Friday, 26 November 2010

Maksud Hadis ‘Sesiapa Menyerupai Sesuatu Kaum..’

MAKSUD HADIS ‘SESIAPA MENYERUPAI SESUATU KAUM..’
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Soalan: Dr Asri, saya ada seorang kawan yang sentiasa berhujah dengan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Dengan hadis itu beliau selalu macam kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian ala-Barat atau makan dengan sudu tidak dengan tangan dan lain-lain lagi. Saya beritahu itu boleh sebab tiada dalil yang melarangnya, tapi beliau sering berdalil “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Sejauh manakah penafsiran hadis ini ?

Nurdin, Pasir Tumbuh, Kelantan.

Jawapan: Saudara, sebagai ingat; dalam penghujahan menggunakan sesuatu hadis, terlebih dahulu hendaklah kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi muhaddithin (ahli hadis). Jika hadis itu didapati sabit iaitu berada pada kedudukan (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan hujah dalam agama. Setelah perkara tersebut dipastikan, barulah ke peringkat seterusnya iaitu mengkaji maksud matan (teks) hadis tersebut. Bagi menjawab persoalan yang dikemukan maka di sini disebut beberapa perkara;

1. Hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.

2. Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

3. Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk. Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H):

“Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).

4. Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.


Gambar contoh pakaian khusus bagi agama tertentu.

5. Saya menyokong pendapat yang menyatakan sekiranya menyerupai golongan kufur tetapi tidak beriktikad kufur perbuatan tersebut berdosa tetapi tidak terkeluar dari agama. Namun, jika dia menyerupai mereka secara penyerupaan zahir dan juga batin iaitu dengan iktikad yang sama, maka dia menjadi kufur. Kadar dosa menyerupai itu berdasarkan kadar perkara yang ditiru atau diserupai.

6. Sekali lagi hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

7. Dalam hadis “Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):

“Rasululah s.a.w itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).

8. Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatahlagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat. Daripada Anas bin Malik, katanya:

“Apabila Nabi s.a.w ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad RasululLah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.

9. Berdasarkan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut. Kata al-Imam al-Munawi:

“Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).

Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.

10. Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.

11. Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.

No comments: