DIBERIKAN amanah memegang portfolio Parlimen bukan
tugas mudah dan memerlukan sepenuh komitmen. Namun, beliau sedia
menyahut cabaran tersebut demi membuktikan keupayaannya melaksanakan
tanggungjawab yang diberi. Bersama wartawan, Muhammad Fairuz Jumain dan
Haslina Kamaludin bersama jurufoto, Mohd Rosli Talib mendapatkan reaksi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATUK SERI SHAHIDAN KASSIM mengenai
portfolio barunya dan pandangan berhubung isu politik tempatan.
Apakah ada portfolio lain yang dipegang, selain menjaga Parlimen?
Buat masa ini saya memegang portfolio Parlimen, Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia dan krisis bencana alam. Di Parlimen, saya akan
menjawab bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Unit Penyelarasan
Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Jabatan Pertahanan Awam.
Saya rasa ia akan bertambah dari masa ke masa.
Bagaimana Datuk Seri melihat tugas yang diberikan ini?
Ia sungguh mencabar. Saya tahu bidang tugas saya hanya bermula selepas
proses angkat sumpah. Pada dasarnya saya ditugaskan untuk menjaga
Parlimen sahaja dan memastikan semua ahli Parlimen mendapat kemudahan
untuk bersidang. Begitu juga media dan tetamu. Saya mahu pastikan tiada
masalah akan berlaku.
Apakah perkara paling mencabar apabila memegang portfolio Parlimen ini?
Cabaran paling utama saya adalah mewakili menteri daripada BN. Saya
perlu memastikan anggota BN dapat menyertai persidangan ini. Kehadiran
ramai orang baru dilihat cukup bersedia. Suasana ini lebih mencabar
untuk semua pihak. Walaupun jumlah PR hanya 89 orang, tetapi mereka
diberi hak sama rata di dalam persidangan. Jadi saya mahu memastikan 133
anggota BN mendapat ruang yang sama untuk bercakap dalam persidangan.
Bagaimana Datuk Seri melihat kehadiran ramai muka baru pada penggal ini?
Ia sangat bagus, baik BN mahupun PR. Kedua-dua pihak ternyata sudah
bersedia. Tetapi BN perlu lebih berwaspada, memandangkan bukan semua
perkara yang membabitkan kerajaan boleh diceritakan dalam Parlimen. Saya
perlu memantau perkara ini. Sebagai contoh, isu harga dakwat kekal.
Saya buat jawapan bertulis yang membabitkan kos dakwat kekal berjumlah
RM7 juta. Mereka mengatakan ia milik syarikat dari Singapura. Syarikat
ini juga dikatakan tidak mempunyai kewangan yang kukuh lalu membuat
pinjaman sebanyak RM7 juta. Ini bohong. Tidak mungkin harga barang RM7
juta dan meminjam RM7 juta. Tidak ada perniagaan yang kurang bijak
membuat pinjaman sebanyak itu. Ia disambut sesama mereka dan nampak
berlaku tidak telus, sedangkan ia tidak berlaku.
Apa komen Datuk Seri terhadap penglibatan orang baru dan lama dalam Parlimen kali ini?
Saya lihat, ahli Parlimen baru cukup bersedia. Kehadiran pembangkang
memerlukan BN perlu lebih berwaspada. Ini kerana bukan semua perkara
yang melibatkan kerajaan boleh diceritakan. BN mempunyai ahli sokongan.
Selain jawatan kerajaan, adakah Datuk Seri bersedia bertanding jawatan tertinggi dalam Umno?
Saya hanya akan bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi sahaja.
Saya tidak mahu kehadiran saya boleh memecahbelahkan parti, ia tidak
bagus. Dalam apa keadaan sekalipun, saya bersiap sedia untuk menjadi
ahli Parlimen yang hebat. Ini adalah penggal yang perlu saya fikirkan
hala tuju saya akan datang. Perdana Menteri minta saya datang kabinet,
saya terima. Saya lebih ke arah berkhidmat, bukan memikirkan gaji. Saya
sudah melaluinya dalam hidup, mencari pahala dan mengejar syurga.
Apa pandangan Datuk Seri berhubung dua jawatan tertinggi Umno dipertandingkan?
Pada pendapat saya, dua jawatan tertinggi itu perlu dikekalkan kerana
semua sudah tahu kredibiliti mereka. Cuma bagi jawatan naib presiden
perlu ada pertandingan.
Mengenai pilihan raya kecil Kuala Besut, bagaimana persiapan BN setakat ini?
Kuala Besut adalah kubu kuat BN. Kita akan memastikan ia kekal milik
BN. Semua jentera telah bersiap sedia dan hanya menunggu tarikh sahaja.
Saya sendiri akan turun padang membantu demi memastikan kemenangan masih
berpihak kepada BN.
Sejauh mana keyakinan Datuk Seri untuk pilihan raya kecil Kuala Besut?
Lebih yakin kepada BN. Tetapi, jika ia berpihak kepada parti lawan,
jumlah kerusi negeri akan sama banyak iaitu 16-16. Tetapi, saya pasti
dengan calon yang akan diletakkan nanti, kerusi masih kekal milik BN.
Bukan hanya Kuala Besut, malah di mana-mana, ia kekal milik BN.
Datuk Seri masih memegang jawatan dalam peringkat negeri, bagaimana selepas ini?
Saya masih menjadi presiden kepada beberapa persatuan seperti Presiden
Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Persatuan Berbasikal Perlis,
Persatuan Petanque Perlis, Persatuan Renang Negeri Perlis, Persatuan Ten
Pin Boling Perlis, Persatuan Muay Thai Perlis, Persatuan Olahraga
Perlis dan Persatuan Kabaddi Perlis. Saya akan melepaskan satu persatu
selepas ini. Saya akan membawanya kepada jemaah menteri, adakah wajar
saya melepaskan atau masih boleh meneruskan. Ini kerana, sepanjang saya
memegang jawatan sebagai presiden, tidak banyak masalah atau kontroversi
berlaku. Asum merupakan penyumbang utama pingat untuk negara. Apa pun,
saya akan meneliti perkara ini.
Apa komen Datuk Seri mengenai perhimpunan haram blackout505?
Saya tidak nampak keperluan dan kewajarannya himpunan tersebut.
Contohnya, pada hari angkat sumpah semua ahli Parlimen, ada segelintir
peserta berhimpun di luar Parlimen dalam keadaan jerebu waktu itu.
Mereka tidak memakai topeng muka dan terdedah dengan keadaan udara yang
tidak sihat ketika itu. Pada waktu sama, ahli Parlimen PR berada di
dalam, selepas angkat sumpah di Parlimen. Jadi mereka yang di luar itu
untuk apa? Jadi, di mana kesepakatan mereka? Oleh itu, ia harus
dihentikan kerana tidak ada faedahnya. Gunakan medium lain yang lebih
sesuai jika dirasakan ada sesuatu yang perlu ditegur. Himpunan seperti
itu memberikan impak negatif kepada negara.
BN ada mengemukakan petisyen PRU13 dan adakah ia dianggap sebagai tidak kepada percaya SPR. Apa komen Datuk Seri?
Petisyen dikemukakan BN adalah berhubung kait dengan salah laku tetapi
bukan SPR. PR sengaja memutarbelitkan fakta. Petisyen BN lebih kepada
salah laku yang dibuat PR bukan SPR. SPR telah menjalankan tanggungjawab
mereka dengan sebaik mungkin.
Apakah harapan Datuk Seri untuk Parlimen sesi baru ini?
Saya sangat berharap semua pihak sama ada BN atau PR dapat bersidang
adil dan semua pihak dapat memberikan yang terbaik. Ditambah pula
persidangan ini dapat ditonton secara langsung rakyat menerusi rangkaian
televisyen. Rakyat akan membuat penilaian dan semua ahli Parlimen boleh
memikirkan adakah wajar perbuatan dan kata-kata mereka dalam
persidangan.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment