Monday 25 January 2010

Tidak ada kebebasan mutlak di dunia ini

Apabila artikel saya tidak disiarkan dalam akhbar ini minggu lepas, ramai pembaca tertanya-tanya kenapa saya tidak menulis lagi, apa yang telah berlaku? Terharu saya, akan pertanyaan sedemikian. Tidak sangka penulisan yang kerdil daripada insan kerdil masih mendapat perhatian. Kekerdilan inilah yang menjadikan saya sentiasa sedar diri dan bersyukur atas nikmat yang dianugerahkan Ilahi di bumi bertuah ini.

Selama ini saya bersabar menghadapi pelbagai penghinaan dan kutukan daripada mereka yang tidak bersetuju dengan penulisan saya. Ada juga yang mendoakan agar saya cepat mati dan seterusnya masuk neraka. Lebih ekstrim lagi ada yang menyenaraikan saya dalam buku daftar kematian. Alhamdulillah, saya masih ada kekuatan untuk menghadapi tekanan dan cabaran sebegini. Saya amat menghargai rakan-rakan seagama yang sentiasa memberikan dorongan dan kekuatan untuk saya terus menulis dan tidak takut kepada ugutan dan amaran.

Jika kita terlalu takut dengan manusia, di manakah keyakinan kita terhadap Allah SWT? Semua ini mengingatkan saya erti menganut Islam yang sebenar. Jika selama ini saya boleh menghadapi segala tohmah dan mehnah dari mula memeluk Islam sehinggalah ke hari ini, kenapa saya harus berundur sekarang? Saya bukannya melakukan dosa besar atau kejahatan. Saya hanya mahu menyedarkan rakan-rakan seagama agar tidak leka dan bangun mempertahankan agama suci ini, jangan sampai ia dipermainkan. Adakah itu satu pengkhianatan terhadap bangsa sendiri? Bukankah keturunan saya patut dihargai kerana tindakan saya ini?

Saya pasrah, akan takdir yang ditentukan oleh Allah SWT. Hidup ini tiada yang lebih utama selain mendapat keredhaanNya. Dialah yang menjadikan manusia maka, Dialah juga menentukan ajal maut seseorang.

Saya disenarai hitamkan dan dituduh sebagai hipokrit kerana menghantar anak-anak saya belajar di sekolah vernakular. Apakah mereka tidak faham apa yang saya tulis? Saya berulang kali mengatakan dalam penulisan sebelum ini, sememangnya kesemua anak saya belajar di sekolah vernakular dan saya tidak pernah berselindung. Mereka yang hipokrit adalah mereka yang tidak membaca keseluruhan artikel saya. Mereka hanya mengambil yang negatif, kemudian manipulasikan ayat tersebut agar saya dibenci, dihina dan dikeji. Inilah provokasi ultra kiasu yang amat bahaya dalam politik Malaysia. Mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan laba dan kepentingan politik, bagi meraih simpati untuk mendapatkan kuasa secara bacul.

Terus terang, anak-anak saya mempunyai latar belakang yang baik dalam bahasa Melayu (BM). Mereka tidak pernah gagal dalam BM, apatah lagi untuk masuk kelas peralihan selepas tamat sekolah rendah. Justeru, adakah salah saya menghantar anak saya ke sekolah vernacular selagi ia berada dalam sistem pendidikan? Malah saya pernah mencadangkan, jika sekolah vernacular ini mahu terus diwujudkan, lebih elok jika orang Melayu belajar di sekolah vernacular, manakala bukan Melayu perlu belajar di sekolah kebangsaan. Dengan maksud, orang Melayu dapat menguasai bahasa bukan Melayu, manakala orang bukan Melayu boleh berbahasa Melayu dengan baik. Tidakkah itu lebih adil dan dapat mencapai perpaduan nasional? Apapun, perkara ini tidak akan berlaku.

Lagipun, dengan menghantar anak-anak saya ke sekolah vernacular, sekurang-kurang saya bercakap serupa bikin. Menulis berasaskan fakta dan realiti. Jika tidak, saya bercakap tidak serupa bikin. Saya tidak mahu syok sendiri atau berteori semata-mata. Bila anak saya berada di sana, bermakna saya tahu perkembangan dan apa yang berlaku di sekolah tersebut. Jika ada yang saya bangkitkan tentang sekolah vernacular itu tidak betul, sila betulkan, tetapi jangan menyerang peribadi sehingga ibu bapa dan nenek moyang yang tidak bersalahpun dimaki hamun bermula dari hidup hinggalah yang mati.

Kepada mereka yang mengikuti penulisan saya, temanya berkait rapat dengan pembinaan bangsa dalam sebuah negara bangsa yang mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Saya tidak nampak apa yang saya tulis tidak benar. Saya suka berterus terang. Jika tidak benar, marilah kita berhujah secara akademik, jangan menuduh yang bukan-bukan.

Selama ini kita yang selalu bercakap kebebasan bersuara atau freedom of speech. Apakah kita menghormati kebebasan bersuara? Terkadang-kadang saya termenung memikirkan apakah kebebasan bersuara akan diberikan seluas-luasnya jika ultra kiasu memerintah. Saya hanya memberikan sedikit pandangan yang agak berlainan, apakah tidak boleh? Jangan asyik menuduh orang lain tidak mengamalkan demokrasi. Bila kena batang hidung sendiri, benarkah kita mengamalkan demokrasi sepenuhnya? Jika akhbar perkauman bebas menulis apa yang mereka fikirkan mahu ditulis, apakah saya tidak boleh berbuat demikian? Apa lebihnya mereka, apa kurangnya saya? Janganlah meludah ke langit terkena muka sendiri.

Apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara? Kebebasan bersuara bukanlah bermakna kita boleh bercakap sesuka hati secara hentam keromo. Kebebasan bersuara adalah mengemukakan hujah-hujah bernas yang dapat memberikan kebaikan kepada orang lain. Menjadikan mereka boleh berfikir jauh, bukan berfikiran jumud dan sempit.

Adalah tidak bermoral apabila kita mempertikaikan sesuatu yang telah menjadi hak sesuatu kaum, apatah lagi jika ianya sudah termaktub dalam perlembagaan. Kita amat sedih bila mana ada segelintir kumpulan yang tidak bersyukur mempertikaikan cara hidup Islam, sedangkan orang Islam tidak pernah mempertikaikan cara hidup mereka seperti membina rumah ibadat sesuka hati tanpa permit dan lesen, hatta di bawah pokok dan di tepi-tepi jalan.

Islam mengambil pendekatan menghormati hak-hak manusia asasi manusia. Antara hak-hak tersebut adalah hak untuk hidup, hak untuk mengumpul dan memiliki harta, hak untuk bersendirian tanpa gangguan, hak untuk bergerak, hak ke atas anak-anak, hak untuk keadilan, hak ke atas maruah dan penghormatan seseorang, hak persamaan di bawah undang-undang dan sebagainya. Semua kebebasan ini tertakluk kepada neraca hidup bernegara.

Janganlah kita terkeliru dengan kebebasan yang ditaja oleh barat. Barat mencanangkan kebebasan bahawa setiap individu boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu walaupun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur. Misalnya, perkahwinan sesama jantina. Hari ini mereka mula sedar, bahawa kebebasan mutlak telah menjahanamkan mereka. Malah bekas Presiden Amerika, George Bush menyeru barat supaya kembali kepada Kristianiti. Hak asasi manusia yang bercanggah dengan agama hendaklah ditinggalkan. Apa yang amat memelikkan adalah, di kala barat sudah menyedari dan mengakui akan kesilapan dan keruntuhan mereka, kenapa kita pulak yang berada di timur ini sibuk membincangkan kekebasan mutlak yang telah menjahanamkan barat?

Islam sejak awal lagi sudah menjamin kebebasan manusia selaras dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Perlu dingatkan, fitrah kejadian manusia tertakluk kepada undang-undang Pencipta. Dengan sebab itu, kita melarang seseorang Muslim bebas bertukar agama tanpa sebarang had. Kalimah syahadah adalah sebagai satu ikrar atau perjanjian yang termeteri antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ikrar dan perjanjian itu wajib dikota, dan sesiapa yang murtad bererti dia sudah melanggar perjanjian itu. Maka adalah wajar jika mereka dikenakan hukuman, kerana kebebasan tersebut telah disalahgunakan.

Kebebasan yang dibenarkan adalah kebebasan menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan membina kepada pihak berkaitan. Kebebasan ini meliputi kebebasan akhbar dan internet yang menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum, bukannya berita yang tidak benar, penuh umpatan, kata-kata lucah dan nista, cerita yang tidak berfaedah atau menyiarkan gambar-gambar merendahkan martabat manusia.

Janganlah kita berhujah dengan menyatakan kitalah yang paling banyak membayar cukai pendapatan negara maka kita bebas melakukan dan mendapatkan apa sahaja tanpa sekatan. Cukai yang dibayar ada timbal balasnya. Sedarkah kita cukai yang dibayar itu juga digunakan menjaga keselamatan, keamanan dan kestabilan negara? Nikmat keamanan inilah yang menyebabkan kita dapat mengumpul dan membuat duit dengan banyak. Siapakah yang lebih mendapat keuntungan dengan nikmat keamanan ini? Hargailah ia, janganlah terlalu ultra kiasu.

Laman blog saya dihentam dengan begitu dahsyat, maki hamun, kata-kata nista, pernahkah saya membalasnya dengan kata-kata yang hampir sama? Saya rela diperlakukan sedemikian. Saya mengambil prinsip jangan ikut seperti mereka. Jika saya turut memberikan reaksi yang sama, apa beza antara saya dengan mereka? Perlukah saya menurunkan maruah diri saya ke tahap seperti mereka? Sudah tentu tidak. Saya menulis berdasarkan kajian dan pembacaan. Jika tidak setuju, kemukakan fakta, kita bahaskan. Jika mahu berdebat, buatlah secara professional. Jangan ajak saya berdebat di tempat yang penuh ultra kiasu. Janganlah terlalu beremosi hingga membakar diri? Sikap inilah yang membantut pembangunan negara. Saya pula tidak pernah mengundang untuk mereka datang melawat dan membaca blog saya. Mereka bebas untuk akses seribu satu laman atau blog lain, terutama laman dan blog ultra kiasu. Pergilah baca dan komenlah sebanyak mungkin, saya tidak pernah melarang. Bukankah itu dinamakan kebebasan?

Hari ini kita perlu bertanya apa yang boleh kita sumbangkan kepada negara bukannya berkata apa yang negara boleh berikan pada kita setelah kita membayar cukai pendapatan. Saya cukup yakin mereka yang banyak bercakap inipun tidaklah terlalu banyak membayar cukai. Syarikat-syarikat besar yang membayar cukai sebenarnya menghargai keamanan yang telah disediakan, walaupun tidak dinafikan ada segelintir yang lari dan membawa wang keluar untuk dilaburkan di luar negara. Tidak kurang pula yang telah menyerahkan kewarganegaraan dan menjadi rakyat negara lain. Kita tidak perlu berasa rugi, kerana manusia seperti ini adapun serupa tiada, bila adapun menyusahkan sahaja.

Hanya orang yang tidak waras sahaja yang mengikhtiraf kebebasan mutlak. Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam kehidupan insan yang bergelar manusia yang bertamadun. Teringat saya kepada kata-kata Dr Carmen Lawrence (2006), the survival of our democracies depends not on our capacity to hit back at the terrorists, but on our capacity to think for ourselves.

Justeru, janganlah hairan jika umat Islam tampil mempertahankan hak mereka kerana itu termasuk dalam ruang lingkup kebebasan. Kebebasan mempertahankan maruah dan hak masing-masing. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi)

Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam masyarakat bertamadun kerana masyarakat bertamadun ialah masyarakat yang dikawal oleh sistem, peraturan dan undang-undang. Golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai panduan bukanlah masyarakat yang bebas, sebaliknya adalah masyarakat yang sesat, sesesat-sesatnya. Kebebasan harus ada batasnya. Bagi orang Islam, kebebasannya berpandu kepada Quran dan Sunnah. Manakala bukan Islam berpandukan kepada kitab masing-masing. Dalam konteks kehidupan bernegara pula, perlembagaan itulah panduan kepada ertinya kebebasan. Justeru, rujuklah perlembagaan bila ada masalah dan percanggahan. Jika kita menginterpretasi perlembagaan ikut kepentingan dan nafsu sendiri, maka buruklah padahnya.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

1 comment:

Anonymous said...

Ybhg Dato Seri

Dato Seri sememangnya saya bersetuju dengan apa yang Dato Seri perkatakan terlalu banyak sekatan untuk menyuarakan pendapat.