Monday 7 December 2009

Biarlah Nik Aziz dengan sikapnya

APABILA membicarakan soal Pas, tidak perlulah kita menumpukan perhatian sama ada kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Dewan Ulama, Datuk Haron Taib atau Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nasruddin Hassan.

Sebaliknya tumpu sahaja kepada Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini boleh dianggap pemimpin paling popular dalam Pas. Dari setahun ke setahun, dari bulan ke bulan dan dari hari ke hari, ada sahaja kenyataan kontroversi yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan itu sehingga ia menimbulkan polemik dan perdebatan dalam arena politik negara.

Walaupun ada kalanya, kata-kata dan ucapan beliau termasuklah menyeru umat Islam mendoakan supaya Allah menimpa bala kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat bertentangan dengan Islam dan ditegur oleh alim ulama, namun penyokong-penyokong tegar Pas tetap menganggap apa yang dilakukan oleh Nik Aziz adalah betul.

Justeru biarlah Nik Aziz begitu, biarlah beliau dengan telatah dan kenyataan- kenyataan kontroversinya. Tidak perlulah mana-mana pihak mendesak beliau meletakkan jawatan, apatah lagi jika ia hanya dihadiri tidak sampai 1,000 orang di hadapan Kota Darulnaim, pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan baru-baru ini.

Adalah jelas penyokong Pas terutamanya di Kelantan menganggap Nik Aziz sebagai pemimpin utama mereka, sebab itulah ribuan mereka berhimpun di Jalan Datuk Pati di Kota Bharu, Jumaat lalu bagi menyatakan sokongan kepada Nik Aziz.

Berdasarkan keadaan itu, biarlah Nik Aziz terus memimpin Pas Kelantan dan kerajaan negeri Kelantan. Biarlah Nik Aziz menjadi pemimpin Pas yang paling popular dan biarlah Nik Aziz terus berada di kedudukan sekarang selagi beliau mampu dan selagi Pas pusat merelakannya.

- Biarlah Nik Aziz terus mendoakan bala menimpa Perdana Menteri kerana ramai pengikut Pas akan mengaminkannya beramai-ramai. Hakikatnya di dalam Islam, kita sama sekali tidak dibenarkan berbuat demikian, apatah lagi mendoakan bala menimpa sesama saudara Islam.

Selain perkara ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran dan hadis, ia juga turut dalam terkandung dalam kitab-kitab seperti kata Imam Tahawi r.a yang menegaskan,'' Kita tidak boleh mendoakan mereka (supaya jatuh), tidak boleh menarik ketaatan kepada mereka kerana ketaatan kita kepada mereka termasuk ketaatan kepada Allah, hal ini adalah wajib selagi kita tidak dipaksa mentaati yang maksiat dan kita sewajarnya mendoakan mereka dengan kebaikan dan keampunan (bukan sebaliknya).''

Dari segi politik, kita perlu menerima nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, ''Saya fikir biarlah Nik Aziz lama dalam Pas kerana ia berguna juga. Banyak perkara yang dilakukan mencerminkan sikap wajah sebenar Pas.''

No comments: