Mingguan Malaysia, 20 Disember 2009
Seperti yang dijangkakan persatuan-persatuan Cina yang berpengaruh termasuk MCA langsung tidak akan bersetuju dengan sebarang tindakan kerajaan untuk memperbaiki kedudukan bahasa Melayu di sekolah-sekolah Cina seperti menyeragamkan silibus Bahasa Melayu (BM) dan menambahkan masa pembelajaran BM serta cadangan untuk menambah satu lagi subjek Malaysia Negaraku dalam BM. Semua cadangan tersebut ditolak, lebih ekstrim lagi mereka mahukan subjek baru Malaysia Negaraku turut diajar dalam bahasa ibunda. Pendek kata, sebarang cadangan untuk memperkasakan BM dilihat sebagai menghakis kedudukan dan karektor Sekolah Jenis kebangsaaan Cina (SJKC). Apakah ini yang dikatakan integrasi setelah kita menolak asimilasi?
Ketua Pemuda MCA yang berjawatan Timbalan Menteri dalam bidang pendidikan begitu lantang bersuara seperti seorang jaguh kampung. Apakah beliau telah buat kajian mengenai masalah yang berlaku sebenarnya, terutama prestasi bahasa Melayu dari segi penggunaan harian dan keputusan peperiksaan di sekolah-sekolah tersebut? Sebagai seorang anggota jemaah menteri, beliau sepatutnya membuat penyelidikan lebih mendalam, yakni secara akademik untuk mengetahui apakah punca masalah sebenarnya dengan penerimaan integrasi bukan asimilasi yang terlalu dicanangkan ini? Apatah lagi beliau ada ijazah kedoktoran. Janganlah terlalu bertindak ultra kiasu seperti parti ultra tersebut! Malang sungguh Barisan Nasional (BN), sekian lama parti-parti komponen ini berada dalam kerajaan masih tidak faham aspirasi dan cita-cita negara. Saya memohon mereka datang ke sekolah saya yang majoritinya murid-murid bukan Melayu dan lihatlah keadaan mereka di sana. Buatlah kajian dan tanya kepada pengetua dan guru-gurunya. Jangan asyik menyalak sana-sini, dengan sengaja mahu menutup kelemahan. Tidak ada sesiapa yang untung, generasi kita seterusnya yang akan rugi.
Jika begini pemikiran mereka, maknanya sekolah satu sistem (SSS) hanyalah ilusi. Sentuh sedikit sahaja sekolah vernakular sudah hilang rasional, bagaimana pula hendak menyatukannya di bawah satu bumbung. Maka tidak hairanlah sekolah wawasan gagal mencapai matlamatnya. Saya yakin, selepas ini saya akan menerima lagi surat undangan untuk berdebat. Saya akan dilabelkan sebagai anti-Cina. Sedangkan saya tidak pernah menolak hak orang bukan Melayu untuk mempelajari bahasa ibunda mereka, tidak sama sekali. Saya berjanji, saya akan bersuara lantang dan mengkritik kerajaan jika ada percubaan untuk menghapuskan hak-hak bukan Melayu untuk mempelajari bahasa ibunda mereka jika ditakdirkan SSS wujud nanti. Persoalan saya, apakah SSS itu akan wujud? Jauh panggang dari api.
Sampai bilakah kita mahu melihat generasi kita berbahasa Melayu dengan baik setelah sekian lama tinggal di negara ini. Rakan saya, berbangsa Inggeris, hanya tinggal setahun di negara ini, sudah dapat menguasai BM dengan baik. Memang, galakan mempelajari bahasa lain itu amat dituntut oleh agama Islam. Malah saya amat menggalakkan umat Islam mempelajari bahasa mandarin seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan majlis makan malam sekolah menengah persendirian Cina Chong Hwa baru-baru ini. Kita selalu mendengar kata-kata “tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China”. Tetapi adakah wajar, akibat terlalu bernafsu dan ghairah mempelajari bahasa sendiri sehingga bahasa yang menjadi teras negara bangsa dan perpaduan diabaikan? Saya tidak akan bercakap dan menulis lagi jika orang bukan Melayu mempunyai asas bahasa Melayu yang kukuh sebelum ke SJKC. Malah, saya sendiri menggalakkan anak-anak saya ke SJKC kerana mereka mempunyai asas bahasa Melayu yang kukuh. Tetapi adakah perkara ini berlaku? Majoriti mereka yang belajar di SJKC tidak mempunyai asas BM kecuali mereka yang tinggal di Kelantan dan Terengganu. Bagi mereka yang tinggal di bandar, penguasaan BM amat lemah. Bukan sahaja kanak-kanak, malah yang dewasa pun sama. Saya tidak katakan semua.
Kalau tidak percaya, kita mulakan kajian terhadap ahli-ahli DAP, MCA dan Gerakan. Suruh menulis karangan dan bertutur dalam BM. Sampai bilakah kita mahu terus mendengar perbualan seperti “gua tatak mau”, “itu maciam manyak susah lo”, “lu tarak tau kah”? Siapa yang rugi nanti? Bila anak-anak kita tidak mendapat keputusan peperiksaan yang baik BM, mereka gagal mendapat biasiswa dan gagal dalam temuduga, siapakah yang akan dipersalahkan? Sudah tentu kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dipersalahkan? JPA akan dituduh terlalu mementingkan Melayu dan bumiputera, meminggirkan bukan Melayu dan sebagainya.
Saya selalu diserang, pada mereka isu perkauman hari ini bukan disebabkan oleh dasar pendidikan vernakular tetapi disebabkan oleh UMNO yang terlalu perkauman. UMNO terus dipersalahkan oleh semua pihak termasuk mereka dalam komponen BN. Saya ingin bertanya, adakah kewujudan MCA, DAP, MIC, Makkal Sakti, PPP dan Gerakan itu tidak perkauman? PAS juga adalah parti perkauman, parti dominasi Melayu walaupun ia dibuka kepada semua orang Islam. Janganlah kerana ada seorang dua ahli jawatan kuasa dan ahli yang bukan sebangsa dijadikan alasan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum, menyahut seruan 1Malaysia. Fakta dan sejarahnya, sejak awal lagi lagi asas-asas negara ini dibina atas dasar perkauman sehingga ke hari ini. Tidak hanya parti-parti politik yang perkauman, malahan boleh dikatakan kebanyakan persatuan atau NGO ditubuhkan atas perkauman. NGO Cina sahaja ada lebih 8000 buah di negara ini. NGO bangsa lain pun tidak kurang juga. Jika trend ini terus-menerus berlaku, bagaimanakah arah tuju negara kita pada masa akan datang?
Justeru, kita mesti cuba memperbaikinya keadaan hari ini setelah melihat semua masalah yang telah berlaku. Jangan biarkan masalah terus jadi masalah, jawapannya lagi bermasalah. Masalah harus diselesaikan dengan cara-cara dan idea-idea untuk mengatasinya. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana. Wang ringgit banyak dihabiskan untuk berpolitik sesama sendiri dan menjatuhkan antara satu sama lain. Tidakkah lebih baik harta tersebut digunakan untuk lain-lain tujuan seperti pembangunan dan sebagainya?
Orang bukan Melayu cukup takut dengan akta pendidikan 1996 kerana dilihat boleh menghakis sekolah vernakular jika bahasa Melayu dikuatkuasakan. Persoalan saya, pernahkah kerajaan menggunakan atau mengimplementasikan akta tersebut sehingga kini? Tidakkah kita sedar akta ini lebih lunak, berbanding akta sebelumnya iaitu akta pelajaran 1961 yang lebih menakutkan di mana menteri pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk menghapuskan sekolah vernakular. Akta ini juga tidak pernah dikuatkuasakan. Pernahkah kita berterima kasih dengan akta baru ini? Sudahlah tidak berterima kasih, malah mahukan akta 1996 dihapuskan terus. Bila akta ini dihapuskan bermakna bermaharajalelalah sekolah ini tanpa boleh diganggu-gugat lagi. Itulah cita-cita sebenar mereka. Terkadang-kadang saya terfikir adakah kita ini tinggal di Malaysia atau di negara lain?
Jika keadaan ini terus berjalan, seterusnya ditambah dengan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta(IPTS) yang bersifat perkauman, dipunyai oleh satu-satu kaum dan parti-parti politik perkauman, bagaimanakah pembinaan negara bangsa berasaskan identiti kebangsaaan dapat dilakukan. Saya difahamkan IPTS hari ini sudah tidak dapat dikawalkan lagi. Bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan. Apatah lagi yang menjaganya terdiri dari kalangan menteri bukan Melayu. Saya cukup bimbang dan pasti akan berlaku suatu hari nanti, apabila ijazah IPTS-IPTS lebih laku atau lebih diterima daripada ijazah IPTA-IPTA selepas ini. Logiknya mudah, jika perkaumanlah permulaannya, maka perkaumanlah kesudahannya. Kalau itulah yang berlaku, maka berjayalah perancangan parti ultra kiasu ini dan komponen-komponen mereka. Siapakah yang rugi? Fikirkan sejenak! Tidakkah mereka sedar bahawa kerajaan hari ini telah berkorban terlalu banyak. Ratusan malah mencapai angka ribu hektar tanah telah diberikan kepada IPTS ini, tidak ketinggalan jutaan bantuan kewangan telah diberikan, atas dasar setiakawan dan semangat BN? Apakah kita pernah berterima kasih atau sebaiknya menyusun strategi untuk terus menuntut dan mendesak serta menikam dari belakang? Bila pilihan raya, parti ultra kiasulah yang terus menang.
Saya selalu ditanya dan diserang, adakah dengan tidak boleh berbahasa Melayu bermakna tidak ada semangat patriotik? Jawapan saya, ya. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti sentiasa cinta dan berusaha untuk mengasimilasikan, mengintegrasikan dan menghormati semua dasar asas bernegara, misalnya kedudukan BM dan lagu negaraku. Ketika itu barulah jiwa menjadi kental dan kita akan berjuang bermati-matian mempertahankan negara walaupun nyawa itulah gadaiannya. Semangat ini mesti ada, jika tidak, saya bimbang kita akan lari entah ke mana atau mungkin belot dan yang paling ditakuti kita sanggup menjual kedaulatan negara kepada negara lain.
Saya memang tidak menafikan hari ini kita amat sukar menerima asimilasi. Sudah semestinya ia tidak akan berlaku lagi disebabkan oleh politik mengancam dan menuntut. Baiklah, jika integrasi itulah yang diterima, apakah integrasi itu tidak memerlukan kepada pengorbanan dan sayangnya kita kepada identiti kebangsaan seperti, bahasa kebangsaan dan menghormati lagu kebangsaan. Saya selalu ke SJKC menghantar anak saya ke sana dan selalu mendengar mereka menyanyikan lagu negaraku, kelakar sungguh bunyinya. Kalau tidak percaya cuba rakamkan lagu negaraku ketika dinyanyikan oleh murid-murid ini. Barulah kita tahu kedudukan BM yang sebenar di sekolah vernakular. Jika ditambah dengan keputusan peperiksaan BM, barulah kita tahu nasib BM di bumi Melayu.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment