Sunday, 26 September 2010

Asas kemajuan umat

26 Sept 2010

Keperluan memahami keutamaan (prioriti) dalam dunia serba mencabar hari ini, adalah suatu yang mendesak jika umat Islam ingin maju, mampu bersaing dengan bangsa lain dan memartabatkan agama Islam tercinta. Untuk memahaminya, kita perlu mengetahui maslahat dan pembahagiannya seperti yang telah diadun dengan teliti oleh cendekiawan Islam.

Pertama, ad-dharuriyyat, keperluan utama manusia, satu kemestian, tanpanya manusia akan hancur. Misalnya menjaga kepentingan agama, termasuk kewajipan menyebar dan menjaganya dari ancaman musuh. Menjaga nyawa, dan kewajipan menjaganya dari segala jenis ancaman. Menjaga akal, bagi tujuan mengenal Allah dan menjaganya dari rosak, begitulah seterusnya dalam memahami keperluan lain.

Kedua, disebut sebagai al-hajiyyat, sesuatu perkara yang manusia boleh hidup tanpanya tetapi dalam keadaan yang amat sukar, seperti keperluan kepada tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya. Ketiga, at-tahsiniyyat, perkara sampingan bagi manusia serta sebagai pelengkap dan hiasan, seperti keperluan rumah, kereta dan sebagainya. Dengan adanya kedua dan ketiga ini, hidup menjadi lebih sempurna dan lebih selesa serta dipandang tinggi.

Ketiga-tiga perkara ini penting, Islam tidak menolak salah satu, tetapi perlu difahami dengan jelas, susunan kepentingannya. Sejarah membuktikan bahwa keperluan memahami keutamaan atau prioriti dalam hidup adalah asas kejayaan kepada umat Islam. Jika tidak, umat Islam akan terus ketinggalan kerana tidak bertindak sepatutnya. Perkara yang penting tidak berikan perhatian, manakala yang kurang penting dilakukan bersungguh-sungguh. Dalam kata lain, perkara yang mendatangkan banyak pahala tidak direbut, sebaliknya yang sedikit pahala berebut-rebut, akhirnya kehidupan menjadi berserabut.

Umat Islam perlu sedar bahawa tanggungjawab memelihara Islam dan tuntutannya mesti ditunaikan dengan melupakan perbezaan latar belakang dan ideologi politik. Penerusan kecemerlangan Islam, bergantung kepada perpaduan umat Islam. Jika umat Islam berpecah belah, sudah tentu kesan terhadap Islam amat dirasai seperti hari ini. Kalau dahulu sebut sahaja Islam, agama ini amat digeruni, dengan maksud Islam amat dihargai dan dihormati.

Tetapi tidak kini, kedaulatan Islam mula diperlekehkan dan diperkotak-katikkan. Puncanya kerana umat sudah menjadi lemah. Perpaduan yang sepatutnya mengikat kuat umat Islam bertukar menjadi perpecahan yang nyata. Keutamaan meletakkan kepentingan Islam telah bertukar menjadi kepentingan meletakkan puak, suku, parti dan ideologi menguasai diri kita berbanding akidah itu sendiri. Kesannya, masalah tidak dapat diselesaikan, malah terus datang bertimpa-timpa.

Tagline Gagasan 1Malaysia, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”, adalah contoh jelas dalam memahami keutamaan, bahawa rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin, kerajaan dari rakyat untuk rakyat. Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan.

Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Lebih memahami perkara sunat dari fardu. Terlalu memahami fardu kifayah sehingga terlepas pandang fardu ain. Terlalu menjaga hak peribadi sehingga melupakan kepentingan jamaah. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menekan agenda masa kini sehingga terlupa akan agenda masa hadapan.

Apabila perkara asas ini tidak difahami maka apabila berlaku pertembungan Umat Islam seolah-olah hilang punca. Mereka tidak tahu memilih, sebab sudah timbul rasa was-was. Akhirnya, terpilih perkara yang kurang mendatangkan manfaat. Mereka lebih memilih untuk berpecah dari bersatu. Maka hari ini, suka atau tidak, umat Islam mesti bijak memilih keutamaan.

Pertama, kepentingan maslahat umat Islam secara keseluruhan lebih utama daripada puak atau kelompok atau parti. Kita tidak boleh terlalu taksub kepada satu-satu parti atau ideologi sehingga melupakan tanggungjawab terhadap rakyat keseluruhannya. Faedah yang dinikmati oleh ramai diutamakan dari maslahat yang hanya dinikmati oleh seorang atau kumpulan yang lebih kecil. Cukuplah pengajaran yang kita lalui, kalau dahulu Dasar Ekonomi Baru dikatakan hanya memperkayakan segelintir golongan, sudah tentu kita mahu melihat Model Ekonomi Baru yang bakal dilaksanakan dapat memakmurkan keseluruhan rakyat bersumberkan perlembagaan, tanpa ada yang tersisih.

Kita perlu melakukan sesuatu yang sudah jelas sumbernya daripada melakukan sesuatu ikut-ikutan yang kita sendiri tidak tahu asal-usul sumber ilmunya. Begitu juga mengutamakan ilmu yang jelas daripada ilmu yang tidak jelas atau masih kabur. Dalam kata lain, maslahat yang yakin boleh dicapai diutamakan dari maslahat yang masih samar. Maslahat yang lebih besar kesannya diutamakan dari yang kecil kesannya. Maslahat yang boleh berkekalan diutamakan dari maslahat yang terputus dan cepat hilangnya. Maslahat masa depan yang diyakini diutamakan dari maslahat semasa yang lemah. Maslahat akhirat di utamakan dari maslahat dunia. Semuanya ini boleh diadun dalam gagasan 1Malaysia jika benar-benar kita mahu melihat ia berjaya dilaksanakan.

Sudah tentu dalam hal ini, ilmu, pengalaman dan kepakaran yang didasari al-Quran dan Sunnah diperlukan bagi menentukan tahap keseriusan sesuatu keburukan yang mungkin timbul daripada sesuatu tindakan. Ini kerana, sebagaimana kebaikan yang berbeza-beza tingkat kekuatannya, demikian juga keburukan yang berbeza tingkatan kesan keseriusannya.

Maka setelah penentuan tahap keseriusan mudarat dibuat, kaedah berikut boleh digunakan pakai apabila berlaku pertembungan dalam dua jenis mudarat. Islam menggariskan beberapa kaedah dalam menyelesaikan pertembungan ini. Misalnya, bila mana haram (mudarat) bertemu haram (mudarat), yang manakah lebih haram (mudarat)? Antara menyentuh makan babi dengan makan rasuah. Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada makan babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi.

Sama juga halnya apabila makruh bertemu makruh yang mendekati haram. Antara makan bawang, makan petai atau jering dengan menghisap rokok yang masih dikategorikan hukumnya makruh, walaupun hukum sebenar adalah haram. Sudah tentu merokok mesti ditinggalkan daripada memakan petai atau jering. Malah tidak ada siapa yang akan melarang kita makan jering dan petai berkati-katipun, kerana mudarat mudarat hampir tiada, cuma baunya yang kurang menyenangkan, berbanding rokok yang sudah tentu memudaratkan hingga ke akar umbi. Malangnya peringatan demi peringatan diberikan, umat Islam masih memilih rokok.

Umat Islam tidak ketandusan dari segi bilangannya, ramai, tetapi tidak berkualiti, lebih memilih rokok dari makanan yang kurang memudaratkan. Justeru, keutamaan kualiti lebih utama berbanding kuantiti. Kita tidak mahu melihat umat Islam bilangannya laksana buih di waktu banjir, banyak, tetapi kosong. Biarlah sedikit seperti bilangan umat Islam dalam Perang Badar, namun perpaduannya amat mantap sehingga boleh mengalahkan musuh yang begitu ramai. Hari ini bilangan kita terlalu ramai, sudahlah kurang berkualiti, ditambah lagi dengan perpecahan yang tidak seolah-olah tiada penghujung. Perkara titik bengik diperbesarkan. Bacalah ingatan Allah SWT dalam surah al-Ankabut:63 ; al-‘Araf: 187 ; al-Baqarah: 243 ; al-An’am : 116 2, Shod: 24; Anfal:26 ; Hud: 116.

Dalam menyelesaikan kemelut keutamaan ini, sudah tentu memerlukan kepada kekuatan ilmu. Tanpa ilmu semua perkara tidak menjadi. Khalifah Umar bin Abd Aziz berkata sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan lebih banyak dihasilkan daripada kebaikan. Keutamaan ilmu sudah tentu mengatasi amal. Beramal tanpa ilmu akan menyebabkan kesesatan.

Lantaran itu, Islam amat menekankan keutamaan memahami berbanding hafalan. Bila ada kefahaman, kita akan menjadi lebih teliti. Keputusan yang dibuat lebih tepat daripada membuat perubahan tergesa-gesa atau mendadak. Berkata Khalifah Umar Ab Aziz lagi kepada anaknya apabila didesak untuk membuat perubahan drastik tatkala beliau memegang tampuk pemerintahan. “Jangan tergesa-gesa wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak di dalam al-Quran dua kali, dan mengharamkannya di kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekaligus (drastik), maka mereka meninggalkannya juga sekaligus, maka berlakulah fitnah”. Begitulah indahnya bagaimana Islam menangani sesuatu isu mengikut keutamaan. Alangkah baiknya jika umat Islam dapat memahami. Setiap kali timbul masalah, ajaklah berdialog daripada keji mengeji atau hina menghina. Janganlah ditolak jemputan ini sebelum bersemuka.

Keutamaan berdialog dengan orang yang jahil dari terus mengenepikan mereka dan menyerang mereka dengan makian dan cacian. Inilah kaedah yang perlu difahami oleh umat Islam hari ini.
Keutamaan mengislah muslim lebih utama berbanding dakwah non-muslim. Apalah ertinya dakwah berkembang jika umat Islam terus berpecah dan bergaduh sesama sendiri sehingga boleh menggugat kedaulatan agama dan negara. Biarlah kita mulakan sedikit asalkan berterusan (istiqamah) daripada mula secara agresif tetapi terputus-putus. Sabda Rasulullah, sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

Sabda Rasulullah SAW lagi, adakah kamu ingin aku sebutkan apakah amalan yang terlebih baik dari darjat solat (sunat seorang diri) dan puasa dan sedekah? Itulah usaha pemurnian kefahaman Islam dalam ahli keluarga dan sahabat handai, sesungguhnya kerosakan kefahaman mereka adalah pencukur.

Jika kita memahami keutamaan, kita tidaklah seteruk perpecahan yang berlaku hari ini. Kita lebih mengutamakan orang lain dari orang sendiri. Semua ini boleh berlaku jika kita mempunyai keupayaan intelektual (ilmu) yang tinggi. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca umat Islam (Melayu) lemah, disebabkan oleh pemimpinnya lemah, tidak ada daya intelektual, yang ada hanya pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa umat Islam membezakan keutamaan ini supaya boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni. Pada saya, kewajipannya sudah sampai ke tahap ad-dharuriyyat.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

No comments: