Mingguan Malaysia, 31 Januari 2010
Konflik antara Zulkifli Nordin (PKR) dan Khalid Samad (PAS) berkaitan kalimah Allah amat menarik perhatian dalam meneliti politik Melayu Islam. Tidaklah perlu saya ulas akan pandangan UMNO terhadap kalimah Allah. Awal-awal lagi UMNO telah dituduh menangguh di air yang keruh dalam isu ini. Pendek kata, tidak ada yang baiknya UMNO di mata parti kedua pembangkang Melayu ini, sama juga yang bukan Melayu. Kalimah Allah dikatakan sebagai sandiwara UMNO untuk menagih simpati pengundi dalam pilihan raya akan datang.
Pelik sungguh saya, dahulu mereka menuduh UMNO tidak mengamalkan demokrasi, adakah mereka mengamalkan benar-benar memperjuangkannya? Takut juga saya jika mereka memerintah nanti? Jika kita mendakwa benar-benar mengamalkan kebebasan bersuara, kenapa perlu mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin? Tidakkah Zulkifli Nordin perlu diberikan kebebasan bersuara? Sebagai umat Islam, Zulkifli Nordin bebas untuk bersuara dalam ruang lingkup yang dibenarkan? Saya tidak nampak apa yang Zulkifli Nordin lakukan bercanggah dengan Islam atau demokrasi? Jangan jadi paku dulang paku serpih, mengatakan orang dia yang lebih? Kasihan Zulkifli Nordin, saya amat bersimpati dengan nasib saudara. Mudah-mudahan rakyat Malaysia khasnya Melayu Islam celik mata melihat sandiwara mereka juga. Jangan asyik menuduh orang lain bersandiwara.
Termenung saya memikirkannya, sampai bilakah umat Islam Melayu akan bersatu? Kenapakah dalam perkara sebegini asas kita masih tidak boleh bersatu? Tidakkah terdetik dalam hati kita agar kalimah Allah ini perlu dipelihara walaupun sedikit, atau mungkinkah kita redha pihak lain menggunakan sesuka hati kalimah suci ini demi menjaga kepentingan politik? Kenapa kita perlu berpecah dalam segala aspek kehidupan? Jika tidak bersetuju 100 peratus, sekurang-kurang kita boleh bersetuju 50 peratus atau 40 peratus, atau setidak-tidaknya 10 peratus, agar tidak menampakkan kita bergaduh besar atau berpecah daripada A sampai Z.
Ini tidak, kita bergaduh dalam semua aspek. Semua yang baik ditolak mentah-mentah kerana hanya datang daripada sekumpulan yang tidak bersefahaman dengan kita. Kadang-kadang saya amat kasihan melihat umat Islam. Sampai bilakah kita harus begini? Bilakah mereka boleh duduk semeja untuk mencapai persetujuan bersama dalam perkara-perkara bersifat fundamental? Memang saya tidak nafikan kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi takkan dalam semua perkara. Sekurang-kurangnya kita boleh bersetuju dengan perkara-perkara asas. Sayangnya, dalam perkara asaspun bergaduh juga.
Sebagai umat Islam, kita berasa amat malang, kerana mereka yang tidak ada kena mengenakan dengan kalimah Allahpun tidak menyokong kita atau setidak-tidaknya bersikap neutral. Saya hanya mendengar kenyataan presiden MCA sahaja yang bersikap neutral, mahukan kita berhenti menuding jari kepada UMNO dalam isu ini. Namun, kenyataan beliau dikecam hebat dalam laman web dan kumpulan ultra kiasu. Beliau dikatakan cuba menagih simpati UMNO dan menutup masalah dalaman MCA.
Kumpulan ultra kiasu juga menentang habis-habisan UMNO dan umat Islam yang mahu mempertahankan kalimah Allah. Jika mereka ikhlas, sudah tentu kalangan mereka yang bukan Kristian yakni beragama Buddha-Taoism-Konfucius akan bertindak neutral, sebab mereka tidak menyembah Allah. Ini tidak, mereka secara terang menyokong penggunaan kalimah Allah kalangan Kristian, wal hal isu ini tiada kaitanpun dengan mereka. Inilah nasib UMNO selalu sendirian dalam mempertahankan Islam di dalam dan di luar Barisan Nasional. Tertanya-tanya saya bilakah masanya orang bukan Islam akan menyokong Melayu Islam. Adakah benar parti ultra kiasu ini menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS? Apakah umat Islam tidak sedar kadang kala mereka diperalatkan?
Saya dapat simpulkan di sini, maknanya, apa yang umat Islam lakukan, tetap akan dianggap salah disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Saya amat takut dengan gejala yang berlaku. Orang lain bertepuk tangan dan bersorak gembira melihat perpecahan dan kelemahan kita dan mungkin menunggu masa untuk mengambil kesempatan.
Cuba kita ambil ikhtibar bagaimana bersatunya orang lain. Jangan bercakap soal perkara agama yang bersifat fundamental, sudah semestinya mereka bersatu. Lihat sahaja contoh terbaru berkaitan dengan pendidikan menengah mereka. Ketika pihak kerajaan sibuk meningkatkan mutu pendidikan negara melalui penambahbaikan sekolah rendah dan menengah kebangsaan, persatuan-persatuan Cina yang diketuai oleh Dong Jiao Zong pula sibuk memperkatakan akan keperluan kepada bantuan dan penambahan bilangan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Sekolah vernacular ini memerlukan sejumlah wang 300 juta setahun untuk menampung kos operasinya. Kini sebuah lagi sekolah dibuka di Kulai Johor menjadi 61 buah kesemuanya dengan lebih 60,000 murid. Alasan mereka cukup simplistik, permintaan ke atas sekolah ini semakin tinggi dan kos operasi semakin meningkat. Bantuan kerajaan amat diperlukan bagi meringankan beban komuniti Cina dan pihak-pihak yang bertanggungjawab. Kesan dan akibat kemunculan sekolah ini tidak pernah dikaji, terutama dari segi prestasi bahasa Melayu dan pergaulan mereka dengan orang Melayu dalam sebuah negara berakarkan Melayu.
Saya tidak pernah terkejut dengan peningkatan permintaan ke atas SMPC ini. Hatta, jika dibina 100 buah lagipun, ia tidak akan pernah cukup. Selagi ada sekolah jenis kebangsaan di dalam sistem pendidikan negara, selagi itulah permintaan ke atas SMPC menengah akan bertambah. Saya amat yakin, usahawan-usahawan, alumni-alumni, persatuan-persatuan dan badan-badan perniagaan Cina akan terus memberi sokongan dan bantuan kewangan yang tidak berbelah bahagi. Begitulah bersatu-padunya mereka, seolah-olah merekalah yang sebenarnya menyahut seruan Islam seperti mana Firman Allah dalam Al-Quran, berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah (Al-Imran: 102)
Ditakdirkan pengecualian cukai diberikan terhadap mereka yang membantu SPMC ini, saya yakin kebanyakan cukai pendapatan akan dicurahkan ke sekolah-sekolah ini. Itulah sikap mereka selama ini saya puji, bersatu dalam senyap tanpa mengira latar belakang mahupun ideologi politik. Pada mereka, pendidikan nenek moyang perlu diutamakan, berbanding yang lain-lain termasuk perkara berkaitan dengan pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme. Ini belum termasuk bantuan mereka terhadap Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti Kolej dan Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Terbuka Wawasan dan sebagainya.
Pada saya, selagi sekolah vernakular wujud dalam sistem, selagi itulah isu SMPC akan terus berkumandang. Saya teramat yakin jika sekiranya SMPC dibiayai oleh kerajaan atau dibina dengan lebih banyak lagi suatu hari nanti, lihatlah tidak ada seorangpun pelajar Cina akan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Bayangkanlah keadaan negara kita pada ketika itu. Adakah perpaduannya akan semakin kuat atau rapuh?
Saban minggu ada sahaja isu-isu pendidikan Cina yang dibangkitkan oleh Dong Jiao Zong dan sekutunya dalam akhbar-akhbar perkauman dan sewaktu dengannya. Kelihatan seolah-olah isu pendidikan negara kita tidak pernah selesai. Saya tidak nampak mereka menghadapi masalah kewangan seperti mana yang diwar-warkan. Ia sengaja ditimbulkan bagi menarik simpati dan strategi pilihan raya akan datang. Sepatutnya kita berpakat-pakat memberi input bagaimanakah sekolah kebangsaan yang sedia ada dapat dipertingkatkan lagi kualitinya. Ini tidak, mereka asyik menyanyi tak sudah-sudah dan memberikan tekanan kepada kerajaan. Inilah strategi ultra kiasu yang mesti kita lihat seharus serius dan ditangani secara berhati-hati.
Pada hemat saya, kita tidak perlu bising-bising lagi membangkitkan masalah itu dan sini, kekurangan peruntukan sana dan sini. Formulanya mudah sahaja, masukkan kesemua mereka ke sekolah menengah kerajaan. Mereka telah ada asas yang baik dalam bahasa mandarin ketika berada di sekolah vernakular. Kenapa perlu gatal tangan membuka sekolah jenis kebangsaan persendirian? Bila mengalami kesempitan, maka kerajaan yang disalahkan kerana tidak membantu sekolah persendirian. Yang buruknya semuanya UMNO, yang baik hanya mereka. Bayangkan selepas ini, selesai sahaja penamatkan pengajian di SMPC, mereka meneruskan pengajian ke IPTS perkauman. Bilakah masanya mereka dapat bergaul dan bercampur dengan pelajar Melayu?
Saya amat yakin, keadaan ini wujud disebabkan oleh sikap kita terlalu perkauman dan memandang rendah kepada keupayaan sekolah kebangsaan. Kalau tidak percaya, buat kajian di untuk melihat pandangan mereka terhadap sekolah kebangsaan berbanding dengan sekolah vernakular. Majoriti akan mengatakan sekolah vernakular lebih baik dari Sekolah Kebangsaan. Guru-guru mereka lebih rajin dan berdedikasi berbanding guru-guru Sekolah Kebangsaan. Pendek kata, semua yang baik adalah sekolah perkauman, manakala yang kurang baik itu adalah Sekolah Kebangsaan.
Kadangkala sedih juga dengar pendapat guru besar di salah sebuah sekolah kebangsaan di Johor baru-baru ini, apabila ditanya resepi kejayaan sekolah sehingga terpilih menjadi kumpulan pertama 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Jawapannya begitu simplistik, kerana amalan baca yasin dan salam cium tangan guru. Secara prinsip, saya tidak menafikan kedua faktor tersebut turut menyumbang. Tetapi mesti ada faktor lain yang lebih solid yang boleh kita tonjolkan berasaskan kepada kajian dan penyelidikan dalam memberikan jawapan yang lebih bernas. Janganlah beri jawapan simplistik sedemikian. Bukan apa, dibimbangi ultra kiasu akan mengambil kesempatan dengan memanipulasikan hujah sebegini.
Lagipun, saya bimbang selepas ini para pelajar akan bertindak membaca yasin saban hari dan bersalam mencium tangan guru tanpa mahu berusaha lagi. Hujah simplistik harus berhati-hati ketika mahu digunakan. Islam bukanlah sebegitu mudah sebagaimana yang disangka. Sama juga kepercayaan bahawa dengan meminum air zam-zam boleh membawa berkat dan menjadi penerang hati. Jika begitulah mudahnya Islam, tidak perlu kita bersusah-payah lagi. Kumpulkan pelajar-pelajar yang gagal peperiksaan atau yang jahat-jahat, kemudian pakat-pakat minum air zam-zam, maka cerdiklah atau baiklah mereka selepas itu. Inilah bentuk pemikiran yang perlu diubah dan berubah. Perlu dibezakan antara hujah utama dan hujah tambahan, tanpa menafikan faktor Islam sebagai asas kecemerlangan. Jangan salah faham dengan konsep tawakkal.
Pada saya, guru besar tersebut perlu berhujah secara lebih akademik dengan mengambil kira faktor dedikasi guru-guru Melayu Islam (juga bukan Islam) di sekolah kebangsaan tersebut, dan banyak lagi faktor lain seperti latar belakang murid-murid, keprihatinan ibu bapa, lokasi, dan sebagainya. Saya pernah beberapa kali pergi ke tempat tersebut. Bukan sahaja sekolah, malahan masjid dan bandar di sana turut ditadbirkan dengan baik dan pernah menerima beberapa anugerah peringkat nasional. Tahniah!
Saya bukan bertujuan untuk mengapi-apikan isu ini. Tetapi saya tidak mahu lagi dengar sekolah kebangsaan dipandang rendah dan dihina serta dihentam oleh kumpulan ultra kiasu. Inilah kebenaran yang amat pahit untuk ditelan tetapi terpaksa diluahkan. Sebenarnya, sekolah kebangsaan banyak yang hebat dan mungkin lebih baik dari sekolah vernakular, cuma kadangkala kita tidak pandai untuk menonjolkannya sebagaimana ultra kiasu menonjolkan sekolah dan diri mereka. Mereka begitu pandai berlakon, memberi publisiti untuk mengaburi mata kita sehingga kadangkala kita terpesona dan terpengaruh tanpa mahu menoleh ke ke belakang lagi. Ingat, hari ini mereka sibuk dengan kempen keahlian di kalangan Melayu Islam. Justeru, dalam usaha untuk mengalihkan perhatian mereka dan menjadikan kita lebih relevan, maka kita perlu berhujah berasaskan ilmu dan kajian, bukan memberi hujah yang pelik-pelik dan emosi semata-mata.
Bila saya bentangkan contoh-contoh ini, saya mohon saudara seIslam saya mengambil ikhtibar betapa orang lain sudah menggapai bintang. Apakah kita masih terus mahu berada di awan? Pernahkah kita duduk semeja berbincang mengenai tahap pendidikan kebangsaan kita? Bagaimanakah tahap perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara? Sejauhmanakah kita memahami hubungan antara majoriti-minoriti? Apakah garis panduan dan formula yang perlu dipakai? Ataupun kita mahu menggunakan pendekatan hak asasi manusia yang kadang kala langsung tidak berasas?
Saya fikir sudah sampai masanya umat Islam bersatu dan berfikir akan masa depan mereka. Jangan terlalu berpolitik. Ia tidak menguntungkan kita, malahan akan menghancurkan. Kenapa kita sanggup cabar-mencabar dan kadang kala hampir mahu menggunakan kekerasan sesama sendiri? Apakah ia menguntungkan? Tidakkah kita boleh berbincang untuk memperkasakan pembinaan sebuah negara bangsa bertunjang Islam sebagai agama persekutuan?
Kita perlu berfikir dan memerah keringat untuk memperkasakan perkara asas beragama dan bernegara dalam masyarakat berbilang kaum. Kita tidak boleh menafikan hak orang bukan Melayu kerana kita telah menerima mereka seadanya. Namun demikian, itu bukan bermakna kita perlu mengikut segala kehendaknya. Kita ada perlembagaan sebagai asas kehidupan bernegara. Ia perlu dipertahankan dan diterjemahkan secara berani. Apatah lagi mempertahankan kalimah Allah yang suci murni ini. Syabas saya ucapkan kepada Zulkifli Nordin. Teruskan perjuanganmu.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment