat strategik, sedangkan penganutnya tidak ramai. Lagi pula gereja yang ada pada hari ini sudah lebih daripada mencukupi”. Menteri tersebut menjawab: “kalau kita tidak beri, mereka berhujah kenapa kerajaan Kelantan membenarkan patung Buddha yang berbaring dan duduk begitu besar di sana sedangkan penganut Buddha atau bilangan orang Cina amat kecil?” Tersentak juga mendengarnya.

Maknanya, apa juga fakta yang kita kemukakan, percayalah kita tidak akan menang, mereka akan mencari bukti dan seribu satu alasan untuk menghalalkan tindakan mereka. Lebih malang lagi, mereka ada precedent untuk dijadikan rujukan, terutama negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat. Jika Pakatan Rakyat boleh luluskan, kenapa kerajaan pusat tidak boleh? Kini kerajaan pusat benar-benar dalam dalam keadaan dilema, terdesak dan mendesak. Akhirnya, terpaksa beri atau bersetuju, walaupun pahit. Siapa untung, siapa rugi ? Jelas-jelas umat Islam dan negara Islam yang rugi. Mereka, ibarat gergaji dua mata, kiri kanan makan. Jika begitulah keadaannya, sudah tentu trend sebegini akan dikekalkan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Perancangan Roger Bacon (1214 - 1294), seorang orientalis barat ternyata berjaya. Beliau mensasarkan negara-negara Timur bagi tujuan pengkristianan. Gerakan Kristianisasi perlu diperhebatkan agar dunia Kristian dapat diperluaskan di sebelah timur. Selaras dengan tujuan ini, beberapa strategi diatur antaranya memahami bahasa-bahasa penting sesebuah negara itu. Ternyata mereka telah berjaya melalui penggunaan nama Allah dan terjemahan kitab injil dalam bahasa Melayu. Kedua, mengkaji perbezaan antara sesama Muslim dan kemudian memecah-belahkan mereka. Ketiga, mengkaji hujah-hujah lawan agar dapat ditumpaskan. Ketiga-tiga strategi ini ternyata begitu berkesan di negara tercinta ini. Malangnya, kita terus bersangka baik.

Berasaskan kepada pengalaman pernah memeluk agama Kristian dan berita beberapa rakan Kristian yang selalu ke gereja, laporan sebuah akhbar Utusan sabtu lalu mengenai gerakan Kristianisasi tidaklah mengejutkan. Memang tidak dapat dinafikan ada cita-cita ke arah itu, walaupun mungkin tidaklah seekstrem seperti yang dilaporkan atau digambarkan. Namun, untuk menafikan sama sekali gerakan itu tidak wujud, itu tidak adil kepada Utusan. Utusan seolah-olah bersendirian. Kawan sudah jadi lawan.

Gerakan Kristian di Malaysia melalui saluran parti ultra kiasu dan beberapa parti politik yang lain telah lama wujud. Ketua ultra kiasu di Selangor adalah perancang utamanya. Cuma kita sahaja yang terlalu bersangka baik selama ini. Setiap hari Ahad, bulletin Selangor ultra kiasu diberikan dan diedarkan percuma di gereja. Tujuannya agar mereka terus dapat mempertahankan kuasa.

Kita bukan tidak kenal siapa ahli Parlimen Jelutong ultra kiasu? Beliau yang asalnya tinggal di Subang Jaya sanggup bertanding di Pulau Pinang semata-mata untuk merealisasikan cita-citanya bersama-sama ketua parti ultra kiasu di Selangor. Ahli parlimen ultra kiasu ini juga pernah menuduh Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai pengganas, walaupun kita tahu JIM adalah NGO yang bersifat moderat. Sebelum menjadi ahli parlimen, beliau bukanlah siapa-siapa sangat. Cuma beliau menjadi semakin bongkak apabila bergelar wakil rakyat. Begitulah wakil rakyat ultra kiasu yang lain.

Saya telah berkali-kali nyatakan dahulu, strategi mereka cukup licik, sedikit pertolongan kepada Melayu akan diberikan publisiti secara besar-besar dalam akhbar mereka dalam media internet mereka. Tujuannya tidak lain untuk mencairkan hati umat Islam agar tertarik dengan mereka. Sedikit kesalahan kita diperbesar-besarkan. Jika sedikit hak mereka yang didakwa itu hak asasi mereka diusik, maka heboh satu Malaysia.

Hati bertambah sakit apabila mendengar seorang menteri kanan beragama Kristian sanggup berkata, “apa salahnya Kristian menjadi Perdana Menteri”? Memang tidak salah kerana perlembagaan tidak nyatakan agama, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri? Persoalannya, mereka yang faham akan sejarah dan politik Malaysia tidak akan tergamak untuk merebut jawatan tersebut daripada orang Islam (Melayu). Dalam hal ini, sudah kita mahukan pemimpin yang berintegriti dan dihormati.

Memang menjadi tanggungjawab penganut Kristian menyampaikan ajaran agama mereka ke seluruh dunia, sebagaimana yang termaktub di dalam kitab suci mereka. Sama seperti tanggungjawab kita terhadap Islam. Istimewa di negara kita, agama Islam dilindungi daripada dakyah anasir lain.

Mereka mahu menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai syurga Kristian setelah mereka berjaya di Indonesia. Sasaran mereka seterusnya adalah Malaysia, setelah berjaya di Singapura. Antara kawasan sasaran dan pusat mereka ialah Mentakab, Kuantan, Perak dan sebagainya. Negeri-negeri yang diperintah oleh ultra kiasu, usah ceritalah. Itu memang syurga mereka. Ramai wakil rakyat mereka adalah orang kuat Kristian.

Berbaik biarlah berpada. Pembinaan rumah ibarat perlu ada formula, bukan ikut siapa banyak duit, maka dia boleh bina sebanyak manapun yang dia suka. Jika itulah formulanya, suatu hari nanti pasti Malaysia akan dipenuhi gereja, tokong dan kuil, kerana kemampuan mereka amat luar biasa berbanding umat Islam, kerana mereka mempunyai rangkaian antarabangsa.

Saya masih teringat bagaimana wartawan majalah al-Islam dua tahun lalu, Julai 2009 ditangkap kerana menyamar di dalam gereja. Heboh satu Malaysia, kecaman dikenakan ke atas pengurusan majalah al-Islam. Tidak ada sesiapapun yang membela majalah dan wartawan tersebut, malahan orang politik mengeluarkan kenyataan yang amat menyakitkan.

Kadangkala saya teramat sedih melihat cara kita berpolitik. Kawan tidak mempertahankan kawan. Kawan makan kawan. Kawan menjadi lawan hanya semata-mata takut hilang kuasa. Bila ada isu-isu yang dirasakan tidak menyebelahi, kita sanggup menikam kawan. Kawan tinggal terkonteng-konteng. Akhirnya kawan itulah yang menjadi mangsa keadaan, sedang kawan itu belum tentu bersalah sepenuhnya.

Saya tidak kata perbuatan menyamar di gereja itu dibolehkan, tetapi selaku rakyat Malaysia, kita juga mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku di sana. Apakah tidak benar gerakan memurtadkan orang Islam turut dilakukan di gereja? Kena pada orang Islam, senyap, kena pada mereka semua yang terlibat menjadi mangsa. Bukankah isu murtad lebih dituntut untuk dipertahankan oleh umat Islam dari membela kematian seorang yang disiasat dalam kes jenayah yang belum tentu keputusannya lagi?

Pihak gereja sudah tentu akan menyalahkan kita yang menyelongkar isu murtad atau perkara-perkara yang berkaitan dengan strategi mereka. Bayangkan jika tidak siasatan dan penyamaran yang dilakukan oleh wartawan al-Islam, mungkin tiada siapa yang tahu akan perancangan gereja selama ini. Kita begitu garang menyalahkan dan menyerang Umno sesama Islam, tetapi apabila melibatkan golongan bukan Islam kecut menikus. Pihak gereja sudah tentu tidak akan mengaku atas segala perbuatan mereka. Itu perkara biasa dalam perancangan ultra kiasu.

Mengapa kalau sesuatu isu itu melibatkan Islam kita mendiamkan diri. Malah saling salah menyalah sesama sendiri. Pihak mubaligh dan gereja yang menjalankan kegiatan memesongkan akidah Islam dari rumah ke rumah, sekolah, hospital, universiti, kilang, pejabat dan sebagainya tidak mengapa, atas dasar kebebasan hak asasi manusia. Semua isu mereka menang. Isu-isu yang menyebelahi kita, kalah.

Jika seorang bukan Islam mati kerana tidak diketahui sebabnya dipertahankan dengan bersungguh-sungguh, termasuk orang Islam dan pertubuhan Islam, sehingga mendesak sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan. Adakah tindakan yang sama dilakukan dalam mempertahankan Islam? Jika kita begitu beriya-iya mempertahankan kematian tahanan polis, SPRM, isu Hindraf, isu ISA dan sebagainya dipertahankan oleh segelintir kumpulan Islam dengan berani, mengapa kita perlu membisu seribu bahasa apabila Islam dienjak-enjak?

Lina Joy hanyalah salah seorang di antara sekian ramai remaja Melayu yang sudah terjerumus ke lembah kekufuran. Saya tidak tahu apakah gelombang Kristianisasi itu disedari oleh para pemimpin utama negara ini, atau memang mereka tahu tetapi tidak berdaya untuk membendungnya. Setidaknya sehingga saat ini masih belum nampak bagaimana mereka berusaha untuk menangani gejala tidak sihat tersebut, atau memang sengaja dibiarkan masalah tersebut terlerai dengan sendiri.

Tidak dinafikan ada gereja-egerja yang menjadi pusat untuk mengecam Islam dan merendah-rendah agama Islam. Cuba lihat you tube ini, http://www.youtube.com/watch?v=sxmt78dtxsg. Bagaimana paderi Kristian menghina dan mengecam Islam. Tidak seorangpun umat Islam yang bercakap. Bayangkan jika kita yang berceramah sedemikian, maka kita akan dikritik, dihentam dan diberikan publisiti secara besar-besar. You tube ini hanyalah satu dalam seribu, banyak lagi yang mengecam Islam. Umat Islam hanya diam. Tidak ada langsung protes dibuat. Sebenarnya menurut rakan saya inilah yang berlaku di banyak gereja di Malaysia.

Bayangkan jika itulah yang kita lakukan, seluruh orang Kristian akan bersatu akan menentang, mendesak kerajaan mengenakan tindakan terhadap mereka. Walaupun bukan Islam diharamkan menyebarkan agama mereka kepada orang Islam kerana dijamin oleh perlembagaan. Tetapi mereka tidak kisah, kerana kita buat tidak kisah. Kita terlalu berlembut kerana takut kehilangan undi.

Semua kelemahan kita sudah masak di kalangan Kristian. Dengan sebab itu, mereka begitu begitu lantang dan berani. Kita sahaja yang terlalu takut. Saya ingin ingatkan kepada kita semua, kekuatan kita bukan bergantung kepada Melayu tetapi amat bergantung kepada kekuatan Islam. Jika Islam di kalangan Melayu hancur. Akan hancur Melayu suatu masa nanti.

Yusuf al-Qaradawi (2010) mengingatkan tidak ada maknanya wujudnya umat ini tanpa Islam, mereka tidak akan mendapat kemenangan tanpa Islam. Tidak ada kesatuan bagi mereka tanpa Islam dan tidak ada kemuliaan bagi mereka tanpa Islam. Saidina Umar RA pernah berkata: Kita sekarang ini kaum yang ditimpa kehinaan, tetapi Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Tetapi bila kita mencari kemuliaan kepada selainnya, nescaya Allah akan menimpakan kehinaan kepada kita semua.

Yusuf al-Qaradawi mengingatkan lagi, antara bala gerakan Islam hari ini adalah perpecahan dan perselisihan yang kita lihat berlaku sehingga berpuak-puak. Setiap kelompok puak melihat dirinya sahaja yang dianggap sebagai jemaah Muslimin, bukannya sekumpulan daripada orang Muslimin. Mereka menganggap semua kebenaran berada di pihaknya dan yang jauh daripadanya hanya menerima kesesatan. Memasuki syurga dan terselamat dari neraka adalah ganjaran kepada orang yang mengikutinya. Jemaahnya sahaja yang dianggap sebagai golongan berjaya dan golongan selainnya akan hancur!

Beliau menambah lagi, tidak mengapa terdapatnya pelbagai dan beberapa jemaah Islam, asalnya kepelbagaiannya dari sudut bentuk dan pengkhususan, bukannya pelbagai dari segi penentangan dan percanggahan. Wujudlah berapa banyak jemaahpun yang memperjuangkan aspek yang berbeza seperti pendidikan, ekonomi, kebajikan, akidah dan sebagainya,jika akhirnya mereka boleh bersatu atas nama Islam.

Namun, jika sebaliknya berlaku, dan kita terus menjadi pak turut semata-mata kerana hendak menjaga hati orang, menambah undi untuk terus berkuasa, maka tunggu kehancurannya. Saya amat bimbang selepas kita tidak mampu untuk bangun, bila mana ultra kiasu semakin kuat dan berkuasa. Justeru, bertindak sebelum terlambat. Mereka merancang, kita juga kena merancang. Mudah-mudahan perancangan kita diberkati Allah SWT melalui firmanNya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad:7).
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

No comments: