Friday, 7 January 2011

BUNUH PENGKRITIK SULTAN, SATU CADANGAN YANG HINA

Seorang YB dan NGOs tertentu mencadangkan agar pengkritik sultan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Walaupun ada kaitan dengan politik kepartian tertentu -itu bukan urusan saya- tetapi saya ingin mengulas cadangan ini di sudut hukum Islam seperti berikut;

1. Cadangan ini sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau kesemua maksiat yang lain. Ini kerana, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Cadangan ini bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul. Dosa membunuh dalam Islam lebih besar dari dosa zina, arak, judi dan lain-lain.

2. Sultan bukanlah nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik. Kepercayaan sesetengah pihak bahawa haram mengkritik atau berbeza pendapat dengan sultan seakan menyamakan kedudukan sultan dan raja melayu dengan para nabi a.s. Sedang para al-khulafa al-rasyidin iaitu Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali yang jauh lebih mulia dari sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka. Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih.

Demi Allah! Debu yang berada di hidung kuda para sahabat nabi s.a.w yang berjuang bersama Nabi s.a.w lebih mulia dari kebanyakan sultan atau raja yang ada dalam dunia ini. Sahabat Nabi s.a.w tidak pernah menggesa agar dibunuh pengkritik mereka. Bahkan dalam Sirah, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi s.a.w dan membantah baginda seperti yang berlaku kepada ‘Umar r.a ketika perjanjian Hudaibiyyah, pun Nabi s.a.w tidak membunuh beliau.

3. Pada saya, pencadang hukuman tersebut; adalah pengampu yang melebihi had. Jika dia muslim, dia seorang yang ‘kering perasaan’ dan tidak takutkan Allah mengenai ‘darah orang lain’. Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak. Wajib dia bertaubat dan menarik balik cadangan tersebut.

1 comment:

penjejak awan said...

Alhamdulillah.Dato Seri nyata seorang yang berfikiran jauh...seorang pemimpin bukanlah maksum sehingga tidak boleh dikritik, sedangkan zaman khulafa ar-rasyidin, sahabat Nabi yang merupakan orang dijamin masuk syurga sendiri meminta untuk ditegur sekiranya berlaku kesilapan inikan pula sultan yang semestinya tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
bersama lah kita bersatu demi Islam.