Mingguan Malaysia 20 Sept 2010
Tahun ini hari raya aidil fitri bertemu hari jumaat. Seperti sebelumnya, apabila hari kebesaran ini bertemu dengan jumaat, maka umat Islam bertangungjawab mengerjakan dua solat berjemaah. Satu, solat sunat idul fitri dan kedua, solat fardu jumaat. Solat sunat jika dikerjakan mendapat pahala, ditinggalkan tidak berdosa. Manakala solat fardu, dikerjakan sudah tentu dapat pahala, ditinggalkan berdosa besar.
Memang tidak dinafikan ada hadis yang menyebut, apabila bertemu dua kewajipan solat ini, maka kewajipan solat jamaah fardu jumaat dilonggarkan digantikan dengan solat fardu zohor. Persoalannya, perlukah kita memilih antara salah satu daripada dua tuntutan solat ini? Tidakkah kita boleh berkorban sedikit sebagai tanda kasih sayang kita kepada Allah SWT?
Rata-rata kita lihat, ketika solat sunat idul fitri, jemaahnya melimpah ruah sehingga tidak cukup ruang, ada yang terpaksa membentang sejadah di atas jalan. Malangnya tidak sedemikian kita lihat solat jemaah fardu jumaat.
Sama juga dengan solat sunat terawih dengan solat fardu isyak. Boleh dikatakan rata-rata jemaah solat sunat Terawih jauh meninggalkan jemaah solat fardu Isyak. Sedangkan kita tahu status pahala solat sunat tidaklah sebesar pahala solat fardu, termasuk juga jamaahnya. Pendek kata, kita begitu beriya-iya melakukan perkara sunat dengan membelakangkan kewajipan fardu. Apakah pemahaman ini punca kepada kemunduran umat Islam?
Lebih menyedihkan lagi, jalan raya menjadi sesak ketika menunaikan tanggungjawab solat jemaah ini. Ada kalangan kita yang sanggup meletakkan kenderaan di tengah-tengah jalan sehingga jalan yang mempunyai banyak lorong menjadi satu lorong, menyukarkan kenderaan untuk bergerak lancar. Maka menyumpahlah orang bukan Islam dan mereka yang tidak solat berjamaah, disebabkan perbuatan kita yang menyusahkan orang lain.
Sudah menjadi budaya kita tidak mahu bersusah sedikit, asyik mahu ambil jalan pintas dan kalau boleh, mereka mahu memakir kenderaan di depan tangga masjid, walaupun datang lewat berjemaah. Tidakkah lebih baik kita memakirkan kenderaan agak jauh sedikit, tidak menyusahkan orang lain dan pahala kita dikira sejauh mana kita berjalan menuju ke masjid.
Perbuatan yang dibincangkan di atas, menunjukkan bahawa masyarakat kita masih tidak dapat membezakan keutamaan atau priority dalam hidup, terutama antara kewajipan fardu dan sunat, antara kepentingan individu dan kepentingan masyarakat.
Persoalannya, kenapa begitu lama berada dalam agama Islam, kita masih lagi tidak memahami untuk memilih keutamaan ini? Antara kepentingan adat dan juga ibadat. Antara kepentingan agenda individu dan agenda negara. Antara bahasa kebangsaan dengan bahasa kaum. Antara semangat perkauman dengan semangat dengan semangat patriotisme.
Apabila saya membangkitkan isu minggu lalu, ramai yang sinis. Bahasa kebangsaan bukanlah asas kepada patriotism, seolah-olah tidak ada kaitan dengan Islam. Inilah pemikiran yang langsung tidak pernah mahu bersyukur. Sengaja tidak mahu faham apakah maksud patriotism yang sebenar? Mereka masih mahu menafikan bahawa cintakan negara atau mengutamakan agenda besar negara adalah satu kefarduan seperti mana kita menjaga ibadat kita. Jika negara kucar kacir atau tidak aman, apakah kita boleh beribadat dengan sempurna?
Jika ibadat itu adalah asas dalam kehidupan beragama, maka semangat patriotism adalah asas kepada kehidupan bernegara, tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Sayangkan tanahair dan cintakan agenda besar negara adalah dalam lingkungan makna patriotism. Kita tidak boleh mengambil sebahagian dan tinggalkan sebahagian. Sayangkan tanahair, tetapi tidak sayangkan bahasa tanahair, agama tanahair, jati diri tanahair, lagu tanahair, bendera tanahair, raja dan sebagainya. Islam menuntut kita beramal secara menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT, “wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya” (Al-Baqarah: 208).
Rasulullah adalah contoh individu yang terlalu sayangkan tanahair, kota kelahirannya. Baginda menitiskan air mata apabila meninggalkan kota tanahairnya semasa berhijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim pernah berdoa untuk negeri Mekah dengan doanya di dalam surah Al Baqarah “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman makmur”. Cendekiawan Islam,Yusuf al Qardhawi pernah menyebut: “Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi SAW sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, Baginda berkata kepada kota Mekah: “Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukan kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya”. Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergelenang air mata Rasulullah dan Baginda bersabda: “Biarkanlah hati ini memperakuinya”. Begitulah semangat patriotism yang ingin diungkapkan.
Saya fikir umat Islam sudah sampai ke tahap wajib membaca buku Yusuf al-Qaradawi bertajuk fiqh-awlawiyyat atau memahami keutamaan. Adalah tidak wajar kita melakukan amalan secara terbalik. Yang sunat diutamakan, yang wajib dikemudiankan. Maka tidak hairanlah jika kita tidak dapat merasai nikmat iman dan Islam. Sepatutnya, yang wajib didahulukan, yang sunat tidak ditinggalkan. Adalah suatu yang ganjil jika ianya diterbalikkan atau kadangkala yang fardu tidak dikerjakan langsung.
Apakah ini punca kepada permasalahan dan kemunduran yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini? Mereka rela bekerjasama dengan bukan Islam, secara sengaja mengenepikan umat Islam? Akibatnya agenda agama, bangsa dan negara tidak menonjolkan. Kita sibuk menjaga kuasa dan melayan tuntutan orang lain.
Pada hemat saya, ini adalah kaitan dengan cara hidup kita yang memahami Islam secara terpisah-pisah, tidak mengikut keutamaan. Kita memahami ibadat terlebih dahulu sebelum memahami Islam. Tidakkah sepatutnya kita memahami Islam sebagai satu cara hidup dahulu, selepas itu memahami tuntutan ibadah dalam Islam secara bersepadu. Misalnya, cara kita memahami ibadat puasa sebelum memahami Islam. Akibatnya kita begitu berjaga-jaga di bulan puasa sehingga terlupa tanggungjawab kepada Islam secara keseluruhan di bulan-bulan lain. Akibatnya, bulan puasa dilihat sebagai bulan ibadat, manakala bulan lain bulan berjahat.
Sikap seperti ini mesti diubah jika umat Islam mahu mencapai kejayaan dunia akhirat dan maju ke hadapan. Umat Islam mesti memahami keutamaan dalam hidup. Mengutamakan Allah lebih daripada mengutamakan manusia. Kita sanggup menghabiskan wang ringgit melancong ke sana ke mari, tetapi tidak pernah terlintas di hati untuk berkunjung ke rumah Allah? Maka tidak hairan pelancong yang datang ke sini, disaji dengan cara hidup mereka berbanding cara hidup kita. Kita lebih selesa mempersembahkan lagu rock, hip hop dan rnb di depan mereka berbanding caklempong, lagu-lagu asli, dondang sayang, dan sebagainya. Kita lebih utamakan budaya orang lain berbanding budaya sendiri.
Kita bersungguh-sungguh memandaikan anak bangsa berbahasa Inggeris tetapi kita tidak takut mereka sudah mula pelat berbahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Jika di barat bandaraya atau kota metropolitan mereka mula lengang selepas jam 12 tengah malam, malangnya ada segelintir daripada kita, terus berhibur tanpa mengira siang atau malam. Akibatnya, jati diri sendiri tidak terdaulat di bumi sendiri
Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Apakah kita akan terus menyalahkan pengaruh barat atau pengaruh Yahudi daripada menyalahkan diri sendiri. Bila saya sebut bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan. Ada segelintir yang mengatakan ia tidak penting. Yang lebih penting adalah tsunami politik yang berlaku pada 2008.
Pada mereka, patriotism adalah dengan mengundi pembangkang dan menolak kerajaan yang ada pada hari ini. Pemikiran kita masih berselingkung dengan politik kepartian yang amat sempit. Tsunami politik 2008, menjadikan kita leka akan agenda negara. Kita tidak fikirkan maslahah umat Islam secara keseluruhan. Dalam pemikiran kita, dia orang kita atau bukan. Jika bukan, kita tolak, jika orang kita, kita layan dia, dengan mengenepikan bakat dan merit yang ada pada seseorang.
Justeru, sudah sampai masanya kita menubuhkan satu badan atau institusi seperti yang pernah dicadangkan oleh pakar hubungan etnik, Shamsul Amri Baharuddin yang mahukan kerajaan menubuhkan Majlis Sains Sosial dan Kemanusiaan Kebangsaan bagi membolehkan semangat patriotism disemai dan dididik melalui tindakan kasih sayang. Sama ada mereka sayang kepada negara atau tidak, itu satu perkara yang sukar dan tidak ada negara dalam dunia dapat mengukur nilai ini. Apa yang penting adalah untuk menyemai keutamaan ini. Penjelmaan mengutamakan agenda negara seperti bahasa kebangsaan, menerima sistem yang boleh menyatupadukan, menggalakkan perbincangan lebih terbuka mengenai hal-hal ini, bukan hanya leka dengan kepentingan masing-masing, tanpa memikirkan kepentingan tentang masa depan.
Penubuhan majlis ini penting bagi negara kerana ia akan membawa pemahaman lebih mendalam tentang makna perpaduan itu sendiri. Kerangka kita berbincang tentang perpaduan sebenarnya masih belum jelas. Hal ini dapat meletakkan satu kedudukan ilmu sains sosial itu dalam konteks sebenar. Dalam memperkatakan tentang perpaduan, masyarakat perlu melihatnya secara menyeluruh, bukan hanya selapis. Buat masa ini, kita mungkin telah mempunyai wadah (wacana) tetapi wahananya masih tiada. Sebenarnya, ia adalah ‘tiang seri’ kepada perpaduan rakyat. (Mingguan Malaysia, Ahad, 26 Ogos 2007).
Mencegah lebih baik dari merawat. Elakkan tindakan action-oriented. Kita seharusnya belajar daripada kejayaan orang lain, walaupun kadang kala terpaksa menggunakan kekerasan. Kerajaan Jepun misalnya, di bawah pimpinan Shinzo Abe secara berani meluluskan undang-undang yang mewajibkan sekolah mengajar anak-anak Jepun erti patriostime ketika berhadapan dengan remaja mereka yang sudah mula tidak mempedulikan sejarah negara. Jepun maju kembalikan semangat Nagasaki dan Hiroshima yang pernah menjadi padang jarak padang tekukur dalam Perang Dunia Kedua. Berbekalkan semangat patriostime yang tinggi Jepun berjaya bangun semula dengan megahnya.
Begitu juga dengan bagaimana negara Singapura mengajarkan rakyat mereka erti patriotism setelah berpisah dengan Malaysia. Semangat patriotism inilah yang menjadi negara ini berjaya, bukan sistem merit atau colour-blind seperti yang dilaporkan baru-baru ini. Malaysia haruslah belajar daripada strategi dan amalan negara ini apabila berhadapan dengan masalah semangat patriotik, jati diri dan kekentalan jiwa rakyat mereka dari luntur, demi survival agama, bangsa dan negara. Jati diri rakyat Singapura diasuh dengan begitu teliti dan bersistematik bukan hanya pada hari sambutan kemerdekaan tetapi juga melalui program sepanjang tahun bermula dari sekolah rendah hinggalah kepada program khidmat negara.
Begitu juga apa yang berlaku di Amerika. Semangat patriotism adalah asas kepada kejayaan negara kuasa besar ini. Patriotisme rakyat mereka terhadap tentera dan sejarah negara mereka sememangnya tidak dapat ditandingi oleh rakyat negara lain. Pada tarikh 4 Julai setiap tahun, rakyat Amerika dengan mudah menunjukkan sikap cintakan negara dan patriotisme secara spontan tanpa dipaksa. Apakah kita masih mahu berpeluk tubuh melayan kerenah dan terus berpolitik yang merugikan?
Semuanya bermula dengan memahami yang keutamaan dalam hidup. Ingatlah pesan M Jegathesan pelari terpantas Asia 1996 yang menerima Anugerah Merdeka baru-baru ini. Katanya keadaan sebelum dan selepas merdeka begitu berbeza: “Lapan tahun saya terpaksa berdiri menghormati lagu God Saves the Queen dan bendera Union Jack di sekolah. Jadi apabila kita merdeka dan mempunyai lagu dan bendera sendiri, semangat kemerdekaan 1957 itu masih terasa sehingga hari ini”.
Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment